Perjalanan Beribu Batu Bermula dengan Langkah Pertama

stepsBersedia untuk membaca satu tulisan (yang juga mungkin satu leteran) yang panjang… 😉

Pepatah ada mengatakan, “perjalanan beribu batu bermula dengan langkah yang pertama”, tetapi bagaimana pula jika pepatah itu disambung begini?

“Walau langkah telah beribu batu, tetapi sampai masanya, kita perlu pulang kembali ke langkah yang pertama..”.

Ayat tersebut mempunyai 1001 makna tersendiri, mengikut keadaan diri anda sendiri. Saya mentafsirnya untuk diri saya sendiri, dan anda perlu mentafsirnya untuk diri anda. Jika anda ‘suka’ memikirkan soal dalaman anda, atau dalam maksud lain menghisab diri, maka mungkin ayat tersebut sesuai untuk anda fikirkan dan sesuaikan dengan diri anda. 🙂

Ia mungkin sedikit berfalsafah. Namun hakikatnya, siapa yang mahu berfikir, dia akan dapat sesuatu makna yang begitu luas pada sambungan pepatah itu tadi. 😉

Post ini merupakan mungkin atau antara post terakhir saya untuk tahun 2006 ini. Tidak begitu sempat untuk menulis panjang lagi di akhir-akhir tahun ini. Sama-sama kita menghisab diri-sendiri agar bermula tahun depan, kita tidak mengulangi lagi kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan di tahun ini. Saya juga telah belajar banyak perkara, dan sebagai manusia biasa, saya juga belajar daripada kesilapan. 🙂 Juga, jika kita berjaya mencapai sesuatu, usahalah lagi agar lebih berjaya.

Yang Berjaya, “Bantu” Yang Belum

Siapa yang dah berjaya, usahlah menjadi seperti “si ibu ayam yang bertelur sebiji, habis riuh sekampung”. Sebaliknya, bantulah mereka yang baru ingin bermula dengan langkah yang teratur, ikhlas dan jangan menyindir mereka yang tidak berjaya seperti anda, kerana kita berada di dalam satu bidang. Tiada istilah aku hebat kau tidak, tetapi kita bersama-sama di atas satu jalan. Masing-masing ada lebih kurangnya. Usahlah menuding-nuding jari kepada mereka yang anda anggap tidak betul, kerana satu jari anda tuding, empat jari menghala ke arah anda (kalau anda cukup 5 jarilah). Saya menyatakan hal ini kerana, adanya segelintir mereka yang tidak menghormati antara satu sama lain, lebih-lebih setelah mereka berjaya. Merendah-rendahkan orang lain merupakan satu akhlak yang tidak mulia. Atau dalam erti kata yang lain, mata sudah kelabu dan mula buta hatta kejayaan yang besar dan dia tidak sedar, di sebalik kejayaan itu, tersirat 1001 ujian yang bakal melandanya. Manusia, memang cepat lupa.

Kepada newbie dalam bidang ebiz ini, percayalah, walau anda baru ingin bermula, kejayaan itu tidak kenal sesiapa. Mungkin hari ini anda mula, minggu ini juga anda berjaya dengan rezeki melimpah-ruah. Walau saya dan yang lain-lain telah lama bermula, tak bermaksud kami “is the best”, income kami tinggi dan melimpah-limpah. Tidak sama sekali. Mengapa ramai orang suka mengukur dari sudut pendapatan material semata-mata? Kejayaan bagi saya adalah, “bebasnya saya daripada kejahilan”, kerana saya sudah tahu apa itu ebiz yang sebenar. Satu nikmat yang tak terhingga dari Allah subhanahu wa Ta’ala. Adakah anda bersyukur menemui jalan yang benar ini? Hanya anda yang tahu. Tapi, ramai yang tidak begitu… Semuanya fikirkan $$$$$$$ dan mencari ilmu dengan cara yang tak beradab. Ingin belajar sesuatu seperti umpama memakan sebiji burger dalam keadaan gopoh dan tamak. Boleh anda bayangkan orang yang makan burger begitu? “Buruk” bukan wajahnya? Aduhai manusia, usahlah kembali seperti kaum jahiliah seperti dulu, kita kini di zaman millenium.

Apa pendapat anda mengenai emel pendek sebegini:

“Zul, boleh ajar saya buat duit di internet ni dari A sampai Z?”.

Maaf jika saya katakan, emel sebegini tidak ada adab. Semuanya gopoh, gopoh dan gopoh. Semuanya kerana $$$$$. Nilai ilmu telah jauh dibelakangkan. Ketahuilah, perniagaan internet adalah PERNIAGAAN. Ia bukan cuba-cuba, main-main atau sekadar satu persinggahan sahaja. Ia adalah bisnes! Tak semudah memetik jari, tak semudah makan kacang. Bila disebut sebagai PERNIAGAAN, maka banyak aspek yang perlu difikirkan. Anda tahu apa maksud saya..

Income Saya?

Saya tidak begitu suka jika ada yang bertanyakan saya, “berapa income awak sebulan?”. Soalan ini saya tidak akan jawab sampai bila-bila, kecuali keadaan memerlukan. 🙂 Maafkan saya sebab ini adalah prinsip saya. Jika RM1000, 3000, 5000 atau berpuluh ribu sebulan pun, untuk apa anda tahu? Hanya ingin tahu? Ia bukan tujuan yang penting jika hanya SEKADAR ingin tahu. Maafkan saya jika kita bertemu atau di emel atau di mana sahaja dan anda bertanya soalan begini, saya pasti akan menjawab dengan satu senyuman sahaja. Saya lebih suka merahsiakan pendapatan saya kerana dengan prinsip saya ini, ia amat menenangkan jiwa saya.. Ini adalah hak peribadi saya dan tidak ada sesiapa berhak untuk bertanya. Saya terpaksa bertegas dalam hal ini kerana begitu ramai yang bertanya akan hal ini. Bila saya tanya balik, “untuk apa?”. Lantas mereka keliru dan tersepit dengan soalan mereka sendiri..

Jika anda keliru dengan penjelasan saya ini, “stop”, usah bertanya lagi akan hal ini. Ia tidak berfaedah pun. INCOME saya adalah RAHSIA saya. Full stop. 🙂 Selain itu, saya amat mengharapkan, jangan hanya menilai seseorang pada fizikalnya dan hartanya atau pada pendapatannya. Kebanyakan orang suka menilai dari sudut ini berbanding nilai-nilai murni dalaman. Lantas, kita akan cuai dan alpa. Akhirnya…. Terus hanyut dibuai mimpi yang tak berkesudahan.

Harta, kekayaan, bukan utama dan segala-galanya, IA HANYA KEPERLUAN. Itu hakikatnya dan hanya itu. Andaikata saya tak berharta material yang banyak, tetapi saya sebenarnya ‘kaya’ dengan harta yang lain yang saya gunakannya untuk mendapatkan kelebihan yang tiada taranya, bahkan membawa kebaikan terus-menerus ke ‘alam sebelah sana’. Apakah harta itu? Hanya mereka yang celik sahaja yang nampak. Saya tidak menetapkan wang sebagai no 1, kerana SAYA ADA CARA & MATLAMAT SENDIRI. Sekali lagi, hanya mereka yang celik sahaja akan faham kata-kata ‘falsafah’ saya ini. 🙂

Dengki?

“Tak guna berdengki, kerana yang kayanya orang kita juga. Yang berumah besar pun orang kita juga. Akhirnya, satu umat ni juga yang akan senang.”. Itulah ayat yang selalu saya guna jika ada orang mengatakan saya dengki.

Tidak bermakna jika kita ditegur oleh seseorang, itu tandanya dia dengki. Sebaliknya, terimalah teguran yang membina itu sebaik-baiknya, agar kita terus dapat menapak dengan lebih maju ke hadapan. Teguran orang biasanya mungkin menunjukkan adanya sesuatu yang kurang pada diri kita. Maka, analisalah diri agar yang kurang, kita perbaiki, yang baik, kita pertingkatkan. Janganlah apabila ada orang menegur kita, lantas kita menuduhnya dengki dan mahu melihat kita gagal dan kecundang. Satu tuduhan yang melulu dan membuktikan anda tidak ada daya tahan diri yang kuat.

Gaya Sendiri = Keunikan

Jika anda pembaca blog setia saya, anda mungkin perasan atau sudah tahu style penulisan saya jenis bagaimana. Saya lebih menyentuh SOAL DALAMAN seorang usahawan. Ya, saya lebih suka menyentuh hal itu kerana saya melihat begitu ramai yang alpa, lalai dan lupa akan hal dalaman yang begitu penting bagi seorang usahawan.

Inilah saya, inilah cara saya. 🙂 Setiap usahawan yang lain seperti Dr. Irfan, SaifulSham, Alang, Shuth dan yang lain-lain, mempunyai cara dan pendekatan yang berbeza, TETAPI menghala ke satu matlamat yang sama, iaitu KEJAYAAN. Masing-masing ada gaya penulisan tersendiri. Ada ‘pengikut’ tersendiri. Inilah lebihnya ada gaya yang tersendiri, maka anda perlu menentukan gaya anda sendiri yang mana biasanya ia sudah ada dalam diri anda yang hanya tunggu masa untuk diasah dan digilap sahaja.

Banyak Cakap?

Ada orang mengatakan orang seperti saya dan yang lain-lain (terutama yang menulis blog dan bantu di forum) hanya banyak cakap. “Orang lain sibuk buat duit, kau sibuk bercakap lebih-lebih”. Saya pula balas, “ya lah, kau sibuk buat duit, kami sibuk bantu orang lain.. Ada kau bantu mereka?”. Lidahnya kelu tak terkata. Barulah dia sedar, ilmunya, hartanya, hanya untuknya. Sebaliknya yang banyak cakap juga banyak mendidik dan menyebarkan sesuatu yang berguna kepada yang lain. Antara $$$ dan ilmu, yang mana lebih bernilai besar? Sudah pasti ilmu.

Ebook dan Buku = Jual Beli Ilmu??

Secara pendeknya, ia adalah pemikiran dan pendapat yang dangkal. Orang yang berkata itu, tidak mengkaji terlebih dahulu sebelum berkata-kata, atau merujuk ulama’ termasuk fatwa mengenai hal ini. Ada segelintir yang begitu anti dengan mereka yang menulis ebook atau buku dan menjualnya. Lagi teruk, ada yang mengatakan tidak ada hakcipta dalam Islam. Mereka mentafsir dengan memakai akalnya yang lemah. Padahal, tugas-tugas dan keputusan sebegini adalah di tangan para ulama, pewaris Nabi:

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah pernah ditanya tentang orang yang menyalin (menulis) Shahih Bukhari, Shahih Muslim, dan Al-Qur’an dengan tangannya, dengan niat untuk menulis hadits dan niat lainnya. Jika ia menyalin tersebut untuk dirinya sendiri atau untuk dijual, apakah ia akan mendapat pahala??

Maka beliau menjawab (Majmu’ Fatawa 18/74-75) setelah memuji Shahihain, kitab-kitab sunan, Musnad, dan Muwatho’ dengan redaksi sebagai berikut : ‘Manusia mendapat pahala dengan tulisannya tersebut, baik ia menulis untuk dirinya atau untuk dijual..’. Kata-kata Imam besar ini selaras dengan sabda Nabi Shalallahu alaihi wa sallam, “Barangsiapa yang menunjukkan kepada kebaikan, maka dia mendapatkan (pahala) seperti pahala pelakunya [Hadits Riwayat Muslim].

Syaikh Masyur berkata : “Dan seperti itu (hukumnya) buku-buku yang bermanfaat (yaitu buku-buku selain mushaf dan buku hadits) sebagaimana Allah memberi pahala kepada penyusun, maka penerbitnya-pun mendapat pahala juga… – beliau menyambung dengan menyebutkan ciri-ciri buku yang dibolehkan seperti buku yang bermanfaat dan tidak mengandungi kemungkaran, selain penulisnya MESTI berniat ikhlas.

Hakcipta tak ada dalam Islam? Hmm, mereka yang berkata sebegini sudah pasti tidak mengikuti perbincangan jumhur para ulama’ yang soleh mengenai hak pemilikan, sebaliknya mereka membuat fatwa mereka sendiri. Sudah jelas lagi tak terselindung, mereka berkata tanpa ilmu, hanya dari hati yang masih ada ruang-ruang kosong yang perlu diubati. 🙂

Dari segi logik, kata-kata mereka pun sudah boleh ditolak. Jika menulis buku dan menjualnya adalah salah dan berdosa, maka berapa ramai ulama yang menerima royalti daripada penerbitan dan penulisan buku? Nampaknya mereka juga berdosa… Wahai manusia yang sempit pemikiran, perluaskanlah daya fikirmu dengan sebaik-baiknya.

Jadi kepada yang ingin menulis ebook ataupun buku, tulislah sesuatu yang memberi manfaat kepada umat di dunia ini dengan niat yang pertama, iaitu ikhlas dalam penyampaian ilmu, bukan semata-mata kerana duit. Usah dilayan kata-kata mereka yang tidak berpijak di atas dasar ilmu yang hakiki itu, mereka tengah hanyut sebenarnya.. InsyaAllah, sampai masa nanti, saya akan mengeluarkan panduan penulisan bedasarkan kepada dasar-dasar yang telah Agama Islam tetapkan. Kita adalah muslim.. 🙂

Penutup

Tulisan kali ini amat ber-falsafah. Mungkin agak memeningkan anda yang membacanya. Cuma di akhir bicara ini, saya amat mengharapkan, jadilah manusia yang sebenar-benarnya, jika anda ingin berjaya dengan sebenar-benarnya sebagai seorang manusia. 🙂

Sekian untuk bicara kali ini. Jumpa lagi di ‘satu masa nanti’….

PS. Ruang komen tidak dibuka. Harap maaf. Peluang untuk bertanyakan soalan juga saya tutup buat sementara atas sebab yang tertentu.

PPS. Sudah dapatkan ebook Kit Blogger saya? Benda berbayar, sudah pasti ada ‘beza’nya dengan yang percuma. Klik Di Sini.

PPPS. Jika anda masih keliru dengan perniagaan internet atau cara membuat duit di internet, jom pergi ke seminar yang mampu untuk sesiapa sahaja menyertainya. Klik di sini sekarang!

Kata-Kata Hikmat: “Manusia itu lahir pada waktu yang berbeza, di tempat yang berbeza. Dibesarkan dengan cara yang berbeza, dididik dengan cara yang berbeza. Maka, sudah pasti inti dalamannya juga turut berbeza di antara satu sama lain… Begitu juga dengan wajahnya, bentuknya, juga berbeza. Adalah sesuatu yang amat merugikan jika mereka tidak menjadi diri mereka sendiri dan begitu sibuk untuk menjadi orang lain. Jadilah diri anda sendiri hatta anda seorang yang tidak ada kaki atau seorang yang pekak dan bisu. U’re the best for yourself.. Sesungguhnya Allah itu Amat Adil dan berlaku adil kepada mereka yang beriman dan beramal soleh…”.

Coretan ikhlas dari saudaramu,

Mohd Zulfadli.

Wassalam.

Penulis: Mohd Zulfadli


(SmartZul) adalah seorang penulis dan usahawan Internet sepenuh masa. Beliau memulakan perniagaan melalui Internet sejak tahun 2005, dengan memfokus kepada bidang penulisan dan penerbitan secara online. Beliau turut aktif berkongsi ilmu dan pengalaman melalui blog dan juga komuniti Facebook. Klik menu Hubungi di atas untuk menghubungi beliau.

SERTAI NEWSLETTER SMARTUSAHA.COM
Sertai newsletter SmartUsaha.com untuk mendapatkan info dan tip-tip perniagaan dan pemasaran Internet terus ke emel anda.
Kami benci spam. Emel anda selamat bersama kami.

Komen Guna Facebook:

comments