Siapakah Pakar? | Mazhab Akademik VS Mazhab Konvensional.

Di dalam apa jua bidang seperti motivasi, pembangunan diri, perniagaan internet, kewangan dan sebagainya, kita sering mendengar seseorang digelar sebagai pakar.

Namun persoalannya di sini, apakah faktor penilaian yang digunakan untuk menggelarkan mereka itu sebagai seorang pakar? Adakah mereka memang benar-benar pakar atau ia hanya sekadar gelaran semata-mata? Adakah selepas berjaya menghasilkan puluhan ribu ringgit di internet terus layak digelar sebagai pakar?

Bagi diri saya sendiri, ramai yang mengatakan saya pakar internet marketing. Sebenarnya, saya amat gerun dan takut apabila mereka memanggil saya dengan gelaran tersebut. Begitu juga dengan panggilan sifu, guru atau yang seumpama dengannya.

Saya bukanlah guru, pakar atau sifu. Sebaliknya saya hanyalah seorang usahawan yang terus menerus belajar, melakukan kesilapan dan berkongsi sedikit ilmu yang ada di dada. Saya tidak pernah menulis, berkata atau menyatakan saya adalah pakar. Sama sekali tidak pernah sejak saya mula melakukan perniagaan.

Mazhab Akademik VS Mazhab Konvensional

Daripada pemerhatian saya, terdapat dua golongan, aliran atau mazhab dalam persoalan kepakaran iaitu mazhab “akademik” dan mazhab “konvensional”. Golongan akademik adalah mereka yang belajar secara bertahap melalui kaedah akademik seperti di pusat pengajian tinggi.

Daripada sijil, diploma, degree, master sehinggalah ke PhD. Dengan mendapat segulung sijil-sijil tersebut, maka mereka biasanya layak digelar sebagai pakar walaupun mereka tidak ada apa-apa sumbangan pun kepada negara atau bangsa. Hanya sekadar kajian atau tesis, dan kemudian dianugerahkan segulung sijil, maka secara automatik mereka layak digelar pakar.

Golongan konvensional pula biasanya membesar atau berkembang menjadi “matang” melalui pembacaan buku, berguru secara unformal, belajar daripada pengalaman dan juga terus berinteraksi dengan “sekolah dunia” iaitu dunia praktikal dan realiti. Mereka ini juga sampai satu tahap akan digelar sebagai pakar di atas ilmu dan pengalaman mereka yang hebat yang terkadang mengalahkan pengalaman mereka yang memiliki sijil atau ijazah daripada pengajian tinggi.

Dua golongan ini saling berdebat dan saya perhatikan golongan akademik amat tidak berpuas hati dengan golongan konvensional. Sebaliknya golongan konvensional lebih fokus kepada melakukan sesuatu tanpa mempersoalkan pun golongan akademik.

Golongan akademik tidak berpuas hati dengan golongan konvensional mungkin kerana satu sebab iaitu mereka bersusah payah belajar di IPT untuk dapatkan gelaran pakar, malah bertahun-tahun lamanya, tetapi golongan konvensional mudah-mudah sahaja mendapat gelaran pakar walaupun baru setahun jagung dalam sesuatu bidang.

Tidak semua golongan akademik bersikap sedemikian. Tapi saya perhatikan ramai juga yang bersikap prejudis dan meletakkan pelbagai syarat untuk berjaya. Terlalu akademik! Padahal tidak semua manusia berupaya untuk melalui kaedah akademik tersebut yang kadang-kadang amat membosankan.

Manakala golongan konvensional pula lebih kepada realistik dan lebih dekat di hati kebanyakan orang di mana mereka bukan setakat berteori, tapi mereka “do something”, dan kemudian gagal, tapi bangkit kembali. Malah mereka lebih praktikal dan cara mereka tidak melawan “fitrah” kebiasaan kebanyakan orang.

Di sini bukanlah saya mahu menghentam golongan akademik, malah saya pun belajar di IPT juga. Cuma adalah tidak adil jika kita memandang sinis mereka yang tidak melalui jalan yang sama kita lalui. Itu adalah rezeki mereka dan cara mereka. Dan kita pula perlu redha dengan jalan dan cara yang kita pilih. Hormatilah cara mereka selagi tidak terbukti ia adalah cara yang salah.

Kelebihan golongan akademik adalah mereka mempunyai alatan untuk mengukur dan menilai sesuatu teori, kaedah atau ilmu. Dan mereka juga mempunyai kaedah yang lebih teruji, terbukti dan tersusun. Yang best-nya, kaedah mereka diakui oleh undang-undang dan kerajaan. Sebaliknya golongan konvensional lebih kepada tindakan dan try and error (kaedah cuba jaya). Kebanyakan cara mereka adalah cara di luar daripada kebiasaan pemikiran masyarakat kebanyakan dan tiada di dalam silibus pelajaran di mana-mana sekolah atau pusat pengajian tinggi.

Berbalik kepada tajuk artikel ini, adakah kita perlu mempunyai kelulusan di pengajian tinggi dan kemudian baru kita layak digelar sebagai pakar? Mungkin ya, mungkin tidak. Tapi persoalan lain pula adalah, apakah kepentingan status atau gelaran ini? Adakah ia perlu?

Bagi saya, pengamalan ilmu itu lebih penting berbanding berdebat mengenai hal ini kerana sukar juga untuk kita menilai siapa yang lebih pakar atau kurang pakar kerana setiap orang masing-masing ada kehebatan tersendiri.

Setinggi mana pengajian tetapi kalau hanya tahu bercakap sahaja, maka tak guna juga. Kehebatan seseorang itu dilihat pada apa yang dilakukannya, keterampilannya, keberaniannya, sumbangan yang diberikan atau sekurang-kurang ada kesan manfaat yang ditinggalkan kepada manusia yang lain.

Walau apa pun, akademik atau konvensional, kita perlu tahu bahawa mana-mana cabang ilmu tetap ada disiplin ilmu tersendiri. Etika juga jangan dilupakan. Jangan sebab mahu untung, maka rela menipu dan memperdayakan orang lain. Akhirnya, bidang ilmu itu akan disalah-anggap.

Ini turut berlaku dalam bidang perniagaan internet. Ramai yang mahu untung cepat sehingga “disiplin dan etika” dilupakan. Kesannya usahawan lain turut terkena tempias akibat kerakusan mereka itu. Ramai pakar-pakar internet tumbuh bak cendawan selepas hujan. Saya tidak kata ia salah ataupun betul. Cuma saya sekadar bimbang jika situasi ini tidak terkawal, ramai yang akan mengambil kesempatan.

Saya pernah didatangi oleh seorang yang menggelar dirinya “Internet Business Consultant”. Dia boleh menunjukkan saya cara menjana pendapatan ribuan ringgit sebulan melalui internet. Dalam hati saya ketawa sendirian kerana dia tidak sedar dia hanya tahu cari orang (downline) dan bukannya membina sebuah bisnes. Ya, dia melakukan skim cepat kaya! Adakah itu internet business consultant??

Dalam MLM pun berlaku juga. Ramai yang menjadi pakar kesihatan selepas sehari dua menyertai syarikat MLM produk kesihatan. Amat bahaya jika kita memberikan nasihat atau saranan yang salah. Perlu belajar sehingga faham, praktikalnya dan kena ikut disiplin setiap ilmu. Setiap sesuatu ada tahap-tahapnya. Jangan hanya mahu cepat sahaja sampai tidak mempedulikan “asas-asas dan rukun-rukunnya”.

Penutup

Mana-mana cara ada kelebihan dan alangkah bagusnya jika golongan akademik bekerjasama dengan golongan konvensional. Inilah jalan terbaik berbanding saling menuding kau salah aku betul. Kedua-dua golongan ini masing-masing memiliki mutiara dan emas. Tiada sesiapa yang salah, maka tidak ada sebab untuk dipersalahkan melainkan memang ada fakta yang mereka lakukan itu adalah salah.

Manusia yang berguna adalah manusia yang memberikan manfaat kepada orang lain. Tidak kisahlah belajar tinggi atau tidak, yang penting buat perkara yang betul.

Wassalam.

PS. Sekali lagi persoalan di sini, siapakah itu pakar? Berikan pendapat anda.

Penulis: Mohd Zulfadli


(SmartZul) adalah seorang penulis dan usahawan Internet sepenuh masa. Beliau memulakan perniagaan melalui Internet sejak tahun 2005, dengan memfokus kepada bidang penulisan dan penerbitan secara online. Beliau turut aktif berkongsi ilmu dan pengalaman melalui blog dan juga komuniti Facebook. Klik menu Hubungi di atas untuk menghubungi beliau.

SERTAI NEWSLETTER SMARTUSAHA.COM
Sertai newsletter SmartUsaha.com untuk mendapatkan info dan tip-tip perniagaan dan pemasaran Internet terus ke emel anda.
Kami benci spam. Emel anda selamat bersama kami.

Komen Guna Facebook:

comments

16 thoughts on “Siapakah Pakar? | Mazhab Akademik VS Mazhab Konvensional.

  1. “golongan akademik amat tidak berpuas hati dengan golongan konvensional. Sebaliknya golongan konvensional lebih fokus kepada melakukan sesuatu tanpa mempersoalkan pun golongan akademik”

    kenapa? ader member2 yang kononnya blaja tinggi2 dan memperlekehkan anda? ahaks.

    patik jurusan undang2, sekarang seorang kontraktor dan pemilik bermacam2 jenis bisnes offline berbagai niche. patik sudah membuat bisnes internet selama 4 tahun – belajar dengan trial dan error dan sudah berpuluh kali mengadakan coaching kepada yang nak belajar buat duit dengan internet – mostly for adsense & wordpress. adakah patik layak dipanggil pakar bisnes internet? sudah tentu tidak. pakar undang2 bleh la. tu pun dah banyak lupa sebab x practice loyer pun. muehehe.

  2. Pendapat saya siapakah itu pakar, adalah bergantung kepada penilaian ini:-

    1)Memberi – sentiasa memberi maklumat yang berguna kepada umum baik melalui pengalamannya mahupun dari pembacaan buku.

    2)Capai matlamat – jika dia seorang pakar membaiki kereta, ia pasti boleh membaiki pelbagai jenis kereta. Di dalam perniagaan internet ia mempunyai banyak cabang, jika mereka dapat menguasai banyak cabang itu adalah satu kelebihan.

    3)Kajian – selalu melakukan kajian yang di luar jangkaan pemikiran orang lain.

    4)Cipta – mencipta sesuatu untuk memudahkan atau menyelesaikan masalah orang lain.

    5)Tindakan – seorang pakar beliau akan mengikut apa yang boleh ia lakukan tanpa menghiraukan tomahan orang sekeliling.

    6)Motivasi – sentiasa memberi motivasi kepada orang sekeliling dan juga pada dirinya sendiri.

    Dan banyak lagi…

    PS : Sekadar pandangan 🙂

  3. Salam saudara Smartzul.
    Terlebih dahulu saya amat berterima kasih atas post Smartzul kali ini dalam menyedarkan kepada pembaca semua tentang “mazhab” akademik & konvensional.

    Saya akui bahawa dua golongan ini saling berbalah antara satu sama lain dan saya setuju bahawa pengalaman adalah “akademik” yang terbaik bagi mencapai sesuatu kejayaan.

    Akhir sekali, daripada kita saling menuding jari. Lebih baik kita bergabung. Bak kata saudara, masing2 ada mutiara dan emasnya. 🙂

    Sekadar berkongsi pengalaman

  4. bagi saya definisi pakar ini adalah pengalaman seseorang itu dalam menyelesaikan satu kategori masalah dengan berkesan dan mempunyai bukti kukuh.
    jadi di dalam dunia akademik, mereka mencari penyelesaian satu masalah dan dibentangkan dalam bentuk tesis.
    dalam konvensional, usahawan menyelesaikan masalah secara real life dan masalah ini sentiasa berubah-ubah.
    bagi saya pakar yang sebenar adalah usahawan itu sendiri.
    kerana jika kita perhatikan pakar2 perubatan bukanlah orang yang keluar dari universiti tetapi setelah mereka bekerja dan menyelesaikan masalah berkaitan dengan bidang mereka.
    kalau hanya pada kertas tetapi tiada tindakan, itu bukanlah penyelesaian masalah.

  5. bagi saya sendiri jika kita sudah menganggap kita sudah terer dan mahir dalam sesuatu benda
    itu sebenarnya menyekat bakat dan kemahiran yang kita ada untuk terus berkembang
    padahal dalam pada masa yang sama kita mampu pergi jauh
    ilmu ini cukup luas
    semakin kita menuntut ilmu, semakin banyak ilmu yang kita taktahu

  6. book smart and street smart…

    masing2 mempunyai kelebihan tersendiri…
    tetapi kebanyakan book smart ni akan bekerja
    memanjat tangga koperat…atau kenaikan pangkat…

    sedangkan street smart lebih kpd membina
    tangga koperat dan membina pangkat sendiri…

    masalah kebnyakan orang, mereka menganggap
    pendidikan atau ilmu hanya datang melalui IPT…
    sedangkan pendidikan atau ilmu juga datang
    dari pengalaman…

    kalau dilihatkan, mereka2 yg berjaya hingga tahap
    tinggi seperti Bill Gates, Michael Dell, Tan Sri Syed Mokhtar
    Al Bukhari…kesemuanya tidak menamatkan
    pelajaran di IPT…
    mereka menggunakan pengalaman sbagai tools
    kepada kejayaan mereka…

    ————

    smartzul: Betul tu aizat. Tak kisah apa cara pun, yang penting adalah DO SOMETHING. Yang jadi masalah adalah kalau kita hanya tahu bercakap kosong sahaja.

  7. Hmm..perkataan Pakar sebaiknya digantikan dengan Perunding ianya kelihatan lebih terbuka…contohnya perunding motivasi, perunding kewangan, perunding kesihatan…

    Pakar ni mereka yang telah berjaya secara teori dan praktikal atau dengan kata lain Akademik + Konvensional…

    —————–

    smartzul: Amat setuju. Bagi saya, gelaran pakar ni tak semua orang ‘berhak’ dapat. Bukan apa, takut nanti disalahgunakan dan mungkin dia bukan pakar, tapi dia bagi nasihat yang salah. Dan orang yang dengar main terima saja. Ini sama dengan kes Dr. Palsu.

  8. Gelaran ‘pakar’ ini adalah tanggapan orang lain terhadap kita., Jika kita sendiri beranggapan diri kita ‘pakar’, bermakna , anda sedang menuju kehancuran.

    ————-

    smartzul: Saya teramatlah setuju paklong. Melabelkan diri sendiri ni juga boleh dijolokkan dengan gelaran syok sendiri. 😀

  9. Saya ada beberapa orang kawan yang sekarang menjadi tokeh… sorang jadi penternak lembu, sorang ada ladang serai dan sorang lagi jadi tokeh sayur di pasar besar seremban.

    Kesemuanya tak pernak masuk ‘U’. Tak pernah pergi kursus jangka panjang…. cuma ada sikit kursus jangka pendek anjuran agensi2 kerajaan.

    Mereka berjaya atas pengalaman yang mereka lalui… sedikit demi sedikit… sekarang kesemuanya dan mempunyai pekerja mereka sendiri… kadang-kadang terfikir jugak kenapa aku yang ijazah macam ni tidak mampu menjadi sehebat kawan-kawan aku tu.

    Baru saya tersedar yang saya ni terlalu taksub dengan segala teori dan konsep yang saya pegang. Oleh kerana itu saya bukak minda saya dan siapa sangka seorang jurutera boleh menulis buku tentang ‘sales and marketing’ walaupun saya tak pernah belajar secara formal tentang ilmu ini.

    Kejayaan akan datang bila kita buka minda kita dan cuba ambil segala perkara yang baik dan buat tindakan segera mengikut perancangan. Insyaallah… kejayaan akan jadi milik kita…

    —————–

    smartzul: Perkongsian yang menarik bro zahrul. Mungkin juga jurusan yg kita ambil di IPT tu tak serasi dengan jiwa kita. Tapi tak apa lah. Belajar di IPT ni kita dapat juga melihat satu dimensi tersendiri. Kalau ditambah pula dengan dimensi pengalaman, maka lagilah hebat.

  10. ehm..ntah. aku tak tahu sape yg pakar-memakar nih.. pakar ada macam-macam. pakar mencuri, pakar merompak, pakar bukak mangga, pakar kesihatan dan macam-macam. Pendek cerita…benda ni susah nak dijelaskan..

  11. Bagi saya, pada kebiasaannya, apa yang kita praktikkan tak sama dengan teori yang dipelajari. Jarang sangat nak sama. Yang menjadi kelebihan adalah praktikal. Kat situ kita belajar macam mana nak ‘adjust’ untuk mencapai apa yang dikehendaki.

    Contohnya peta kawasan. Kalau kita ikut je peta yang diberikan, kebiasaannya lambat sampai atau tak sampai langsung.

    Orang lain tak dapat masuk U, bukannya tak pandai. Pelbagai sebab, seperti tak cukup duit, takde orang dalam, dll.

    Untuk kita, buka fikiran kita. Lebihkan cara kita menganalisa bagaimana seseorang itu boleh berjaya, tak kira siapa pun mereka. Then, kita berusaha ikut cara mereka atau ubah cara mereka dengan cara kita. Dengan usaha yang berkekalan tanpa jemu, insyaallah kita akan berjaya juga.

    Kita dilahirkan untuk berjaya. Bagaimana caranya adalah usaha masing-masing. Bukan senang, nak senang.

    Wassallam

  12. Consultant/ konsultan sama maksudnya dengan perundingcara

    Tak mestinya mereka pakar, mereka juga belajar untuk jadi pakar.

    Cuma dalam pemikiran kita semua consultant itu bagus atau pakar dalam bidangnya. Mereka bagus mengikut tahap pengalaman sendiri.

  13. assalamualaikum.

    yup smartzul,satu artikel yang sangat menarik dan saya sebenarnya telah lama memikirkan seperi yang saudara zul tulis tu. sebelum tu,saya nak bagi kredit kat zul,”terima kasih” kerana telah berkongsi ilmu yg sngt berguna dalam membuat blog. saya tak sangka,memang prodduk ni lah yg saya cari2 slama ni.”pakaj kit blogger”. tahniah zul sbb memudahkan orang yang tak tahu macm saya ni buat blog.

    ok,mengenai artikel di atas, saya mengalaminya di dunia realiti. cuba rakan2 tengok salesman yang ada kat luar tu. mcm mana diorang bekerja. diorang adalah manusia yang melalui dunia praktikal. kene maki,herdik dan sebagainya semata-mata mahu menjual barang.

    adakah teori tidak penting?saya mengatakan kedua-duanya penting,kerana tiada teori maka sesatlah jadinyal,malah kalau sekadar berteori,maka amalnya ntah kemana..betul tak sahabat?..

    1. Wa’alaikumussalam.

      Tahniah sebab dah berjaya ada blog sendiri dan terima kasih sebab menggunakan Kit Blogger sebagai panduan.

      Salesman.. Hmm.. Mereka adalah insan-insang yang hebat. Tak semua berani jadi macam mereka.

  14. Syabas Smartzul, satu tajuk post yang menarik.. semoga dengan pendapat rakan-rakan dapat digabung dan dirumuskan untuk memberi kefahaman yang lebih dan menggunakan perkataan pakar tersebut dengan lebih tepat… yang

  15. istilah pakar tu sebenarnya kalau mendapat pengiktirafan dari sesuatu badan, tak kisah la dari mazhab akademik atau konvensional sekalipun..

    kalau kita diiktiraf bagi sesuatu badan contohnya..tetap digelar pakar..dari mana datang tu tak penting..masing-masing ada jalan yang dilalui…cuma jauh atau dekat je..

    contoh:

    1.Seorang peniaga di ebay.Jika beliau mendapat pengiktirafan dari Ebay.com yang beliau merupakan antara top seller of the year dan diberikan pengiktirafan berupa sijil atau lain-lain…ada lah tu yang melabelkan beliau itu pakar.

    2.Seorang pensyarah amat pandai meningkatkan prestasi akademik studentnya pada setiap tahun dan diiktiraf sebagai pensyarah cemerlang pada setiap tahun.Secara tak langsung beliau juga diiktiraf pakar dalam bidang beliau tersebut.

    Begitu juga dengan doktor pakar..hanya dia yang tahu sesuatu tu dengan amat mahir…walau apa pun situasi melanda..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *