Siapa saya sebenarnya?

Ramai yang sudah kenal saya dari segi nama. Tapi ada juga di antara mereka masih bertanya, “Apa yang Zul buat?”, “Bisnes apa?” Setelah banyak kali saya menunda untuk menulis jawapan terhadap persoalan sebegitu, akhirnya saya memaksa diri untuk menulis entri ringkas ini. Saya akan cerita apa yang saya buat dan apa yang saya fokuskan.

Tidak mahu jadi pakar perniagaan

Pertama sekali yang paling penting untuk anda tahu, saya bukan pakar perniagaan mahupun pemasaran, tetapi tahulah sikit-sikit mana yang patut. Subjek pemasaran adalah minat saya, tetapi menjadi pakar bukanlah matlamat saya, sebaliknya saya banyak belajar dan membaca subjek pemasaran untuk digunakan bagi perniagaan saya. Bidang saya lebih kepada teknikal online dan penulisan. Sejak sekolah saya minat komputer dan elektronik, jadi anda sudah pasti dapat agak minat dan kecenderungan perniagaan saya lebih kepada apa, sehinggalah sekarang. Masa sekolah dulu, saya bercita-cita mahu mewujudkan sebuah empayar perniagaan dalam bidang komputer. Nampaknya kini sudah merealisasikannya, tetapi lebih kepada dunia digital online. Oklah tu. 😉

Saya banyak mengeluarkan ebook dan video berkaitan teknikal seperti domain, hosting, FTP, blog WordPress, Paypal, website dan beberapa lagi, malah ada menghasilkan beberapa sistem “simple” untuk peniaga online. Jika tidak tulis dalam ebook, saya buat sesi training ataupun personal training. Selain itu, perniagaan saya menyediakan beberapa perkhidmatan berkaitan teknikal online seperti membina blog dotcom, web shopping cart, domain & hosting, dan lain-lain. Apa jua perkara teknikal, saya “boleh” buat.

ejen webhosting

Emel permohonan menjadi ejen webhosting. Kini saya mempunyai perniagaan ini sendiri iaitu SemarakHosting.com.

Kemahiran utama saya adalah “troubleshooting” dan cepat belajar sesuatu ilmu baru. Saya tidak mudah putus asa untuk selesaikan sesuatu masalah teknikal dan boleh luangkan masa berjam-jam untuk perkara itu. Otak saya adalah otak orang teknikal. Suka dan biasa dengan istilah-istilah teknikal yang orang lain cuba mengelaknya.

Pada Julai 2012, pihak Irfan Khairi Sdn. Bhd. telah melantik saya sebagai trainer untuk kursus-kursus yang mereka laksanakan. Saya dipertanggungjawabkan untuk mengemudi bahagian teknikal dan latihan praktikal dari modul 1 sehinggalah modul 9 dalam satu program yang diadakan. Antaranya adalah seperti membina website, blog WordPress, Facebook, autoresponder email marketing, sistem affiliate dan Google Analytics. Saya menamatkan perkhidmatan saya di sana pada Mei 2014.

batch7_2

Saya: Berbaju merah berblazer, bersebelahan Irfan Khairi

Pada awal diri saya menceburkan diri dalam perniagaan online iaitu pada tahun 2005, saya sudah bermula dengan bidang teknikal. Salah satu daripadanya adalah menjual perisian dan menyediakan perkhidmatan teknikal seperti membina portal menggunakan sistem Mambo (kini dikenali sebagai Joomla). Jadi dari situ sudah terserlah, minat saya adalah lebih kepada bidang teknologi online dan komputer. Banyak lagi servis-servis yang lain seperti pemasangan order form dan juga sistem affiliate. Kemahiran saya lebih kepada perisian dan sistem sedia ada. Saya tidak suka pengaturcaraan dan pembangunan sistem. Saya lebih kepada setup dan troubleshoot.

Untuk menguatkan lagi mengapa saya minat bidang teknikal adalah kerana saya merupakan seorang pelajar dalam bidang Sains Komputer, di Universiti Teknologi Malaysia. Saya juga banyak meluangkan masa di perpustakaan untuk membelek buku-buku teknikal sama ada di rak kategori komputer mahupun kejuruteraan elektronik.

Maaf, saya tidak ada banyak gambar ketika menuntut di universiti dahulu kerana saya bukan seorang jenis bersosial dan suka mengambil gambar. Saya seorang yang ‘anti-sosial’. Fikir balik, menyesal pun ada. 😉

Pada tahun 2006, saya bersama kawan serumah dan sepengajian telah memulakan satu projek bisnes iaitu perkhidmatan membina website jualan. Perniagaan mendapat sambutan yang baik. Projek bisnes ini juga adalah berbentuk teknikal. Sedikit cerita bagaimana saya pandai menghasilkan website, saya bermula dengan belajar sendiri, bermula dengan pengaturcaraan HTML. Kemudian saya sertai satu kursus asas website semasa sedang belajar di universiti. Tidak cukup dengan itu, saya beli buku dan juga meminjam buku daripada perpustakaan. Untuk menambah lagi ilmu, saya merujuk panduan-panduan yang ada di Internet dan membeli majalah-majalah komputer. Begitu minatnya saya dalam bidang ini, malah saya semakin minat apabila beberapa kenalan yang tahu ilmu itu tidak mahu mengajar saya. Dalam hati berkata, “Tak apalah, aku boleh cari sendiri.” Sikit-sikit merangkak, akhirnya ilmu yang disorok oleh kenalan itu telah dapat saya kuasai tanpa sesiapa pun membantu. Usaha sendiri dengan izin-Nya sudah pasti.

cd perisian

Salah satu perniagaan yang dilakukan. Lihat tarikh emel. September 2005. Pada masa itu, CIMBClicks dikenali sebagai Channel-e dan CIMB pula dikenali sebagai BCB. 😉

Namun walaupun saya banyak menggunakan otak kiri, saya juga kerap menggunakan otak kanan. Suka menulis puisi, tulisan-tulisan pendek, tulisan motivasi dan kata-kata romantis. Saya ada blog peribadi untuk saya melampiaskan nafsu otak kanan itu. 😉 Ketika di universiti, rak-rak buku agama dan motivasi juga menjadi perhatian saya pada setiap kali saya berada di perpustakaan. Di sana juga ada rak untuk buku-buku kategori perniagaan dan pemasaran dan di situlah saya banyak membaca dan ‘menghirup’ ilmu-ilmu pemasaran dan perniagaan secara sendiri.

Saya juga meminati bidang beladiri. Banyak juga mengumpul majalah beladiri. Di universiti, saya sempat belajar satu aliran persilatan sehingga tamat. Sehingga kini pun jika ada masa terluang, saya mencuri masuk ke Youtube untuk melihat pertunjukan-pertunjukan silat daripada pelbagai aliran. Setakat ini, saya telah pelajari 4 aliran persilatan. Dua tamat, satu suku jalan sahaja dan satu lagi tak sampai habis asas. Minat amat sangat, tapi kini perut sudah semakin ‘maju ke hadapan’. Haha..

Bagaimana pula dengan menulis? Bagaimana boleh datang minat? Belajar dengan siapa? Saya bermula pada tahun 2004 dan bakat menulis saya disedarkan oleh seorang senior saya pada ketika itu. Beliau meminta saya menulis teks ucapan untuk program. Dari situ saya sedar saya ada bakat menulis. Saya banyak menulis teks ucapan bahkan dibaca oleh beberapa menteri dan timbalan menteri, naib canselor dan pemimpin pelajar. Menulis juga memerlukan kekuatan dari dalam, dan tidak semua orang ada. Skill saja tidak memadai. Saya bersyukur kerana saya ada bakat menulis, dan ia saya gunakan sebagai salah satu senjata pemasaran saya. Saya tidak ada belajar menulis dengan sesiapa pada peringkat permulaan, namun kemudian saya berguru dengan seorang mentor penulisan untuk menajamkan lagi kemahiran dan bakat penulisan.

blogging menulis buku

Menulis memerlukan keikhlasan dari lubuk hati. Barulah tulisan itu mudah meresap ke dalam hati pembaca.

Amat minat perniagaan, keusahawanan dan pemasaran

Walaupun otak saya banyak disumbangkan ke arah teknikal, namun minat saya terhadap topik perniagaan, keusahawanan, pembangunan diri dan pemasaran juga tidak dapat dinafikan. Selain topik-topik ini berguna untuk perniagaan saya, jiwa saya juga adalah seorang “pemberi”. Saya suka berkongsi ilmu dan pengetahuan terutama melalui penulisan. Saya lebih puas dengan memberi dan kepuasan itu tidak boleh dilawan dengan wang yang bergunung.

Saya boleh menulis dan bercakap mengenai topik-topik itu, tetapi sama sekali tidak mengiktiraf diri sebagai pakar, guru, sifu dan apa jua panggilan yang meletak diri amat hebat. Sesekali tidak pernah, melainkan orang lain yang memberi gelaran sebegitu. Apa boleh saya buat? 🙂

smartzul

Lupakan kenangan lalu. Hargai sepenuhnya hari ini agar tercipta sejarah yang lebih baik untuk esok hari.

Minat saya terhadap topik-topik ini juga menyebabkan otak saya sentiasa berpusing untuk melakukan projek-projek berkaitan yang boleh memberikan manfaat kepada anak bangsa seperti menganjurkan program-program ilmu. Saya juga minat dalam penganjuran program dan di universiti dulu, saya banyak terlibat dengan pelbagai program. Bukan sekadar untuk dapat duit daripada penyertaan peserta, tetapi kepuasan hati apabila banyak ilmu berguna yang boleh disampaikan kepada mereka. Tidak semestinya saya yang berucap ataupun mengajar, malah jika saya menjadi AJK sapu sampah sekalipun, saya rela, tetapi saya akan puas hati jika program itu berjaya.

Perancangan masa depan

Namun tidak selamanya saya akan terus dalam bidang perniagaan ini (teknikal), berterus-terusan menyakitkan kepala. Perancangan tetap ada. Perjalanan terus dilalui. Peningkatan beransur-ansur berlaku. Matlamat akhir saya adalah, segala skill dan ilmu saya diturunkan kepada orang lain yang mana mereka akan menggerakkan perniagaan yang telah saya bina. Saya mahu fokus kepada “passion” utama saya iaitu menulis dan menganjurkan program-program keilmuan. Ia adalah minat saya yang paling utama dan tidak dapat diganti oleh mana-mana perkara. Saya perlu ada satu “mesin buat duit” terlebih dahulu sebelum saya menekuni minat saya itu.

smartzul

Tidak ada buku sendiri pun, sekurang-kurang saya sudah masuk dalam banyak buah buku seperti ditemubual, dijadikan contoh dan paling kurang memberikan testimoni. Itu juga sebahagian usaha penulisan.

Topik penulisan saya adalah meluas dan bukan tertakluk kepada teknologi, Internet dan komputer sahaja, tetapi berkaitan dengan keusahawanan, sains kejayaan, pembangunan diri, motivasi, perniagaan dan pemasaran. Itu semua adalah topik-topik yang saya minat. Namun saya juga berupaya untuk menulis topik-topik yang lain kerana kajian dan pembacaan boleh dilakukan dengan mudah pada masa sekarang. Saya mahu jadikan penulisan saya sebagai “agen perubahan” kepada pembaca.

Mengapa saya suka dan mahu menulis? Salah satu sebabnya adalah, ia adalah “pelaburan” untuk saya di dunia sebelah sana. Saya menganggap menulis yang baik-baik adalah sebagai satu amal jariah. Amalan yang baik dan terus bermanfaat untuk orang lain akan memberikan pahala untuk kita di sana. Saya ada terbaca satu kata-kata ulama (jika tidak silap saya), di mana katanya, jika mahu menulis, tulislah sebaik-baiknya. Ikat baik-baik. Maksudnya, bukan menulis tanpa perancangan. Tulisan itu perlu mudah dibaca oleh kebanyakan orang. Salah satu kaedah perekodan tulisan yang terbaik adalah buku dan juga ebook. Seterusnya adalah dalam bentuk blog, namun impian saya agar sebahagian besar tulisan dalam blog akan dibukukan. Saya juga mencuba untuk menulis di ruangan surat pembaca, dan juga sudah menulis di beberapa majalah.

skim cepat kaya

Menulis untuk agama dan bangsa.

Kesimpulan

Bidang saya adalah “infopreneur”, offline mahupun online. Fokus utama adalah niche teknikal online. Gerak kerja saya adalah “mengilmukan teknologi” melalui penulisan, video dan training. Dengan cara itu, sedikit sebanyak ia dapat memenuhi minat saya dalam penulisan dan perkongsian ilmu. Selain itu, saya menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan teknikal seperti yang telah saya nyatakan. Tetapi mungkin akan datang, saya akan lebih fokus kepada training sahaja kerana teknologi begitu cepat berubah. Penat untuk saya sentiasa kemas kini ebook dan video. Sebab itu saya sudah mula kurang menulis topik teknikal, melainkan komentar secara teori, prinsip, isu dan falsafah sahaja.

smartzul

Rupa bukanlah menjadi ukuran untuk berjaya. Hargai dan syukuri apa jua yang Allah tentukan.

Manakala penulisan mengenai perniagaan dan pemasaran tidak lebih daripada sekadar perkongsian ilmu dan pengalaman, berdasarkan kepada perniagaan yang saya lakukan. Jadi apabila saya menulis mengenai topik itu, saya berhak, kerana saya adalah seorang usahawan. “Walk the talk”. Saya pernah ‘terbang’ ke Sabah tanpa dibayar untuk berucap semata-mata untuk berkongsi pengalaman (penginapan dan pengangkutan disediakan). Jika orang mahu caj untuk pengalaman dan pengetahuan itu, saya terima sajalah. 😉 Saya tidak pernah mengaku dan mengiktiraf diri sendiri sebagai guru, pakar mahupun sifu. Saya juga sentiasa belajar dengan orang lain yang lebih layak untuk digelar sebagai guru. Saya pun masih tidak pasti, mengapa mereka memanggil saya sifu, pakar dan sebagainya..

Semoga dengan penjelasan ringkas ini, ia dapat mencerahkan mana yang kabur mengenai diri saya. Kalau anda masih tidak jelas, maafkan saya. Oh ya, post ini mungkin boleh diibaratkan sebagai bahagian 2 untuk cerita episod pertama di sini.

Majulah sukan untuk negara.

Penulis: Mohd Zulfadli


(SmartZul) adalah seorang penulis dan usahawan Internet sepenuh masa. Beliau memulakan perniagaan melalui Internet sejak tahun 2005, dengan memfokus kepada bidang penulisan dan penerbitan secara online. Beliau turut aktif berkongsi ilmu dan pengalaman melalui blog dan juga komuniti Facebook. Klik menu Hubungi di atas untuk menghubungi beliau.

SERTAI NEWSLETTER SMARTUSAHA.COM
Sertai newsletter SmartUsaha.com untuk mendapatkan info dan tip-tip perniagaan dan pemasaran Internet terus ke emel anda.
Kami benci spam. Emel anda selamat bersama kami.

Komen Guna Facebook:

comments

7 thoughts on “Siapa saya sebenarnya?

  1. Assalamulalaikum dan salam sejahtera.

    Selepas baca sampai habis, bahkan semasa tengah baca tulisan ini, dalam kepala terfikir-fikir apakah sebenarnya yang saya minat. Sebelum ini saya banyak membaca dan membeli ebook dalam pelbagai genre seperti adsense, ebay, flippa, ebook motivasi dan macam-macam lagi, malah saya ada menyiapkan ebook di dalam bidang automotif kerana saya bekrja dalam bidang automotif. Namun sampai sekarang rasa macam masih belum jumpa apakah sebenarnya yang saya betul-betul minat. Terhibur bila baca tulisan ini.

    Terima kasih Sifu Tuan Zulfadli.

    ps: ada rasa best tak kena panggil sifu ni 😉
    pps: saya ada dalam gambar di atas, yang berbaju merah di belakang Sifu Tuan Irfan Khairi 🙂

    1. Waalaikumussalam,

      Dalam bisnes, ada dua perkara:

      1. Kita jual produk apa yang pasaran perlukan.
      2. Kita jual berdasarkan apa yang kita minat.

      Bagi saya, mengapa pilih satu kalau boleh buat kedua-duanya. 🙂

      Saya minat menulis, jadi banyak produk saya dihasilkan dengan menulis. Tetapi pasaran saya mahu belajar IT, jadi saya dalami bidang IT dan ajarkan kepada mereka. Untuk lebih mudah, saya sampaikan ia melalui penulisan, ceramah dan training. Saling bersangkut-paut.

      Tidak mudah untuk kita jumpa titik yang kita mahu itu. Ambil masa. Tetapi kalau tidak jumpa, redah saja. Kadang-kadang tidak semua persoalan akan ada jawapan. 😉

      1. Wah terima kasih Sifu SmartZul,

        Memang sekarang ini saya main redah sahaja, blog peribadi sendiri pun cacamarba je hihi. Setuju dengan mengapa nak pilih-pilih kalau dua duanya pun kita boleh buat 😉

  2. saya minat art… suka manipulasi art dalam multimedia. suka jugak berbisnes. Saya jual graphics design dan printing, shawl dan shaklee. Saya suka semua sebab semua ni saya dapat belajar benda baru yang perlu digunakan dalam bisnes. Masalahnya, saya taktau nak fokus bidang mana dulu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *