Usahawan Profesional di Facebook

Tidak kisah jenis kaedah pemasaran yang dilakukan, salah satu prinsip yang perlu dibawa sentiasa adalah profesional. Begitu juga di Facebook. Untuk memastikan pemasaran di Facebook berkesan, kita perlu mengutamakan prinsip profesional tersebut.

Berikut adalah 10 perkara yang akan menentukan kita menjadi seorang usahawan yang profesional di Facebook:

1. Tidak memaksa-maksa orang lain menyertai kita, sama ada menyokong kita, menyertai seminar yang dianjurkan, membeli produk yang kita jual atau apa sahaja. Memaksa orang lain akan menyebabkan kita tidak disukai dan akhirnya mereka akan lari daripada kita.

Memaksa di sini termasuklah penggunaan ayat promosi yang berkali-kali meminta pengguna Facebook (sasaran) membeli tawaran kita. Sebaiknya, gunakan pendekatan yang lebih persuasif, penceritaan atau perkongsian informasi dari semasa ke semasa.

Menggunakan kaedah yang ‘keras’ di Facebook tidak berkesan. Ia hanya mengundang ketidakselesaan orang lain. Sebahagian besar pengguna Facebook adalah inginkan keadaan yang santai dan relaks. Jadi gunakan kaedah yang selari dengan ciri-ciri tersebut.

Contohnya, gunakan imej-imej dan video-video yang menarik untuk dilihat dan ditonton. Secara tidak langsung, mereka berminat untuk membeli produk kita, menyertai program yang dianjurkan dan sebagainya.

2. Emosi. Elakkan beremosi yang negatif. Walaupun kita benar dan orang lain salah, elakkan mengeluh, mengkritik, mengadu, marah, melenting dan sebagainya. Emosi yang tidak terkawal sudah semestinya akan mencerminkan kita seorang usahawan yang tidak kuat hati. Jadi bagaimana orang lain mahu bekerjasama dengan kita?

Hal-hal peribadi, prinsip atau pendapat peribadi bukanlah yang terbaik untuk dijadikan sebagai penilaian terhadap orang lain di Facebook. Walaupun pendapat kita betul, namun mungkin juga pendapat orang lain betul. Kita mesti menilai dengan hakikat dan fakta. Salah satunya, manusia itu pelbagai ragam.

Di Facebook, kita perlu tenang dan menerima pandangan serta sikap orang lain. Inilah cabaran pemasaran di Facebook iaitu menerima realiti bahawa kita tidak boleh menjadikan sasaran pasaran kita sama seperti kita. Mereka adalah mereka, kita adalah kita. Dengan memahami 1001 ragam manusia, insyaAllah kita tidak mudah melenting dan marah-marah.

Seperti yang dikatakan di atas, sebahagian besar pengguna menyertai Facebook bukan untuk membeli atau dipromosikan sesuatu. Mereka juga masuk ke Facebook bukan untuk ditegur, dikomen, dikritik, disindir, diajar-ajar dan sebagainya. Tetapi mereka mahukan sesuatu yang boleh mengembirakan hati mereka. Inilah fungsi utama laman sosial seperti Facebook. Ia tempat yang santai, bukan tempat yang serius.

Jadi kita sebagai usahawan perlulah kreatif di dalam melakukan pemasaran agar sesuai dengan matlamat mereka menyertai laman Facebook tersebut. Usahawan tidak boleh mengeluh atau membetulkan orang lain secara ‘keras’, tetapi sebaliknya perlu memikirkan strategi halus agar orang lain terpengaruh tanpa dipaksa-paksa. Kita perlu ingat, Facebook bukan milik kita. Jadi kita tiada hak memaksa-maksa orang lain.

Sepatutnya, seorang usahawan perlu mengikut rentak para pengguna Facebook, melakukan kajian dan seterusnya menjual atau menyediakan sesuatu yang boleh dibeli atau dibayar oleh mereka. Sebaliknya, bukan mahu memuaskan hati kita semata-mata.

3. Fokus. Apakah sebenarnya matlamat pemasaran kita di Facebook? Salah satu tanda kita tidak jelas terhadap matlamat adalah kita membicarakan (menulis) semua perkara. Seeloknya, 90% bicara kita di Facebook adalah mengenai bidang perniagaan kita atau kepakaran kita.

Apakah kaitan fokus ini dengan profesional? Bagi saya, jika kita menyentuh perkara yang kita tidak begitu arif, sebenarnya kita telah cuba menggugat bidang tersebut, termasuk orang-orang profesional dalam bidang tersebut. Kita telah cuba merosakkan sesuatu dengan kefahaman yang dangkal.

