Blog Perniagaan Internet: SmartUsaha.com

Orang Buta Itu…

Semangatku kian luntur. Aku hilang arah.

Impian yang ku idamkan seperti semakin jauh untuk ku gapai.

Bahu ini begitu terasa berat terbeban.

Diriku tertekan… Puncanya aku tidak pasti.

Aku tidak tahu mengapa ini terjadi. Hati mula tawar untuk berusaha.

Keghairahan dahulu kini seperti hilang tanpa bayangan.

Setiap kali aku ingin memulakan usaha, aku mula kalah kepada bisikan kemalasan.

Hari demi hari, bulan demi bulan, aku cuba mencari di mana silapnya…

Di waktu pagi semasa bersarapan, aku terlihat seorang tua yang buta.

Meraba-raba mencari arah perjalanan. Dirinya telah tersilap arah.

Namun dirinya tetap mencuba dan berusaha walau terlanggar apa sahaja di hadapannya.

Kemudian dirinya dipimpin oleh seseorang membawa ke arah yang sepatutnya.

Langkah kakinya terus ke hadapan, berbekalkan tongkat.

Di dalam kegelapan dunianya itu, ada terang. Ada cahaya.

Tiba-tiba aku tersentak.

Aku ini sempurna, mampu melihat, masih muda, ada kekuatan, ada daya…

Lain pula dengan si buta itu, dirinya keseorangan, tidak sempurna pada penglihatannya. Penuh kegelapan, namun tetap berusaha ke hadapan.

Aku insaf.

Lantas aku mengucapkan istighfar memohon keampunan padaNYA.

Baru ku sedari bahawa aku sudah berada di jalan putus asa. Mungkin sudah di hujungnya.

Aku kembali bangkit. Semangatku kembali pulih.

Aku sepatutnya tidak berputus asa. Kerana aku punya kemampuan untuk berusaha.

Terima kasih wahai Allah, kerana memimpinku kembali ke jalan yang terang.

————–

Mungkin anda sangka entri di atas adalah luahan hati saya. Bukan. :)

Ia adalah puisi yang saya terilham semasa melihat seorang tua yang buta. Lantas saya mendapat ilham untuk menulis puisi di atas khas untuk para usahawan.

Usahlah berputus asa. Ia bukan sikap seorang usahawan sejati. Jika merasakan berputus asa, ketahuilah bahawa kita tetap mampu bangkit kembali dan memulihkan semangat itu.

Lihatlah mereka yang serba kekurangan terutama yang cacat anggota, mereka tetap berusaha untuk ke atas atau ke depan. Jika kita yang lengkap sempurna ini berputus asa, maka sama sahaja dengan orang yang tidak bersyukur terhadap nikmat yang Allah berikan.

Keduanya, kita perlukan seseorang seperti rakan dan ahli keluarga yang boleh menyokong usaha kita, atau sekurang-kurangnya menasihati jika kita ada melakukan sebarang kesilapan. Mereka ini adalah umpama orang yang memimpin si buta tadi. Dan sebaik-baik pemimpin adalah ALLAH S.W.T.

Ketiga, kita perlukan bekalan. Umpama tongkat yang amat membantu orang buta itu, kita juga perlukan sesuatu. Antara yang penting di dalam bisnes adalah seperti ilmu, rakan, mentor, rangkaian usahawan dan produk yang berkualiti.

Wahai usahawan, jika dirimu berasa berat dan berputus asa, luangkanlah masa untuk bermuhasabah diri. Mungkin rasa itu adalah isyarat bahawa ada kesilapan yang telah dilakukan.

Kita sebenarnya tidak layak berputus asa kerana ALLAH telah memberikan pelbagai anugerah kepada kita. Teruskanlah berusaha dengan gigih, sentiasa berfikiran positif (bersangka baik) dan tetaplah bertawakal sepenuhnya kepada ALLAH.

Wassalam.

Incoming search terms:

  • tongkat orang buta
  • kegunaan tongkat untuk orang buta
  • blogspot sajak aku berusaha
  • teruskanlah berusaha kerja dgn takwa
  • sajak orang buta itu
  • sajak keusahawanan
  • puisi untuk orang buta
  • puisi motivasi kerja
  • projek tongkat orang buta
  • luahan hati orang buta
| Panduan Buat Blog Wordpress | Kuasa Pemasaran Forum | Kuasa FTP |
SmartUsaha.Com adalah rangkaian perniagaan internet milik Inspirasi Maya Enterprise (JM0472383-X)