Apa khabar semua. Semoga sihat sejahtera dan ceria sepanjang masa lebih-lebih lagi di permulaan tahun baru ini, 2008.
Tahun baru bagi kebanyakan orang dijadikan sebagai titik mula sebagai usaha mereka termasuklah di dalam perniagaan. Bagi kebanyakan usahawan internet, mereka sudah pasti merancang sesuatu yang lebih bermakna di tahun baru ini untuk memajukan lagi usaha mereka.
Jika anda bertanyakan apakah matlamat saya pada tahun ini, saya ada perancangan tersendiri, namun mungkin saya tidak dapat kongsikan di sini. Tidak seperti biasa yang mana saya akan beritahu apa yang mahu, namun kali ini biar ia menjadi rahsia dahulu.
Secara mudahnya, saya tidak mahu lagi membazirkan hari-hari di tahun 2008 ini dengan sesuatu yang amat merugikan saya. Pendek kata, saya ingin melalui setiap hari di tahun ini dengan sesuatu yang bermanfaat dan lebih menguntungkan berbanding apa yang telah dilakukan pada tahun 2007.
Kalau kita menggunakan masa dengan sebaiknya, melakukan apa yang perlu dan mengelakkan diri daripada sesuatu yang membazir masa, motivasi, fokus dan tenaga kita, insyaAllah kita boleh berjaya mencapai apa yang kita inginkan.
Masa adalah aspek yang amat-amat penting di dalam perniagaan dan keusahawanan. Kalau kita asyik melakukan sesuatu yang tak perlu pun kita buat, biasanya fokus akan hilang. Apabila hilangnya fokus, maka apa yang dimahukan (matlamat) biasanya tidak dapat dicapai dengan sempurna. Inilah pelajaran yang saya dapati di tahun lepas. Saya ada terlari sedikit daripada perancangan asal. Al-maklum, saya pun manusia biasa.
Namun begitu, pelajaran-pelajaran itu amat bermakna bagi saya. Kegagalan, pengalaman baik atau buruk, kita mesti melihatnya sesuatu yang bernilai. Jangan sesekali melihat ia sebagai suatu yang membebankan kita. Ambil pelajaran itu baik-baik dan pastikan ia tidak berulang lagi.
Dengan mengoptimumkan penggunaan masa kita kepada perkara-perkara yang lebih menguntungkan, saya amat yakin, kita pasti akan berjaya mencapai apa yang diinginkan. InsyaAllah. Tiada perkara yang lebih penting selain daripada penggunaan masa yang terurus.
Jaga-jagalah masa anda dengan baik. Buat apa yang perlu anda buat sahaja dan fokus padanya. Kalau anda merancang lima matlamat pada tahun ini, fokus hanya pada lima itu. Jangan diubah-ubah, ditambah-tambah atau dikurang-kurang. Fokuskan 100% pada usaha tersebut.
Salah Memilih Peluang
Saya dapati juga, salah satu yang menyebabkan masa kita terbuang begitu sahaja ialah kerana kita tersalah memilih peluang. Kita sangka ia menguntungkan, rupanya habis masa dan tenaga disia-siakan begitu sahaja. Jadi, andaikata ada sesuatu peluang yang datang menjengah anda, pandai-pandailah memilih dan menentukan ia baik atau tidak. Jika ia akan mengganggu usaha anda, katakan tidak padanya. Jika ia dapat membantu anda mencapai matlamat perniagaan anda, terimalah ia dan lakukan sebaik mungkin.
Selain peluang, ada juga anasir luar yang akan menggugat motivasi dan usaha anda. Mereka datang membawa unsur-unsur negatif sama ada kata-kata atau sesuatu perbuatan yang boleh memusnahkan usaha anda. Tangani mereka dengan bijaksana dan dengan penuh ketenangan. Jangan sampai mereka ini berjaya menghancurkan anda dan perniagaan yang dibina. Jika anda gagal menghadapi mereka dengan baik, maka banyak masa yang akan dihilangkan begitu sahaja dek kerana melayan karenah mereka itu.
Pengalaman saya sendiri di tahun lepas, ada beberapa orang yang ‘mengacau’ saya dan mahu melihat saya tersungkur jatuh. Biasalah, tak semua manusia baik-baik belaka. Banyak juga masa saya habis begitu sahaja akibat kejahatan mereka ini, di samping menguji kekuatan motivasi saya. Semoga Allah melindungi kita daripada kejahataan tangan-tangan manusia yang tiada akal yang panjang ini.
Akhir kata, penggunaan masa yang terancang dan fokus pada apa yang perlu dilakukan sahaja adalah salah satu punca kejayaan anda di dalam perniagaan. Tanpa penggunaan masa yang optimum, amat sukar dan lambat sedikit untuk anda mendapat apa yang anda inginkan.
Semoga kita semua berjaya membina kekayaan dan kejayaan di tahun 2008 ini.
Wassalam.
Incoming search terms:
- carta saham
- download ebook kejayaan dan kekayaan
- membina kejayaan















Komen Terkini