Tidak perlu paksa diri

Terkadang, kita mahu lakukan sesuatu yang hati kita keras mahu melakukannya.

Namun di satu saat, kita jatuh terduduk, kemudian kita bangun lagi.

Begitulah selang seli, jatuh, bangun, jatuh dan bangun.

Tidak salah jika saya katakan, kebanyakan kita terlalu terpengaruh dengan sebahagian buku-buku yang ‘memaksa’ kita berkata “BOLEH”, walhal hakikatnya kita tidak boleh. Buku-buku itu memberikan janji-janji palsu dengan katanya, “kamu boleh, kamu boleh!”. Tetapi mengapa kita tetap jatuh terduduk?

Akui sahaja, kita memang tidak mampu kerana kita tidak sesuai melakukan perkara itu. Bersabar dan terima sahaja dengan hati yang redha, kemudian kenalpasti apakah yang serasi dengan diri?

Setiap orang mempunyai potensi diri yang terpendam

Apakah potensi diri kita? Potensi diri juga dipanggil sebagai bakat, kebolehan, kekuatan ataupun fitrah diri. Sekuat mana kita melawan ‘fitrah diri’, kita pasti akan jatuh terduduk. Sampai satu saat, kita keliru dan termenung, mengapa ini terjadi?

Jawapannya, kerana kita terlalu ego untuk melakukan sesuatu yang jelas bertentangan dengan ‘fitrah diri’ kita. Orang lain berniaga, kita juga mahu berniaga. Orang lain buat sesuatu, kita juga mahu buat sesuatu itu.

Kita boleh lakukan apa sahaja perkara yang kita mahu, tetapi tidak semua kita mampu lakukan dengan kedua tangan sendiri. Jika kita pandai memasak mee goreng, kita tidak semestinya mampu menghasilkan mee kuning yang sedap jika dimasak.

Kita hidup untuk bekerja…

Kita kerap membaca buku dan mendengar saranan agar kita hidup bebas dan mempunyai banyak masa terluang. Siapa yang tidak mahu bukan? Namun, mari kita imbas kembali perjuangan-perjuangan orang dahulu terutama sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW yang sibuk berdakwah dan para ulama yang tidak henti-henti menulis buku (kitab).

Inikan pula kita yang lebih rendah martabatnya berbanding mereka, mahu berehat-rehat dan bersantai-santai di tepi pantai…? Tidaklah salah kita mahu menenangkan fikiran, beristirahat, bercuti dan sebagainya, tetapi kita sering mudah terpengaruh dengan istilah “kebebasan hidup”.

Adalah bagus jika kita banyak masa, kerana kita boleh luangkannya untuk kerja-kerja kebajikan. Namun, persoalan sekarang adalah, bilakah kita dapat mencapai kebebasan hidup itu? Adakah setelah mencapainya, barulah kita mahu berbuat banyak amalan kebajikan?

Hakikatnya, ramai yang tersungkur sebelum mencapai kebebasan hidup. Semuanya atas kehendak Tuhan (ALLAH), dan kita tidak dapat melawan kehendakNya.

Bagi saya, hidup ini untuk bekerja dan memakmurkan dunia. Kebebasan hidup yang sering dilaung-laungkan itu hanyalah ciptaan Barat di mana mereka sebenarnya tersepit di dalam mencari erti hidup sebenar. Kita ada Agama dan tidak perlu tersepit. Ikut sahaja ‘sistem hidup’ yang agama kita bentangkan dan kebahagiaan hati akan menjadi milik kita.

Salah satu sebab mengapa ramai orang tertekan jiwanya dan kalut dalam hidup seharian adalah kerana terlalu mengejar kebebasan hidup yang diimpikan itu. Walhal, hidup ini adalah mudah. Caranya, lalui sahaja hidup ini dengan baik dan laksanakan tanggungjawab kita. Tetapkan impian sebagai usaha momentum diri, tetapi yang lebih penting adalah “hari ini”.

Isi sepenuhnya masa sekarang dengan apa yang mampu kita lakukan. Jika mampu bersedekah satu sen, lakukannya. Jika mampu memimpin tangan orang tua melintas jalan, lakukan ia. Tidak perlu menunggu waktu kita telah ‘bebas’ itu. Selagi kita hidup di dunia, kita sesekali tidak akan bebas. Pada luarannya mungkin, tetapi kita tetap perlu makan, membuang air kecil dan besar, sakit kepala, pening dan 1001 situasi lain. Adakah itu kebebasan hidup namanya?

…Erti hidup yang ‘bebas’ hanyalah untuk penghuni Syurga abadi, di mana ahli-ahli Syurga tidak akan lapar, tidak sakit, tidak dahaga dan terus menerus muda. Mereka ahli-ahli Syurga akan terus menerus ‘berseronok’ di taman abadi… Sebab itu orang-orang soleh terus sibuk bekerja di dunia kerana mereka tahu, kebebasan abadi yang sebenar adalah di akhirat nanti (Syurga).

Anda tidak mampu menjadi usahawan…

Tidak semua orang mampu menjadi usahawan. Andaikata anda gagal walaupun sudah banyak kali mencuba, tanyakan pada hati sendiri, “adakah jalan usahawan ini serasi dengan jiwaku? Atau aku menjadi usahawan kerana mahu lari daripada perkara yang tidak disukai? Atau usahawan hanyalah satu batu loncatan untuk aku hidup bebas, walhal ia bukan jalan terbaik bagiku?”

