Siapakah Yang Layak Menjadi Usahawan Internet?

Jika anda adalah pelawat tetap blog ini ataupun baru sahaja menjumpai, anda perlu tahu apakah skop UTAMA penulisannya. Di blog ini, saya lebih akan menulis kepada perkara keusahawanan yang sebenar melalui bidang perniagaan Internet. Saya tidak akan begitu menulis perkara berkaitan “how to make money” di sana dan di sini… 🙂

Saya yakin, anda sudah membaca banyak artikel ataupun buku yang menceritakan mengenai motivasi usahawan dan sudah jenuh membaca mengenai apakah ciri yang perlu ada pada diri seorang usahawan.

Namun, saya mahu juga menyenaraikan tiga ciri yang wajib ada pada seseorang yang mahu menjadi seorang usahawan yang bertahan lama.

1. Ada sifat mahu belajar dan berusaha sendiri

Bagi saya, inilah perkara pertama dan utama yang perlu ada pada seseorang yang mahu jadi usahawan. TIDAK cukup jika hanya ada sifat mahu belajar sebab semua orang ada. Si pemalas pun ada sifat mahu itu, tapi mereka tak ada usaha yang kuat (rajin).

Berdasarkan pengalaman sayalah, ramai yang bertanya bagaimana dan bagaimana atau tidak kurang juga mereka mengeluh tidak tahu itu dan ini. Tapi pelik, mengapa mereka kurang usaha untuk belajar? Jalan sudah ditunjuk, tapi kenapa masih berharap pada orang lain?

Jawapannya mudah, mereka mahu mudah dan nak hasil yang cepat. Cara mereka mudah, tanya sahaja orang lain dengan soalan yang berjela-jela. Siap tunggu orang menjawab dan membantu sahaja. Prinsip mereka juga mudah, semua perkara adalah percuma dan orang yang sudah berjaya WAJIB membantu mereka secara percuma… Begitulah rutinnya…

Di dalam bidang perniagaan Internet, anda perlu belajar asas dahulu. Perlu faham perkara-perkara yang perlu anda tahu, terutama asas komputer dan Internet. Tak perlulah saya ulang lagi, perkara ini wajib walaupun anda boleh mengupah orang lain…

Pendek kata, wujudkan kemahuan dalam diri dan berusahalah diri-sendiri. Manfaatkan kudrat yang Allah kurniakan, jangan mudah hilang akal. Jangan hanya mahu berharap pada orang lain. Nak lebih faham, boleh baca buku Pendeta Za’aba, “Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri” terbitan DBP. Ia satu buku yang amat bagus, boleh dapatkan di kedai buku berhampiran.

2. Sabar, Cekal dan Tabah

Ciri ini paling sukar dikuasai dalam diri manusia. Sudah lumrah semuanya nak cepat belaka. Kalau anda sudah ada asas, ada kemampuan, sesuatu perkara itu boleh dilakukan dengan ‘cepat’, tapi jika anda masih baru dalam perniagaan, jangan sama-sekali ada sifat gopoh dan hanya tahu nak cepat.

Kita tidak dapat merubah fitrah alam kerana setiap perkara ada tempoh masanya tersendiri… Rasulullah sendiri pun mengambil masa yang begitu lama untuk menyebarkan Agama Islam dan membangunkan empayar Islam. Ia bukan satu kerja sehari dua, tapi puluhan tahun.

Dalam kes keusahawanan, lihatlah mereka yang telah berjaya, hasil yang mereka kecapi bukan daripada usaha sehari dua, sebaliknya bertahun-tahun lamanya. Tapi kita di zaman yang maju ini, mentang-mentanglah hebat teknologinya, semuanya nak cepat… Diri manusia sudah dikuasai sifat gopoh, tidak sabar dan tamak. Mereka ini biasanya kalau cepat berjaya pun, akan cepat juga jatuhnya. Sebab, mereka tidak ‘mematuhi’ fitrah alam.

3. Faham dan Sedar

Sebagai seorang usahawan, kita perlu sedar bahawa di dalam perniagaan tidak semuanya indah. Ada masanya pendapatan menjunam jatuh atau hasil pendapatan kurang. Ada masa laman web kena hack. Ada masa mengalami masalah teknikal yang tak terjangka. Ada masa dicaci-maki atau dimarah oleh pelanggan… Sedarlah, menjadi usahawan perlukan sebuah hati yang kuat dan cekal.

