Nota: Akibat kesalahfahaman ramai pembaca terhadap artikel ini disebabkan oleh tajuknya “Sikap Berkecuali: Hati Lebih Tenang”, maka saya telah menukar kepada tajuk yang membawa kepada maksud sebenar yang saya cuba sampaikan iaitu “Hidup Perlu Ada Pendirian“. Sikap berkecuali yang saya cuba sampaikan sebenarnya adalah sikap mempunyai pendirian tersendiri iaitu tidak mengikut arus atau menjadi “yes man” (tukang angguk) tanpa berfikir dan menilai terlebih dahulu. Maaf di atas penggunaan istilah yang kurang tepat (berkecuali).
Kedua, artikel ini ditulis bukan untuk skop yang umum atau general. Ia lebih kepada dunia Internet Marketing terutama di dalam isu-isu ‘panas’ yang memerlukan seseorang mempunyai pendirian tersendiri. Artikel ini khususnya dan blog ini umumnya, tiada kaitan dengan isu politik, isu semasa negara, isu Agama atau seangkatan dengannya. Harap maklum.
Salam sejahtera semua.
Di dalam kehidupan ini, setiap hari kita akan melihat atau mendengar orang melakukan kesalahan atau kesilapan. Hatta saya dan anda yang sedang membaca artikel ini pun tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan. Ia adalah normal.
Apa yang ingin saya perkatakan pada kali ini adalah salah satu sikap dan pegangan saya selama ini iaitu BERKECUALI. Saya lebih tenang dan senang dengan sikap sebegini. Prinsip ini tidak bermaksud saya tidak perlu hidup ‘berpersatuan’, tetapi diri sendiri tetap mempunyai pegangan.
Maka sebab itulah dahulunya (insyaAllah sehingga sekarang), saya lebih senang ‘bersendirian’ (underground), seperti pergi ke mana sahaja yang saya suka, buat apa yang saya mahu dan berjumpa dengan sesiapa sahaja yang saya suka, tanpa kekangan, tanpa sempadan dan tanpa ikatan. Bebas…
Prinsip Berkecuali
Contohnya, jika ada sekumpulan orang tidak sukakan si A atau sesebuah kumpulan yang lain, saya pula sebaliknya. Saya tidak semestinya perlu menyokong kumpulan tadi, malah tidak semestinya mempertahankan si A. Saya tidak akan bias dengan mana-mana pihak. Saya akan menjadi ‘orang tengah’ sebagai penapis segala maklumat, menyelidikinya dan mencari kebenaran setakat yang termampu.
Kedua, saya amat tidak selesa dengan cara menolak atau meminggirkan seseorang hatta kerana salahnya yang kecil. Di dalam praktik kehidupan, manusia (iaitu kita semua) sering bereksperimentasi dengan cara tertentu. Lain orang, lain ragam, lain perspektif. Salah pada hari ini, tidak semestinya akan salah selamanya. Berikan mereka peluang untuk memperbaiki kesilapan tersebut.
Terimalah mereka seperti mana kita menerima diri kita, iaitu sebagai manusia yang amat lemah ini. Jangan meletak diri kita seperti malaikat yang tiada dosa, dan melihat orang lain penuh dengan silap dan dosa. Tidak salah jika saya katakan, sikap sebegitu lebih teruk daripada orang yang melakukan kesalahan itu.
Ketiga, saya suka berbincang dan berdiskusi dengan sesiapa sahaja. Saya tidak akan mendengar hanya daripada seorang atau sekumpulan orang sahaja, tetapi saya akan cuba mendengar daripada semua pihak. Semua orang adalah kawan saya. Saya tidak mahu bermusuh.
Keempat, saya juga tidak selesa mencari, mengkritik atau membicarakan kesalahan orang lain, melainkan sesuatu perkara itu perlu diperbincangkan untuk kemaslahatan semua. Mengkritik tanpa tujuan adalah satu perbuatan yang sia-sia, membazir masa dan merugikan semua pihak. Sebaliknya, saya lebih suka menyampaikan ilmu, pengalaman dan informasi terutama melalui penulisan.
Kelima, matlamat saya melakukan bisnes adalah untuk kebaikan semua, terutama usaha penulisan saya di blog ini, di Facebook, di forum dan kelak melalui buku, artikel dan sebagainya. Seperti mana kata-kata Zamri Mohamad di dalam bukunya:
“Penulis bebas berkawan dengan sesiapa sahaja tanpa perlu mengikut satu kumpulan dan memusuhi kumpulan lain. Tanggungjawab penulis adalah menjadi penapis kepada sumber yang diperoleh dan diberikan kembali kepada pembaca.
Tulisan yang dihasilkan menunjukkan sikap penulis yang cenderung kepada kebenaran dan fakta, bukan memperjuangkan sesuatu berdasarkan kepentingan individu. Penulis perlu memainkan peranan bagi mencerdikkan bangsa, mempermudah ilmu dan membumikan ilmu yang betul supaya dipraktikkan oleh masyarakat.”
Dipetik daripada buku Tip Menjadi Penulis Bestseller, tulisan Zamri Mohamad.
Akhir kata, jika kita mengikut cara orang lain, atau menerima bulat-bulat kata-kata orang, tunduk dan mengiyakan tanpa berfikir dahulu, maka begitu rendahnya martabat kita. Tiada nilai. Tiada prinsip. Allah SWT memberikan kita akal dan pedoman. Maka hiduplah dengan berprinsip agar kita mempunyai suatu NILAI dan MARUAH tersendiri.
Hidup, jangan sampai kita dipergunakan orang sama ada secara terang, gelap, sembunyi, atau ditikam dari belakang. Saya akan terus dengan sikap berkecuali. InsyaAllah aman dan damai.
Wassalam.
Incoming search terms:
- pendirian hidup
- pendirian diri
- maksud tikam belakang
- prinsip hidup usahawan
- maksud pendirian
- maksud berkecuali
- MAKSUD PENDIRIAN DIRI
- maksud tiada pendirian
- definisi lalang tiada pendirian
- tiada pendirian hidup















Komen Terkini