Blog Perniagaan Internet: SmartUsaha.com

Usahawan Profesional di Facebook

Tidak kisah jenis kaedah pemasaran yang dilakukan, salah satu prinsip yang perlu dibawa sentiasa adalah profesional. Begitu juga di Facebook. Untuk memastikan pemasaran di Facebook berkesan, kita perlu mengutamakan prinsip profesional tersebut.

Berikut adalah 10 perkara yang akan menentukan kita menjadi seorang usahawan yang profesional di Facebook:

1. Tidak memaksa-maksa orang lain menyertai kita, sama ada menyokong kita, menyertai seminar yang dianjurkan, membeli produk yang kita jual atau apa sahaja. Memaksa orang lain akan menyebabkan kita tidak disukai dan akhirnya mereka akan lari daripada kita.

Memaksa di sini termasuklah penggunaan ayat promosi yang berkali-kali meminta pengguna Facebook (sasaran) membeli tawaran kita. Sebaiknya, gunakan pendekatan yang lebih persuasif, penceritaan atau perkongsian informasi dari semasa ke semasa.

Menggunakan kaedah yang ‘keras’ di Facebook tidak berkesan. Ia hanya mengundang ketidakselesaan orang lain. Sebahagian besar pengguna Facebook adalah inginkan keadaan yang santai dan relaks. Jadi gunakan kaedah yang selari dengan ciri-ciri tersebut.

Contohnya, gunakan imej-imej dan video-video yang menarik untuk dilihat dan ditonton. Secara tidak langsung, mereka berminat untuk membeli produk kita, menyertai program yang dianjurkan dan sebagainya.

Klik di sini untuk membaca artikel ini sepenuhnya…

101 Idea dan Tip Perniagaan Internet 2010

Saya meluangkan sedikit masa untuk menulis 101 perkara yang boleh dilakukan pada tahun 2010 ini untuk perniagaan internet anda. Namun untuk kali ini, saya senaraikan 25 perkara dahulu. Saya akan publish secara berperingkat-peringkat.

Sebahagian perkara daripada tip-tip berikut juga bukan berkaitan dengan perniagaan internet sepenuhnya, namun begitu ia memberikan kesan secara tidak langsung kepada usaha perniagan internet.

Saya menulis perkara penting di sini juga untuk diri saya sendiri dan saya rasakan ia bermanfaat jika dikongsikan bersama para pembaca semua. Tidak semestinya anda melakukan semua perkara ini. Boleh pilih beberapa sahaja.

1. Konsep asas perniagaan internet tidak akan berubah. Di mana ada permintaan, di situ ada pembeli. Maka lakukan kajian pasaran sebelum mencipta dan menjual produk. Secara asas, apa sahaja benda dapat dijual melalui internet. Cuma, lihat kepada kemampuan sendiri.

2. Tambahkan lagi teknik dan strategi pemasaran. Adalah satu malapetaka besar jika menggunakan teknik dan strategi yang sama tanpa menambah cara-cara yang lain. Jika sekarang menggunakan 3 cara, tambah lagi beberapa cara.

Semakin banyak cara promosi, maka semakin banyak bakal pembeli akan masuk ke laman web.

3. Sediakan dua jenis pelan perniagaan internet. Satu, pelan bisnes umum iaitu model perniagaan yang difokuskan. Kedua, pelan bisnes yang khas untuk setiap projek.

4. Tetapkan matlamat yang jelas untuk perniagaan internet yang dilakukan iaitu matlamat jangka pendek dan matlamat jangka panjang. Apa yang dimahukan dalam masa terdekat? Apa yang dimahukan dalam masa beberapa tahun lagi?

5. Jangan terlalu gopoh untuk memulakan azam dan semangat yang baru. Tidak semestinya azam baru perlu dilaksanakan pada awal tahun baru. Ia dapat dimulakan pada bila-bila masa sahaja. Yang penting adalah perancangan dan kejelasan perancangan tersebut. Semangat sahaja tidak mencukupi.

6. Fokus kepada satu model atau beberapa model perniagaan internet sahaja. Walaupun fokus kepada satu model sahaja, pelbagai cabang pendapatan dapat dicipta.

7. Sediakan perancangan untuk satu tahun penuh (2010). Iaitu apa yang perlu dilakukan, bila (termasuk tempoh masa), kos, bagaimana, siapa dan di mana. Daripada perancangan satu tahun itu, pecahkan kepada perancangan bulanan, mingguan dan seterusnya harian.

8. Tiada perubahan ketara untuk bidang Internet Marketing bagi tahun 2010 melainkan perubahan pada platform pemasaran, polisi sesebuah pihak seperti kerajaan dan juga undang-undang. Contohnya perubahan pada polisi Paypal untuk rakyat Malaysia dan juga undang-undang FTC untuk pasaran Amerika.

Seperti yang dinyatakan pada tip 1, konsep asas perniagaan tidak akan berubah secara total walaupun sejak berpuluh tahun yang lepas. Yang berubah hanya pada teknik dan strategi sahaja mengikut arus zaman.

9. Azamkan pada diri sendiri tidak akan membazir wang lagi untuk membeli sesuatu yang tidak perlu seperti ebook yang tidak diperlukan. Gunakan wang untuk membeli panduan yang membantu promosi dan pemasaran serta yang dapat menguatkan lagi jentera perniagaan. Elakkan ebook yang berbentuk hype dan tidak realistik untuk semua orang.

10. Mulai tahun 2010, tetapkan satu bajet atau dana khas untuk pengiklanan di internet. Mungkin RM200 atau apa sahaja jumlah khas untuk pengiklanan sahaja.

11. Wujudkan satu ‘group mastermind’ (sekurang-kurangnya dua orang tetapi tidak terlalu ramai) yang dapat memberikan dorongan dan semangat di antara satu sama lain. Mastermind group tidak semestinya bersama usahawan yang sama bidang, tetapi mereka mestilah ‘setia’, amanah dan bertanggungjawab.

12. Tambah kenalan baru seboleh-bolehnya seorang sehari sama ada secara maya (seperti Facebook) atau di dunia sebenar. Kenalan itu tidak semestinya prospek kita, tetapi sebagai tempat perkongsian ilmu daripada mereka. Malah mungkin mereka dapat memberikan kita sesuatu bantuan seperti sumber rujukan atau tip yang kita tidak ketahui.

13. Cari seorang mentor sekurang-kurangnya seorang pada setiap bulan. Pastikan mentor itu benar-benar ikhlas dan tidak mempermain-mainkan anda atau mengambil kesempatan untuk kepentingan mereka.

14. Azamkan pada diri untuk tidak lagi begitu mudah untuk subscribe mana-mana newsletter yang tidak diperlukan. Subscribe banyak newsletter bermaksud banyak emel akan masuk dan di situlah bermula pembaziran masa, tenaga dan akhirnya hilang fokus.

15. Jika sudah tidak larat untuk unsubscribe banyak newsletter yang disertai sebelum ini, mungkin langkah terakhir adalah dengan mencipta emel yang baru. Tip: Asingkan emel perniagaan dengan emel peribadi atau emel untuk menerima emel-emel newsletter.

16. Bagi usahawan internet yang tertentu, sudah tiba masanya untuk membina senarai emel (list building). Ini adalah teknik pemasaran yang sudah terbukti berkesan, malah dapat digunakan untuk simpanan maklumat pelanggan. Gunakan khidmat autoresponder dan utamakan yang berbayar. Namun, jika soal kos menjadi kekangan, gunakan sistem autoresponder pasang sendiri.

17. Sistemasikan perniagaan internet semaksima mungkin. Artikel oleh saudara Amirol di sini amat membantu kefahaman asas mengenai pentingnya pengurusan berpusat.

18. Tetapkan jadual kerja agar dapat seimbangkan diri untuk bisnes dan kehidupan (sosial, kesihatan, keluarga, Agama…). Bekerja kuat itu memang bagus, tetapi jangan terlalu workaholic sehingga terabai aspek lain seperti kesihatan dan keluarga.

19. Jika boleh pada setiap hari, lakukan satu aktiviti riadah yang mudah seperti berjalan kaki di tepi pantai atau di taman pada setiap petang. Kesihatan tubuh badan dan ketenangan fikiran adalah antara faktor penting dalam perniagaan.

