Facebook Itu Tidak Berguna? Fikirkan Semula…

Facebook… Jika ia dilihat sebagai satu wadah pemasaran semata-mata, maka sempitlah kefahaman kita terhadapnya. Selain ia boleh dijadikan alat pemasaran perniagaan, ada lagi kelebihan lain Facebook (FB) seperti:

1. Berinteraksi dengan lebih rapat dengan usahawan yang lain. Semenjak saya menggunakan Facebook, kenalan saya terutama kalangan usahawan semakin bertambah. Kenalan ini bukan sahaja berinteraksi di FB, malah kami telah berjumpa beberapa kali.

2. Dapat mengetahui sesuatu informasi tanpa perlu kita mencarinya. Sebaliknya ia dikongsi oleh rakan-rakan di FB. Mungkin berkaitan kejadian semasa, berita, tip, panduan dan lain-lain lagi.

3. Boleh bertanya soalan yang tertentu. Contohnya jika kita mahu mencari sesuatu tempat yang belum pernah kita pergi, kita boleh bertanya di FB. Jika mahu cari hotel yang berdekatan di tempat tertentu, boleh tanya di FB. Ramai yang akan memberikan cadangan dan maklumat.

Contoh yang lain, saya pernah bertanya cadangan tempat untuk saya berpindah ke KL nanti. Ramai yang memberikan cadangan, termasuklah oleh agen-agen rumah sekali. 😀

4. Dorongan dan motivasi. Sebahagian besar rakan-rakan di FB akan terus menerus menulis sesuatu yang positif. Dan ini amat bagus untuk minda dan motivasi kita.

5. Mendapat perhatian pihak tertentu. Sebagai contoh, saya telah mendapat jemputan untuk memberi ceramah, sesi khidmat runding dan banyak lagi peluang yang tidak terjangka.

6. Events. Banyak program atau aktiviti yang dianjurkan seperti seminar dan bengkel. Contohnya seperti yang Tuan Zamri Mohamad lakukan ini:

Bengkel Copywriting

Bengkel Copywriting Zamri Mohamad

Jadi selain mencari daripada sumber lain, Facebook juga boleh dijadikan satu sumber pencarian program-program berkaitan dengan hanya klik pada menu Events.

7. Kaji Selidik. Saya kerap melakukan hal ini. Contohnya jika kita ingin mendapatkan pengesahan terhadap sesuatu idea produk (penyelesaian masalah) dan mengesahkan ia juga dihadapi oleh orang lain, Facebook dapat digunakan.

Semasa saya menulis idea ini, tanpa tersengaja saya telah terbuat satu kaji selidik tanpa dirancang. Melihat daripada komen yang diterima di situ, maka ia mengukuhkan lagi bahawa salah satu projek saya boleh diteruskan. Ini kerana masalah tersebut dihadapi oleh ramai orang.

8. Perkara Tidak Terjangka. Menulis sesuatu di FB seperti di status (dipanggil sebagai Post), kita akan mendapat banyak maklum balas daripada rakan-rakan di FB, termasuklah pelbagai pihak. Terkadang, kita akan mendapat pandangan yang langsung tidak pernah kita fikirkan.

Tip FB: Terus menerus berkongsi sesuatu di FB sekurang-kurangnya sekali sehari. Ini bagi memastikan kita ‘visible’ pada diri rakan-rakan di FB. Kalau sekejap timbul sekejap tenggelam, orang tidak akan ingat siapa kita. Utamakan kandungan berbanding mempromosi semata-mata. Seimbangkan.

Dengan banyak memasukkan info seperti di bahagian status, rakan-rakan di FB akan sedar akan kewujudan kita. Daripada itu, Elakkan promosi berlebih-lebihan di FB kerana ia tidak membantu bisnes untuk jangka masa yang lama. FB adalah tempat membina dan mengembangkan jenama (bisnes). Kurang sesuai untuk menjual semata-mata.

9. Berbincang sesuatu topik secara terbuka. Lain orang lain pendapat. Daripada situ, kita dapat menambahkan lagi sesuatu kefahaman atau pandangan terhadap sesuatu perkara. Di FB, ada pelbagai peringkat umur, kerjaya dan pendidikan. Jadi, sudah pasti ada banyak pandangan.

10. Satu alat komunikasi. Berbincang di FB sama ada secara terbuka atau tertutup, dan kemudian melaksanakannya di dunia nyata seperti melakukan satu perjumpaan, majlis atau program. FB membolehkan kita berbincang dengan mudah secara beramai-ramai.

11. Berkongsi minat. Sebagai contoh, saya minat dengan Nasi Ayam Penyet. Makanan ini sudah menjadi satu ‘kegilaan’ ramai sekarang termasuk saya. Maka dengan itu, satu group di FB telah diwujudkan iaitu Group Nasi Ayam Penyet. Di sana, kami saling berkongsi informasi berkaitan makanan tersebut.

group-ayam-penyet

Di FB, walaupun kita melakukan sesuatu yang tidak mengarah terus kepada kebaikan bisnes, namun cara seperti di atas kita boleh panggil ia sebagai “pemasaran secara sosial”. Bermaksud, kita berkenalan dengan orang lain berdasarkan minat yang sama. Hal bisnes, ia sudah pasti akan datang sendiri kelak seperti kerjasama, kenalan menjadi pelanggan atau kenalan itu membantu mempromosikan bisnes / diri kita dan sebagainya.

Kesimpulan

Dengan 11 contoh di atas, jangan sama sekali memperlekehkan Facebook. Saya ada menyatakan satu perkara berkaitan di FB seperti berikut:

alat-fb

Apa sahaja yang kita lakukan sudah pasti soal masa menjadi keutamaan. Maka, untuk menggunakan Facebook, kita juga perlu menguruskan masa sebaik mungkin. Caranya, kita mesti tahu apa yang perlu kita buat, bagaimana cara melakukannya dan masa yang diperuntukkan. Selesai perkara itu, maka jangan buat yang lain kerana ia mungkin akan membawa kepada hilang fokus.

Banyak lagi manfaat-manfaat Facebook yang lain. Saya sendiri banyak menyelongkar kegunaan FB sejak berbulan-bulan yang lepas. Semoga tulisan ini bermanfaat untuk anda semua.

Selamat melakukan pemasaran sosial!

Penulis: Mohd Zulfadli


(SmartZul) adalah seorang penulis dan usahawan Internet sepenuh masa. Beliau memulakan perniagaan melalui Internet sejak tahun 2005, dengan memfokus kepada bidang penulisan dan penerbitan secara online. Beliau turut aktif berkongsi ilmu dan pengalaman melalui blog dan juga komuniti Facebook. Klik menu Hubungi di atas untuk menghubungi beliau.

SERTAI NEWSLETTER SMARTUSAHA.COM
Sertai newsletter SmartUsaha.com untuk mendapatkan info dan tip-tip perniagaan dan pemasaran Internet terus ke emel anda.
Kami benci spam. Emel anda selamat bersama kami.

Komen Guna Facebook:

comments

29 thoughts on “Facebook Itu Tidak Berguna? Fikirkan Semula…

  1. Nasi Ayam Penyet.. saya pun suke 🙂 xtau plak ad group tersendiri kt FB. Anyway, sy mmg sgt tdk bsetuju yg mngatakan fb ni xbguna.

    Semua benda ciptaan manusia di dunia ni ada pro & kontra. Kelebihan dan keburukan sesuatu benda tu sebenarnya bergantung dgn bgaimana kita menggunakanya.

  2. Saya setuju dengan pendapat Zul. Jika kita seorang yang bijak, Facebook dapat digunakan sebagai medium untuk menjenamakan sesuatu perniagaan.

    Dengan kata lain, ia boleh dikategorikan sebagai “Low Cost Branding and Advertising”. 🙂

  3. Bergantung kpd cara org yg menggunakan FB. Kebaikan utk berinteraksi dgn ramai rakan2, menyalurkan berita dgn mudah. Keburukan kalau bermain game dalam jangka masa yg lama. Tp sy sekejap pun x leh lyn game. Org invite game, nk explore pun x reti, hehe.

  4. Memang masih ramai lagi yg saya temgok mensia-siakan kelebihan “rahsia” yang terdapat dalam facebook.Ada yg asyik dan leka dgn pelbagai aplikasi yg ada kat dalam tue…Saya harap anda yg membaca blog ini tidak terperangkap sampai 2-3jam di facebook.Gunakanlah facebook dengan bijak.

  5. Itulah zul kadang-kadang tidaklah selalu masuk FB, saya hanya login dan masuk ke FB dan hampir satu masa tidak buat apa-apa pun “hanya login”, seperti kata zul teknik pemasaran, jika saya hendak jual produk kelak orang akan kenal siapa saya, memang orang punya ramai pendapat, tapi tak semestinya betul selalu.

  6. Ya betul,
    Pada saya FB adalah lebih kepada memperkenalkan jenama diri anda.

    Tetapi kurang sesuai untuk mempromosikan bisnes membuta tuli kerana jika itu dilakukan, ia adalah satu kesilapan kerana di FB, ramai yang ingin membina hubungan dan bersosial.

    Jika mahu mempromosikan bisnes perlulah seimbang dan tidak terlalu terburu-buru.

    Cuba elak menggunakan gambar wang untuk profile picture kerana ia bukanlah satu cara promosi berkesan. 🙂

  7. secara mudah, rugi kalau sesiapa tak pandai ekploitasikan Facebook ni. Tapi takde paksaan untuk berfacebook. Tanpa facebook, kita tetap boleh pergi jauh. Bagi aku, facebook adalah satu bonus yang sangat menarik.

  8. Setuju .. saya ingin menambah. FB menolong saya mengeratkan silaturrahim dengan kawan – kawan sekarang dan kawan – kawan lama.

    Oh, dan dapat berkomunikasi dengan otai2 IM 😀

  9. Betul tu saudara Zul..Facebook ni mmg betul2 memberi kepuasan sebab membantu byk dlm kehidupan dan bisnes..Saya pun dpt menambah rakan dan bertukar2 pendapat dgn diorang

    Zaman skang mmg pelik kalo org xder akaun facebook

  10. Salam Zul,

    FB cukup menarik untuk di explore. Bukan sahaja rakan yg lama tak jumpa tapi rakan sekolah rendah pun boleh jumpa. Imagine baru-baru ini kami buat family day untuk kawan sekolah rendah yang sudah 31 tahun tak jumpa. Dulu budak-budak dan bila jumpa hari tu semua dah bapak budak dan ada yang anak 8….semuanya kerana FB.

    Setuju dgn Zul dan rakan lain, FB not only for business but doe building relationship and also making dakwah.

  11. salam saudara zul.

    sblm ni sy hnya tahu berchatting dan komen2 membe je kat facebook tu..
    tp sy nmpk ada byk bnda lg blh buat kat facebook tu…
    trma kasih..

  12. FB, sebagaimana teknologi lain, banyak kegunaannya dan manfaatnya. Itulah yang mendorong saya yang sudah tua ini pun (60 tahun) tetap mengambil waktu belajar menggunakan FB dengan berkesan bagi mempromosi brand PTS….

  13. salam usahawan.

    Setiap sesuatu ada pasangannya.Ada lelaki dan perempuan.Ada baik ada juga yang buruk.Bercakap soal FB ianya terpulang pada individu itu sendiri.Saya menggunakan FB untuk berhubung dengan rakan-rakan dari serata tempat dengan hanya berkongsi melalui post yng dibuat.Ramai juga yang tahu mengenai kewujudan blog Saya melalui FB.Jadi saya rasa FB berguna utk saya.Orang lain..fikir2 kn lah.

  14. Tapi AWAS, banyak benda yang boleh melekakan kat Facebook…

    Nanti bisnes internet tah ke mana asyik dok main game dll…hehe…ramai yang dah KETAGIH

    Ingatan untuk diri sendiri jugak…gunakan Facebook secara berhemah….

  15. Saya sebagai juruajar memandu, melihat FB sebagai satu tempat yang mempunyai pasaran yang luas untuk perkhidmatan yang saya lakukan.

  16. Ye betul, saya telah membuat fan pages di facebook, hasilnya bilangan yang subscribe untuk mailing list juga meningkat. Dan juga saya dapat berhubung kembali dengan kawan-kawan lama yang terpisah.

  17. Sebenarnya setiap orang lain pemikiran, lain cara.

    Saya melihat ada beberapa otai IM seperti menunjuk sebagai “HERO IM” muncul-muncul kata facebook buang masa.

    Bagi saya buang masa atau tidak, bergantung pada mereka yang menggunakannya. Janganlah terlalu cepat mengeluarkan kenyataan, sehingga menyebabkan newbie terpinga-pinga nak ikut kata siapa yang betul.

    Sekadar pandangan.

    1. Kalau benar FB itu membazir masa, mengapa mereka masih muncul di FB? Apakah maksudnya itu? Maksudnya adalah, bukan FB yang membazir masa, tetapi individu sendiri yang membazir masa. Tidak urus masa dan keutamaan. Itu yang sebetulnya.

      Menyalahkan alat adalah salah. Alat tidak berupaya mengambil masa kita. Kita yang menentukannya.

      1. Betul tu En. Zul.

        Dari mula sy mengenali IM dari En. Zul tahun 2006, sy beranggapan En. Zul sahajalah yang IM open minded dan sentiasa membuka minda saya.

        Terima kasih banyak-banyak En. Zul.

  18. Salam Tuan,
    satu topik yang sangat menarik untuk dibincangkan memandangkan facebook adalah satu daripada laman sosial yang bernilai buat masa ini.

    bagaimana mengguna/mengaplikasikannya terpulang kepada individu jika baik maka baik lah, jika tidak maka sebaliknya..
    sekadar berkongsi pendapat.

  19. “Dimana Bashier kenal dengan Kak Waida?”, “Di Facebook”. Inilah antara kebaikannya.

    Dimana seorang kenalan saya, kenal dengan kenalan saya yang lain semasa kami berjumpa di Baca@LRT minggu lepas. Bermula kenal di facebook, dan bersua muka di dunia sebenar. Kan mudah proses berkenalan ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *