Hidup Perlu Ada Pendirian

Nota: Akibat kesalahfahaman ramai pembaca terhadap artikel ini disebabkan oleh tajuknya “Sikap Berkecuali: Hati Lebih Tenang”, maka saya telah menukar kepada tajuk yang membawa kepada maksud sebenar yang saya cuba sampaikan iaitu “Hidup Perlu Ada Pendirian“. Sikap berkecuali yang saya cuba sampaikan sebenarnya adalah sikap mempunyai pendirian tersendiri iaitu tidak mengikut arus atau menjadi “yes man” (tukang angguk) tanpa berfikir dan menilai terlebih dahulu. Maaf di atas penggunaan istilah yang kurang tepat (berkecuali).

Kedua, artikel ini ditulis bukan untuk skop yang umum atau general. Ia lebih kepada dunia Internet Marketing terutama di dalam isu-isu ‘panas’ yang memerlukan seseorang mempunyai pendirian tersendiri. Artikel ini khususnya dan blog ini umumnya, tiada kaitan dengan isu politik, isu semasa negara, isu Agama atau seangkatan dengannya. Harap maklum.

Salam sejahtera semua.

Di dalam kehidupan ini, setiap hari kita akan melihat atau mendengar orang melakukan kesalahan atau kesilapan. Hatta saya dan anda yang sedang membaca artikel ini pun tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan. Ia adalah normal.

Apa yang ingin saya perkatakan pada kali ini adalah salah satu sikap dan pegangan saya selama ini iaitu BERKECUALI. Saya lebih tenang dan senang dengan sikap sebegini. Prinsip ini tidak bermaksud saya tidak perlu hidup ‘berpersatuan’, tetapi diri sendiri tetap mempunyai pegangan.

Maka sebab itulah dahulunya (insyaAllah sehingga sekarang), saya lebih senang ‘bersendirian’ (underground), seperti pergi ke mana sahaja yang saya suka, buat apa yang saya mahu dan berjumpa dengan sesiapa sahaja yang saya suka, tanpa kekangan, tanpa sempadan dan tanpa ikatan. Bebas…

Prinsip Berkecuali

Contohnya, jika ada sekumpulan orang tidak sukakan si A atau sesebuah kumpulan yang lain, saya pula sebaliknya. Saya tidak semestinya perlu menyokong kumpulan tadi, malah tidak semestinya mempertahankan si A. Saya tidak akan bias dengan mana-mana pihak. Saya akan menjadi ‘orang tengah’ sebagai penapis segala maklumat, menyelidikinya dan mencari kebenaran setakat yang termampu.

Kedua, saya amat tidak selesa dengan cara menolak atau meminggirkan seseorang hatta kerana salahnya yang kecil. Di dalam praktik kehidupan, manusia (iaitu kita semua) sering bereksperimentasi dengan cara tertentu. Lain orang, lain ragam, lain perspektif. Salah pada hari ini, tidak semestinya akan salah selamanya. Berikan mereka peluang untuk memperbaiki kesilapan tersebut.

Terimalah mereka seperti mana kita menerima diri kita, iaitu sebagai manusia yang amat lemah ini. Jangan meletak diri kita seperti malaikat yang tiada dosa, dan melihat orang lain penuh dengan silap dan dosa. Tidak salah jika saya katakan, sikap sebegitu lebih teruk daripada orang yang melakukan kesalahan itu.

Ketiga, saya suka berbincang dan berdiskusi dengan sesiapa sahaja. Saya tidak akan mendengar hanya daripada seorang atau sekumpulan orang sahaja, tetapi saya akan cuba mendengar daripada semua pihak. Semua orang adalah kawan saya. Saya tidak mahu bermusuh.

Keempat, saya juga tidak selesa mencari, mengkritik atau membicarakan kesalahan orang lain, melainkan sesuatu perkara itu perlu diperbincangkan untuk kemaslahatan semua. Mengkritik tanpa tujuan adalah satu perbuatan yang sia-sia, membazir masa dan merugikan semua pihak. Sebaliknya, saya lebih suka menyampaikan ilmu, pengalaman dan informasi terutama melalui penulisan.

Kelima, matlamat saya melakukan bisnes adalah untuk kebaikan semua, terutama usaha penulisan saya di blog ini, di Facebook, di forum dan kelak melalui buku, artikel dan sebagainya. Seperti mana kata-kata Zamri Mohamad di dalam bukunya:

“Penulis bebas berkawan dengan sesiapa sahaja tanpa perlu mengikut satu kumpulan dan memusuhi kumpulan lain. Tanggungjawab penulis adalah menjadi penapis kepada sumber yang diperoleh dan diberikan kembali kepada pembaca.

Tulisan yang dihasilkan menunjukkan sikap penulis yang cenderung kepada kebenaran dan fakta, bukan memperjuangkan sesuatu berdasarkan kepentingan individu. Penulis perlu memainkan peranan bagi mencerdikkan bangsa, mempermudah ilmu dan membumikan ilmu yang betul supaya dipraktikkan oleh masyarakat.”

Dipetik daripada buku Tip Menjadi Penulis Bestseller, tulisan Zamri Mohamad.

Akhir kata, jika kita mengikut cara orang lain, atau menerima bulat-bulat kata-kata orang, tunduk dan mengiyakan tanpa berfikir dahulu, maka begitu rendahnya martabat kita. Tiada nilai. Tiada prinsip. Allah SWT memberikan kita akal dan pedoman. Maka hiduplah dengan berprinsip agar kita mempunyai suatu NILAI dan MARUAH tersendiri.

Hidup, jangan sampai kita dipergunakan orang sama ada secara terang, gelap, sembunyi, atau ditikam dari belakang. Saya akan terus dengan sikap berkecuali. InsyaAllah aman dan damai.

Wassalam.

Penulis: Mohd Zulfadli


(SmartZul) adalah seorang penulis dan usahawan Internet sepenuh masa. Beliau memulakan perniagaan melalui Internet sejak tahun 2005, dengan memfokus kepada bidang penulisan dan penerbitan secara online. Beliau turut aktif berkongsi ilmu dan pengalaman melalui blog dan juga komuniti Facebook. Klik menu Hubungi di atas untuk menghubungi beliau.

SERTAI NEWSLETTER SMARTUSAHA.COM
Sertai newsletter SmartUsaha.com untuk mendapatkan info dan tip-tip perniagaan dan pemasaran Internet terus ke emel anda.
Kami benci spam. Emel anda selamat bersama kami.

Komen Guna Facebook:

comments

19 thoughts on “Hidup Perlu Ada Pendirian

  1. Saya pun skrg bersikap KECUALI dalam thread2 panas di Sembang Umum WangCyber.com

    Malas nak layan karenah2 forumers yang terlalu bijak dan pandai yg hanya berani post sesuatu tanpa identiti sebenar.

    WangCyber.com sekadar rujukan bisness internet sahaja. Better tumpukan pemikiran kpd perbaiki diri sendiri.

  2. Saya sudah nampak peningkatan positif pada En. Zul. Tahniah kerana menjadi penapis dan pemberi sumber informasi dan penggunaan Bahasa Melayu yang baik.

  3. Ya betul tu, berkecuali, tetapi tidak salah kalau membenarkan pihak yang kita rasa benar dan tegur pihak yang kita rasa salah dengan cara berhemah. Hanya pandangan peribadi.

    1. Sikap berkecuali yang saya maksudkan di atas adalah berkecuali yang terkawal dan tetap berasaskan Agama, di mana:

      1. Kita perlu bersangka baik.
      2. Amar makruf tetap dilaksanakan.
      3. Menegur mana-mana pihak yang melakukan kesilapan dan bukan memburukkan mereka.
      4. Jika ahli kumpulan kita melakukan kesalahan kecil atau besar, kita tetap menegur mereka. Salin berpesan-pesanan.
      5. Walau berpegangan berkecuali (ada prinsip sendiri), namun tetap perlu hidup berkumpulan, tetapi tetap adil dengan sesiapa sahaja termasuk kumpulan yang lain.
      6. Tidak menyorok kebenaran yang dilakukan oleh pihak lain.
      7. Berhak mempertahankan diri jikalau diri dipergunakan.
      8. Menjadi orang tengah.

      Pendek kata, sikap berkecuali ini adalah yang terkawal dan bukan bebas 100% seperti mana cara Barat. Artikel di atas juga bermaksud bersikap adil, tidak berat sebelah dan tidak pilih bulu.

      Kita tetap menjadikan Islam sebagai asas untuk segala prinsip.

  4. Memang perlu sifat BERKECUALI pd situasi tertentu..Asalkan ia membawa kebaikan pd diri kita dan org lain. Biasalah manusia ni terlalu byk kerenah..xboleh nak dilayan semuanya

    Al-Quran Digital, Sentiasa Di Samping Anda

  5. Sebagai seorang guru, saya juga mengamalkan sikap berkecuali untuk menjalankan tugas seharian. Saya tidak suka meminta pertolongan orang lain jika saya percaya saya boleh buat sendiri. Saya tak suka ambil tahu hal orang lain dan tidak suka meluahkan masalah diri pada orang lain. Sikap berkecuali pada orang lain seolah diri kita sombong dan tidak mahu berkawan. Apapun kita tidak boleh hidup berkecuali selamanya……

  6. Mari sesama kita perhatikan seketika secara umum,pengertian ‘sikap berkeceuali’ didalam penghidupan. Tidak berbelah bagi didalam membuat keputusan, bermakna tidak dipengaruhi kuasa atau kasta. Tidak beremosi apabila mengeluarkan kenyataan atau membuat sebarang keputusan didalam penghakiman. Senentiasa bersikap adil dan kesaksamaan, disamping memahami peruntukan hak keatas kedua-dua individu atau kempulan. Dan banyak lagi contoh yang tidak perlu dicatat didalam penulisan kali ini. Memadai sekadar contoh bagi memperjelaskan perkataan ‘sikap berkecuali’dan demikian maka dengan sendirinya akan wujud satu suasana kehidupan yang penuh bertanggungjawab,serta saling menghormati antara sesama manusia. Kelihatan demikian ini terbentuk satu corak rumpunan bangsa yang penuh bertolaransi dan menjalani kehidupan yang aman damai. Apapun coretan ini adalah pendapat semata mata,dan sebarang kesilapan diberi teguran yang membina.

  7. Bagus jika kita ada sikap berkecuali yang terkawal seperti Smartzul katakan, sikap begini menunjukkan bahawa kita ada kepercayaan yang kuat pada diri sendiri.

  8. Untuk ambil pendirian berkecuali ni adalah satu langkah yg bijak. Dengan cara ni, kita boleh menilai dahulu hujah semua pihak yang terlibat dan selpas tu jika perlu barula beritahu pendirian kita. Mm, macam hakim dalm sistem mahkamah jugak la kan..

  9. Sikap berkecuali memang ade baiknya. Bukan bererti kita sombong mahupun ingin hidup bersendirian. Diam tak bererti kita sombong, banyak cakap pula tak bererti kite penuh berilmu.

    Saye tetap merasekan sikap ini amat perlu kerana hidup perlu berpendirian. Bukan seperti lalang yang sentiasa terpakse mengikut rentak angin bertiup.

    Namun, bile hak kite dicabuli, make kenela kite pertahankan dgn care yg penuh berhemah. Sekali lagi, hidup berpendirian amat perlu.

    p/s:Terima kasih Zul untuk artikel yang cukup baik.

  10. Kadangkala diam itu lebih baik dari berkata-kata namun sekiranya keadaan memerlukan, kita perlu berkata sesuatu yang benar walaupun pahit.Selain dari itu saya bersikap berkecuali..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *