Blog Perniagaan Internet: SmartUsaha.com

Motivasi: Redah Sajalah

Dalam bahasa pasar ia berbunyi, “Redah jer lah!”

Umpama semasa hari hujan dan semakin terus hujan, maka tiada jalan lain untuk pulang ke rumah melainkan dengan hanya meredah hujan tersebut. Payung tiada, baju hujan juga tiada…

Begitu jugalah dalam bisnes dan hidup ini, ada suatu saat kita perlu redah sahaja walaupun hati kita sudah hancur tercincang, kecewa, sedih dan apa sahaja perasaan seumpamanya.

Hidup di dunia ini perlu berani walaupun pada saat kita seorang pesalah, agar kita dapat kembali memiliki kebenaran.

Pada saat kita menang, kita perlu berwaspada. Pada saat kita di tengah-tengah, kita perlu sentiasa bersedia. Dan di saat kita terjatuh atau tersisih, kita tidak harus cepat gentar dan ketakutan. Kita harus berani ke hadapan walaupun sebelah kaki sudah ‘tempang’ kesakitan.

Lawan emosi negatif, lawan ketakutan dan lawan segala perasaan yang tidak menguntungkan.

Kita hanya ada dua pilihan: Lawan atau kecundang.

Teruslah berjuang walau apa jua keadaan, sampai ke nafas terakhir.

Saksikan video ini dengan penuh penghayatan……

-

Mitos Zon Selesa: Usahawan Vs Pemakan Gaji

Seringkali kita mendengar dakwaan seperti ini:

  1. Pekerja makan gaji berada dalam zon selesa, takut untuk berubah dan melakukan sesuatu yang di luar kebiasaan. Golongan ini bukanlah golongan yang hebat kerana mereka ada jaminan kerja.
  2. Usahawan dikatakan sebagai seorang individu yang berani kerana masuk ke dalam zon tidak selesa di mana mereka tiada gaji dan jawatan tetap.

Tetapi saya berfikir sejenak, betulkah andaian sebegini? Maka saya membuat kesimpulan berikut:

  1. Pekerja makan gaji juga berada di dalam zon tidak selesa, di mana jika mereka ponteng kerja, tidak ikut peraturan majikan, kerja tidak berkualiti, tidak meningkatkan pengetahuan, maka pasti satu hari nanti merea akan disingkirkan oleh majikan.
  2. Usahawan juga berada di dalam zon selesa, di mana sesetengah usahawan lebih selesa melakukan sesuatu yang sudah biasa bagi mereka. Mereka TAKUT untuk bermain dengan risiko yang lebih besar dan tidak biasa bagi mereka.
  3. Usahawan yang tidak berani melakukan sesuatu yang baru adalah usahawan yang sudah selesa dengan usaha yang biasa dilakukannya sejak bertahun-tahun yang lepas. Mereka tetap berada di takuk yang lama.
  4. Pekerja makan gaji yang tidak berhenti kerja dan menjadi usahawan tidak semestinya takut untuk menjadi usahawan kerana seperti yang dinyatakan di atas, mereka juga ada zon tidak selesa mereka sendiri.
  5. Usahawan mampu mencipta zon selesanya sendiri dengan memutuskan untuk tidak melakukan sesuatu yang lebih besar dan mencabar.
  6. Salah satu tanda usahawan yang berada di dalam zon selesa adalah pendapatan mereka tidak meningkat bertahun-tahun lamanya, melakukan perkara yang sama dan tiada peningkatan dalam usaha bisnes.
  7. Pekerja makan gaji yang selesa dengan zon selesanya, akan terus dengan sikap, perangai, fikiran dan ilmu yang sama. Orang lain sudah naik pangkat, tapi dirinya masih ‘di meja yang sama’.
  8. Pekerja makan gaji yang dinamik faham bahawa jawatan kerja mereka bukanlah satu jaminan. Maka mereka memperkasakan lagi diri dengan menambah ilmu dan kemahiran, sama ada ia akan digunakan untuk naik pangkat, memohon pekerjaan yang lebih mencabar dan berguna untuk mereka berdikari andaikata tiada lagi tawaran kerja untuk mereka.

Pendek kata, siapa pun kita sama ada usahawan ataupun tidak, yang pasti zon selesa atau zon tidak selesa tidak mengenal semua itu. Kita sendiri yang perlu menilai diri masing-masing agar sentiasa ada keinginan untuk berubah dan memperbaiki diri.

Kadang-kadang kita ada melihat, pekerja makan gaji yang dikatakan amat asyik dengan zon selesa adalah lebih hebat dan keterhadapan berbanding usahawan yang dikatakan hebat di dalam zon tidak selesanya. Mengapa ini berlaku? Ya, usahawan tadi sedang asyik dalam zon selesa yang diciptanya sendiri.

Semoga tulisan saya ini dilihat dengan satu sisi yang berbeza iaitu tidak kisah bentuk peranan kita di dunia ini, sebaliknya yang wajib bagi kita adalah kita perlu rajin, bersungguh-sungguh, terus menerus belajar dan yang terpenting adalah, sentiasa ada perubahan.

Maka jelaslah, zon selesa itu bukan hanya milik pekerja makan gaji semata-mata. Dan kepada para usahawan, AWAS! Anda mungkin sedang lena dibuai zon selesa yang anda cipta sendiri!

-

Incoming search terms:

  • gaji selesa
  • makan gaji vs bekerja sendiri
  • perbezaan usahawan takaful dan pekerja makan gaji
  • usahawan dengan pekerja curi tulang
  • usahawan rajin

Lima Punca Usahawan Internet Tidak Berjaya

Semasa mengemas kotak simpanan barang, saya telihat sekeping nota kecil lama yang menyenaraikan lima sebab seseorang itu tidak berjaya di dalam perniagaan internet. Senarai ini telah saya catat hampir 6 tahun yang lepas.

Tidak berjaya di sini bukanlah bermaksud gagal sepenuhnya, tetapi mungkin kurang berjaya, kejayaan tidak begitu hebat, sering turun naik semangat, hasil tidak konsisten dan sebagainya.

Walaupun disenaraikan lima sebab ini, namun pasti banyak lagi sebab-sebab ‘kegagalan’ yang lain.

1. Terlalu banyak pilihan dan informasi.

2. Tiada sistem langkah demi langkah untuk digunakan.

3. Memilih ‘niche’ yang tidak menguntungkan.

4. Sesetengah perkara terlalu teknikal untuk diuruskan, atau menjadikan sesuatu perkara itu terlalu sukar untuk dipraktikkan.

5. Berseorangan diri tanpa ada kerjasama atau berkumpulan (team).

Dan berikut pula cara mudah untuk berjaya, di mana senarai ini juga tercatat di kertas nota kecil itu:

1. Berimpian BESAR.

2. Menetapkan matlamat jangka pendek dan jangka panjang yang spesifik dan realistik.

3. Melaburkan wang untuk pengetahuan.

4. Sentiasa bertindak dengan cepat (tidak menangguh).

5. Sentiasa fokus dan konsisten.

6. Selesaikan sesuatu kerja yang telah dimulakan.

Untuk berjaya ada caranya, jika GAGAL pasti ada sebabnya.

Semoga bermanfaat.

Incoming search terms:

  • sebab-sebab internet tidak dapat digunakan
  • punca perniagaan internet
  • faedah dalam mengembangkanjenama menggunakan kaedah baru
  • sebab internet digunakan
  • punca-punca semangat keusahawanan idak wujud
  • punca perniagaan dalam internet
  • punca perniagaan
  • nombor telefon peserta usahawan gagal
  • kenapa seseorang susah nak berjaya dalam perniagaan
  • faktor usahawan internet tidak berjaya

Formula Kejayaan Usahawan Internet

Bagi saya, tiada rahsia kejayaan di dalam mana-mana bidang, termasuklah di dalam perniagaan internet. Rata-rata yang kita baca atau dengar, rahsianya tidak banyak berbeza.

Jika kita perhatikan kepada kebanyakan usahawan internet yang berjaya, terutama dengan cepat, formula mereka adalah sama sahaja.

Di antara rahsia-rahsia kejayaan mereka adalah:

1. Cepat Belajar

Mereka tidak menangguh-nangguhkan proses pembelajaran walaupun sesukar mana perkara yang perlu dipelajari. Mereka rela berkorban atau bersusah-susah dahulu kerana mereka yakin, kelak mereka akan mendapat hasil yang banyak dan besar.

Inilah beza orang yang berjaya dengan cepat berbanding mereka yang belum atau lambat mencapai sesuatu hasil. Orang yang cepat berjaya tidak menangguh-nangguh untuk belajar sesuatu yang perlu dipelajari. Manakala mereka yang masih di takuk lama sering menangguh untuk belajar perkara tersebut.

2. Cepat Bertindak dan Praktik

Semua orang banyak membaca dan belajar, tetapi yang membezakan orang yang berjaya dengan yang masih di tahap yang sama adalah mereka cepat bertindak atau pantas mempraktikkan ilmu dan kemahiran yang mereka pelajari.

Adalah satu kerugian jika lambat bertindak kerana:

  • Sesuatu teknik atau ilmu biasanya akan berubah dari semasa ke semasa. Jika ia berkesan pada hari ini, kemungkinan tidak lagi pada hari esok.
  • Persaingan: Adalah lebih bagus menjadi yang terawal menggunakan sesuatu teknik atau strategi sebelum ia ditiru atau dilakukan oleh ribuan dan jutaan orang yang lain.
  • Teknologi mudah dan cepat berubah.
  • Motivasi dan semangat atau momentum usaha biasanya turun dan naik. Ia tidak selalu berada di tahap yang kita harapkan. Jadi apabila motivasi di tahap terbaik, pada masa itulah tindakan perlu dilaksanakan sebaik dan seoptimum mungkin.
  • Perniagaan akan lambat berkembang.
  • Penangguhan satu demi satu kerja akan menyebabkan berlakunya timbunan kerja yang banyak. Akhirnya keserabutan akan mula melanda yang akan menyebabkan diri akan keliru untuk bertindak. Malah, akan memberi kesan sampingan kepada usaha penting yang lain.
  • Hari esok yang belum pasti. Kita tidak tahu esok kita akan kekal sihat, kemalangan atau jatuh sakit. Atau dalam hal teknikal, kita tidak tahu server (hosting) akan bermasalah.

Itulah sebahagian daripada bahayanya lambat bertindak atau melakukan sesuatu perancangan. Jika penyakit ini menguasai kita, usahalah sesuatu dengan segera sebelum ia merugikan hidup kita sepenuhnya.

3. Tidak Takut

Mereka tidak takut “apa kata orang”. Malah mereka tidak berfikir pun apa kata orang nanti setelah mereka lakukan sesuatu. Sebaliknya, mereka hanya sibuk memikirkan soal bisnes dan hidup mereka sahaja, serta apakah sumbangan berguna untuk Agama, keluarga dan masyarakat.

Saya yakin, rata-rata pernah menghadapi situasi takut dikritik, termasuk saya. Akibatnya, ebook atau produk yang baik yang telah siap tidak dilancar dan dijual.

Hidup di dunia ini, terlalu sukar untuk menjaga hati semua orang. Malah, ia sesuatu yang amat mustahil. Jadi, lakukan sahaja kerja kita dan abaikan sahaja kata-kata negatif orang lain. Sudah fitrah manusia kebanyakannya suka mengata dan mengkritik, tetapi tidak pula suka membantu.

Orang-orang yang berjaya hanya memikirkan matlamat dan kerja mereka sahaja. Apa sahaja kata orang lain, mereka tidak ambil peduli. Jika diambil peduli, apa yang mereka dapat? Tidak ada apa-apa, kerana sebahagian besar kata-kata orang hanyalah perkara negatif dan mahu mereka berhenti daripada melakukan perkara tersebut.

Saya sering menyebut berulang kali di dalam artikel-artikel sebelum ini bahawa, “makan minum kita, hanya kita yang tanggung sendiri, bukan orang lain.” Jadi, utamakan diri sendiri dahulu. Mungkin kita pernah lalui dan hadapi, atau pernah melihat, berapa banyak orang yang tiba-tiba  merana hidupnya, semata-mata mendahulukan orang lain. Dan orang lain itu menghilangkan diri entah ke mana.

4. Fokus dan Komitmen 100%

Cuba perhatikan kebanyakan usahawan internet seperti di Malaysia ini. Mereka fokus kepada nadi utama perniagaan mereka. Yang buat ebay, fokus pada ebay. Yang buat produk fizikal, mereka fokus kepada produk fizikal dan yang buat produk informasi, mereka fokus sepenuhnya.

Namun mereka bukan sekadar fokus sahaja, tetapi memberikan komitmen 100% (sepenuhnya) terhadap usaha mereka tersebut. Bukanlah fokus ala kadar atau sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Walaupun mereka melakukan model perniagaan internet yang lain, namun pasti (biasanya) mereka akan fokus dan memberikan komitmen 100% terhadap model bisnes mereka yang utama. Fokus + Komitmen (usaha kuat) adalah amat berbeza dengan fokus tetapi malas.

Contoh: Model Bisnes Produk Informasi (Information Marketing)

Ini adalah model utama dan pertama saya sehinggalah kini. Seperti yang saya nyatakan di entri sebelum ini, model bisnes ini adalah yang terbaik untuk saya, tetapi mungkin tidak untuk orang lain.

Saya pernah mahu melakukan model bisnes yang lain atau cuba mengambil segala peluang yang datang, namun akhirnya bak kata pepatah, “yang dikejar tidak dapat, yang dikendong keciciran.” Akhirnya saya sedar, rakus pada perkara yang baik pun boleh mendatangkan kerugian.

Melalui model bisnes produk informasi, ia bukan sekadar menjual ebook, tetapi ia lebih daripada itu. Boleh baca artikel ‘buat duit dengan kepakaran‘.

Tip di sini, jika mahu lakukan model bisnes yang lain, pastikan model pertama dan utama sudah mendapat hasil yang konsisten dan terurus dengan baiknya.

5. Pengurusan Masa

Kita tidak memerlukan buku yang tebal atau bertimbun-timbun buku mengenai pengurusan masa. Sebenarnya tiada rahsia di dalam pengurusan masa, sebaliknya ia berkaitan dengan fokus dan tindakan.

Jika kita tahu apa yang perlu dilakukan, bila dan di mana, maka tiada masalah pengurusan masa akan berlaku. Sebaliknya jika kita tidak tahu perkara-perkara tersebut (tidak merancang), itulah penyebabnya kita akan menghabiskan masa begitu sahaja, atau menyebabkan usaha akan menjadi longlai sekali.

Kita perlu tahu matlamat hidup dan bisnes kita. Kemudian fokus kepada matlamat tersebut. Rancang tindakan yang perlu dilakukan bagi mencapainya seperti tindakan dalam satu hari, seminggu, sebulan dan setahun. Fokus sepenuhnya dan berikan komitmen.

Abaikan juga segala peluang yang boleh menghancurkan segala perancangan yang telah diaturkan. Utamakan diri sendiri. Hati-hati dengan manusia yang suka memanipulasi orang lain untuk kepentingan diri mereka sendiri. Tolak tawaran mereka dengan baik dan berakhlak.

Kesimpulan

Tiada rahsia untuk berjaya. Kalau diri pemalas, itulah punca kegagalan. Kalau diri rajin dan komited, serta kaedah yang dilakukan adalah betul, insyaAllah kejayaan akan berada di dalam tangan.

Lima perkara yang dinyatakan tadi adalah di antara ‘rahsia-rahsia’ yang dimiliki oleh kebanyakan usahawan-usahawan internet yang berjaya. Tanyalah mereka, dan mereka akan berkata perkara yang sama.

  1. Cepat Belajar
  2. Cepat Bertindak
  3. Tidak Takut
  4. Fokus dan Komitmen 100%
  5. Pengurusan Masa

Seperti yang dinyatakan, lima perkara di atas hanya di antara atau sebahagian. Banyak lagi perkara atau faktor yang menyebabkan seseorang itu berjaya sama ada dari segi fizikal, mental, spiritual, mahu pun kemahiran.

Semoga kita menjadi manusia yang tidak mengsia-siakan masa, seperti yang Allah tegaskan di dalam surah Al-’Asr.

Sekian.

Incoming search terms:

  • kejayaan usahawan
  • rahsia kejayaan usahawan
  • rahsia kejayaan usahawan islam

“Lihatlah Dengan Kasih Sayang…”

Pada hari ini, umur saya genap 28 tahun. Saya bersyukur kerana masih diberi peluang oleh ALLAH untuk terus hidup sehingga ke saat ini. Bermaksud, Dia berikan masa untuk saya melakukan perubahan dan memperbaiki amalan agar lebih baik.

Terdetik hati ini ingin mencoret serba sedikit nota sebagai peringatan kepada diri sendiri, perkara yang PERLU DIELAKKAN agar hati sentiasa tenang dan amalan sentiasa terjaga.

1. Mengumpat

Apabila kita tidak sukakan seseorang, elakkan mengumpat atau berbicara mengenai kekurangan atau kesilapan kecil orang lain, melainkan ia benar-benar perlu. Jangan kerana gara-gara ingin memuaskan hati yang bencikan seseorang, lantas kita membuka pekung orang lain.

Sikap buruk sebegini tidak akan menyelesaikan masalah yang timbul. Malah, masalah yang tidak wujud pun akan wujud. Yang lebih teruk, hati yang tidak sakit akan menjadi sakit. Itu baru satu masalah atau seorang individu yang diumpatnya. Jika lebih ramai? Maka lebih sakitlah hatinya. Patutlah tidak tenang-tenang dan asyik emosional selalu.

Contoh Bahayanya Mengumpat: Semasa Ali mengumpat mengenai seseorang, si pendengar setuju dan angguk-angguk, malah menambah satu dua ‘perasa tambahan’. Tetapi kemudian di satu hari, Ali melihat kawannya itu terlalu mesra dan angguk-angguk bersama si mangsa umpatan tempoh hari. Terdetik di hatinya, “Adakah aku telah meluahkan kepada si talam dua muka? Alamak…”

2. Jangan Simpan Di Dalam Hati

Kata orang ramai, jika tidak puas hati, luahkan. Jumpa individu terbabit, dan bincang. Terkadang, persepsi awal dan prasangka kita melebihi segala-galanya. Kita takut jika kita berterus-terang, orang akan marah dan bencikan kita. Padahal mungkin tidak begitu. Lakukan sahaja. Mereka suka atau tidak, itu bukan satu masalah besar.

Meluahkan kepada mereka adalah jalan terbaik berbanding meluahkan kepada orang lain. Ini kerana, orang lain itu kita tidak tahu hatinya. Kelak cerita kita itu akan dijadikan pisau untuk menikam kita dari belakang. Tersilap meluah, rupa-rupanya orang itu talam dua muka.

Di dalam perniagaan, jika tidak puas hati, pintu belakang (sesi mengumpat) bukanlah caranya. Kita boleh lakukan secara profesional. Masalah dan kekurangan adalah normal dan lumrah. Manusia itu bukan malaikat.

3. Melihat Dengan Kasih Sayang

Jika melihat seseorang melakukan kesilapan, lihatlah dengan kasih sayang, lagi-lagi jika mereka saudara seAgama. Jika kita melihat dengan kebencian, itulah titik mulanya masalah di mana:

  • Niat ikhlas akan rosak.
  • Masalah biasanya tidak akan selesai.
  • Mahu selesaikan KERANA benci, bukan kerana ikhlas.
  • Membenci bermaksud hati kita sakit.

Melihat dengan kasih sayang di sini bermaksud, kita tidak mahu saudara kita itu terlibat dalam hal-hal yang salah. Kita amat  risaukan mereka jika sesuatu terjadi kepada mereka akibat kesalahan yang dilakukan.

Jika kita lihat situasi sekarang, kebanyakan orang melakukan ‘amar makruf nahi mungkar’ atau menghadapi manusia dengan penuh ketegasan. Tegas itu tidak salah, tetapi ada satu kekurangan, iaitu KASIH SAYANG.

Dengan melihat dengan kasih sayang, hati akan tenang, kita tidak akan beremosi, tidak akan memberi komen dengan bahasa yang tidak baik di blog orang lain dan pelbagai lagi kelebihan. Selain melihat dengan kasih sayang, kita juga perlu bercakap, menulis, melawan balas dan mendengar dengan perasaan kasih sayang.

4. Berkelompok

Hidup berkumpulan memang wajar. Namun, jika sudah berkelompok-kelompok dengan menolak kumpulan lain yang baik-baik, itu berpecah-belah namanya.

Hidup berkelompok-kelompok biasanya akan menyebabkan kita hanya ‘syok’ dengan dunia sendiri sahaja, sehingga terlalu sukar untuk menerima dunia dan pemikiran orang lain. Lantas, kita akan hanyut dan tenggelam dalam dunia kecil kita. Ketinggalan dan ditinggalkan… Rugi.

5. Taksub

Sehebat mana seseorang, kita boleh jadikan mereka sebagai guru, rakan atau mentor kita. Namun apabila terlalu taksub, sama seperti perkara ke-4 di atas, kita akan terkongkong dengan satu lorong pemikiran sahaja. Lantas, kita akan mudah memangkah dan menolak apa jua pendapat orang lain walaupun ia baik dan betul.

Jika kita mahu maju, semua pendapat perlu kita terima dan mendengarnya agar kita dapat menilai sesuatu dengan bukan hanya satu dimensi, tetapi dengan pelbagai sudut pandangan.

6. Membazir Masa

Zaman sekarang zaman Facebook. Bagi hati yang lemah, ia sebenarnya satu bahana yang amat merugikan jiwa, hati, pekerjaan dan perniagaan. Kehebatan Facebook atau apa sahaja laman web sosial lain seperti MySpace, Twitter dan sebagainya, atau apa sahaja medium lain seperti blog dan forum Online, pastikan ia tidak mencuri masa untuk kita berproduktviti.

Bagi saya, membazir masa di laman sosial adalah salah satu kesalahan terbesar di abad ini yang dilakukan oleh ramai orang. Gunakan teknologi ini untuk sekadar ruang yang sepatutnya. Tidak perlu berlebih-lebihan.

Kepada yang melakukan Internet Marketing, jangan terlalu bergantungan dengan Facebook. Utamakan juga strategi dan teknik yang lain. Aturkan masa khas untuk ‘bersosial marketing’ di Facebook atau di laman web sosial yang lain. Apa pun, jangan disalahkan laman web sosial tersebut, tetapi salahkan diri sendiri. Gagal merancang, bermaksud merancang untuk gagal.

7. Kurang Membaca

Tidak kisahlah membaca buku atau sebagainya, selagi ia satu bahan bacaan yang boleh ‘menajam’kan otak dan minda, lakukan sahaja.

Sesetengah orang tidak tahu untuk membicarakan sesuatu kerana mereka kurang membaca. Mereka kekurangan input, maka bagaimana mereka dapat mengeluarkan output yang berguna kepada orang lain. Akibat kurang membaca, maka yang dibicarakan hanyalah hal yang sama sahaja setiap masa kerana kekurangan input.

Bacalah dan terus membaca walaupun satu muka surat sehari. Bahan bacaan mungkin berkaitan dengan bidang kerjaya atau apa sahaja topik yang berguna untuk kehidupan.

8. Sibuk Hal Orang

Yang terakhir adalah penyakit “sibuk hal orang”, atau “busy body”. Setiap hari, ada sahaja yang tidak puas hatinya. Si A salah, si B salah, si C tidak baguslah, si D itu ini.

Bayangkan, betapa banyaknya masa yang akan kita habiskan jika terlalu sibukkan hal orang. Padahal kita tidak perlu pun bersibuk-sibuk hal orang. Hal diri sendiri pun belum selesai dan masih banyak yang perlu dilakukan.

Pasti akan ada yang menyatakan, “Kami bukan menyibuk hal orang. Bukankah Islam menyuruh kita menasihati sesuatu yang baik dan mencegah yang mungkar?” Mereka ini pandai berkata-kata, tetapi tindakan menasihati dan mencegah itu langsung tiada. Sebaliknya mereka lebih suka mengumpat dan membicara hal buruk orang. Mahu mencegah yang mungkar, tetapi mereka tidak sedar, mereka menambah satu lagi kemungkaran (mengumpat, memfitnah).

Dalam satu sisi lain, ada sesentengah orang hanya suka melihat prestasi orang lain sehingga terabai mengisi ruang hidup dan perjuangan sendiri. Setiap kali mereka mahu melangkah, mereka melihat orang lain telah jauh ke hadapan. Lantas mereka tidak jadi bertindak, gara-gara semangat sudah luntur akibat asyik melihat orang lain.

Untuk berjaya, sibukkanlah diri dengan usaha sendiri. Orang lain biarlah dengan usaha dan pencapaian mereka. Rezeki masing-masing, perjalanan juga masing-masing. Setiap orang ada lorong-lorong kehidupan tersendiri, jangan dibanding-bandingkan. Kelak lemah jiwa dan raga.

Penutup

Semoga kita cemerlang dunia dan akhirat, fizikal, mental dan spiritual. Kurangkan yang negatif (sifat mazmumah) dan lebihkan yang baik-baik (mahmudah). Semoga kita memiliki hati yang tenang!

Hati yang sihat akan berkasih sayang.

Wassalam.

Incoming search terms:

  • bila kita sayang seseorang

Ikut Kata Hati Sendiri

Jika kita mahu menulis ebook dan menjualnya, lakukan sahaja.

Jika kita mahu menjual ebook mengenai cara buat duit, jual sahaja.

Jika kita ingin menulis buku, tulis sahaja.

Jika kita mahu melakukan sesuatu yang kontroversi, lakukan sahaja.

Jika kita mahu melakukan sesuatu yang jarang orang lakukan, buat sahaja.

Jika kita mahu menulis sesuatu di blog, tulis sahaja.

Jika mahu anjurkan bengkel, seminar atau ceramah, lakukan sahaja.

Jika mahu naikkan harga produk, naikkan sahaja. (Mereka yang mengkritik itu bukannya mahu beli pun walau kita letak harga yang rendah.)

Jika kita ada prinsip atau pegangan tersendiri, tetaplah dengan pegangan itu.

Jika kita ingin berpenampilan dengan cara tersendiri, lakukan sahaja.

Mengapa? Sebab hanya kita yang menanggung makan minum kita, susah senang kita, bukan orang lain.

Dan begitulah seterusnya…. Dengan syarat ia masih di dalam ruang lingkup batas Agama dan undang-undang.

Ada Pegangan Yang Kuat

Di dalam perniagaan termasuk perniagaan internet, jika kita terlalu mengikut kata-kata orang, walaupun daripada para pakar atau yang berpengalaman, kita sendiri akan terseksa. Walaupun nasihat mereka betul, kadang-kadang yang dirasakan tidak betul itulah lebih betul. Kita tidak tahu. Kita akan tahu selepas melakukannya. Zaman sentiasa berubah, dan kadang-kadang sesuatu perkara turut berubah. Idea atau ‘kepercayaan’ lama, mungkin sudah tidak sesuai lagi. Ia boleh berubah…

Bagi diri saya sendiri, saya suka bereksperimen walaupun kemungkinan besar itu merugikan. Saya ingin merasa. Sekadar mengetahui sesuatu berbanding merasainya adalah amat berbeza. Apabila kita sudah merasai sesuatu terutama yang pedih dan pahit, kelak sudah pasti kita lebih sentiasa berwaspada dan kita pun lebih yakin untuk berkongsi dengan orang lain.

Keduanya, kadang-kadang daripada kesilapan yang dilakukan, kita akan mendapat idea yang bercambah-cambah. Ini kerap kali berlaku kepada saya. Hidup ini kalau kita mahu semuanya betul dan tiada salah, kita akan hanya melihat dunia ini dalam satu sisi pandangan sahaja. Pemikiran kita tidak akan berkembang. Kita umpama lalang yang ditiup angin. Orang kata A, kita ikut. Orang kata B, kita pun ikut. Tiada pegangan tersendiri.

Sebab itu walaupun ramai yang mengatakan itu tidak boleh ini tidak boleh, atau pelbagai nasihat diberikan kepada saya, namun saya tetap dengan jalan dan cara saya. Saya akan buat apa yang saya mahu buat. Selagi apa yang dilakukan tidak salah di sisi Agama dan undang-undang, maka selagi itu kita berhak melakukannya. Orang lain tidak berhak mengatakan boleh atau tidak.

Tip Dalam Ikut Kata Hati Sendiri

Kita sering mendengar, “ikut hati, mati, ikut nafsu, layu.” Seolah-olah, kita tidak boleh mengikut kata hati sendiri. Jika begitu, tiada gunalah hati yang Allah berikan ini. Untuk memastikan kita mengikut hati dan bukan mengikut nafsu semata-mata, kita ada panduannya:

1. Solat istikharah walaupun untuk sekecil-kecil perkara, atau paling kurang berdoa memohon petunjuk kepada ALLAH.

2. Banyak membaca buku, artikel dan sebagainya agar kita membuat keputusan berdasarkan ilmu dan fakta, bukan atas sangkaan semata-mata.

3. Bertanya dan berdiskusi dengan orang yang berkaitan dan berpengalaman dengan perkara tersebut.

4. Jaga dan urus hati agar kurang melakukan maksiat yang boleh menggelapkan hati. Hati yang bersih dan bercahaya, biasanya pandangan akan lebih benar berbanding hati yang sering bergelumang dengan dosa.

Jadi jelas, kita ada cara tersendiri berbanding prinsip “ikut kata hati sendiri” cara Barat. Kita ada panduan dan resepi tersendiri. Kita bukan ikut kata hati berani mati. :D

Berprinsip, Namun Tetap Hormat Menghormati

Sedikit perkongsian: Disebabkan prinsip ‘keras hati’, orang mengatakan saya ego, hanya saya yang betul dan sombong. Setahu saya, orang yang ego tidak akan mempunyai ramai kawan. Sebaliknya saya ada ramai kawan. Jika hanya saya yang betul, maka saya sudah pasti tidak akan berkawan dengan ramai orang. Dan jika saya sombong, juga sudah pasti orang tidak mahu berkawan dengan saya.

Jadi di manakah kebenaran tuduhan tersebut? Tiada lain, yang menuduh itulah yang ego dan tidak berupaya untuk menghormati prinsip hidup dan pandangan orang lain. Jika kita tidak bersetuju, kita jangan memburukkan orang lain. Hormati mereka, tetapi kita tetap dengan cara kita. Itulah cara saya. Saya ada pegangan sendiri, namun saya tetap menghormati cara orang dan saya tetap suka berkawan dan terus menambah kawan.

Dengar, Tetapi…

Bukanlah bermaksud nasihat orang lain kita tidak perlu ikut, tetapi di dalam membina jati diri dan daya ‘survive’ yang tinggi, kita perlu mencuba. Orang lain hanya tahu berkata-kata, tetapi susah senang hanya kita yang menanggungnya. Maka letaklah tanggungjawab pada diri sendiri, bukan pada orang lain.

Jika saya mengikut kata orang, sudah pasti saya tiada lagi di dalam bidang ini bertahun-tahun lamanya. Ramai yang dengki dan mahu saya jatuh. Namun saya tidak pedulikan mereka dan saya terus buat apa yang saya mahu buat. Alasan saya mudah: “Makan minum saya, bukan mereka yang tanggung.”

Seperti tajuk entri ini, saya mengatakan kita IKUT hati kita (buat keputusan sendiri), dan entri ini tidak pernah mengatakan kita langsung tidak perlu mendengar nasihat atau saranan orang lain. Kita mendengarnya, tetapi keputusannya hanya kita yang perlu menentukannya, bukan orang lain.

Wassalam.

Incoming search terms:

  • ikut kata hati
  • jangan ikut kata hati
  • kata hati
  • kata-kata hati
  • membuat keputusan dari hati bukan mengikut kawan
  • macamana naikkan buat keputusan dalam perniagaan
  • kelebihan membuat keputusan mengikut kata hati
  • KATA KATA KEREN
  • kata hati sendiri
  • buku motivasi: ikut kata hati

Mutiara Motivasi Untuk Blogger & Usahawan Internet

1. Tiada hanya satu definisi kejayaan. Ada orang kata, blog yang paling banyak mendapat komen, itulah blog terbaik. Dan ada yang kata, kandungan yang baik dan dibaca ramai, walau tidak mendapat banyak komen, itu juga terbaik. Jadi, mana satu yang terbaik? Saranan saya, ciptalah definisi sendiri dan berpegang kuat padanya.

2. Kejayaan itu tidak semestinya dipamerkan atau dibuktikan dengan hidup yang mewah. Ada yang pilih jalan sederhana dan ada yang pilih jalan mewah. Pilih yang mana satu. Kita, perlu menghormati pilihan orang lain seperti mana orang lain menghormati pilihan kita.

3. Kita perlu ada prinsip yang kuat. Maka, tidak perlu risaukan ‘undang-undang’ ciptaan manusia yang tidak bertanggungjawab seperti menghendaki kita melakukan itu dan ini yang tidak perlu kita ikut dan buat.

4. Kita tidak boleh memuaskan hati semua orang, tetapi kita juga perlu tahu, kita tidak selalu dapat memuaskan hati kita sendiri. Kata kunci di sini adalah toleransi, bertolak ansur dan menghormati cara dan prinsip orang lain. Namun hakikatnya, menjaga hati diri sendiri dahulu adalah lebih penting. Mengapa? Kerana siapa lagi yang boleh memahami dan menjaga hati kita melainkan diri kita sendiri.

5. Rezeki itu turun naik. Ada masa banyak, ada masa menurun. Ini adalah ketentuanNya yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Kita perlu redha, namun perlu tetap berusaha kuat, tidak boleh selesa dengan hasil dan keadaan semasa.

6. Komen-komen dan kritikan negatif daripada manusia yang tidak mendedahkan diri mereka sebenar dan juga disampaikan dalam bahasa yang tidak beradab, adalah komen yang tiada nilai sama ada di sisi ALLAH atau di sisi mana-mana makhluk. Ia terlalu hina untuk manusia yang berakal waras. Jadi tidak perlu sakit hati atau kecewa dengan perkara yang tiada nilai.

7. Kita sebagai blogger atau usahawan internet perlu mempunyai prinsip, cara, model perniagaan, strategi dan perancangan sendiri. Maka kita perlu berpegang teguh padanya dan dalam masa yang sama menghormati cara dan pilihan orang lain.

8. Bersahabatlah dengan mereka yang sama usaha dengan kita agar kita sentiasa bersemangat dan bermotivasi. Tidak cukup bersahabat melalui Online seperti Facebook, tetapi keluarlah berjumpa untuk saling memberi semangat di antara satu sama lain.

9. Manusia yang dengki dengan kejayaan kita sentiasa ada. Kita tidak dapat lakukan apa-apa terhadap mereka. Cuma, kita masih ada senjata yang kuat, iaitu DOA. Kita perlu terus berusaha kerana hidup kita adalah tanggungjawab kita.

10. Kritikan adalah baik. Namun jika kritikan itu terlalu menyeksa jiwa dan hati, abaikan sahaja kritikan itu. Kita boleh memilih sama ada untuk menerimanya atau tidak, memikirkannya atau tidak. Tiada salah atau betul di sini, malah tiada hukum atau undang-undang yang mewajibkan kita menerima mana-mana kritikan. Melainkan kita jelas salah di sisi Agama. Abaikan manusia yang mahu mencipta peraturan hidup untuk kita.

11. Jangan takut melakukan sesuatu. Kita tidak akan tahu hasilnya selagi kita tidak melakukannya. Jika berjaya, teruskan lagi usaha. Jika gagal, kita juga belajar sesuatu yang baik iaitu perkara yang perlu dielakkan.

12. Jangan membazir masa dan tenaga kepada perkara-perkara yang tidak produktif. Termasuklah meluangkan masa untuk berdebat dengan pengkritik-pengkritik yang hanya mahu melihat kita jatuh. Fokuskan tenaga kita kepada usaha yang sedang dilakukan. Ucapkan terima kasih kepada mereka dan kemudian abaikan mereka (tidak perlu berdebat/berdiskusi apa-apa).

13. Bercuti. Hidup perlu seimbang. Blogger dan usahawan internet biasanya melakukan kerja di hadapan komputer. Ia nampak mudah, tetapi memenatkan juga sebenarnya, terutama mata. Jadi, luangkan juga masa untuk bercuti. Paling kurang, bersiar-siar ke tempat yang menenangkan jiwa dan mata.

14. Tidak perlu pakar semua perkara. Dalam Internet Marketing atau Blogging, ada banyak teknik dan kaedah. Jadi kalau ada orang kata kita tidak pakar dalam satu-satu perkara, hakikatnya kita pandai dalam bab yang lain. Mereka juga sama. Mereka tidak tahu semua. Jadi tidak perlu gundah gulana atau kalut memikirkan kita perlu tahu semua perkara. Tip di sini: Belajar dengan mereka yang tahu dan berkongsi apa yang kita tahu.

Kesimpulan

Hidup bersandarkan definisi orang lain hanya menyeksa diri melainkan ia sesuai untuk kita. Ciptalah definisi kejayaan dan hidup kita sendiri. Yang penting, ia berlandaskan Agama dan budi pekerti seorang manusia.

Hidup, tiada hanya satu jalan. Pilihlah jalan kita, dan laluilah ia dengan penuh ketenangan. Tiada apa-apa yang perlu dikejar, ditandingi atau yang perlu dilawan. Biarlah mereka yang lain berlawanan satu sama lain. Kita tidak perlu, kerana kita tahu, apa yang kita mahu. Dan kita tahu, ke mana hala tuju dan destinasi kita.

Sekian.

Incoming search terms:

  • mutiara kata perniagaan
  • kata-kata motivasi usahawan
  • mutiara kata usahawan
  • kata-kata motivasi perniagaan
  • kata motivasi perniagaan
  • mutiara kata berniaga
  • kata-kata motivasi dalam perniagaan
  • kata-kata usahawan
  • kata kata mutiara berkaitan perniagaan
  • motivasi untuk usahawan
| Panduan Buat Blog Wordpress | Kuasa Pemasaran Forum | Kuasa FTP |
SmartUsaha.Com adalah rangkaian perniagaan internet milik Inspirasi Maya Enterprise (JM0472383-X)