Membicarakan sesuatu terutama yang kita tidak tahu adalah satu tindakan yang tidak profesional. Serahkan kepada mereka yang pakar, iaitu yang lebih berhak untuk menjawab atau membicarakan perkara itu.

4. Bahasa yang baik. Seperti yang diperkatakan di atas, mahu tidak mahu kita perlu menerima 1001 ragam dan sikap manusia di Facebook. Kita tidak boleh memaksa orang lain menjadi diri kita. Untuk itu, daripada pengalaman saya, menggunakan bahasa yang baik dan tersusun lebih selesa untuk dibaca.

Pengalaman saya menggunakan Bahasa Melayu yang betul di Facebook telah membuktikan bahawa penggunaan bahasa dan tatabahasa yang betul boleh diterima oleh kebanyakan orang. Menggunakan bahasa yang baik dan tersusun adalah salah satu ciri yang profesional, malah sedap untuk dibaca. Ia bebas daripada kawalan emosi.

Jika kita mengatakan tiada masalah menggunakan bahasa rojak atau bahasa pasar, bagaimana pula mereka yang berbangsa lain atau dari suku sakat yang tidak memahami bahasa rojak itu? Maka solusi di sini adalah menggunakan bahasa yang standard. Melainkan kita hanya menyasarkan segolongan kumpulan sahaja.

5. Bersangka baik. Kadang-kadang persepsi kita melebihi daripada fakta dan kebenaran. Kita cepat melatah dan menyangka orang lain mengkritik kita. Padahal tidak. Bersangka buruk adalah tidak profesional.

Ini kerap berlaku apabila seseorang menulis sesuatu di Facebook (seperti mengkritik), maka kita akan terasa. Rasa inilah persepsi di mana kita merasakan kita yang dikritik tersebut. Lantas kita pun menulis sindiran di Wall Facebook. Tindakan ini tidak profesional kerana ia berasaskan emosi semata-mata.

Mungkin kritikan tadi bukan ditujukan kepada kita, tetapi kepada orang lain. Jika tidak berpuas hati, hubungi orang tersebut dan tanya, kepada siapa kritikan itu ditujukan. Ini baru profesional kerana terus bertanya, bukan bersangka-sangka. Atau paling mudah, abaikan sahaja.

6. Tidak memuji berlebih-lebihan. Memuji itu bagus. Namun jika terlalu memuji-muji, orang yang menerima pujian itu akhirnya pasti akan merasa rimas. Mungkin lebih elok menggantikan pujian itu dengan bantuan tanpa harapan dibalas seperti mempromosikan diri mereka atau produk mereka kepada orang lain.

Memuji dengan berharapkan sesuatu adalah jelas tidak ikhlas. Ini tidak profesional. Kelak, pujian itu akan memakan diri kita sendiri tatkala insan yang dipuji itu mengkritik atau menegur kita. Jika kita berkecil hati, bermaksud pujian kita itu memang tidak ikhlas. Hanya orang yang ikhlas sahaja tidak kisah dirinya dikritik dan merasa selesa dengan kritikan tersebut.

Memuji berlebih-lebihan bukanlah sikap seorang usahawan profesional. Sebaliknya, mereka bersungguh-sungguh menyokong usahawan lain dengan tindakan (seperti kerjasama), bukan dengan kata-kata. Usahawan yang hebat sudah lali dengan pujian menggunung. Mereka lebih mahukan pencapaian, bukti kesungguhan, kejujuran, kerjasama dan hasil.

7. Beretika. Dalam Islam, kita sebut sahaja etika ini sebagai adab. Orang yang profesional adalah orang yang beradab (beretika). Contoh paling mudah adalah tidak mempromosikan produk secara sebarangan seperti mempromosi di Wall orang lain, di Group perbincangan, di bahagian komen dan juga melalui mesej Inbox. Ini semua dipanggil sebagai SPAM.

Pemasaran tanpa izin seperti SPAM adalah tidak beradab. Umpama masuk ke rumah orang lain tanpa memberi salam dan merosakkan barang-barang di dalam rumah itu. Sikap ini tidak patut dilakukan oleh usahawan profesional. Hormati zon orang lain.

8. Faham dan ikut peraturan. Usahawan yang profesional akan mengutamakan peraturan (perjanjian) yang ditetapkan oleh pihak Facebook. Salah satunya adalah tidak melakukan SPAM atau perkara-perkara yang dilarang. Setelah kita berjanji (bersetuju semasa mendaftar FB), maka kita wajib mematuhinya. Ini adalah profesional.

Peraturan wajib dipatuhi. Ini kerana, sesuatu peraturan yang ditetapkan bukan untuk kepentingan pihak Facebook sahaja, tetapi hak pengguna-pengguna yang lain. Jika kita melanggarnya, bermaksud kita akan menyusahkan pengguna yang lain juga.

9. Tidak melihat orang lain sebagai bodoh. Sepakar mana pun kita, sehebat mana pun kita, kurangkan atau elakkan penggunaan ayat yang seolah-olah hanya kita yang hebat dan orang lain ‘bodoh’. Sebaliknya, sudah memadai kita berkongsikan sesuatu informasi dengan pengguna-pengguna Facebook yang lain.

Elakkan ayat yang menyuruh-nyuruh, mengajar-ngajar, menyalahkan atau mengkritik orang lain dan sebagainya. Berikan informasi sahaja dan selebihnya serahkan kepada mereka untuk menilai diri mereka sendiri. Jika mereka tidak mampu menilai, biasanya mereka akan bertanya sama ada menghubungi kita.

Jika kita menulis sesuatu dan kemudian mereka memberikan komen tambahan, terima sahaja walaupun pendapat itu bertentangan dengan pendapat kita. Elakkan sikap defensif iaitu ingin memenangkan diri sendiri sahaja. Orang yang selalu defensif biasanya tidak yakin dengan diri mereka sendiri. Mudah rasa tergugat.

10. Profile diri yang lengkap. Sama ada menggunakan akaun personal (contoh: Mohd Zulfadli) atau business page (contoh: SmartUsaha) di Facebook, bahagian Profile perlulah dipenuhi sebaik-baiknya. Gunakan nama sebenar atau nama bisnes yang rasmi. Isi bahagian-bahagian yang memudahkan ahli FB mengenali kita.

Jika menggunakan diri sebagai penggerak bisnes, gunakan profile picture yang sebenar. Jika perlukan privasi (terutama wanita), gunakan gambar profile yang baik-baik seperti logo bisnes. Jika menggunakan page, letakkan logo bisnes atau gambar produk.

Sesebuah akaun Facebook atau laman bisnes (page) yang tidak lengkap adalah tidak profesional.

Penutup

Sejauh manakah praktik kita di Facebook yang menjadikan kita seorang usahawan profesional, matang, tenang, dihormati dan menghormati? Jika tidak sepenuhnya, sekarang adalah masa terbaik untuk kita perbaiki dan pertingkatkan sebelum terlambat.

Usahawan yang baik (lagi-lagi seorang Islam), akan menitik-beratkan hal-hal yang akan menjadikan dirinya seorang profesional, kerana ini bukan sahaja dipandang baik oleh manusia, malah oleh Tuhan Rabbul ‘Alamin, Allah SWT. Usahawan sebeginilah yang akan disukai dan disenangi oleh pengguna-pengguna Facebook.

.

Penulis: Mohd Zulfadli


(SmartZul) adalah seorang penulis dan usahawan Internet sepenuh masa. Beliau memulakan perniagaan melalui Internet sejak tahun 2005, dengan memfokus kepada bidang penulisan dan penerbitan secara online. Beliau turut aktif berkongsi ilmu dan pengalaman melalui blog dan juga komuniti Facebook. Klik menu Hubungi di atas untuk menghubungi beliau.

SERTAI NEWSLETTER SMARTUSAHA.COM
Sertai newsletter SmartUsaha.com untuk mendapatkan info dan tip-tip perniagaan dan pemasaran Internet terus ke emel anda.
Kami benci spam. Emel anda selamat bersama kami.

Komen Guna Facebook:

comments

18 thoughts on “Usahawan Profesional di Facebook

  1. Memang betul tu, sikap professional harus dimiliki oleh setiap orang apabila membuat sebarang urusan lebih-lebih lagi dalam perniagaan kerana ia melibatkan untuk rugi sesebuah perniagan tersebut.

  2. Salam tuan zul,
    Saya suka dengan tips yang pertama jangan memaksa bakal pelanggan anda. Ada sesetengahnya mengamalkan perkara sebegini sehinggakan kita pun menyampah dengan iklannya, tidak cukup dengan itu ditambah pula dengan spamming yang tidak henti henti pada wall..

  3. Salam…

    Betul tu. Gunakan Facebook sewajarnya lebih2 lagi mereka yang meluaskan pasaran di Facebook. Profesional perlu ada dalam setiap kerja dan disitulah adanya kepercayaan pelanggan kepada kita.

  4. 10 poin yang dikembangkan dengan bernas. Saya rasa tidak lama lagi akan wujud sebuah lagi komuniti usahawan iaitu ‘Usahawan Facebook’. 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *