Blog Perniagaan Internet: SmartUsaha.com

Bonus Kepada Produk: Perlu Atau Tidak?

Seperti yang saya janjikan sebelum ini, saya akan menulis sedikit pandangan saya mengenai bonus.

Bonus dalam maksud yang lain ialah hadiah atau pemberian percuma terhadap pembelian produk utama. Katakan anda menjual satu produk A, maka untuk menggalakkan orang membeli produk utama tersebut, maka anda menyediakan bonus (hadiah) tertentu.

Saya yakin, paling kurang anda pasti menemui sekurang-kurangnya sekali tawaran bonus di mana-mana laman web jualan, tak kisah ebook atau apa jenis produk pun.

Apakah Pro dan Kontra Bonus?

Walaupun bonus bagus untuk meningkatkan jualan, namun ada juga kontranya. Sepertimana kata Alang (yang saya nyatakan di artikel sebelum ini), beliau tidak meletak bonus kepada jualan ebook Rahsia Zango kerana tidak mahu pembeli kecewa atau ‘tidak bersuara’ semata-mata kerana telah ‘disuap’ dengan bonus. Saya setuju dengan pendapat Alang.

Jika dilihat secara asasnya, seolah-olah meletak bonus adalah semata-mata untuk menutup kekurangan produk utama. Pernyataan ini ada betulnya hanya apabila produk utama ada kekurangan. Jika produk bagus dan bonus pun bernilai, maka pembeli pasti berpuas hati berkali-kali ganda berbanding hanya mendapat produk utama sahaja.

Kontra meletak bonus hanya akan berlaku jika produk utama amat kurang nilainya berbanding bonus yang diberikan. Kesimpulan pertama di sini ialah, pastikan produk utama anda lebih bagus daripada bonus yang diberikan. Jika kurang yakin, jual sahaja dulu produk utama untuk mendapat maklum balas pembeli.

Manakala kelebihan dengan memberikan bonus ialah, sudah pasti jumlah jualan akan naik mencanak. Nisbah antara meletak bonus dengan tidak meletak bonus mungkin sedikit berbeza. Ini kerana lumrah manusia yang sukakan sesuatu secara percuma.

Tapi awas! Tak ada gunanya memberikan hadiah jika produk utama tak seperti yang digambar dan dijanjikan di laman web jualan. Jangan sesekali jejaskan ‘maruah’ produk utama akibat kerana ‘rasuah’ bonus.

Jika anda ingin memberi bonus kepada produk utama anda, ada beberapa tip yang boleh diamalkan:

1. Pastikan ia unik dan berkualiti. Jika bonus tersebut turut diberikan oleh pihak lain, maka kekuatan bonus itu mungkin menurun. Bagaimana inginkan bonus yang unik? Salah satu caranya ialah dengan menyediakan bonus yang dihasilkan sendiri.

2. Bonus yang berkaitan dengan produk. Ramai yang lakukan kesilapan besar dalam pemberian bonus. Contohnya mereka menjual produk berkaitan kesihatan, tapi bonusnya yang bernilai ribuan ringgit adalah berkaitan dengan Internet Marketing yang langsung tak berkait dengan kesihatan. Cara ini kurang berkesan. Sebaliknya, berikanlah bonus yang berkaitan dengan produk utama.

Contohnya, jika anda menjual produk menurunkan berat badan, mungkin anda boleh berikan bonus carta pemakanan seimbang dan juga contoh jadual pemakanan seharian. Bonus sebeginilah yang amat digalakkan kerana ia menambahkan lagi nilai dan kekuatan produk utama.

3. Bonus yang boleh digunakan. Jangan bagi bonus yang bernilai ribuan ringgit, tapi ia tak boleh digunakan sebaik mungkin. Berikan bonus yang bermanfaat dan bernilai kepada pembeli. Biar mereka puas hati. Jangan sekadar untuk mengaburkan mata mereka semata-mata.

4. Biar logik dan masuk akal di fikiran pembeli. Saya ingat lagi tip yang diberikan oleh Osman Affan dalam bukunya Menjual Perkhidmatan di Internet. Katanya, mungkin ada ‘something wrong’ dengan produk yang berharga sekian, tapi diberikan bonus yang berpuluh kali ganda daripada harga produk utama.

Pelik tapi benar. Bayangkan, anda perlu bayar RM100 sahaja, tapi diberikan bonus bernilai RM2000. Mesti ada sesuatu yang tak kena. Mungkin produk utama tak berkualiti sangat, atau mungkin bonus itu hanya indah khabar dari rupa. Jangan buatkan pembeli rasa ada sesuatu yang tak kena (ada kurang).

Jadi, kalau nak letak nilai bonus, biar berpada-pada. Jangan over dan ekstrem sangat. Seperti yang anda pernah lalui, ramai IM jika jual apa-apa produk dan kata akan bagi bonus bernilai ribuan ringgit, biasanya kita dah dapat agak apa bonus tersebut (terutama produk digital). Biasanya ia adalah himpunan ebook atau produk digital yang dah ketinggalan zaman, hype dan sudah tak boleh dipakai lagi.

Hakikat

Jika ada bakal pembeli bertanya “ada bonus tak kalau saya beli produk kamu ni?”, maka itu tandanya pembeli tu tak ada masalah kalau kita bagi hadiah kepada mereka. Bahkan sampai satu tahap, kalau kita tak bagi hadiah, mereka tak akan membeli produk kita.

Memanglah kita mahu menjual produk utama sahaja, tapi dalam masa yang sama, kita juga mahu menjual kepada mereka yang suka kepada bonus. Mereka ini adalah jenis yang tak kisah. Kalau ada kekurangan pada produk utama pun, mereka tak kisah. Janji mereka dapat bonus di samping produk utama.

Strategi

Saya ada beberapa cadangan strategi yang boleh digunakan untuk tingkatkan hasil jualan di laman web jualan:

1. Janjikan pemberian item percuma dari masa ke semasa. Jadi, mereka akan membeli produk utama dahulu. Pemberian percuma pula anda boleh bagi pada bila-bila masa untuk menambah-baikkan lagi hubungan anda dengan mereka. Tapi, jangan sekadar janji kosong. Kalau tak mampu, jangan buat cara ni.

2. Jadikan produk bonus sebagai back-end. Saya panggil cara ni sebagai teknik “reverse” iaitu di mana kita tak jadikan ia sebagai bonus terus dengan satu jualan. Sebaliknya, kita bagi pilihan kepada pembeli nak beli produk utama sahaja atau pakej back-end. Dengan cara ini, tak ada istilah bonus dah sebab kita dah buat dua pakej.

Saya amat sarankan cara kedua ini sebab seperti yang saya katakan sebelum ni, pembeli ni banyak jenis. Ada yang tak suka bonus dan ada yang suka. Jadi, buat dua pilihan pembelian (produk utama dan jualan back end).

Dengan menggunakan strategi back-end ini, anda akan buat keuntungan lebih jika ada yang membeli pakej back-end. Berbanding dengan hanya menjual produk utama sahaja, saya rasa lebih bagus jika buat dua pakej sebegini. Back-end ni bukan ‘janji manis’ seperti bonus, tapi ia adalah sebagai pilihan kepada pembeli.

Terserah kepada anda nak panggil cara ni sebagai back-end ke apa, asasnya ialah sediakan satu tawaran khas kepada pembeli selain produk utama.

Pelbagai Jenis Harga

Jika anda pernah perasan, ada Internet Marketer yang buat pelbagai jenis harga. Pakej A harga sekian, Pakej B harga sekian dan Pakej C harga sekian. Saya bagi contoh (cadangan) untuk produk Alang:

Pakej A (RM30.00) : Ebook Rahsia Zango + Forum Support

Pakej B (RM65.00) : Ebook Rahsia Zango + Forum Support + Konsultasi 1 jam di YM 1-to-1

Pakej C (RM135.00) : Ebook Rahsia Zango + Forum Support + Konsultasi 1 jam YM + Servis Website

Kesimpulan

1. Berikan bonus yang berkualiti, unik dan berguna kepada pembeli.

2. Jangan jadikan bonus semata-mata untuk mengumpan sahaja. Mengumpan dan betul-betul memberikan hadiah amat berbeza sekali. Hadiah seperti yang kita fahami adalah sesuatu yang boleh dihargai dan berharga. Jadi berikan sesuatu yang bernilai, bukan yang “sampah”.

3. “Convert” bonus kepada kaedah/strategi lain seperti back-end atau pelbagai pakej (harga). Maksimakan keuntungan jualan di laman web jualan dengan kaedah-kaedah sebegini. Kaedah ini bukan mengumpan, tapi kita sediakan pilihan kepada pembeli untuk memilih sesuatu yang mereka mahu. Berbeza dengan meletak bonus dengan satu harga, ia seolah-olah sogokan dan paksaan kerana tiada pilihan lagi untuk mereka.

Sekian.

Ulasan Terhadap Tulisan Alang

Alang telah menulis satu artikel yang amat menarik mengenai pengalaman beliau di dalam penulisan dan penerbitan ebook. Walaupun beliau mengatakan masih baru dalam dunia penulisan ebook, namun pandangan beliau terhadap ebook boleh dikatakan seperti sudah berpengalaman.

Di artikel saya ini, saya akan mengulas apa yang telah Alang tulis di artikel tersebut yang mana artikel beliau itu lebih menyentuh ebook terbarunya iatu Rahsia Zango Cash. Yang saya bold di bawah ialah apa yang ditulis oleh Alang dan kemudian adalah pandangan saya.

“Menyebut tentang muka surat, ada juga yang bertanya kepada saya kenapa ebook ini hanya 17 muka surat dan tidak padan dengan harga yang saya jual. Saya ingin bertanya kepada anda adakah harga sesebuah ebook bergantung kepada jumlah muka surat atau isi kandungan ebook tersebut dan support yang diberikan oleh penulis? Apa guna ebook yang mempunyai lebih 100 muka surat sedangkan isinya bukan asli, hanya copy and paste daripada sumber-sumber di internet seperti blog dan forum.”

Di dalam menentukan ebook yang bagus atau tidak, berkualiti atau crap, bilangan muka surat bukanlah satu faktor yang amat ideal untuk dijadikan sebagai satu faktor penentu. Sebaliknya, ebook yang bagus ialah ebook yang menunaikan apa yang ‘dijanjikan’ di sales letter dan isi kandungan ebook tu benar-benar membantu pembaca.

Jadi, sikit atau banyak muka surat bukan satu ukuran untuk menentukan sesebuah ebook tu bagus atau tidak. Jika ada orang mengatakan ebook bermuka surat sedikit lebih bagus daripada bermuka surat banyak, ia satu tanggapan yang kurang tepat. Ini kerana, tak semua ebook bermuka surat sedikit adalah bagus, sebaliknya ebook yang bermuka surat banyak pun ada yang bagus juga.

Kesimpulannya, kualiti kandungan itulah yang patut dinilai, bukan pada bilangan muka surat. Persoalan mudah di sini, jika katakan ada satu ebook yang hanya satu muka surat sahaja, tapi mendedahkan kepada anda satu rahsia bernilai puluhan ribu ringgit, maka adakah anda sanggup membelinya? Ya, sudah semestinya. Kenapa? Sebab isinya yang amat bernilai tinggi. Tatkala itu, fikiran anda sudah lupakan bilangan muka surat kerana apa yang anda mahu ialah rahsia tersebut yang mungkin akan mengubah hidup anda.

“Oleh kerana saya bukan penulis yang baik, saya tak mampu menulis ayat yang berjela-jela untuk menerangkan sesuatu fakta. Jadi, pendekatan saya adalah straight to the point dan menggunakan screenshot sebagai contoh. Alhamdulillah setakat ini feedback yang saya terima dari pembeli mengatakan mereka lebih mudah memahami dengan cara ini.”

Bukan saya sahaja, malah sesiapa pun amat tidak suka ebook yang berjela-jela tanpa memberikan sebarang faedah pun. Katakan ebook itu berjumlah 100 muka surat, tapi intipati yang perlu/penting hanya 5 muka surat sahaja. Maka bagi saya, cukup sahaja menyatakan intipati utama tanpa memasukkan penerangan yang tidak perlu dan berkaitan.

Hal ini amat disukai oleh para pembaca (pembeli) kerana mereka dapat apa yang mereka mahu. Malah itulah tujuan mereka membeli iaitu mahu menjimatkan masa (tak sempat nak research sendiri). Menulis panjang lebar sehingga keluar daripada topik utama adalah satu perkara yang hanya menyusahkan kefahaman dan menyukarkan tindakan pembaca. Cukup hanya fokus pada isi utama dan masukkan info lain jika dirasakan perlu.

“Dan tidak seperti ebook-ebook lain, saya juga tidak menulis tentang latar belakang saya atau pengenalan diri saya kerana saya beranggapan orang yang membeli ebook tersebut bukan mahu membaca mengenai saya tetapi sebaliknya tentang apa yang saya tulis.”

Ada pro dan kontranya. Letak Ok, tak letak pun Ok. Tapi saya sama seperti Alang, tak suka letak info mengenai saya (penulis). Yang pembeli mahu ialah isi kandungan, bukan nak ambil tahu mengenai penulis. Tapi bagi saya, jika anda mahu letak, boleh sahaja. Sebab ia pun satu strategi sebenarnya. Cadangan saya, letak sahaja di akhir ebook. Sebab, saya yakin, jika isi kandungan ebook amat bagus (dirasakan oleh pembaca), maka sudah pasti mereka mahu mengetahui lebih lanjut mengenai anda dan apakah produk anda yang lain.

“Ada juga yang mempersoalkan tentang saya yang baru sebulan lebih menggunakan ZangoCash tetapi terus menulis ebook. Bagi mereka, saya masih tidak cukup pengetahuan atau pengalaman. Memang saya akui pengetahuan dan pengalaman saya tentang ZangoCash masih cetek malah saya masih belum menerima bayaran pertama. Tetapi jangan risau, ZangoCash memang bayar publishernya, saya ada beberapa orang kawan yang sudah menerima bayaran. Tetapi apa yang saya nak tekankan di sini ialah walaupun pengetahuan saya tentang ZangoCash ini masih cetek, tetapi saya mampu menjana pendapatan sehingga $50 sehari.”

Ada pro dan kontranya dalam bab sebegini. Bagi kes Alang ini, beliau memang wajar terus berkongsi mengenai program Zango Cash kerana mungkin pada suatu hari kelak, program ini semakin tinggi persaingannya atau sudah tidak relevan. Seperti mana kata Alang, “Selain itu, setiap hari saya mempelajari perkara baru tentang ZangoCash dan pengetahuan ini saya kongsikan dengan pembeli ebook di forum. Saya tidak perlu menunggu sehingga satu atau dua tahun menggunakan ZangoCash baru nak menulis ebook kerana mungkin ketika itu ZangoCash ini dah basi...

Namun bagi saya, bagi keadaan yang lain, mungkin ada topik tertentu yang perlu menunggu sedikit masa dahulu sebelum menulis mengenainya dan menjual dalam bentuk ebook. Pendek kata, tengok kepada keadaan, keperluan dan kerelevanannya. Jika sesuai, maka tulis jer lah.

Dari segi praktik, kita patut menyontohi Alang kerana walaupun beliau masih baru dalam penulisan ebook, setakat ini (tahun ini sahaja), beliau sudah menghasilkan tiga buah ebook (dua daripadanya adalah special report). Tulis sahaja dan belajar daripada kesilapan. Bukan menunggu begitu lama sehingga segalanya basi dan peluang dikebas orang. Cepat di dalam bertindak adalah amat penting di dalam perniagaan.

Selain itu, bagi saya, yang paling penting ialah penulis yang juga penjual bagi ebook tersebut haruslah bertanggungjawab ke atas apa yang ditulisnya. Mereka haruslah berusaha membantu pembeli (seperti yang dijanjikan) dan jika ada perkara baru mengenai topik yang ditulis dalam ebook, maka sebaiknya kemaskinilah ebook tersebut.

“Tak cukup dengan itu, sales page saya juga turut dipersoalkan. Kenapa terlalu ringkas dan pendek tidak seperti sales page lain yang panjang berjela sehingga naik pening membacanya dan juga lenguh tangan scroll page tersebut. Terus terang saya cakap saya memang tidak suka sales page yang panjang berjela yang penuh dengan hype-hype yang entah apa-apa hanya untuk melariskan produk.”

Sales letter yang pendek atau panjang, ada sebabnya. Jikalau muka surat (kandungan) ebook sedikit, maka biasanya sales letter akan pendek. Atau jika harga rendah, maka biasanya sales letter akan pendek. Tapi jika harga ebook/produk amat tinggi, maka sales letter panjang amat digalakkan sebab pembeli mahu tahu produk yang akan diperolehi adalah senilai dengan harga yang dikenakan.

Contohnya, jika kita letak harga RM1000 untuk satu produk, maka tak cukup jika hanya menyatakan beberapa perkara sahaja di laman web jualan sebab ia amat sukar untuk meyakinkan dan memuaskan hati bakal pembeli. Pembeli mahu tahu satu demi satu yang akan mereka dapat, dan kemudian baru mereka akan membeli.

Berbeza dengan harga yang rendah, maka tidak ada masalah besar jika tidak meletak banyak penerangan. Pendek kata, salah satu fungsi sales letter ialah untuk meyakinkan bahawa apa yang mereka akan dapat adalah sebanding dengan bayaran yang mereka keluarkan (sama padan dengan harganya).

Jadi, sales letter pendek atau panjang, itu bukan persoalan pokok, malah tak perlu dipersoalkan pun sebab ia bergantung kepada produk yang dijual dan harga yang dikenakan. Sebaliknya, yang menjadi masalah ialah hype yang amat keterlaluan, atau janji-janji manis yang tak masuk akal dan tak bertanggungjawab.

Saya pun tidak suka sales letter sebegini yang hanya mahu menjerat para pembeli. Sebaiknya, nyatakan apa yang akan pembeli dapat dan faedah yang bakal mereka terima. Itu sudah memadai. Sales letter yang teruk adalah sales letter yang janji lain, tapi lain pula isi kandungan ebooknya. Ia adalah satu penipuan yang amat tidak wajar.

Kita perlu jelas apa fungsi sales letter. Jika kita kata sales letter tak perlu bagus, kita silap. Bagus dan hype adalah dua perkara yang amat berbeza bagai langit dengan bumi. Sales letter yang bagus (killer) adalah yang tidak menjanjikan sesuatu yang menipu tapiĀ  dalam masa yang sama ia mampu menjana banyak jualan. Sebaliknya sales letter yang penuh dengan hype memang dapat banyak jualan, tapi kalau sudah menipu, maka banyak jugalah mendapat kutukan dan kemarahan daripada pembeli. Noktah.

“Dan perkara terakhir yang dipertikaikan adalah kenapa tidak ada bonus yang lumayan? Bonus yang saya berikan hanyalah peluang menyertai program affiliate dan juga forum rahsia khusus untuk pembeli. Tidak ada bonus-bonus yang yang harganya berpuluh kali ganda dari ebook yang membuatkan pembeli fikir banyak kali nak komplen tentang kualiti ebook kerana rasa terhutang dengan bonus-bonus tersebut.”

Untuk bab bonus ini, saya akan menulis satu artikel khas mengenainya. Cuma apa yang dapat saya katakan, ada pro dan kontra dalam bab meletak bonus. Ada satu keadaan, jika tak letak bonus, ia tak ada masalah. Dalam keadaan lain, adalah menjadi satu ‘kesilapan’ jika tak letak bonus. Jadi tunggu artikel saya yang akan datang mengenai bonus.

Klik di sini untuk ke laman web jualan ebook Rahsia Zango Cash. Dan saya akan membuat review mengenai ebook ini nanti di blog saya yang satu lagi dalam masa terdekat.

——

“Cara untuk lambat berjaya ialah dengan lambat bertindak, dan cara mudah untuk gagal ialah dengan terus berhenti bertindak”. – smartzul

Incoming search terms:

  • apa itu zangocash
| Panduan Buat Blog Wordpress | Kuasa Pemasaran Forum | Kuasa FTP |
SmartUsaha.Com adalah rangkaian perniagaan internet milik Inspirasi Maya Enterprise (JM0472383-X)