Ada orang dilahirkan untuk menjadi tulang belakang bagi kejayaan orang lain. Ada orang dilahirkan untuk hidup susah agar orang lain yang senang dapat memakmurkan dunia dengan sedekah, zakat dan infak.

Ada orang yang dilahirkan untuk menjadi pengikut (pekerja) yang setia dan amanah agar yang lain dilahirkan sebagai pemimpin dan ketua. Ada manusia yang dilahirkan sering sakit dan tidak diketahui punca sakitnya, agar manusia yang lain dapat bekerja sebagai saintis, doktor dan jururawat.

Walaupun kita dapat belajar apa jua kemahiran seperti kepimpinan, namun mereka yang dilahirkan dengan fitrah kepimpinan dalam dirinya, mereka lebih mudah memimpin orang lain kerana mereka bukan sahaja dipacu dengan ilmu, tetapi dengan fitrah azali mereka itu.

Bekerja makan gaji tetapi masih boleh hidup bebas dan tenang…

Betapa ramai orang yang seronok, gembira dan ‘enjoy’ dengan kerja mereka walaupun kerja makan gaji sering diperlekehkan. Dan hal ini tidak banyak diheboh-hebohkan. Saya tidak pasti apa sebabnya.

Hakikatnya, akibat tidak mahu bersabar, tidak banyak membaca, belajar, merancang hidup dan kerjaya, serta cuba menjadi pekerja yang terbaik, kita mudah mahu berhenti kerja. Jika kita bekerja seperti robot, maka kita cepat bosan. Tetapi jika kita menjadi pekerja yang sentiasa mahu membangun dan dinamik, kita akan mempunyai rasa dan passion (ghairah) yang berbeza berbanding pekerja lain.

Trafik yang sesak, asap kenderaan dan politik di pejabat, itu semua hanyalah alasan penyedap hati untuk berhenti kerja. Walhal dalam dunia perniagaan, sepak terajangnya juga boleh tahan. Fitnah, dengki, busuk hati, jualan yang merudum dan 1001 lagi perkara, tidak semua orang mampu menghadapinya.

Sabar dan redha

Inilah hidup. Ia menuntut kesabaran dan redha dari hati kita yang mulus dan lemah ini. Andaikata kita menjadi diri kita yang sebenar (fitrah), kemudian sabar dan redha, moga Syurga balasan untuk kita.

Mulai hari ini, kita jadi diri kita sendiri, iaitu hidup berasaskan siapa diri kita. Jika kita serasi menjadi pekerja yang amanah, laksanakan sebaik mungkin. Jika kita ligat berniaga dan untung besar, sebahagian hasil itu adalah untuk mereka yang sedang kesusahan. Tuhan sampaikan rezeki orang lain yang susah itu melalui tangan kita…

Bukalah Quran, kitab-kitab hadis dan buku-buku karangan ulamak salafus soleh. Di dalamnya terkandung mutiara-mutiara (panduan) yang dapat kita gunakan buat bekal sementara hidup di dunia ini. Apa yang ada di dalamnya, adalah sesuai dengan fitrah makhluk yang bernama manusia.

Tuntunan Islam mudah dilakukan dan kita tidak perlu melaungkan “aku boleh, aku boleh”, tetapi kita diajar dengan kalimat “Insya Allah” (dengan izin ALLAH), dan kemudian ALLAH menuntut agar kita PERCAYA kepada-Nya. Inilah beza kita dengan orang-orang yang tidak bertuhankan ALLAH. Mereka hanya yakin diri, tetapi tidak yakin kepada-Nya. Kita mendahulukan Yang Lebih Berkuasa, kemudian barulah kita berusaha, berbanding kebanyakan cara Barat yang sepenuhnya berserah pada kekuatan diri semata-mata.

Akhir kata…

Tidak perlu memaksa diri. Lakukan sesuatu yang sesuai dan serasi dengan fitrah diri. Syurga adalah impian kita yang terawal dan terakhir. Hari ini dan selagi kita hidup, perbuatan baik kita adalah tiket untuk menjejakkan kaki ke Syurga Ilahi.

“Wahai jiwa yang kekalutan, hiduplah di atas landasan fitrah dirimu, kerana kekalutan itu terhasil akibat penentangan arus di antara perbuatan yang tidak serasi dengan fitrah dirimu itu…”

Artikel lain: Hidup tenang walaupun makan gaji. Rumah yang sempit dirasa luas.

Penulis: Mohd Zulfadli


(SmartZul) adalah seorang penulis dan usahawan Internet sepenuh masa. Beliau memulakan perniagaan melalui Internet sejak tahun 2005, dengan memfokus kepada bidang penulisan dan penerbitan secara online. Beliau turut aktif berkongsi ilmu dan pengalaman melalui blog dan juga komuniti Facebook. Klik menu Hubungi di atas untuk menghubungi beliau.

SERTAI NEWSLETTER SMARTUSAHA.COM
Sertai newsletter SmartUsaha.com untuk mendapatkan info dan tip-tip perniagaan dan pemasaran Internet terus ke emel anda.
Kami benci spam. Emel anda selamat bersama kami.

Komen Guna Facebook:

comments

2 thoughts on “Tidak perlu paksa diri

  1. Orang sekarang ni mudah terpengaruh dengan buat duit dari rumah dan bagai walaupun mereka memang tiada minat untuk buat benda tersebut.

    Tak kisahlah kerja apa pun yang penting kita dapat buat apa yang kita suka dan apa yang kita sesuai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *