Mengapa Anda Takut Berhenti Kerja untuk Berniaga Sepenuh Masa?

Melepaskan kerja (makan gaji) bukanlah sesuatu yang mudah. Hati kata mahu, tetapi logik akal pula takut macam-macam. Takut tiada sumber pendapatan, takut tidak dapat menyara diri, takut bisnes tidak menjadi dan pelbagai jenis ketakutan.

Artikel ini bukan menyuruh anda berhenti bekerja makan gaji, tetapi tulisan ini adalah untuk mereka yang sudah sampai masanya untuk melangkah dengan kaki sendiri dan keluar daripada ‘penjara masa’. Apabila kita bekerja dengan orang lain, realiti yang harus kita lalui adalah kita ‘tidak bebas’.

  • Tidak bebas membuat keputusan walaupun keputusan itu bagus.
  • Tidak bebas untuk melakukan sesuatu yang kreatif walaupun ia memang kreatif
  • Tidak bebas untuk bergerak semasa waktu bekerja. Contohnya masuk kerja 8.00 pagi dan balik 5.00 petang. Tidak boleh sesuka hati keluar tanpa sebab.

Walaupun ‘tidak bebas’, namun hakikatnya tidak semestinya apabila kita ‘bebas’ kelak, kebebasan itu menjadikan kita berjaya, malah boleh juga semakin merosakkan kita.

Pendek kata, sama ada kita makan gaji ataupun berniaga sepenuh masa, perancangan dan berdisiplin dalam melaksanakan perancangan itu adalah perkara asas ke arah kejayaan.

Sekali lagi, artikel ini adalah untuk mereka yang sudah bersedia untuk berhenti kerja dan melakukan bisnes sepenuh masa. Apakah tanda-tanda anda sudah bersedia? Tanda-tanda berikut tidak semestinya kesemuanya. Mungkin salah satu, ataupun beberapa di antaranya.

  1. Anda sudah mempunyai perniagaan yang sudah beroperasi. Ya, perniagaan ini telah dijalankan semasa anda masih bekerja. Ia dilakukan secara sampingan (sudah semestinya di luar waktu kerja). Anda sudah ada blueprint bisnes, iaitu bagaimana ia beroperasi dan diurus. Anda juga jelas apa fokus perniagaan itu.
  2. Pendapatan perniagaan sampingan yang sudah stabil, sama ada menyamai ataupun melebihi gaji bulanan kerja (makan gaji) anda. Pendapatan yang stabil bermaksud operasi perniagaan anda sudah berjalan baik.
  3. Hati dan jiwa anda tidak di tempat kerja. Hanya fizikal sahaja.
  4. Anda tidak begitu bersemangat lagi melakukan kerja semasa anda walaupun itu bidang yang anda minati.
  5. Anda sudah mempunyai ilmu perniagaan yang boleh digunakan.
  6. Anda sudah mempunyai mentor perniagaan yang berpengalaman dan jujur dalam ‘menunjuk jalan’.
  7. Anda sudah mempunyai kenalan-kenalan dan rakan-rakan yang berniaga sepenuh masa.
  8. Anda sudah mempunyai rancangan perniagaan yang jelas.
  9. Anda sudah belajar cara memasarkan perniagaan.
  10. Anda telah membeli dan membaca banyak buku berkaitan perniagaan.
  11. Anda telah yakin, anda tidak mudah patah semangat dan minda anda adalah minda yang unggul dan positif dalam menghadapi apa jua ujian.

Pesan saya, jika anda mahu berhenti bekerja, pertama sekali, sabar. Kesabaran adalah penting. Anda memerlukan fikiran yang tenang dan waras untuk membuat keputusan yang bukan remeh ini.

  • Anda perlu melihat banyak sudut semasa. Contohnya anda mempunyai tanggungan hutang yang masih membelit diri anda. Maka anda perlu mempunyai sumber wang yang tetap pada setiap bulan. Soalnya, adakah jika anda berhenti kerja makan gaji dan berniaga sepenuh masa, anda akan mempunyai pendapatan yang sama dengan gaji anda, ataupun lebih? Persoalan ini boleh dijawab jika anda mempunyai perancangan yang solid  dan proven.
  • Adakah anda mempunyai tabung simpanan kecemasan? Jika anda masih bujang, anda boleh makan mi segera ataupun ‘berpuasa’ 7 hari. Tetapi jika anda mempunyai isteri dan anak-anak, anda bertanggungjawab untuk menyara mereka dengan baik. Soalnya, adakah anda mampu menyara mereka setelah anda berhenti makan gaji?
  • Adakah anda sudah mempunyai sekurang-kurangnya ilmu perniagaan yang asas? Mempunyai ilmu dan strategi yang betul adalah faktor kritikal untuk anda berjaya dalam bisnes. Perniagaan juga ada ‘ilmu kira-kiranya’. Ada masa boleh guna firasat, tetapi sebahagian besarnya perlu dinilai dan diputuskan dengan ilmu.

Meletak jawatan / berhenti kerja amat mudah. Serahkan surat (notis) dan apabila sampai masanya, kita bebas daripada cengkaman majikan yang mungkin kita tidak suka dan rimas. Tetapi, adakah kebebasan yang kita mahu itu benar-benar membebaskan kita daripada cabaran dan masalah hidup? Ataupun kebebasan itu akan memusnahkan hidup kita dengan lebih teruk?

Sejujurnya, tidak kisah sebenarnya anda makan gaji ataupun berniaga sepenuh masa. Hidup ini adalah mengenai bagaimana anda sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik bagi diri sendiri. Anda pandai jaga diri, anda selamat dunia dan akhirat. Jika anda berniaga tetapi banyak buat dosa, tidak guna juga. Manusia benci, Allah pun tidak suka. Manakala jika anda makan gaji, tetapi anda seorang yang amanah dan jujur, anda adalah manusia yang Allah sayang.

Perkara kedua yang penting dalam hidup ini adalah pengurusan kewangan. Jika income bisnes anda adalah RM100,000 sebulan, tetapi anda boros dan belanja perniagaan tidak diurus dengan baik, anda berpotensi untuk muflis. Tetapi jika anda seorang pekerja yang bergaji RM2000 sebulan, tetapi anda pandai urus duit, anda juga mampu mempunyai aset-aset tersendiri seperti hartanah, emas dan portfolio pelaburan tersendiri (ini cerita betul dan telah ramai membuktikannya).

Pendek kata, kita perlu merancang dan menentukan bagaimana kita hidup di dunia ini. Jika anda mahu jadi usahawan sepenuh masa, maka berniagalah betul-betul dan bersungguh-sungguh. Jika anda mahu berkhidmat melalui kerja makan gaji, maka bekerjalah sebaik-baiknya. Kedua-duanya adalah pilihan yang suci dan murni.

Hakikatnya, Allah tidak lihat siapa kita sama ada usahawan ataupun pekerja makan gaji, tetapi Allah akan lihat keikhlasan hati kita terhadap-Nya dan amalan yang kita lakukan di dunia ini.

“Saya memilih untuk berhenti makan gaji dan berniaga sepenuh masa…”

Ia satu keputusan anda. Anda sudah bersedia. Anda sudah ada ilmu. Anda sudah berada dalam circle usahawan. 24 jam sehari, fikiran anda hanya terhadap bisnes sahaja.

Tidak perlu takut untuk berniaga sepenuh masa jika anda sudah bersedia dan jelas. Itu kata kuncinya. Jika anda berhenti kerja dan tidak jelas apa yang akan anda lakukan, anda sebenarnya akan menempuh jalan yang sukar.

Anda juga tidak perlu takut untuk berniaga sepenuh masa, kerana jika orang lain boleh, mengapa anda tidak boleh? Walaupun logik itu tidak boleh digunakan kerana ‘lain orang lain rezeki’, tetapi kita ambil perkiraan ini: “Setiap sesuatu pasti ada caranya. Apakah yang mereka lakukan sehingga mereka menjadi usahawan berjaya?”

Ya, cara. Atau dalam sebutan lain: Ilmu, strategi, kaedah, teknik, prinsip, amalan..

Cara yang sama, apabila dilakukan oleh kita, ia memberikan hasil yang memuaskan, sama ada cara itu kita ubahsuai mengikut kesesuaian, ataupun di”copy & paste” begitu sahaja.

Maka daripada situ, pentingnya membaca dan belajar tanpa henti, sertai mempunyai mentor ataupun guru yang boleh membimbing kita semasa meniti jalan keusahawanan.

Ringkas kata kepada tajuk artikel ini, “kita takut kerana kita tidak cukup bersedia dan tidak nampak dengan jelas apa yang perlu dilakukan setelah berhenti makan gaji.”

Saya hanya mampu doakan anda melalui semua ini dengan mudah dan dibekali dengan kesabaran yang tinggi. Dengan izin-Nya.

Penulis: Mohd Zulfadli


(SmartZul) adalah seorang penulis dan usahawan Internet sepenuh masa. Beliau memulakan perniagaan melalui Internet sejak tahun 2005, dengan memfokus kepada bidang penulisan dan penerbitan secara online. Beliau turut aktif berkongsi ilmu dan pengalaman melalui blog dan juga komuniti Facebook. Klik menu Hubungi di atas untuk menghubungi beliau.

SERTAI NEWSLETTER SMARTUSAHA.COM
Sertai newsletter SmartUsaha.com untuk mendapatkan info dan tip-tip perniagaan dan pemasaran Internet terus ke emel anda.
Kami benci spam. Emel anda selamat bersama kami.

Komen Guna Facebook:

comments

6 thoughts on “Mengapa Anda Takut Berhenti Kerja untuk Berniaga Sepenuh Masa?

  1. Pertama sekali, selamat kembali tuan Zul. Sudah lama saya tunggu artikel dan update terbaru.

    Betul bagai dikata, perasaan takut adalah punca utama orang tidak mahu berhenti kerja bermajikan.

    Tetapi jika bisnes sendiri, kerja dan usahanya akan lebih berganda. Jam 2-3 pagi belum tentu boleh tidur.

  2. saya amat bercita-cita untuk bekerja sendiri dan mempunyai kawalan masa sepenuhnya dalam hidup ini…namun belum bisnes yang dilakukan belum menampakkan hasilnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *