Blog Perniagaan Internet: SmartUsaha.com

Fokus: Mudah Diucap, Sukar Dibuat

Walaupun tajuk di atas berbentuk negatif iaitu ada perkataan SUKAR, namun itulah realitinya. Tidak kisahlah sesiapa pun, fokus adalah satu perkara yang menjadi ujian bagi setiap orang. Apabila sudah tahu sukar, maka perlulah berusaha lebih kuat dan bersungguh-sungguh.

Di dalam perniagaan, fokus adalah amat penting. Perbincangan mengenai fokus perlulah sesuai dengan diri setiap orang kerana ia tiada satu maksud yang sama. Namun secara konsepnya, fokus adalah sama sahaja asasnya kepada sesiapa sahaja.

Sebagai contoh, jika kita mahu menjadi seorang pakar, maka kita amat perlu fokus terhadap bidang yang kita ceburi, sama ada ia spesifik mahupun umum. Namun jika kita suka melompat dari satu bidang ke satu bidang lain, maka bermulalah ‘bencana’ terhadap diri di mana diri kita mudah jatuh dan bangun berulang kali.

Contohnya, jika anda mahu menjadi seorang Pakar SEO, maka perlulah membaca banyak bahan bacaan berkaitan SEO, mencubanya, melakukan kajian dan eksperimen serta belajar daripada pakar yang lain. Semakin lama kita mempelajari topik tersebut dan semakin banyak kita melakukannya sendiri atau terhadap orang lain, maka kita semakin pakar.

Bagaimana untuk fokus?

Ini adalah soalan cepu emas.

Untuk fokus, kita perlulah melupakan sahaja hasrat untuk memasuki bidang lain dan menjadikan ia sebagai bidang utama. Namun jika ada masa dan ruang, boleh jadikan usaha lain terutama yang 100% berbeza dengan bidang utama sebagai sumber pendapatan sampingan.

Saya pernah menulis artikel bertajuk “Buat Duit Dengan Kepakaran“. Dengan hanya satu kepakaran sahaja, kita sebenarnya boleh mewujudkan pelbagai sumber aliran pendapatan.

Salah faham maksud fokus

Fokus mempunyai beberapa maksud seperti:

  1. Fokus terhadap BIDANG UTAMA perniagaan.
  2. Fokus terhadap tugasan kerja yang dilakukan.
  3. Fokus melakukan usaha-usaha perniagaan (banyak jenis perniagaan).

Fokus itu tidak semestinya hanya pada satu sahaja. Ia boleh lebih daripada satu. Yang penting adalah kita perlu fokus kepada semua usaha yang dilakukan itu. Bagaimana untuk fokus kepada banyak perkara? Mudah sahaja. Bahagikan masa untuk setiap usaha tersebut dan fokus pada usaha itu dalam masa tersebut.

Namun, tidak semua orang mempunyai kemahiran dan kebolehan untuk melakukan banyak jenis perniagaan yang berbeza. Kekal pada satu dan memperbanyakkan cabang pendapatan adalah pilihan yang terbaik dan tidak pernah gagal.

Kita boleh lihat sebuah syarikat penerbitan, mereka memiliki kemahiran penerbitan. Jika dahulu mereka boleh hidup dengan kaset-kaset dan CD sahaja, kini mereka mula menerbitkan majalah dan buku. Walaupun usaha mereka pelbagai, namun ia masih dalam bidang yang sama iaitu penerbitan.

Bagaimana cara tahu bidang kepakaran?

  1. Orang sering ‘memuji’ kita dengan berkata kita amat tahu mengenai sesuatu perkara. Pujian itu sama ada dalam tulisan mereka, semasa bertemu atau di mana-mana sahaja.
  2. Lihat buku-buku yang kita beli, apakah topik yang paling banyak dibeli? Semakin banyak membaca topik tersebut, kita mampu menjadi pakar (dengan syarat melakukannya juga).
  3. Dikatakan, minat sahaja tidak cukup. Kepakaran akan lebih hebat terhasil jika ia atas pertimbangan penilaian bakat dalaman. Kita boleh minat sesuatu, namun jika tiada bakat, hasilnya kurang memuaskan. Contohnya minat menyanyi, namun tidak semestinya kita boleh menjadi penyanyi terbaik. Bakat memainkan peranan penting.
  4. Tidak bosan melakukan perkara tersebut, malah rela melakukannya walau tidak mendatangkan hasil.
  5. Orang sering meminta bantuan kita untuk menyelesaikan sesuatu perkara. Maka kemungkinan kita ada kepakaran berkaitan bidang tersebut.
  6. Bercakap ‘tanpa henti’ mengenai sesuatu topik.

Selepas mengenalpasti bidang kepakaran kita, maka bolehlah berfikir dan merancang untuk FOKUS terhadap bidang tersebut. Seterusnya berusaha untuk menjana pendapatan. $$$$$…

Saya menulis mengenai kepakaran kerana saya selama ini menceburi bidang ‘Professional Services‘ (perkhidmatan), iaitu perkhidmatan kepakaran pemasaran internet. Saya tidak mampu memberikan contoh lain seperti perniagaan runcit, bisnes trading dan lain-lain kerana saya tiada pengalaman dalam bidang tersebut.

Namun apa yang cuba disampaikan adalah, kita perlu fokus terhadap usaha yang kita lakukan. Fokus sehingga mencapai puncak kejayaan.

Secebis Perkongsian….

Sepanjang empat tahun saya melakukan perniagaan internet secara sepenuh masa, saya telah melakukan banyak kesilapan. Untuk mengelak kesilapan, ada beberapa cara:

  1. Membaca banyak buku berkaitan.
  2. Ada mentor dan ‘coach’ sebagai pembimbing.
  3. Belajar daripada usahawan lain.
  4. Merancang sebaiknya dan fokus pada perancangan itu.
  5. Menghadiri majlis-majlis ilmu seperti kursus, seminar dan bengkel.

Orang yang melakukan kesilapan telah tahu di manakah lopak, lubang atau jalan mati yang perlu dielakkan, dan tahu bagaimana untuk bermula kembali. Mereka bukan sekadar tahu, tetapi telah melaluinya. Belajarlah dengan mereka dan kita mampu menjimatkan kos masa, tenaga dan wang ringgit.

Jika kita sedang kecewa, putus harapan atau tidak nampak sebarang sinar, ingatlah… ALLAH sentiasa memberikan kita peluang untuk memilih yang terbaik dan bila-bila masa sahaja kita boleh bermula sekali lagi. ALLAH juga mahu kita berDOA, SABAR dan PERCAYA bahawa kejayaan pasti dimiliki oleh orang-orang yang tetap dalam kesabaran dan penuh percaya kepada-NYA.

Pendek kata, kita perlu komited dan bersungguh-sungguh!

-

Incoming search terms:

  • kuasa fokus
  • maksud fokus
  • cara fokus dalam bisnes
  • MAKSUD KEPAKARAN
  • maksud fokus keusahawan
  • maksud fokus kerjaya
  • maksud fokus kejaya
  • maksud fokus dalam pekerjaan
  • fokus kepada satu perniagaan sahaja
  • cara untuk fokus pada sesuatu yang dibuat

Optimum Lawan Maksimum

Tersebut sebuah kisah, seorang guru silat memberikan pilihan kepada dua orang anak muridnya, sama ada untuk menggunakan 10 jenis senjata, atau satu sahaja semasa ujian persilatan nanti. Lantas anak murid pertama memilih untuk menggunakan 10 senjata, manakala anak murid kedua hanya memilih satu senjata sahaja.

Namun si guru memberikan satu syarat yang ketat. Kedua-dua mereka perlu memahirkan diri dengan senjata yang dipilih dalam masa dua minggu sahaja. Kedua-dua mereka setuju.

Dipendekkan perjalanan cerita, genaplah tempoh kedua-dua orang anak murid itu berlatih. Masa untuk mereka diuji sudah tiba. Anak murid pertama tadi, masuk ke medan ujian. Lawannya adalah seorang ahli silat yang sudah diiktiraf.

Semasa pertarungan ujian itu, si anak murid itu berganti-gantian menggunakan satu demi satu senjata. Keris, pedang, pisau, parang dan pelbagai lagi (10 jenis kesemuanya). Namun, dirinya gagal jua mengalahkan lawannya itu, hatta sekadar menjatuhkan lawannya. Beliau ‘kecundang’, malah kepenatan…

Kemudian tibalah giliran si anak murid kedua, yang hanya memilih satu senjata sahaja iaitu keris. Lawannya juga adalah seorang ahli silat yang sudah berpengalaman…

Di dalam pertarungan ujian itu, anak murid kedua itu begitu lincah sekali. Pantas, hayunan kerisnya hampir mengenai badan si lawan. Tapaknya utuh, langkahnya mantap, geraknya bergaya dan serangannya bertubi-tubi. Sehinggakan si lawan hanya mampu mempertahankan diri sahaja daripada terus dihunus keris.

Akhir perlawanan, si lawan jatuh terduduk, terkunci rapi dan tidak mampu melakukan apa-apa lagi kerana hunusan keris sudah berada di lehernya. Si anak murid itu menang walaupun hanya menggunakan keris sahaja…

Pelajaran Cerita

Apakah yang saya ingin bawakan melalui cerita di atas? Hanya satu, iaitu fokus kepada satu kekuatan. Apakah kekuatan kita? Penulisan? Suara? Kaki? Tangan? Setiap seorang manusia pasti ada kekuatannya yang utama. Begitu juga kita.

Kelebihan yang ada itu, kita perlu mengasahnya, melatihnya, menggunakannya dan menyintainya sepenuh hati. Amat rugi sekali jika potensi diri atau kekuatan yang satu itu tidak diasah dan diguna pakai untuk meraih kejayaan dan mencapai impian.

Optimum vs Maksimum

Kedua-dua perkataan ini walaupun nampak sama, tetapi bagi saya, ia berbeza. Berdasarkan cerita di atas, pesilat yang menggunakan 10 senjata tewas, kerana dirinya mahu menggunakan jumlah senjata semaksimum mungkin, iaitu 10 jenis senjata. Padahal, ada beberapa senjata yang beliau tidak begitu serasi.

Manakala si pesilat kedua itu pula hanya memilih satu senjata sahaja iaitu keris. Pada asas logik, jika hanya menggunakan satu senjata sahaja tidak cukup dan boleh kalah. Namun pada praktikalnya, ada kelebihannya.

Mengapa dengan hanya menggunakan satu senjata itu boleh menang dengan bergaya?

  1. Beliau memilih keris kerana sejak bertahun-tahun belajar silat, beliau lebih serasi dengan keris. Maka dipilihlah keris untuk sesi ujian tersebut.
  2. Beliau tidak menggunakan banyak senjata, kerana tempoh masa berlatih sebelum ujian hanya dua minggu sahaja. Sedikit sukar untuk memahirkan diri dengan banyak senjata.
  3. Dengan menggunakan satu senjata, minda akan lebih fokus. Ruang untuk berfikir juga terbuka luas.
  4. Tenaga tidak digunakan dengan banyak dengan satu senjata. Maka keletihan tidak begitu ketara.
  5. Dia tahu, lawannya adalah juga anak murid kepada gurunya. Jadi sebahagian besar gerak dan langkah sudah boleh diagak. :lol:
  6. Begitu juga kita, jika mahu berjaya di dalam hidup, tidak semestinya kita perlu melakukan banyak perkara yang di luar bidang atau yang tidak serasi dengan diri. Namun, ia tidak bermakna tidak boleh kerana tiada yang mustahil di dunia ini, melainkan jelas tidak mampu dilakukan oleh manusia.

Jadi cerita silat di atas ingin memberitahu bahawa, apa sahaja yang kita lakukan, walaupun ia hanya satu jenis, satu perkara, namun jika dilakukan secara OPTIMUM (sepenuh hati), kejayaan biasanya pasti akan diraih.

Dan seringkali juga kita melihat, ramai yang kecundang dan kecewa kerana gagal di dalam banyak usaha yang dilakukan. Banyak usaha itu adalah bermaksud, mereka cuba MAKSIMUMkan segala peluang yang ada, tetapi tidak mengoptimumkan usahanya.

Di sini, bukan bermaksud kita tidak boleh melakukan banyak perkara atau usaha. Tetapi yang penting, sejauh mana kita melakukan semua itu dengan SEPENUH HATI?

Di dalam perniagaan internet, tiada guna mengetahui 10 cara promosi atau pemasaran, namun satu pun tidak memberikan impak yang maksima. Sebaliknya, mereka yang fokus kepada satu, atau hanya beberapa kaedah pula, mampu membina kejayaan yang besar.

Fakta dan Realiti:

  1. Ain Maisarah, seorang penulis yang begitu ngetop sekali. Fokus kepada penulisan novel untuk pelajar sekolah. Beliau antara penulis yang berjaya mendapat royalti tertinggi di syarikat penerbitan PTS.
  2. Puan Ainon Mohd., pengasas PTS Publications. Fokusnya pada bidang training (sejak tahun 1988) dan juga penerbitan buku (bermula pada tahun 2000). Berkat fokus dan usahanya, beliau kini adalah seorang jutawan yang disegani dan dihormati ramai.
  3. Abdul Latip Talib, seorang yang amat fokus sebagai penulis. Setakat ini dengan fokusnya, telah menulis lebih daripada 20 buah buku dalam genre sastera Islam (sejarah). Juga di antara penerima royalti tertinggi di PTS.
  4. Mahathir Lokman, kuatnya pada suara. Seorang pengacara majlis yang juga mampu mengalih bahasa. Beliau membina kejayaan hanya dengan suara.
  5. David Beckham dikatakan fokus berlatih menguatkan kaki kanannya.
  6. Tiger Woods fokus kepada kepakaran menghayun kayu golf.
  7. Nicol David. Hidup sukses dengan hanya hayunan raket squash sahaja.
  8. Mark Zuckerberg, CEO (pengasas) Facebook, fokus kepada bidang pengaturcaraan. Nilai bisnes Facebook yang bermula dari bilik tidur hostelnya, kini mencecah berbilion-bilion ringgit.
  9. Dr. Rusly (Chef Li). Juga seorang jutawan. Beliau tekad melakukan bisnes masakan dan fokus kepada bidang pendidikan dengan membuka pusat latihan masakan. Saya juga adalah salah seorang usahawan yang hampir meninggalkan bidang e-bisnes ini (putus asa), namun kembali bangkit dan terinspirasi setelah membaca salah satu bukunya. (Begitu murninya seorang penulis buku yang baik-baik. Terima kasih.)
  10. Anda yang membaca artikel ini, termasuk saya, apakah kekuatan utama yang difokuskan? Jika mahu berkongsi (semoga menjadi rujukan kepada pembaca lain), catatkan pada ruangan komen di bawah.

Semoga berjaya dengan kelebihan, kekuatan, bakat dan potensi yang Allah SWT kurniakan tersebut.

    Satu atau sedikit tidak semestinya tidak cukup, banyak pula tidak semestinya yang terbaik.

    ps. Bagi saudara yang membaca artikel ini di Facebook, layari blog smartusaha.com untuk pelbagai artikel lain yang berkaitan dengan perniagaan dan pemasaran Internet.

    pps. Sertai juga SmartUsaha.com di Facebook (Fan Page).

    Incoming search terms:

    • apa itu optimum
    • perbezaan optimum dan maksimum
    • nicol ann david potensi diri
    • kekuatan untuk meraih kejayaan
    • kelabihan penggunaan blog dalam keusahawanan
    • beza optimum dengan maksimum
    • optimum smartusaha
    • beza optimum dan maksimum
    • serasi smartusaha chef li
    • ujian persilatan lincah
    | Panduan Buat Blog Wordpress | Kuasa Pemasaran Forum | Kuasa FTP |
    SmartUsaha.Com adalah rangkaian perniagaan internet milik Inspirasi Maya Enterprise (JM0472383-X)