Kalau orang komen sedikit pun sudah nak kecewa, rasanya amat sedikit sukar untuk anda bergerak laju. Jadi, anda perlu tahu, angin tidak selalu syahdu dan sempoi, kadang-kadang akan ada ribut dan taufan melanda…

Saya rasa cukup dahulu 3 perkara tersebut. Ia berkaitan dengan sikap kita sebenarnya. Kalau wang menjadi sasaran utama, anda biasanya tidak akan memiliki ciri keusahawanan yang sejati. Usahawan yang hebat adalah mereka utamakan pembaikan perniagaan dan mutu produk serta sentiasa memperbaiki prestasi pemasaran perniagaan.

Mereka tidak begitu sangat memikirkan wang wang wang, cepat cepat cepat. Mereka tidak gopoh, mereka tidak hilang akal, mereka tidak cepat melatah, mereka tidak takut akan musuh, kerana…

Kerana mereka sedar dan faham erti keusahawanan sebenar yang memerlukan ilmu dan kesabaran. Mereka ada sifat ketenangan yang dianjurkan oleh Islam, mereka tidak takut, sebab mereka golongan yang sedar. Ketenangan itu tidak ramai memilikinya selagi hati tidak dikuasai oleh sifat dan sikap yang baik…

Anda pula bagaimana, ada sesuatu yang ingin dikongsi?

Penulis: Mohd Zulfadli


(SmartZul) adalah seorang penulis dan usahawan Internet sepenuh masa. Beliau memulakan perniagaan melalui Internet sejak tahun 2005, dengan memfokus kepada bidang penulisan dan penerbitan secara online. Beliau turut aktif berkongsi ilmu dan pengalaman melalui blog dan juga komuniti Facebook. Klik menu Hubungi di atas untuk menghubungi beliau.

SERTAI NEWSLETTER SMARTUSAHA.COM
Sertai newsletter SmartUsaha.com untuk mendapatkan info dan tip-tip perniagaan dan pemasaran Internet terus ke emel anda.
Kami benci spam. Emel anda selamat bersama kami.

Komen Guna Facebook:

comments

9 thoughts on “Siapakah Yang Layak Menjadi Usahawan Internet?

  1. slmt mlm zul,

    mmg fitrah manusia ni gopoh, tamak dan tidak sabar… semua benda nak mudah…

    sebaliknya mereka tak fikir yang nak dapat sesuatu tu bukan senang… seperti selalu orang kata… bukan senang nak senang, bukan susah nak susah… susah memang mudah dicari…

    untuk menjadi usahawan yang sejati, kita kenalah ada sifat usahawan seperti yang zul nyatakan…dan banyak lagi benda yang perlu ada…

    yang zul nyatakan ni baru asas usahawan baru saja…
    btl zul???

    -han

  2. Memang betul aper yang di utarakan oleh saudara, bagi saya yang baru mula2 nak belajar untuk menjadi usahawan internet, ia tak mudah seperti yang di sangka, walaupun mempunyai kelulusan dalam bidang komputer.

    tiga sifat yang di tulis di atas semuanya ada pada saya yang baru nak berjinak dengan IM ini, terlalu cepat nak hasil dan juga nak kan sesuatu dalam sekelip mata.

    bila di kaji balik dalam diri sendiri, semua yang di sebut di atas, saya cuba praktikkan sifat sabar, jangan terlalu gopoh…bab kata orang nakkan sesuatu yang berharga kita kena sabar, dan hasilnya akan dapat kemudian hari..yang penting mulakan dengan niat yang ikhlas…

  3. Salah satu kesan jika kita tidak sabar adalah kita CEPAT dibenci orang. 🙂

    Contohnya dalam promosi produk, kita nak cepat dapat hasil dan kita buat SPAM atau paksa2 orang. Lastly, duit tak dapat, tapi hasilnya adalah KEMARAHAN orang. 🙂

    Han, ya basic. Tapi, yg basic tu lah kadang2 susah untuk dimiliki. Bila kita sampai ke satu peringkat, kita kena pandang balik kepada yang asas sebab itulah AKARnya… 🙂

  4. Saya setuju dengan post Zul. Bukan senang untuk menjadi usahawan internet ni. Bukan setakat dengan ada laman web, reti bina laman web je dah boleh jadi usahawan internet. (walaupun ramai newbie yang berfikiran begitu)

    Dalam diri kita tu.

    Disamping 3 perkara yang Zul sebutkan di atas, saya juga terbaca mengenai hal ini. (waktu Mike F lancar2 produk ni, keluar perenggan ni) Harap Zul dapat ulas dan tambah pandangan Zul.

    Mahasiswa masuk universiti dan yurannya mencecah RM 6000 setahun (IPTS lebih mahal lagi) dan setelah 3-4 tahun, barulah grad.

    Katakan terus bekerja dengan syarikat besar dapatlah gaji starting RM 2500 sebulan.

    Kalau dikira pelaburan secara kasarnya sahaja untuk mendapat pengetahuan dari universiti itu kosnya RM 18000 paling kurang dan setelah 3 tahun barulah dapat gaji RM 2500 sebulan.

    Dalam bidang perniagaan internet, ada orang yang spent sebanyak itu dengan sabar selama 3 tahun sanggup menunggu?

    Hmm…

    Ramai orang menganggap jalannya dekat dan mudah. Tetapi lah kan, jika kita fikir2 kan balik.

    1) Saya
    2) Zul
    3) Gobala
    4) Kidino
    5) Irfan
    6) Sham
    7) Shuth
    8) Irwan Dahnil

    Yang tidak dari bidang ini:

    1) Patric Chan (tapi kos bisnes dia…hehe)
    2) En Tazilan (mula2, upah shuth…hehe)
    3) Syazwan (ada partner…hehe)
    4) Bitol (ada partner mula2 dulu)

    Ini yang saya terfikir, kita semua belajar di universiti dalam bidang yang menggunakan komputer (comp sc, multimedia, IT dll). Kalau kita nak kira kos2 yang dibayar untuk ilmu kita hari ini, banyak juga tu. Paling kurang belas-belas ribu seorang. Itu pelajaran dari universiti baru. Belum lagi di luar universiti.

    Adakah ilmu “free” boleh beri apa yang universiti beri selama 3 tahun?
    Adakah ilmu dalam 1000 helai muka surat (total semua ebook+buku IM yang dibaca) boleh ganti berpuluh2 buku teks tebal dan latihan makmal dan pengalaman selama 3 tahun?
    Adakah ilmu dalam satu minggu (total semua seminar IM yang dihadiri) boleh ganti ilmu yang dicerap di universiti selama 3 tahun?

    Hmm…

    Jadi berapakah “price tag” ilmu seorang usahawan internet? 😉

  5. Oh ya, di atas sekadar menyebut beberapa nama untuk “menyedap”kan cerita. Ada ramai lagi usahawan internet yang saya tidak sebutkan.

    Saya tak sure Alang, Amirol, Kak G (saya tahu ada Master amik arkitektur) dan yang lain2 dari bidang mana.

    Cuma saya nak tunjukkan betapa besarnya bilangan usahawan internet yang “berbelanja besar” dalam pendidikan ni.

    Kejayaan tiada harganya. Tiada orang boleh suka-suki claim dan marah2 kenapa dia tidak berjaya walaupun telah berbelanja sekian2.

  6. Saya setuju dengan pendapat SmartZul.

    Tanpa ketiga-tiga ciri tersebut. Memang mustahil untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya. Segala-galanya bermula dari asas. Tanpa asas yang kukuh, impian tidak dapat direalisasikan.

  7. yer betul. kena ada asas yang kukuh baru bleh dapatkan apa yang diinginkan. jika tidak usaha entah ke mana, modal hilang lesap begitu sahaja.

    kejar tetap kejar jangan terkejar-kejar.

  8. Memang berbelanja besar nak dapatkan segulung ijazah.. Lepas 3 tahun baru la dapat guna gelaran BA Hons atau sebagainya.. Irwan dan dr.irfan dah master (Sarjana).. lagi banyak ongkos diorang guna..

    Jangan anggap senang jadi IM..Tetapi jangan pulak putus asa bila kami cakap susah..Teruskan berjuang!..Kejayaan tak akan datang dalam masa yang singkat..

  9. salam,

    setiap org ada rezekinya… yang penting kita Berusaha, Berdoa dan Bertawakal… Kalau berjaya jadi IM alhamdulillah…kalau gagal pun alhamdulillah..amin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *