Setelah melakukan sedikit kajian dan pembacaan mengenai penetapan kadar bayaran untuk jemputan ceramah, saya dapati ada dua pendapat atau ‘mazhab’ (kumpulan):
- Ceramah sebagai amalan akhirat (tidak caj mahal)
- Caj dari sudut pandangan bisnes
Kedua-dua kumpulan ini masing-masing mengemukakan hujah tersendiri, malah ada yang menidak-nidakkan atau mempersoalkan kaedah pihak yang lain. Dan saya perhatikan, yang banyak mengupas hal ini adalah kumpulan satu.
Contohnya, kumpulan 1 mengatakan orang yang meletakkan kadar bayaran yang tinggi adalah orang yang tidak ikhlas, membebankan pihak penganjur dan mementingkan duniawi. Maksudnya, amatlah tidak wajar kadar bayaran diletak dengan begitu tinggi. Mereka mahu semua orang ikut cara mereka, yang tidak mementingkan kadar caj dan lebih sesuai di sisi Agama, katanya.
Namun, kumpulan 2 pula tetap dengan pendirian mereka dengan menggariskan sebab-sebab mereka menetapkan kadar bayaran yang tinggi. Antaranya adalah soal kos, penceramah itu tiada bergaji tetap (usahawan) dan pelbagai lagi kos-kos lain yang perlu mereka tanggung. Inilah yang dimaksudkan caj dari sudut bisnes, iaitu caj ditetapkan dengan pelbagai rangkuman aspek berkaitan.
Isu ini lebih kurang sama dengan persoalan “adakah mengambil upah dengan mengajar Al-Quran boleh atau tidak”. Ada ulama yang membolehkan, ada ulama yang tidak mengalakkannya. Namun, pendapat pertama adalah lebih disokong ramai atas penilaian-penilaian yang munasabah, dan melihat pada pelbagai skop. Namun, semuanya bergantung juga kepada keadaan dan situasi.
Pendapat Saya?
Saya tidak berpihak kepada mana-mana dua kelompok di atas, malah mengguna pakai kedua-dua cara. Pada tahun 2005, saya beberapa kali memberikan ceramah mengenai perniagaan internet tanpa mengenakan sebarang caj. Ceramah itu adalah untuk para pelajar IPT. Niat saya adalah untuk berkongsi ilmu dan pengalaman.
Manakala pada tahun 2006, saya menjadi penceramah dan trainer untuk satu pihak penganjur bengkel perniagaan internet. Berapa yang saya dapat? Saya tidak menetapkan apa-apa, malah menerima berapa sahaja yang mereka berikan. Yang penting dapat memenuhi kos pengangkutan, makan minum dan ada sedikit duit lebihan. Saya tidak sesekali melihat kepada ‘profit’. Hanya ingin berkongsi ilmu sahaja.
Namun, dalam keadaan tertentu, saya juga akan mengenakan kadar bayaran yang tinggi. Semuanya melihat kepada keadaan dan situasi. Hidup kita ini adalah fleksibel dan tidak boleh keras hati dengan satu pegangan semata-mata.
Untuk kumpulan 1 yang mengatakan kadar bayaran tinggi itu menyusahkan dan menuduh pihak kumpulan 2 tidak ikhlas, ia adalah satu kata-kata yang penuh kerosakan. Siapakah kita untuk membaca hati dan niat orang lain? Mengenakan bayaran yang tinggi tidak bermaksud tidak ikhlas, dan mengenakan bayaran yang rendah tidak pula bermaksud si penceramah itu adalah yang terbaik.
Lihat sahajalah berapa ramai penceramah percuma yang cincai isinya hanya mengutuk itu ini, mengumpat dan memfitnah, sampai diri sendiri pun cakap tidak serupa bikin. Jadi kita tidak boleh mengatakan yang harga tinggi itu tidak patut, dan yang murah itu terbaik. Begitulah sebaliknya, ada juga yang mahal kosong isinya, dan yang murah pula penuh pengisian.
Di dalam berpandangan, kita perlu melihat kesemua pegangan tanpa berat sebelah atau memandang pada satu sisi sahaja. Keduanya, kita tidak boleh menghakimi orang lain dengan prinsip kita yang mungkin hanya sesuai untuk kita dan tidak untuk orang lain.
Ketiga, jika seseorang penceramaah menetapkan harga tinggi dan tidak mampu untuk kita membayarnya, kita masih mempunyai banyak pilihan untuk menjemput penceramah yang sesuai dengan bajet atau peruntukan program. Mudah bukan? Jangan sampai kita menuduh orang lain tidak ikhlas atau melontarkan 1001 kata-kata nista dan dusta kepada mereka.
Kita perlu menjadi manusia yang adil di dalam menilai dan berkata sesuatu. Kita tidak boleh menghakimi orang lain sesuka hati. Penceramah yang meletak harga tinggi ada pasarannya tersendiri dan penceramah yang meletakkan harga rendah juga ada sasaran mereka sendiri.
Di dalam proses menyebarkan ilmu, ada banyak jalan, kaedah dan cara. Kita sama sekali tidak boleh menetapkan hanya satu kaedah untuk proses penyampaian ilmu ini. Sebagai contohnya, orang-orang yang berada. Mereka biasanya lebih selesa menyertai program yang mahal dan eksklusif. Jadi mereka adalah kumpulan terbaik untuk penceramah yang meletak kadar bayaran yang tinggi tadi.
Orang-orang yang berada (kaya) itu mahu mengikuti program yang eksklusif sahaja bukanlah bermakna mereka menidakkan yang murah atau yang biasa-biasa, tetapi mereka melakukan sesuatu yang sesuai dengan tahap mereka. Tidak bolehlah kita menghukum mereka sesuka hati. Orang miskin pun ramai juga yang jahat, orang kaya pun ramai juga yang baik. Selagi bernama manusia, miskin atau kaya, semuanya terletak pada hati. Jangan sama sekali menilai pada harta.
Bayangkan, jika semuanya murah-murah, adakah usaha “dakwah” atau penyampaian ilmu akan sampai kepada orang-orang yang berada itu? Manusia ini banyak kelompok dan jenisnya. Maka kita perlu berusaha dengan kaedah yang sesuai untuk setiap kelompok.
Yang meletakkan harga tinggi tidak semestinya tidak ikhlas dan tidak diredhai Allah. Malah mungkin yang meletakkan bayaran murah itu amat riak orangnya dan kacau jiwanya. Segalanya ada kemungkinan. Maka dapat kita simpulkan, (1) Jangan membaca hati dan niat orang (hukumnya berdosa), (2) Jangan menilai sifat seseorang pada kadar bayaran, (3) Kita perlu bersangka baik, (4) Kita buat cara kita dan orang lain dengan cara mereka.
Akhir kata, isu-isu kecil sebegini hanya diheboh-hebohkan oleh mereka yang tidak adil di dalam berilmu dan pertimbangan, serta menilai sesuatu tanpa melihat pada pelbagai aspek dan skop berkaitan. Mereka hanya tahu menghukum semua orang lain salah dan hanya mereka betul. Paling teruk, mereka hanya pengkritik yang tiada apa-apa sumbangan untuk Agama, umat, bangsa dan negara.
Hidup ini terlalu banyak rencahnya dan apabila kita seronok dengan kaedah kita, janganlah pula menghakimi orang lain semuanya tidak betul dan salah. Cuba soalkan diri kita dahulu sebelum mengkritik orang lain, “Adakah cara aku benar-benar sudah betul?” Dari situ kita akan sedar bahawa, tiada yang terbaik. Semuanya betul melainkan jelas ia salah.
Wassalam.
Nota Kaki:
Setakat ini, saya belum menganjurkan sebarang siri seminar saya sendiri. Saya tidaklah hidup dengan mengadakan seminar atau ceramah selama bertahun-tahun lamanya. NAMUN, ingin saya nyatakan, tidak salah seseorang itu mengadakan seminar atau hidup dengan hasil berceramah atau menganjurkan program sahaja. Mengapa? Sudah ditakdirkan dirinya berperanan sebagai penceramah! Rezeki masing-masinglah kan? Kalau kita mempersoalkan, bermakna kita telah mempersoalkan Allah yang telah menyediakan rezeki itu untuk mereka.
Dan keduanya, setiap manusia ada cara dan peranan tersendiri. Jangan pula kalau kita buat A, kita juga mahu orang lain buat A dan mempersoalkan mengapa mereka buat B. Mengapa mahu dengki dan mempersoalkan? Tiada apa-apa manfaat jika kita cuba mempertikaikan usaha baik orang lain. Bak kata Wonder Pets (cerita kartun), yang penting adalah KERJASAMA. Sama-samalah kita membangunkan umat dan bangsa dengan cara masing-masing. Bersatu teguh, bercerai kita roboh.









Komen Terkini