Blog Perniagaan Internet: SmartUsaha.com

Kenali Kumpulan Pengguna Facebook

Kita sedia maklum, manusia mempunyai pelbagai kumpulan atau kelompok. Jadi, untuk memastikan proses marketing di Facebook (FB) mencapai matlamatnya, kita perlu mengenali sasaran atau setiap kelompok tersebut yang menyertai kita di FB.

Berikut adalah sebahagian kumpulan atau kelompok (jenis) pengguna-pengguna Facebook. Dekati setiap kumpulan dengan cara yang sesuai dengan mereka:

1. Pembeli
Mereka ini telah membeli produk kita, dan mempunyai potensi besar untuk terus membeli produk-produk kita. Bagi anda yang telah lama berniaga atau mempunyai senarai pelanggan sendiri, pastikan pelanggan sedia ada yang mempunyai akaun Facebook, menyertai anda di Facebook.

2. Usahawan
Mereka ini memiliki tiga kegunaan untuk kita. Satu, sebagai kenalan usahawan untuk bertukar-tukar idea, pengetahuan dan pengalaman. Kedua, memberi perkhidmatan atau membekalkan produk kepada mereka. Ketiga, bekerjasama untuk mencapai satu matlamat yang disepakati bersama.

Klik di sini untuk membaca artikel ini sepenuhnya…

Isu: Kadar Bayaran Ceramah

Setelah melakukan sedikit kajian dan pembacaan mengenai penetapan kadar bayaran untuk jemputan ceramah, saya dapati ada dua pendapat atau ‘mazhab’ (kumpulan):

  1. Ceramah sebagai amalan akhirat (tidak caj mahal)
  2. Caj dari sudut pandangan bisnes

Kedua-dua kumpulan ini masing-masing mengemukakan hujah tersendiri, malah ada yang menidak-nidakkan atau mempersoalkan kaedah pihak yang lain. Dan saya perhatikan, yang banyak mengupas hal ini adalah kumpulan satu.

Contohnya, kumpulan 1 mengatakan orang yang meletakkan kadar bayaran yang tinggi adalah orang yang tidak ikhlas, membebankan pihak penganjur dan mementingkan duniawi. Maksudnya, amatlah tidak wajar kadar bayaran diletak dengan begitu tinggi. Mereka mahu semua orang ikut cara mereka, yang tidak mementingkan kadar caj dan lebih sesuai di sisi Agama, katanya.

Namun, kumpulan 2 pula tetap dengan pendirian mereka dengan menggariskan sebab-sebab mereka menetapkan kadar bayaran yang tinggi. Antaranya adalah soal kos, penceramah itu tiada bergaji tetap (usahawan) dan pelbagai lagi kos-kos lain yang perlu mereka tanggung. Inilah yang dimaksudkan caj dari sudut bisnes, iaitu caj ditetapkan dengan pelbagai rangkuman aspek berkaitan.

Isu ini lebih kurang sama dengan persoalan “adakah mengambil upah dengan mengajar Al-Quran boleh atau tidak”. Ada ulama yang membolehkan, ada ulama yang tidak mengalakkannya. Namun, pendapat pertama adalah lebih disokong ramai atas penilaian-penilaian yang munasabah, dan melihat pada pelbagai skop. Namun, semuanya bergantung juga kepada keadaan dan situasi.

Pendapat Saya?

Saya tidak berpihak kepada mana-mana dua kelompok di atas, malah mengguna pakai kedua-dua cara. Pada tahun 2005, saya beberapa kali memberikan ceramah mengenai perniagaan internet tanpa mengenakan sebarang caj. Ceramah itu adalah untuk para pelajar IPT. Niat saya adalah untuk berkongsi ilmu dan pengalaman.

Manakala pada tahun 2006, saya menjadi penceramah dan trainer untuk satu pihak penganjur bengkel perniagaan internet. Berapa yang saya dapat? Saya tidak menetapkan apa-apa, malah menerima berapa sahaja yang mereka berikan. Yang penting dapat memenuhi kos pengangkutan, makan minum dan ada sedikit duit lebihan. Saya tidak sesekali melihat kepada ‘profit’. Hanya ingin berkongsi ilmu sahaja.

Namun, dalam keadaan tertentu, saya juga akan mengenakan kadar bayaran yang tinggi. Semuanya melihat kepada keadaan dan situasi. Hidup kita ini adalah fleksibel dan tidak boleh keras hati dengan satu pegangan semata-mata.

Untuk kumpulan 1 yang mengatakan kadar bayaran tinggi itu menyusahkan dan menuduh pihak kumpulan 2 tidak ikhlas, ia adalah satu kata-kata yang penuh kerosakan. Siapakah kita untuk membaca hati dan niat orang lain? Mengenakan bayaran yang tinggi tidak bermaksud tidak ikhlas, dan mengenakan bayaran yang rendah tidak pula bermaksud si penceramah itu adalah yang terbaik.

Lihat sahajalah berapa ramai penceramah percuma yang cincai isinya hanya mengutuk itu ini, mengumpat dan memfitnah, sampai diri sendiri pun cakap tidak serupa bikin. Jadi kita tidak boleh mengatakan yang harga tinggi itu tidak patut, dan yang murah itu terbaik. Begitulah sebaliknya, ada juga yang mahal kosong isinya, dan yang murah pula penuh pengisian.

Di dalam berpandangan, kita perlu melihat kesemua pegangan tanpa berat sebelah atau memandang pada satu sisi sahaja. Keduanya, kita tidak boleh menghakimi orang lain dengan prinsip kita yang mungkin hanya sesuai untuk kita dan tidak untuk orang lain.

Ketiga, jika seseorang penceramaah menetapkan harga tinggi dan tidak mampu untuk kita membayarnya, kita masih mempunyai banyak pilihan untuk menjemput penceramah yang sesuai dengan bajet atau peruntukan program. Mudah bukan? Jangan sampai kita menuduh orang lain tidak ikhlas atau melontarkan 1001 kata-kata nista dan dusta kepada mereka.

Kita perlu menjadi manusia yang adil di dalam menilai dan berkata sesuatu. Kita tidak boleh menghakimi orang lain sesuka hati. Penceramah yang meletak harga tinggi ada pasarannya tersendiri dan penceramah yang meletakkan harga rendah juga ada sasaran mereka sendiri.

Di dalam proses menyebarkan ilmu, ada banyak jalan, kaedah dan cara. Kita sama sekali tidak boleh menetapkan hanya satu kaedah untuk proses penyampaian ilmu ini. Sebagai contohnya, orang-orang yang berada. Mereka biasanya lebih selesa menyertai program yang mahal dan eksklusif. Jadi mereka adalah kumpulan terbaik untuk penceramah yang meletak kadar bayaran yang tinggi tadi.

Orang-orang yang berada (kaya) itu mahu mengikuti program yang eksklusif sahaja bukanlah bermakna mereka menidakkan yang murah atau yang biasa-biasa, tetapi mereka melakukan sesuatu yang sesuai dengan tahap mereka. Tidak bolehlah kita menghukum mereka sesuka hati. Orang miskin pun ramai juga yang jahat, orang kaya pun ramai juga yang baik. Selagi bernama manusia, miskin atau kaya, semuanya terletak pada hati. Jangan sama sekali menilai pada harta.

Bayangkan, jika semuanya murah-murah, adakah usaha “dakwah” atau penyampaian ilmu akan sampai kepada orang-orang yang berada itu? Manusia ini banyak kelompok dan jenisnya. Maka kita perlu berusaha dengan kaedah yang sesuai untuk setiap kelompok.

Yang meletakkan harga tinggi tidak semestinya tidak ikhlas dan tidak diredhai Allah. Malah mungkin yang meletakkan bayaran murah itu amat riak orangnya dan kacau jiwanya. Segalanya ada kemungkinan. Maka dapat kita simpulkan, (1) Jangan membaca hati dan niat orang (hukumnya berdosa), (2) Jangan menilai sifat seseorang pada kadar bayaran, (3) Kita perlu bersangka baik, (4) Kita buat cara kita dan orang lain dengan cara mereka.

Akhir kata, isu-isu kecil sebegini hanya diheboh-hebohkan oleh mereka yang tidak adil di dalam berilmu dan pertimbangan, serta menilai sesuatu tanpa melihat pada pelbagai aspek dan skop berkaitan. Mereka hanya tahu menghukum semua orang lain salah dan hanya mereka betul. Paling teruk, mereka hanya pengkritik yang tiada apa-apa sumbangan untuk Agama, umat, bangsa dan negara.

Hidup ini terlalu banyak rencahnya dan apabila kita seronok dengan kaedah kita, janganlah pula menghakimi orang lain semuanya tidak betul dan salah. Cuba soalkan diri kita dahulu sebelum mengkritik orang lain, “Adakah cara aku benar-benar sudah betul?” Dari situ kita akan sedar bahawa, tiada yang terbaik. Semuanya betul melainkan jelas ia salah.

Wassalam.

Nota Kaki:

Setakat ini, saya belum menganjurkan sebarang siri seminar saya sendiri. Saya tidaklah hidup dengan mengadakan seminar atau ceramah selama bertahun-tahun lamanya. NAMUN, ingin saya nyatakan, tidak salah seseorang itu mengadakan seminar atau hidup dengan hasil berceramah atau menganjurkan program sahaja. Mengapa? Sudah ditakdirkan dirinya berperanan sebagai penceramah! Rezeki masing-masinglah kan? Kalau kita mempersoalkan, bermakna kita telah mempersoalkan Allah yang telah menyediakan rezeki itu untuk mereka.

Dan keduanya, setiap manusia ada cara dan peranan tersendiri. Jangan pula kalau kita buat A, kita juga mahu orang lain buat A dan mempersoalkan mengapa mereka buat B. Mengapa mahu dengki dan mempersoalkan? Tiada apa-apa manfaat jika kita cuba mempertikaikan usaha baik orang lain. Bak kata Wonder Pets (cerita kartun), yang penting adalah KERJASAMA. Sama-samalah kita membangunkan umat dan bangsa dengan cara masing-masing. Bersatu teguh, bercerai kita roboh.

Incoming search terms:

  • seminar usahawan internet
  • penceramah keusahawanan
  • koleksivideosaya
  • pro dan kontra kelas mengaji berbayar
  • ceramah agama mengenai perniagaan
  • bayaran untuk penceramah
  • ceramah keusahawanan
  • bengkel belajar komputer
  • seminar perniagaan internet
  • BAYARAN CERAMAH

Dirimu Tidak Akan Ke Mana-Mana Jika…

Kebanyakan orang amat takutkan kegagalan… Rata-ratanya begitu, malah dilatih agar membenci kegagalan. Apabila gagal, kita ditertawa, dipersalahkan, didenda dan sebagainya. Itulah lumrahnya.

Diri kita tidak akan ke mana-mana jika kita takut untuk menghadapi kegagalan dan takut untuk menang (berjaya). Akibat daripada dua jenis takut ini, iaitu TAKUT GAGAL dan TAKUT UNTUK BERJAYA, akibatnya seseorang manusia itu akan:

1. Selesa dengan seadanya. Bangun pagi buat kerja seadanya, selesai kerja, makan, minum, berborak kosong, menonton TV dan tidur. Itulah rutinnya, tidak mahu buat lebih daripada itu. Sampai mati.

2. Hidup tidak pernah berubah atau berkembang. Rutin hariannya hanya ala kadar. Katanya, “cukuplah, janji selesa.”

3. Masih tetap di tempat yang sama dan hasilnya sama. Orang lain sudah jauh ke hadapan, tetapi mereka masih pada tahap yang biasa-biasa. Suam-suam kuku.

4. Hanya tunggu dan lihat. Namun walau sudah lihat pun, hanya sekadar melihat. Tidak lakukan apa-apa. Masih duduk di situ.

5. Malas bergerak dan berusaha. Kepada mereka yang bersikap sebegitu, jangan dengkikan kejayaan orang lain kerana mereka telah berusaha kuat. Kejayaan hanya untuk mereka yang berusaha kuat sahaja. Bukan untuk si pemalas.

6. Takut untuk melakukan sesuatu keputusan yang bagus untuknya. Dirinya berfikir akan dua hal iaitu “bagaimana jika aku gagal, dan bagaimana pula setelah aku berjaya nanti?” Dirinya amat takut jika gagal dan amat takut juga jika terlalu berjaya.

7. Melakukan kerja hanya ala kadar. Nanti buat lebih-lebih, ada orang kritik pula.

8. Tidak mahu turut serta berjuang dalam hal-hal yang besar walaupun dirinya mampu. Ini kerana mereka tidak berani menanggung sebarang risiko.

Klik di sini untuk membaca artikel ini sepenuhnya…

Incoming search terms:

  • buku berani gagal
  • bila kita dibayangi bayang-bayang sendiri
  • cara menuls e mail

Hidup Perlu Ada Pendirian

Nota: Akibat kesalahfahaman ramai pembaca terhadap artikel ini disebabkan oleh tajuknya “Sikap Berkecuali: Hati Lebih Tenang”, maka saya telah menukar kepada tajuk yang membawa kepada maksud sebenar yang saya cuba sampaikan iaitu “Hidup Perlu Ada Pendirian“. Sikap berkecuali yang saya cuba sampaikan sebenarnya adalah sikap mempunyai pendirian tersendiri iaitu tidak mengikut arus atau menjadi “yes man” (tukang angguk) tanpa berfikir dan menilai terlebih dahulu. Maaf di atas penggunaan istilah yang kurang tepat (berkecuali).

Kedua, artikel ini ditulis bukan untuk skop yang umum atau general. Ia lebih kepada dunia Internet Marketing terutama di dalam isu-isu ‘panas’ yang memerlukan seseorang mempunyai pendirian tersendiri. Artikel ini khususnya dan blog ini umumnya, tiada kaitan dengan isu politik, isu semasa negara, isu Agama atau seangkatan dengannya. Harap maklum.

Salam sejahtera semua.

Di dalam kehidupan ini, setiap hari kita akan melihat atau mendengar orang melakukan kesalahan atau kesilapan. Hatta saya dan anda yang sedang membaca artikel ini pun tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan. Ia adalah normal.

Apa yang ingin saya perkatakan pada kali ini adalah salah satu sikap dan pegangan saya selama ini iaitu BERKECUALI. Saya lebih tenang dan senang dengan sikap sebegini. Prinsip ini tidak bermaksud saya tidak perlu hidup ‘berpersatuan’, tetapi diri sendiri tetap mempunyai pegangan.

Maka sebab itulah dahulunya (insyaAllah sehingga sekarang), saya lebih senang ‘bersendirian’ (underground), seperti pergi ke mana sahaja yang saya suka, buat apa yang saya mahu dan berjumpa dengan sesiapa sahaja yang saya suka, tanpa kekangan, tanpa sempadan dan tanpa ikatan. Bebas…

Prinsip Berkecuali

Contohnya, jika ada sekumpulan orang tidak sukakan si A atau sesebuah kumpulan yang lain, saya pula sebaliknya. Saya tidak semestinya perlu menyokong kumpulan tadi, malah tidak semestinya mempertahankan si A. Saya tidak akan bias dengan mana-mana pihak. Saya akan menjadi ‘orang tengah’ sebagai penapis segala maklumat, menyelidikinya dan mencari kebenaran setakat yang termampu.

Kedua, saya amat tidak selesa dengan cara menolak atau meminggirkan seseorang hatta kerana salahnya yang kecil. Di dalam praktik kehidupan, manusia (iaitu kita semua) sering bereksperimentasi dengan cara tertentu. Lain orang, lain ragam, lain perspektif. Salah pada hari ini, tidak semestinya akan salah selamanya. Berikan mereka peluang untuk memperbaiki kesilapan tersebut.

Terimalah mereka seperti mana kita menerima diri kita, iaitu sebagai manusia yang amat lemah ini. Jangan meletak diri kita seperti malaikat yang tiada dosa, dan melihat orang lain penuh dengan silap dan dosa. Tidak salah jika saya katakan, sikap sebegitu lebih teruk daripada orang yang melakukan kesalahan itu.

Ketiga, saya suka berbincang dan berdiskusi dengan sesiapa sahaja. Saya tidak akan mendengar hanya daripada seorang atau sekumpulan orang sahaja, tetapi saya akan cuba mendengar daripada semua pihak. Semua orang adalah kawan saya. Saya tidak mahu bermusuh.

Keempat, saya juga tidak selesa mencari, mengkritik atau membicarakan kesalahan orang lain, melainkan sesuatu perkara itu perlu diperbincangkan untuk kemaslahatan semua. Mengkritik tanpa tujuan adalah satu perbuatan yang sia-sia, membazir masa dan merugikan semua pihak. Sebaliknya, saya lebih suka menyampaikan ilmu, pengalaman dan informasi terutama melalui penulisan.

Kelima, matlamat saya melakukan bisnes adalah untuk kebaikan semua, terutama usaha penulisan saya di blog ini, di Facebook, di forum dan kelak melalui buku, artikel dan sebagainya. Seperti mana kata-kata Zamri Mohamad di dalam bukunya:

“Penulis bebas berkawan dengan sesiapa sahaja tanpa perlu mengikut satu kumpulan dan memusuhi kumpulan lain. Tanggungjawab penulis adalah menjadi penapis kepada sumber yang diperoleh dan diberikan kembali kepada pembaca.

Tulisan yang dihasilkan menunjukkan sikap penulis yang cenderung kepada kebenaran dan fakta, bukan memperjuangkan sesuatu berdasarkan kepentingan individu. Penulis perlu memainkan peranan bagi mencerdikkan bangsa, mempermudah ilmu dan membumikan ilmu yang betul supaya dipraktikkan oleh masyarakat.”

Dipetik daripada buku Tip Menjadi Penulis Bestseller, tulisan Zamri Mohamad.

Akhir kata, jika kita mengikut cara orang lain, atau menerima bulat-bulat kata-kata orang, tunduk dan mengiyakan tanpa berfikir dahulu, maka begitu rendahnya martabat kita. Tiada nilai. Tiada prinsip. Allah SWT memberikan kita akal dan pedoman. Maka hiduplah dengan berprinsip agar kita mempunyai suatu NILAI dan MARUAH tersendiri.

Hidup, jangan sampai kita dipergunakan orang sama ada secara terang, gelap, sembunyi, atau ditikam dari belakang. Saya akan terus dengan sikap berkecuali. InsyaAllah aman dan damai.

Wassalam.

Incoming search terms:

  • pendirian hidup
  • pendirian diri
  • maksud tikam belakang
  • prinsip hidup usahawan
  • maksud pendirian
  • maksud berkecuali
  • MAKSUD PENDIRIAN DIRI
  • maksud tiada pendirian
  • definisi lalang tiada pendirian
  • tiada pendirian hidup

Maksimumkan Posisi Sedia Ada

Lagi kesilapan yang saya pernah lakukan… Maklumlah, manusia biasa (adakah ini alasan?). Alah, inikan saya yang bukan jutawan buat silap, si John Reese multi jutawan itu pun buat silap besar juga seperti saya….

Saya tidak malu untuk berkongsikan kesilapan-kesilapan yang saya lakukan. Malah blog ini salah satu fungsinya adalah untuk merekodkan perjalanan saya di dalam bidang perniagaan internet ini. Apa yang saya tulis, ia adalah yang saya lalui sendiri. Ia tiada di mana-mana, tetapi hanya di sini.

Kedua, dengan perkongsian ini, saya amat berharap saudara dan saudari semua mengambil pelajaran agar bersiap-siaga dan berhati-hati di dalam sebarang perlaksanaan. Menjadi satu bonus kita dapat belajar daripada kesilapan orang lain. Jika terbuat kesilapan, letaklah kesilapan itu di tempat yang baik dan bukan dikeji-keji. Kerana ia amat bernilai.

Pengalaman yang saya kongsi adalah daripada perjalanan saya bertahun-tahun. Jika saya rahsiakan kesilapan ini, saya yakin ramai yang akan melaluinya seperti yang saya lalui. Masa, wang, ruang dan tenaga banyak digunakan padahal kesilapan itu boleh dielakkan dengan belajar daripada mereka yang sudah melaluinya.

Sudah nampak kelebihan dan nilai perkongsian ini? Maka manfaatkan sebaik mungkin. Bukan sekadar dibaca dan kemudian dilupai….

Seperti yang saya nyatakan di Facebook,

Perkara yang ditakuti oleh kebanyakan orang adalah KESILAPAN. Hina sangatkah berbuat kesilapan (tanpa sengaja) setelah berusaha sebaik mungkin? Kalaulah kesilapan itu satu kesalahan yang besar, sudah pasti KFC tidak wujud. Sudah pasti lampu tidak akan tercipta. Itu semua terhasil daripada satu demi satu kesilapan (percubaan demi percubaan) sehingga akhirnya bertemu dengan sebuah formula kejayaan….

Kesilapan dan Kesalahan adalah dua perkara berbeza…

Kesilapan biasanya berlaku tanpa disengajakan dan telah ada usaha. Kesilapan yang dibicarakan di sini adalah kesilapan di dalam usaha/teknik, bukan dosa hukum hakam.

Kesalahan pula kita sudah tahu sesuatu itu salah. Ia biasanya berbentuk hukum seperti dosa dan haram. Atau salah di sisi undang-undang dan peraturan..

Jika kebanyakan orang takut melakukan kesilapan, saya pula lain. Saya suka dan sedia melaluinya. Namun dengan syarat, mesti terus mencari penyelesaian.

Kesilapan yang saya maksudkan pada artikel ini adalah tidak menggunakan posisi sedia ada sepenuhnya. Posisi itu amat berpotensi besar dan baru berkembang biak. Umpama satu tanah besar, yang tumbuh baru sebatang pokok getah. Tanah yang besar itu boleh ditanam beratus-ratus bahkan ribuan pokok getah.

Maksudnya di sini, saya adalah seorang Internet Marketer yang mempunyai ‘nama’, dikenali, mempunyai pengikut tersendiri dan juga pengaruh. Namun ia baru umpama sebatang pokok getah dan belum dikembang-biakkan lagi kepada dua, tiga dan ribuan pokok getah seterusnya.

Beberapa kesilapan yang telah saya lakukan:

Kesilapan 1. Mahu masuk ke bidang lain yang sepenuhnya (totally) amat berbeza dengan bidang yang saya lakukan sekarang (Internet Marketing). Akibatnya, banyak masa saya dihabiskan untuk mengkaji, merancang dan belajar perkara baru tersebut. Padahal, bidang saya sekarang ini pun belum habis ‘dimakan’ lagi.

Seperti mana yang John Reese ceritakan, beliau asyik dengan projek automotifnya (kereta dan aksesori) seperti menjual aksesori kereta. Akhirnya beliau menarik diri daripada projek tersebut kerana terlalu ‘penat’ dan banyak perkara perlu dilakukan seperti mempelajari perkara baru. Kata beliau, ruginya menganak-tirikan kepakaran (niche) utama beliau iaitu Internet Marketing…

Klik di sini untuk membaca artikel ini sepenuhnya…

Incoming search terms:

  • adakah sistem affliate dihalalkan?
  • belajar daripada kegagalan menurut perspektif perniagaan

Inspirasi Maya Enterprise, Genap 3 Tahun!

Mungkin pembaca semua dan juga pengikut setia saya tidak mengetahui nama perniagaan saya. Sebaliknya lebih mengenali nama saya dan juga nama domain blog ini iaitu SmartUsaha.com.

Nama perniagaan saya yang berdaftar adalah Inspirasi Maya Enterprise (JM0472383-X). Nama domain perniagaan ini adalah www.InspirasiMaya.com.

Sijil Pendaftaran Perniagaan

Sijil Pendaftaran Perniagaan ('06)

Inspirasi Maya Enterprise didaftarkan pada 5 Disember 2006. Kiranya pada hari ini, 5 Dis 2009, genaplah 3 tahun perniagaan yang berdaftar ini. Walaupun berdaftar pada 5 Disember 2006, namun saya melakukan perniagaan internet dari tahun 2005 lagi.

Namun bagi saya, sesebuah perniagaan yang berusia di bawah 10 tahun, ia terlalu muda untuk dikira sebagai matang. Tiga tahun pertama hanyalah satu tempoh percubaan dan ujian. Jika lulus, maka kemungkinan besar perniagaan dapat diteruskan dengan lebih lama. Itu pun, masih terlalu banyak yang perlu dipelajari dan dilalui…

Sebenarnya, saya tidak terlalu menggunakan nama perniagaan ini. Saya lebih menggunakan SmartUsaha.com untuk penjenamaan. SmartUsaha.com adalah salah satu ‘produk’ Inspirasi Maya Enterprise (IME). Dan di bawah SmartUsaha.com, lahirnya beberapa produk tertentu.

Saya lebih banyak menggunakan nama perniagaan itu untuk urusan-urusan rasmi sahaja seperti penyewaan ruang pejabat, urusan kurier, urusan dengan pihak bank dan lain-lain lagi. Itulah antara kelebihan jika kita mempunyai nama perniagaan yang berdaftar, lagi-lagi melakukan perniagaan secara sepenuh masa.

Fungsi IME setakat ini saya lebihkan kepada penerbitan produk-produk informasi. Ada lagi beberapa bidang yang lain, namun tidak begitu aktif. Sekarang ia lebih kepada penerbitan produk informasi dan juga rangkaian blog. Fungsi ini akan diteruskan seperti biasa dan untuk memudahkan pengurusan, saya mendaftar sebuah lagi perniagaan…

Perniagaan baru tersebut khas untuk penganjuran kursus, seminar, bengkel, latihan dan juga konsultasi. Saya akan umumkan kelak namanya selepas saya siap melakukan perancangan. Dengan wujudnya perniagaan kedua ini, pergerakan saya lebih terancang dan teratur.

Semoga tahun 2010 nanti dapat dimulakan dengan baik. Dan semoga Allah memudahkan langkah saya dan langkah para saudara-saudari semua agar dapat mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

Incoming search terms:

  • contoh lesen perniagaan
  • contoh sijil ssm
  • sijil ssm
  • lesen perniagaan
  • sijil pendaftaran perniagaan
  • contoh sijil pendaftaran syarikat
  • sijil perniagaan
  • sijil pendaftaran syarikat
  • gunting rambut
  • CONTOH SSM

18 Kesilapan Yang Perlu Dielakkan Di dalam Usaha Perniagaan

Selama hampir 4 tahun saya melakukan perniagaan secara sepenuh masa, berikut adalah di antara beberapa kesilapan yang pernah saya lakukan sendiri. Mungkin ia bermanfaat untuk diketahui oleh anda semua.

Saya akui… Teramat sukar untuk mencapai satu tahap yang memuaskan atau dikatakan sebagai sempurna. Namun, yang penting adalah ada usaha ke arah ‘kesempurnaan’ tersebut. Teruskan usaha tanpa ada rasa putus asa untuk terus ‘berjuang’.

Jika terbuat juga kesilapan-kesilapan di bawah, usah gusar kerana kita tetap terus belajar dan terus cuba melakukan yang terbaik. Yang penting adalah usaha yang berterusan.

18 Kesilapan Yang Biasa Dilakukan Oleh Para Usahawan

1. Tidak mengenalpasti dan jelas bidang utama. Akhirnya melakukan semua model bisnes tanpa sebarang kejayaan.

2. Semua kerja dilakukan sendiri tanpa mahu ‘delegate’ (upah, outsource, guna khidmat orang lain).

3. Menangguhkan kerja.

4. Tidak meluangkan masa untuk membaca buku.

5. Melakukan kerja separuh jalan (melompat dari satu idea kepada idea yang lain).

6. Tidak memperbanyakkan sumber pendapatan. Amat bahaya jika bergantung kepada satu sumber sahaja. Namun pada peringkat permulaan, mulakan dengan satu dahulu.

7. Tiada matlamat, tujuan, visi dan misi perniagaan yang jelas.

8. Tidak mengikut perancangan yang telah dilakukan, sebaliknya terus menerus melakukan kerja tanpa disiplin.

9. Mudah mengambil peluang yang tidak penting untuk perniagaan.

10. Terlalu banyak merancang, tetapi tidak bertindak atau melaksanakan perancangan tersebut.

11. Banyak duit keluar berbanding duit masuk. Tanpa dana (wang), bisnes sukar untuk bergerak ke hadapan.

12. Berbelanja kepada perkara yang tidak penting untuk bisnes.

13. Terlalu banyak ‘sesi lepak’ bersama para usahawan untuk borak-borak kosong. Melainkan jika bisnes sudah berjalan automatik atau separa automatik, dan sudah menghasilkan pendapatan, tidak salah untuk melakukan kerja secara ‘santai’. Tetapi jangan berlebih-lebihan kerana kita tetap perlu ‘bekerja kuat’.

14. Terlalu fokus kepada masalah berbanding memikirkan penyelesaian. Jika sesuatu usaha tidak berhasil, fikirkan apakah penyelesaian yang boleh dilakukan.

15. Tidak menguasai kemahiran berkata “TIDAK” kepada permintaan atau peluang yang tidak penting untuk bisnes.

16. Menambah-nambah maklumat sehingga mengalami limpahan maklumat yang terlampau. Ini menyebabkan usaha atau tindakan akan terbantut.

17. Banyak menghabiskan masa kepada perkara-perkara yang kurang produktif walaupun kerja-kerja yang lebih penting belum siap.

18. Mudah lemah semangat apabila melihat kejayaan orang lain yang lebih hebat. Itu adalah rezeki mereka dan kita perlulah berusaha untuk membina kejayaan kita sendiri…

Semoga bermanfaat dengan tip-tip di atas, dan teruskan usaha untuk mencapai tahap yang lebih baik daripada hari-hari semalam.

Incoming search terms:

  • kesalahan dalam perniagaan
  • kesilapan dalam perniagaan
  • kesilapan perniagaan internet
  • kesilapan usahawan dalam perniagaan
  • kesilapan keusahawanan
  • kesalahan dalam keusahawanan
  • motivasi perniagaan jalanan
  • nama-nama yang baik untuk perniagaan
  • kesilapan usaha
  • peniagan yg bagus
| Panduan Buat Blog Wordpress | Kuasa Pemasaran Forum | Kuasa FTP |
SmartUsaha.Com adalah rangkaian perniagaan internet milik Inspirasi Maya Enterprise (JM0472383-X)