Di dalam apa jua bidang seperti motivasi, pembangunan diri, perniagaan internet, kewangan dan sebagainya, kita sering mendengar seseorang digelar sebagai pakar.
Namun persoalannya di sini, apakah faktor penilaian yang digunakan untuk menggelarkan mereka itu sebagai seorang pakar? Adakah mereka memang benar-benar pakar atau ia hanya sekadar gelaran semata-mata? Adakah selepas berjaya menghasilkan puluhan ribu ringgit di internet terus layak digelar sebagai pakar?
Bagi diri saya sendiri, ramai yang mengatakan saya pakar internet marketing. Sebenarnya, saya amat gerun dan takut apabila mereka memanggil saya dengan gelaran tersebut. Begitu juga dengan panggilan sifu, guru atau yang seumpama dengannya.
Saya bukanlah guru, pakar atau sifu. Sebaliknya saya hanyalah seorang usahawan yang terus menerus belajar, melakukan kesilapan dan berkongsi sedikit ilmu yang ada di dada. Saya tidak pernah menulis, berkata atau menyatakan saya adalah pakar. Sama sekali tidak pernah sejak saya mula melakukan perniagaan.
Mazhab Akademik VS Mazhab Konvensional
Daripada pemerhatian saya, terdapat dua golongan, aliran atau mazhab dalam persoalan kepakaran iaitu mazhab “akademik” dan mazhab “konvensional”. Golongan akademik adalah mereka yang belajar secara bertahap melalui kaedah akademik seperti di pusat pengajian tinggi.
Daripada sijil, diploma, degree, master sehinggalah ke PhD. Dengan mendapat segulung sijil-sijil tersebut, maka mereka biasanya layak digelar sebagai pakar walaupun mereka tidak ada apa-apa sumbangan pun kepada negara atau bangsa. Hanya sekadar kajian atau tesis, dan kemudian dianugerahkan segulung sijil, maka secara automatik mereka layak digelar pakar.
Golongan konvensional pula biasanya membesar atau berkembang menjadi “matang” melalui pembacaan buku, berguru secara unformal, belajar daripada pengalaman dan juga terus berinteraksi dengan “sekolah dunia” iaitu dunia praktikal dan realiti. Mereka ini juga sampai satu tahap akan digelar sebagai pakar di atas ilmu dan pengalaman mereka yang hebat yang terkadang mengalahkan pengalaman mereka yang memiliki sijil atau ijazah daripada pengajian tinggi.
Dua golongan ini saling berdebat dan saya perhatikan golongan akademik amat tidak berpuas hati dengan golongan konvensional. Sebaliknya golongan konvensional lebih fokus kepada melakukan sesuatu tanpa mempersoalkan pun golongan akademik.
Golongan akademik tidak berpuas hati dengan golongan konvensional mungkin kerana satu sebab iaitu mereka bersusah payah belajar di IPT untuk dapatkan gelaran pakar, malah bertahun-tahun lamanya, tetapi golongan konvensional mudah-mudah sahaja mendapat gelaran pakar walaupun baru setahun jagung dalam sesuatu bidang.
Tidak semua golongan akademik bersikap sedemikian. Tapi saya perhatikan ramai juga yang bersikap prejudis dan meletakkan pelbagai syarat untuk berjaya. Terlalu akademik! Padahal tidak semua manusia berupaya untuk melalui kaedah akademik tersebut yang kadang-kadang amat membosankan.
Manakala golongan konvensional pula lebih kepada realistik dan lebih dekat di hati kebanyakan orang di mana mereka bukan setakat berteori, tapi mereka “do something”, dan kemudian gagal, tapi bangkit kembali. Malah mereka lebih praktikal dan cara mereka tidak melawan “fitrah” kebiasaan kebanyakan orang.
Di sini bukanlah saya mahu menghentam golongan akademik, malah saya pun belajar di IPT juga. Cuma adalah tidak adil jika kita memandang sinis mereka yang tidak melalui jalan yang sama kita lalui. Itu adalah rezeki mereka dan cara mereka. Dan kita pula perlu redha dengan jalan dan cara yang kita pilih. Hormatilah cara mereka selagi tidak terbukti ia adalah cara yang salah.
Kelebihan golongan akademik adalah mereka mempunyai alatan untuk mengukur dan menilai sesuatu teori, kaedah atau ilmu. Dan mereka juga mempunyai kaedah yang lebih teruji, terbukti dan tersusun. Yang best-nya, kaedah mereka diakui oleh undang-undang dan kerajaan. Sebaliknya golongan konvensional lebih kepada tindakan dan try and error (kaedah cuba jaya). Kebanyakan cara mereka adalah cara di luar daripada kebiasaan pemikiran masyarakat kebanyakan dan tiada di dalam silibus pelajaran di mana-mana sekolah atau pusat pengajian tinggi.
Berbalik kepada tajuk artikel ini, adakah kita perlu mempunyai kelulusan di pengajian tinggi dan kemudian baru kita layak digelar sebagai pakar? Mungkin ya, mungkin tidak. Tapi persoalan lain pula adalah, apakah kepentingan status atau gelaran ini? Adakah ia perlu?
Bagi saya, pengamalan ilmu itu lebih penting berbanding berdebat mengenai hal ini kerana sukar juga untuk kita menilai siapa yang lebih pakar atau kurang pakar kerana setiap orang masing-masing ada kehebatan tersendiri.
Setinggi mana pengajian tetapi kalau hanya tahu bercakap sahaja, maka tak guna juga. Kehebatan seseorang itu dilihat pada apa yang dilakukannya, keterampilannya, keberaniannya, sumbangan yang diberikan atau sekurang-kurang ada kesan manfaat yang ditinggalkan kepada manusia yang lain.
Walau apa pun, akademik atau konvensional, kita perlu tahu bahawa mana-mana cabang ilmu tetap ada disiplin ilmu tersendiri. Etika juga jangan dilupakan. Jangan sebab mahu untung, maka rela menipu dan memperdayakan orang lain. Akhirnya, bidang ilmu itu akan disalah-anggap.
Ini turut berlaku dalam bidang perniagaan internet. Ramai yang mahu untung cepat sehingga “disiplin dan etika” dilupakan. Kesannya usahawan lain turut terkena tempias akibat kerakusan mereka itu. Ramai pakar-pakar internet tumbuh bak cendawan selepas hujan. Saya tidak kata ia salah ataupun betul. Cuma saya sekadar bimbang jika situasi ini tidak terkawal, ramai yang akan mengambil kesempatan.
Saya pernah didatangi oleh seorang yang menggelar dirinya “Internet Business Consultant”. Dia boleh menunjukkan saya cara menjana pendapatan ribuan ringgit sebulan melalui internet. Dalam hati saya ketawa sendirian kerana dia tidak sedar dia hanya tahu cari orang (downline) dan bukannya membina sebuah bisnes. Ya, dia melakukan skim cepat kaya! Adakah itu internet business consultant??
Dalam MLM pun berlaku juga. Ramai yang menjadi pakar kesihatan selepas sehari dua menyertai syarikat MLM produk kesihatan. Amat bahaya jika kita memberikan nasihat atau saranan yang salah. Perlu belajar sehingga faham, praktikalnya dan kena ikut disiplin setiap ilmu. Setiap sesuatu ada tahap-tahapnya. Jangan hanya mahu cepat sahaja sampai tidak mempedulikan “asas-asas dan rukun-rukunnya”.
Penutup
Mana-mana cara ada kelebihan dan alangkah bagusnya jika golongan akademik bekerjasama dengan golongan konvensional. Inilah jalan terbaik berbanding saling menuding kau salah aku betul. Kedua-dua golongan ini masing-masing memiliki mutiara dan emas. Tiada sesiapa yang salah, maka tidak ada sebab untuk dipersalahkan melainkan memang ada fakta yang mereka lakukan itu adalah salah.
Manusia yang berguna adalah manusia yang memberikan manfaat kepada orang lain. Tidak kisahlah belajar tinggi atau tidak, yang penting buat perkara yang betul.
Wassalam.
PS. Sekali lagi persoalan di sini, siapakah itu pakar? Berikan pendapat anda.









Komen Terkini