20. Kurangkan penggunaan kertas bagi perkara yang tidak memerlukan sebarang cetakan atau tulisan. Ini bukan sahaja dapat menjimatkan kos, malah mesra alam dan juga dapat mengurangkan keserabutan di persekitaran kerja. Selain itu, kita akan mudah untuk bergerak kerana kebanyakan bahan kerja ada di dalam simpanan digital (laptop, server, pen drive dan lain-lain).

21. Lakukan backup harian atau maksimum mingguan untuk segala kerja yang dilakukan sama ada pangkalan data (database) blog, file-file laman web web, data-data kewangan, transaksi dan segala data yang penting. Lakukan backup dengan menggunakan kemudahan tertentu seperti hardisk tambahan (external), pen drive, DVD-RW atau upload ke server yang selamat.

22. Mulakan setiap hari dengan senarai perkara yang perlu dibuat (to-do-list). Utamakan perkara yang lebih utama dahulu. Fokus kepada perlaksanaan perkara yang telah ditetapkan dan elakkan perkara lain jika boleh (selain perkara kecemasan).

23. Wujudkan selang masa rehat semasa melakukan satu tugas (task) yang mengambil masa yang lama. Setiap 20 minit, rehatkan badan dengan berjalan atau meregangkan otot badan dan meminum air masak. Elakkan memandang skrin komputer terlalu lama.

24. Sebulan sekali, mungkin boleh pergi bercuti di tempat yang belum pernah dilawati. Atau mungkin 3 bulan sekali. Kekerapannya bergantung kepada kemahuan anda. Bercuti di tempat yang berbeza bukan sahaja menyegarkan minda, malah dapat menjana semangat dan tenaga yang baru kerana kita melihat pemandangan yang berbeza.

25. Beli dan baca sekurang-kurangnya sebuah buku seminggu. Membaca buku akan menentukan siapa diri kita, cara kita berfikir dan ada modal untuk bercakap dan berbual-bual.

Utamakan buku yang berkaitan dengan bidang perniagaan yang dilakukan. Contohnya saya melakukan bidang Internet Marketing, maka saya perlu membaca banyak bahan berkaitan Internet Marketing. Baca juga buku lain yang boleh memberi nilai tambahan agar diri kita semakin bernilai seperti buku-buku Agama, motivasi, kewangan, kesihatan dan lain-lain lagi.

Selain buku bercetak, ebook juga boleh dikira sebagai buku juga. Cuma sahaja ia di dalam bentuk digital. Kelebihannya, ia boleh dibawa ke mana-mana dengan mudah.

Sekian dahulu 25 Tip yang pertama. Akan bersambung di entri akan datang.

ps. Ikuti saya di Facebook: http://www.facebook.com/MohdZulfadli.IM

.

Kenali Kumpulan Pengguna Facebook

Kita sedia maklum, manusia mempunyai pelbagai kumpulan atau kelompok. Jadi, untuk memastikan proses marketing di Facebook (FB) mencapai matlamatnya, kita perlu mengenali sasaran atau setiap kelompok tersebut yang menyertai kita di FB.

Berikut adalah sebahagian kumpulan atau kelompok (jenis) pengguna-pengguna Facebook. Dekati setiap kumpulan dengan cara yang sesuai dengan mereka:

1. Pembeli
Mereka ini telah membeli produk kita, dan mempunyai potensi besar untuk terus membeli produk-produk kita. Bagi anda yang telah lama berniaga atau mempunyai senarai pelanggan sendiri, pastikan pelanggan sedia ada yang mempunyai akaun Facebook, menyertai anda di Facebook.

2. Usahawan
Mereka ini memiliki tiga kegunaan untuk kita. Satu, sebagai kenalan usahawan untuk bertukar-tukar idea, pengetahuan dan pengalaman. Kedua, memberi perkhidmatan atau membekalkan produk kepada mereka. Ketiga, bekerjasama untuk mencapai satu matlamat yang disepakati bersama.

3. Rakan Seperniagaan
Mereka ini sudah pasti tidak akan menjadi pelanggan anda. Peranan mereka adalah bersama-sama mempromosikan perniagaan yang dibina bersama. Mereka adalah satu kumpulan dengan anda.

4. Pesaing
Pesaing adalah pihak yang dapat kita pelajari sesuatu daripada mereka seperti ‘mengintai’ strategi yang mereka gunakan di Facebook. Namun dalam keadaan tertentu, mereka juga boleh dijadikan sebagai rakan kerjasama.

5. Mentor
Di Facebook, ramai usahawan-usahawan atau mereka yang berpengalaman dalam bidang tertentu. Mereka boleh dijadikan sebagai mentor atau guru kita. Atau paling kurang, kita merujuk mereka apabila terdapat perkara yang memerlukan pandangan orang yang lebih tahu.

6. “Pemberi Peluang”
Mereka ini akan memberikan kita sesuatu peluang setelah mereka menyedari potensi dan kebolehan kita. Contohnya, pihak penerbit buku akan menghubungi kita jika kita ada kepakaran, pengetahuan dan pengalaman berkaitan bidang tertentu.

Pengalaman Saya:

1. Sebuah penerbit buku menawarkan saya untuk menulis dan menerbitkan buku tulisan saya bersama mereka.

2. Mendapat tawaran sebagai penulis bagi sebuah majalah tempatan.

7. Kenalan dan Keluarga
Mereka ini tidak berpotensi besar menjadi pelanggan kita. Namun, mereka biasanya akan menjadi penyokong utama kita di dalam segala usaha yang kita lakukan.

8. Pengkritik
Walaupun tidak ramai yang suka mengkritik orang lain di FB, namun ada juga segelintir. Mereka biasanya akan mengkritik di ruangan komen FB kita. Saya biasanya akan Remove individu begini jika kritikan mereka melampaui batas. Saya hanya mahu orang-orang yang positif sahaja yang berada di senarai Friend FB saya.

FB adalah tempat berkenalan dan saling memberikan semangat di antara satu sama lain. Bukan tempat mengkritik atau melemahkan semangat orang lain.

9. Suka-Suka
Golongan ini biasanya menyertai Facebook sekadar suka-suka, menambah kawan dan mengisi masa untuk bermain aplikasi di FB seperti Games dan Kuiz. Jadi mereka juga kurang berpotensi untuk menjadi seorang pembeli, malah mereka juga biasanya terlalu pesimis dan berpandangan negatif terhadap mesej-mesej yang berbentuk bisnes atau promosi.

Strategi Cadangan

1. Setiap kumpulan memerlukan pendekatan yang berbeza. Contohnya, jika kita berkomunikasi dengan mana-mana pihak perniagaan atau individu yang lebih tinggi kedudukannya berbanding kita, sudah pasti kita perlu lakukan secara profesional.

2. Bina Group atau Fan Page untuk memudahkan kita menghubungi bakal pelanggan dengan mudah. Gunakan profile peribadi untuk berkenal-kenalan; dan Group atau Page pula digunakan untuk promosi produk atau bisnes.

3. Wujudkan juga Group atau Fan Page KHAS untuk pembeli sahaja. Contohnya, jika kita mempunyai buku tulisan sendiri, wujudkan satu group atau Fan Page untuk pembeli-pembeli buku tersebut.

4. Gunakan akaun profile peribadi untuk menggerakkan laman Group atau Fan Page yang dibina. Kita adalah nadi utama sebuah bisnes. Lagipun, laman Group dan Fan Page di FB tidak boleh digerakkan dengan sendirinya seperti mana akaun peribadi. Jemput Friend di akaun utama (personal) untuk menyertai Group atau Fan Page.

5. Kenalpasti statistik Friends seperti jantina, umur dan pekerjaan mereka. Maklumat sebegini boleh membantu kita menentukan produk yang sesuai untuk ditawarkan kepada mereka. Jika kita menggunakan akaun personal, kita perlu menyemak secara manual satu persatu. Tetapi jika kita menggunakan Fan Page, kita boleh menggunakan fungsi Insight untuk melihat statistik seperti Demografi.

insight-fb

*Menu Insight berada di bahagian sidebar utama Fan Page.

6. Facebook adalah sebuah laman web sosial. Menggunakan kaedah direct marketing biasanya kurang berkesan. Contoh:

Direct Marketing: “Belilah produk ini, RM10.00 sahaja! Cepat, cepat!”

Social Marketing: “Semalam saya pening kepala. Lalu saya minum segelas Jus Pak Ali. Alhamdulillah, dalam masa 15 minit pening beransur hilang sedikit demi sedikit. Saya tidak suka makan ubat, jadi minuman sebegini amat sesuai untuk saya. ~ [Letak link ke laman web jualan]

Di laman web sosial seperti Facebook, orang yang menyertai Facebook bukan kerana masuk untuk mencari dan membeli barang. Sebaliknya, mereka mempunyai pelbagai sebab lain seperti mengisi masa lapang, ‘bersosial’ seperti menegur sapa dan berkongsi-kongsi cerita.

Berbeza dengan laman web seperti Ebay dan laman iklan, kebanyakan yang memasuki laman web tersebut adalah mereka yang mahu membeli sesuatu. Maka menggunakan ayat-ayat iklan adalah amat sesuai.

Jadi untuk di FB, kita perlu menggunakan kaedah yang berbentuk promosi yang tidak nampak ia sebagai satu promosi. Bak kata pepatah, “umpama menarik rambut dalam tepung”.

Sebagai penutup artikel ini, saya memetik satu tip yang saya tulis di ruangan FB saya:

“Kelebihan Facebook adalah jika para pelanggan kita juga mempunyai akaun Facebook, kita boleh mengetahui lebih lanjut mengenai diri mereka seperti kerjaya mereka, status (bujang atau sudah berkeluarga), tahap pendidikan, minat mereka dan beberapa maklumat lain.”

Sekian.

Artikel Lain Berkaitan Facebook:

1. 7 Cara Mudah Membuat Rakan Facebook Suka Dan Selesa Dengan Kita

2. 7 Cara Promosi di Facebook

Rahsia Perniagaan Internet Sebenar

Artikel ini adalah mengenai perniagaan internet yang SEBENAR. Bukan mengenai buat duit di internet. Perniagaan internet sebenar memerlukan satu kekuatan yang bukan sekadar berdiri di atas kekuatan taktik dan teknik semata-mata.

Kebanyakan usahawan internet memfokuskan kepada taktik dan teknik. Sebahagian besar masa mereka dihabiskan untuk menguasai teknik-teknik pemasaran perniagaan seperti SEO, blogging, PPC dan pelbagai lagi. Ada 1001 cara pemasaran dan cara promosi.

Jika anda dikatakan sebagai pakar SEO, bagi saya, itu bukan kekuatan utama anda di dalam perniagaan internet. Kebanyakan yang saya perhatikan, ramai yang mudah tewas di ‘gelanggang’ perniagaan internet gara-gara mereka banyak fokus atau semata-mata fokus kepada taktik dan teknik sahaja.

Walaupun anda hebat dan pakar di dalam sesuatu teknik, ia bukanlah satu ‘aset’ atau kekuatan yang boleh dibanggakan atau boleh diharap untuk terus membawa anda ke hadapan dan terus kekal di dalam perniagaan. Mengapa saya berkata begini?

Mudah saja jawapannya. Jika hari ini anda yang hebat dalam SEO, esok akan muncul pula sekurang-kurangnya seorang lagi pakar SEO. Lusa dan seterusnya muncul lagi pakar-pakar SEO, malah mungkin lebih hebat daripada anda.

Jika anda hebat dalam blogging, jangan terlalu berbangga dengannya kerana esok lusa akan muncul pula seorang pakar blogging yang lebih hebat dan berjaya daripada anda.

Jadi, apakah salah satu rahsia kejayaan perniagaan internet untuk satu jangka masa yang lama? Jawapannya adalah keunikan diri anda sendiri yang tidak boleh ditiru oleh orang lain atau jika ia ditiru, ia tidak terlalu menjadi.

Hal ini kita boleh lihat perniagaan jenama KFC, Pizza dan McD, walaupun ada pihak lain yang cuba meniru konsep yang sama, namun ketiga-tiga perniagaan tadi tetap teguh, malah sentiasa mempunyai pelanggan yang ramai. Sebaliknya yang cuba meniru konsep mereka itu gagal atau kurang berjaya.

Mengapa ini berlaku? Kerana mereka mempunyai keunikan tersendiri. Dalam bahasa marketing, kita panggil keunikan ini sebagai Unique Selling Proposition (USP). Secara ringkas ia bermaksud keunikan tersendiri yang membezakan sesebuah perniagaan dengan perniagaan yang lain.

Sebagai contoh mudah, di dunia ini hanya seorang sahaja yang menggunakan nickname SMARTZUL (saya lah, siapa lagi). Tidak ada dua, tiga atau orang lain yang menggunakan nama tersebut. Ini terbukti apabila setiap kali saya ke mana-mana program, jika saya menyebut nama Zul, orang tidak begitu memberi respon. Tapi apabila saya sebut “saya smartzul”, reaksi mereka berbeza daripada biasa. Ini kerana mereka tahu, inilah zul smartusaha.com. :D

Untuk mewujudkan USP atau keunikan pada bisnes anda, ada pelbagai cara sama ada dengan menggunakan logo, warna, style perniagaan, slogan, nama perniagaan dan lain-lain lagi.

Sebagai contoh, katakan anda pakar dalam bab SEO. Jadi, apakah perbezaan yang hanya anda sahaja satu-satunya boleh berikan kepada pelanggan anda? Mungkin anda boleh janjikan perubahan ranking kepada website laman web pelanggan anda dalam masa 12 jam sahaja. Atau mungkin anda mempunyai satu perisian SEO unik yang hanya anda sahaja yang memilikinya.

Contoh lain pula, jika anda menyediakan khidmat konsultasi pemasaran internet, keunikan anda adalah menjanjikan pendapatan RM10,000 hanya dalam masa 14 hari kepada pelanggan anda yang mana janji ini tidak dilakukan oleh konsultan atau pihak lain.

Atau mungkin anda menggunakan tagline tertentu seperti “Formula XYZTM” yang mana dengan menggunakan formula tersebut yang hanya anda sahaja yang memilikinya, pelanggan anda mampu menjadi usahawan yang berjaya dalam dalam tempoh yang singkat.

Untuk menampakkan lagi kehebatan USP, kita ambil contoh perniagaan servis tukang paip (plumber). Begitu ramai yang menyediakan khidmat sebegitu. Cuba kita lihat contoh berikut yang diambil dari laman web 88db.com:

usp-tukang-paip

Katakan anda mengalami kerosakan paip atau yang berkaitan di luar daripada waktu kerja (katakan jam 8.00 malam), pihak manakah yang anda akan hubungi dahulu? Katakan kesemua pihak di atas adalah di kawasan yang tidak jauh dari rumah anda. Bagi diri saya dan secara normalnya, sudah pasti saya akan hubungi pihak yang menyediakan servis 24 jam yang boleh dihubungi pada bila-bila masa sahaja.

Bagi contoh iklan di atas, saya ada dua pilihan iaitu “call a plumber in emergency” dan juga “24hrs plumbing service”. Tapi yang kedua lebih jelas kerana menyatakan kesediaan berkhidmat dalam 24 jam berbanding yang pertama hanya menyatakan emergency semata-mata yang tidak pasti menyediakan khidmat di luar waktu kerja atau tidak.

Ini iklan penyedia khidmat 24 jam tersebut yang boleh dihubungi walau pada jam 2 pagi:

Need a plumber at 2am? Sounds absurd.
Can’t wait until weekend to fix the problem?

Blockage, leaking and all sort of problems related to plumbing, tap, water tank, basin sink piping and pump – we’ll save you from the wrinkle on your foreheads. Let us do the ‘dirty job’.

Call the 24/7 Plumber at 019-2063872 for the best ever plumbing service.

Sumber: http://my.88db.com/my/Services/Post_Detail.page/Household/Plumbing/?PostID=75939

Saya harap dengan contoh di atas, kita semakin jelas betapa pentingnya USP (keunikan) dalam perniagaan atau di dalam melakukan iklan / pemasaran. Kalau setakat mengatakan anda boleh memasak ayam goreng yang sedap, orang lain pun boleh juga. Jadi wujudkan ayam goreng yang berbeza daripada orang lain. Confirm berderu-deru orang datang ke kedai anda.

Bagi pihak HPA (sebuah perusahaan yang semakin meningkat naik) telah mula sedikit demi sedikit mewujudkan rangkaian perniagaan ayam goreng dengan nama RFC (Radix Fried Chicken).

Keunikannya adalah pada ayam organiknya yang menyihatkan, malah sos cilinya pun bebas daripada bahan yang membahayakan kesihatan, dan tepung ayamnya pula disadur dengan herba. Malah air minuman di RFC pun bebas daripada kandungan gula yang tidak menyihatkan.

Kewujudkan RFC yang berbeza itu sedikit sebanyak telah ‘menggugat’ jualan perniagaan ayam goreng yang lain sehinggakan ada beberapa pihak yang panas punggung cuba menjatuhkan usaha HPA tersebut. Walaupun RFC masih lagi ‘bertatih’ dalam bidang ayam goreng, namun sehingga kini ia dilihat sebagai pencabar utama kepada pihak lain seperti KFC.

Contoh lagi: Jika anda seorang designer, apakah keunikan anda berbanding dengan designer yang lain? Sebagai contoh, saudara Mazlie Nadzri (VirtualNiaga.com), beliau adalah orang terawal (pertama?) yang menggunakan tagline “design siap dalam 24 jam”. Inilah perbezaan beliau dengan designer online yang lain.

Walaupun designer lain juga boleh menyiapkan design dalam 24 jam, namun disebabkan saudara Mazlie orang pertama yang fokus menyediakan servis siap dalam 24 jam, maka secara normalnya kekuatan itu telah menjadi ‘milik’ beliau. Walaupun ada designer lain yang mahu mencuba “tagline” sebegitu, namun ia sedikit sukar kerana perkhidmatan 24 jam Mazlie itu telah menjadi “buah mulut” ramai orang.

Design yang cantik dan berkualiti bukanlah satu-satunya aspek yang boleh membantu kerana begitu ramai designer yang boleh menghasilkan design yang bagus. Jadi jelas, keunikan (USP) adalah aspek yang paling mendasar yang perlu dititik-beratkan. Maka jika anda adalah designer, apakah keunikan servis design anda yang boleh anda janjikan kepada para pelanggan?

Maka ada tiga pelajaran penting yang kita lihat di sini iaitu:

1. Perlu ada keunikan yang TIADA pada orang lain (usahawan/perniagaan)

2. Jadi yang pertama (be the first) yang memiliki keunikan tersebut

3. Lakukan ‘viral marketing’ (pemasaran mulut ke mulut) yang ‘agresif’ untuk menyebarkan keunikan tersebut

Biasanya orang pertama yang memulakan sesuatulah yang akan ‘menang’ dan menjadi ‘pemilik’ bagi perkara tersebut. Buktinya, apabila disebut ayam goreng, ramai yang teringat KFC. Apabila disebut pizza, ramai orang terus terfikirkan Pizza Hut. Ini kerana mereka mempunyai keunikan dan juga menjadi perintis utama dalam bidang sebegitu serta ‘agresif’ melakukan pemasaran.

Kesimpulan

Perbezaan dengan pihak lain menyebabkan anda sentiasa dicari dan dikehendaki kerana fitrah manusia suka mencari ilmu, perkhidmatan atau produk yang berbeza untuk melengkapkan, menambah atau meningkatkan pembelajaran dan usaha mereka. Malah fitrah manusia suka mencuba sesuatu yang berbeza berbanding perkara sama yang ramai melakukannya.

Persoalannya sekarang, apakah keunikan anda atau perniagaan anda? Jika tidak ada, wujudkannya dengan segera sebelum terlambat dan menyesal di kemudian hari. Milikilah perbezaan sekurang-kurangnya pada nama perniagaan yang unik.

Kekuatan utama perniagaan bukanlah semata-mata pada kepakaran, tetapi keunikan anda atau perniagaan anda lah yang terus mengukuhkan kedudukan anda di dalam arena persaingan yang begitu sengit. Lagi-lagi di zaman maklumat yang begitu pantas ini.

Dalam kata yang mudah, “be different or die”.

-

| Panduan Buat Blog Wordpress | Panduan FTP | Sistem Survey |
SmartUsaha.Com adalah rangkaian perniagaan internet milik Inspirasi Maya Enterprise (JM0472383-X)
altrec free shipping coupon