Bagi saya, tiada rahsia kejayaan di dalam mana-mana bidang, termasuklah di dalam perniagaan internet. Rata-rata yang kita baca atau dengar, rahsianya tidak banyak berbeza.
Jika kita perhatikan kepada kebanyakan usahawan internet yang berjaya, terutama dengan cepat, formula mereka adalah sama sahaja.
Di antara rahsia-rahsia kejayaan mereka adalah:
1. Cepat Belajar
Mereka tidak menangguh-nangguhkan proses pembelajaran walaupun sesukar mana perkara yang perlu dipelajari. Mereka rela berkorban atau bersusah-susah dahulu kerana mereka yakin, kelak mereka akan mendapat hasil yang banyak dan besar.
Inilah beza orang yang berjaya dengan cepat berbanding mereka yang belum atau lambat mencapai sesuatu hasil. Orang yang cepat berjaya tidak menangguh-nangguh untuk belajar sesuatu yang perlu dipelajari. Manakala mereka yang masih di takuk lama sering menangguh untuk belajar perkara tersebut.
2. Cepat Bertindak dan Praktik
Semua orang banyak membaca dan belajar, tetapi yang membezakan orang yang berjaya dengan yang masih di tahap yang sama adalah mereka cepat bertindak atau pantas mempraktikkan ilmu dan kemahiran yang mereka pelajari.
Adalah satu kerugian jika lambat bertindak kerana:
- Sesuatu teknik atau ilmu biasanya akan berubah dari semasa ke semasa. Jika ia berkesan pada hari ini, kemungkinan tidak lagi pada hari esok.
- Persaingan: Adalah lebih bagus menjadi yang terawal menggunakan sesuatu teknik atau strategi sebelum ia ditiru atau dilakukan oleh ribuan dan jutaan orang yang lain.
- Teknologi mudah dan cepat berubah.
- Motivasi dan semangat atau momentum usaha biasanya turun dan naik. Ia tidak selalu berada di tahap yang kita harapkan. Jadi apabila motivasi di tahap terbaik, pada masa itulah tindakan perlu dilaksanakan sebaik dan seoptimum mungkin.
- Perniagaan akan lambat berkembang.
- Penangguhan satu demi satu kerja akan menyebabkan berlakunya timbunan kerja yang banyak. Akhirnya keserabutan akan mula melanda yang akan menyebabkan diri akan keliru untuk bertindak. Malah, akan memberi kesan sampingan kepada usaha penting yang lain.
- Hari esok yang belum pasti. Kita tidak tahu esok kita akan kekal sihat, kemalangan atau jatuh sakit. Atau dalam hal teknikal, kita tidak tahu server (hosting) akan bermasalah.
Itulah sebahagian daripada bahayanya lambat bertindak atau melakukan sesuatu perancangan. Jika penyakit ini menguasai kita, usahalah sesuatu dengan segera sebelum ia merugikan hidup kita sepenuhnya.
3. Tidak Takut
Mereka tidak takut “apa kata orang”. Malah mereka tidak berfikir pun apa kata orang nanti setelah mereka lakukan sesuatu. Sebaliknya, mereka hanya sibuk memikirkan soal bisnes dan hidup mereka sahaja, serta apakah sumbangan berguna untuk Agama, keluarga dan masyarakat.
Saya yakin, rata-rata pernah menghadapi situasi takut dikritik, termasuk saya. Akibatnya, ebook atau produk yang baik yang telah siap tidak dilancar dan dijual.
Hidup di dunia ini, terlalu sukar untuk menjaga hati semua orang. Malah, ia sesuatu yang amat mustahil. Jadi, lakukan sahaja kerja kita dan abaikan sahaja kata-kata negatif orang lain. Sudah fitrah manusia kebanyakannya suka mengata dan mengkritik, tetapi tidak pula suka membantu.
Orang-orang yang berjaya hanya memikirkan matlamat dan kerja mereka sahaja. Apa sahaja kata orang lain, mereka tidak ambil peduli. Jika diambil peduli, apa yang mereka dapat? Tidak ada apa-apa, kerana sebahagian besar kata-kata orang hanyalah perkara negatif dan mahu mereka berhenti daripada melakukan perkara tersebut.
Saya sering menyebut berulang kali di dalam artikel-artikel sebelum ini bahawa, “makan minum kita, hanya kita yang tanggung sendiri, bukan orang lain.” Jadi, utamakan diri sendiri dahulu. Mungkin kita pernah lalui dan hadapi, atau pernah melihat, berapa banyak orang yang tiba-tiba merana hidupnya, semata-mata mendahulukan orang lain. Dan orang lain itu menghilangkan diri entah ke mana.
4. Fokus dan Komitmen 100%
Cuba perhatikan kebanyakan usahawan internet seperti di Malaysia ini. Mereka fokus kepada nadi utama perniagaan mereka. Yang buat ebay, fokus pada ebay. Yang buat produk fizikal, mereka fokus kepada produk fizikal dan yang buat produk informasi, mereka fokus sepenuhnya.
Namun mereka bukan sekadar fokus sahaja, tetapi memberikan komitmen 100% (sepenuhnya) terhadap usaha mereka tersebut. Bukanlah fokus ala kadar atau sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Walaupun mereka melakukan model perniagaan internet yang lain, namun pasti (biasanya) mereka akan fokus dan memberikan komitmen 100% terhadap model bisnes mereka yang utama. Fokus + Komitmen (usaha kuat) adalah amat berbeza dengan fokus tetapi malas.
Contoh: Model Bisnes Produk Informasi (Information Marketing)
Ini adalah model utama dan pertama saya sehinggalah kini. Seperti yang saya nyatakan di entri sebelum ini, model bisnes ini adalah yang terbaik untuk saya, tetapi mungkin tidak untuk orang lain.
Saya pernah mahu melakukan model bisnes yang lain atau cuba mengambil segala peluang yang datang, namun akhirnya bak kata pepatah, “yang dikejar tidak dapat, yang dikendong keciciran.” Akhirnya saya sedar, rakus pada perkara yang baik pun boleh mendatangkan kerugian.
Melalui model bisnes produk informasi, ia bukan sekadar menjual ebook, tetapi ia lebih daripada itu. Boleh baca artikel ‘buat duit dengan kepakaran‘.
Tip di sini, jika mahu lakukan model bisnes yang lain, pastikan model pertama dan utama sudah mendapat hasil yang konsisten dan terurus dengan baiknya.
5. Pengurusan Masa
Kita tidak memerlukan buku yang tebal atau bertimbun-timbun buku mengenai pengurusan masa. Sebenarnya tiada rahsia di dalam pengurusan masa, sebaliknya ia berkaitan dengan fokus dan tindakan.
Jika kita tahu apa yang perlu dilakukan, bila dan di mana, maka tiada masalah pengurusan masa akan berlaku. Sebaliknya jika kita tidak tahu perkara-perkara tersebut (tidak merancang), itulah penyebabnya kita akan menghabiskan masa begitu sahaja, atau menyebabkan usaha akan menjadi longlai sekali.
Kita perlu tahu matlamat hidup dan bisnes kita. Kemudian fokus kepada matlamat tersebut. Rancang tindakan yang perlu dilakukan bagi mencapainya seperti tindakan dalam satu hari, seminggu, sebulan dan setahun. Fokus sepenuhnya dan berikan komitmen.
Abaikan juga segala peluang yang boleh menghancurkan segala perancangan yang telah diaturkan. Utamakan diri sendiri. Hati-hati dengan manusia yang suka memanipulasi orang lain untuk kepentingan diri mereka sendiri. Tolak tawaran mereka dengan baik dan berakhlak.
Kesimpulan
Tiada rahsia untuk berjaya. Kalau diri pemalas, itulah punca kegagalan. Kalau diri rajin dan komited, serta kaedah yang dilakukan adalah betul, insyaAllah kejayaan akan berada di dalam tangan.
Lima perkara yang dinyatakan tadi adalah di antara ‘rahsia-rahsia’ yang dimiliki oleh kebanyakan usahawan-usahawan internet yang berjaya. Tanyalah mereka, dan mereka akan berkata perkara yang sama.
- Cepat Belajar
- Cepat Bertindak
- Tidak Takut
- Fokus dan Komitmen 100%
- Pengurusan Masa
Seperti yang dinyatakan, lima perkara di atas hanya di antara atau sebahagian. Banyak lagi perkara atau faktor yang menyebabkan seseorang itu berjaya sama ada dari segi fizikal, mental, spiritual, mahu pun kemahiran.
Semoga kita menjadi manusia yang tidak mengsia-siakan masa, seperti yang Allah tegaskan di dalam surah Al-’Asr.
Sekian.
Incoming search terms:
- kejayaan usahawan
- rahsia kejayaan usahawan
- rahsia kejayaan usahawan islam
Komen Terkini