Kita sedia maklum, manusia mempunyai pelbagai kumpulan atau kelompok. Jadi, untuk memastikan proses marketing di Facebook (FB) mencapai matlamatnya, kita perlu mengenali sasaran atau setiap kelompok tersebut yang menyertai kita di FB.
Berikut adalah sebahagian kumpulan atau kelompok (jenis) pengguna-pengguna Facebook. Dekati setiap kumpulan dengan cara yang sesuai dengan mereka:
1. Pembeli
Mereka ini telah membeli produk kita, dan mempunyai potensi besar untuk terus membeli produk-produk kita. Bagi anda yang telah lama berniaga atau mempunyai senarai pelanggan sendiri, pastikan pelanggan sedia ada yang mempunyai akaun Facebook, menyertai anda di Facebook.
2. Usahawan
Mereka ini memiliki tiga kegunaan untuk kita. Satu, sebagai kenalan usahawan untuk bertukar-tukar idea, pengetahuan dan pengalaman. Kedua, memberi perkhidmatan atau membekalkan produk kepada mereka. Ketiga, bekerjasama untuk mencapai satu matlamat yang disepakati bersama.
3. Rakan Seperniagaan
Mereka ini sudah pasti tidak akan menjadi pelanggan anda. Peranan mereka adalah bersama-sama mempromosikan perniagaan yang dibina bersama. Mereka adalah satu kumpulan dengan anda.
4. Pesaing
Pesaing adalah pihak yang dapat kita pelajari sesuatu daripada mereka seperti ‘mengintai’ strategi yang mereka gunakan di Facebook. Namun dalam keadaan tertentu, mereka juga boleh dijadikan sebagai rakan kerjasama.
5. Mentor
Di Facebook, ramai usahawan-usahawan atau mereka yang berpengalaman dalam bidang tertentu. Mereka boleh dijadikan sebagai mentor atau guru kita. Atau paling kurang, kita merujuk mereka apabila terdapat perkara yang memerlukan pandangan orang yang lebih tahu.
6. “Pemberi Peluang”
Mereka ini akan memberikan kita sesuatu peluang setelah mereka menyedari potensi dan kebolehan kita. Contohnya, pihak penerbit buku akan menghubungi kita jika kita ada kepakaran, pengetahuan dan pengalaman berkaitan bidang tertentu.
Pengalaman Saya:
1. Sebuah penerbit buku menawarkan saya untuk menulis dan menerbitkan buku tulisan saya bersama mereka.
2. Mendapat tawaran sebagai penulis bagi sebuah majalah tempatan.
7. Kenalan dan Keluarga
Mereka ini tidak berpotensi besar menjadi pelanggan kita. Namun, mereka biasanya akan menjadi penyokong utama kita di dalam segala usaha yang kita lakukan.
8. Pengkritik
Walaupun tidak ramai yang suka mengkritik orang lain di FB, namun ada juga segelintir. Mereka biasanya akan mengkritik di ruangan komen FB kita. Saya biasanya akan Remove individu begini jika kritikan mereka melampaui batas. Saya hanya mahu orang-orang yang positif sahaja yang berada di senarai Friend FB saya.
FB adalah tempat berkenalan dan saling memberikan semangat di antara satu sama lain. Bukan tempat mengkritik atau melemahkan semangat orang lain.
9. Suka-Suka
Golongan ini biasanya menyertai Facebook sekadar suka-suka, menambah kawan dan mengisi masa untuk bermain aplikasi di FB seperti Games dan Kuiz. Jadi mereka juga kurang berpotensi untuk menjadi seorang pembeli, malah mereka juga biasanya terlalu pesimis dan berpandangan negatif terhadap mesej-mesej yang berbentuk bisnes atau promosi.
Strategi Cadangan
1. Setiap kumpulan memerlukan pendekatan yang berbeza. Contohnya, jika kita berkomunikasi dengan mana-mana pihak perniagaan atau individu yang lebih tinggi kedudukannya berbanding kita, sudah pasti kita perlu lakukan secara profesional.
2. Bina Group atau Fan Page untuk memudahkan kita menghubungi bakal pelanggan dengan mudah. Gunakan profile peribadi untuk berkenal-kenalan; dan Group atau Page pula digunakan untuk promosi produk atau bisnes.
3. Wujudkan juga Group atau Fan Page KHAS untuk pembeli sahaja. Contohnya, jika kita mempunyai buku tulisan sendiri, wujudkan satu group atau Fan Page untuk pembeli-pembeli buku tersebut.
4. Gunakan akaun profile peribadi untuk menggerakkan laman Group atau Fan Page yang dibina. Kita adalah nadi utama sebuah bisnes. Lagipun, laman Group dan Fan Page di FB tidak boleh digerakkan dengan sendirinya seperti mana akaun peribadi. Jemput Friend di akaun utama (personal) untuk menyertai Group atau Fan Page.
5. Kenalpasti statistik Friends seperti jantina, umur dan pekerjaan mereka. Maklumat sebegini boleh membantu kita menentukan produk yang sesuai untuk ditawarkan kepada mereka. Jika kita menggunakan akaun personal, kita perlu menyemak secara manual satu persatu. Tetapi jika kita menggunakan Fan Page, kita boleh menggunakan fungsi Insight untuk melihat statistik seperti Demografi.

*Menu Insight berada di bahagian sidebar utama Fan Page.
6. Facebook adalah sebuah laman web sosial. Menggunakan kaedah direct marketing biasanya kurang berkesan. Contoh:
Direct Marketing: “Belilah produk ini, RM10.00 sahaja! Cepat, cepat!”
Social Marketing: “Semalam saya pening kepala. Lalu saya minum segelas Jus Pak Ali. Alhamdulillah, dalam masa 15 minit pening beransur hilang sedikit demi sedikit. Saya tidak suka makan ubat, jadi minuman sebegini amat sesuai untuk saya. ~ [Letak link ke laman web jualan]
Di laman web sosial seperti Facebook, orang yang menyertai Facebook bukan kerana masuk untuk mencari dan membeli barang. Sebaliknya, mereka mempunyai pelbagai sebab lain seperti mengisi masa lapang, ‘bersosial’ seperti menegur sapa dan berkongsi-kongsi cerita.
Berbeza dengan laman web seperti Ebay dan laman iklan, kebanyakan yang memasuki laman web tersebut adalah mereka yang mahu membeli sesuatu. Maka menggunakan ayat-ayat iklan adalah amat sesuai.
Jadi untuk di FB, kita perlu menggunakan kaedah yang berbentuk promosi yang tidak nampak ia sebagai satu promosi. Bak kata pepatah, “umpama menarik rambut dalam tepung”.
Sebagai penutup artikel ini, saya memetik satu tip yang saya tulis di ruangan FB saya:
“Kelebihan Facebook adalah jika para pelanggan kita juga mempunyai akaun Facebook, kita boleh mengetahui lebih lanjut mengenai diri mereka seperti kerjaya mereka, status (bujang atau sudah berkeluarga), tahap pendidikan, minat mereka dan beberapa maklumat lain.”
Sekian.
Artikel Lain Berkaitan Facebook:
1. 7 Cara Mudah Membuat Rakan Facebook Suka Dan Selesa Dengan Kita







Komen Terkini