Pelajaran Berharga Perniagaan

Berikut adalah beberapa pelajaran berharga yang saya perolehi sepanjang melakukan perniagaan:

  • Jika ada orang berminat untuk berurusan dengan kita, segerakan urusan itu. Pastikan tidak menangguh ia sehingga satu tempoh yang lama. Fitrah manusia akan bersungguh pada peringkat mula, tetapi jika telah begitu lama, peluang sebegini akan lupus begitu saja kerana mereka telah tidak berminat.
  • Setiap apa yang dimulakan, perlu diselesaikan. Kita mudah mendapat banyak idea, tetapi jika idea itu mahu dilaksanakan banyak sekaligus, kita mudah rebah di mana semua idea itu terbengkalai. Nasib orang tamak yang tidak bertempat selalu akan rugi.
  • Selesaikan perkara dan urusan-urusan yang kecil dengan SEGERA. Perkara kecil yang ditangguhkan umpama kudis. Semakin ia digaru, semakin membesar. Begitu juga perkara kecil, jika ia ditangguh dan dikumpul-kumpul sehingga banyak yang tidak diselesaikan, akhirnya ia umpama pasukan anai-anai yang mampu merobohkan sebuah rumah.
  • SIMPAN DUIT. Sebaik dapat hasil, simpan sebahagian daripadanya. Bagi usahawan internet yang merasakan dirinya sukar menyimpan sebulan sekali, latih diri dengan menyimpan jumlah wang yang kecil pada setiap hari pada akaun simpanan khas untuk simpanan sahaja. Manfaatkan ‘online banking’ kerana tidak perlu ke kaunter bank untuk membuat simpanan. Simpanan tunai adalah penting untuk hidup dan juga bisnes.
  • FOKUS. Perniagaan kecil lagi-lagi jika dilakukan secara solo (persendirian), maka sebaiknya kita fokus sepenuhnya pada bidang utama kemahiran, bakat dan kepakaran kita. Memang banyak bidang yang menguntungkan di dunia ini, tetapi biarlah berpada-pada dan mengikut kemampuan.
  • KEPUTUSAN. Belajar untuk membuat keputusan dengan cepat. Sama seperti perkara kecil di atas, hal-hal yang dilewatkan kata putusnya boleh membuatkan kita kelemasan kerana terlalu banyak ditangguhkan. Padahal, ada perkara hanya memerlukan jawapan YA ataupun TIDAK sahaja.
  • Gunakan apa yang ada. Terkadang mungkin kita rasa belum cukup peralatan, perisian, kemahiran, pengetahuan dan sebagainya. Biar semua cukup dahulu baru mahu mula. Elakkan sikap begini. Gunakan saja apa yang sedang dimiliki kerana belum tentu apabila kira rasa telah cukup, kita dapat kejayaan dengan itu semua. Bahkan belum pasti kita dapat bermula dengan baik. Hargai masa, kerana satu saat ke depan kita belum pasti apa akan terjadi.
  • Tidak takut mencuba. Beranikan diri mencuba sesuatu yang takut untuk kita buat atau yang kita rasakan tidak perlu. Contohnya, usahawan internet jarang mahu berurusan melalui panggilan telefon. Namun sebahagian pelanggan lebih suka berurusan dengan cara itu. Beranikan diri, lama-kelamaan kita akan biasa.
  • Profesional. Jika kita ada masalah peribadi, ia hanya hal peribadi, bukan hal bisnes. Perniagaan adalah satu entiti lain dan ia perlu digerakkan walau apa jua keadaan kita. Perlu belajar menjadi seorang yang kental dan profesional.
  • Pelbagaikan projek. Jangan hanya mengutamakan projek-projek yang besar sahaja kerana biasanya ia mengambil masa yang lama untuk disiapkan di samping tidak mudah juga untuk mendapat pelanggan. Hasilkan juga produk yang berharga rendah atau menerima kerja-kerja daripada klien walaupun bayarannya tidak tinggi. Pendek kata, tidak memilih rezeki.
  • SIBUK. Lebih baik sibuk berbanding banyak masa kosong yang tidak terisi. Kesibukan akan melatih diri kita agar lebih berdisiplin, mematuhi waktu (janji) dan lebih bijak merancang. Benar kata orang bijak, “Hanya orang yang sibuk mempunyai masa”. Dan pastikan masa sibuk itu adalah yang memberikan hasil kepada bisnes. Sibuk melakukan perkara yang produktif seperti mempromosikan bisnes.

Anda, jika baru bermula, pastikan mempunyai sikap dan disiplin yang baik agar usaha tetap berjalan dengan lancar.

“Buat silap sekali tidak mengapa, tetapi jika berulang kali, pasti ada sesuatu yang tidak kena. Mungkin jawapannya berkaitan dengan hati.”

(c) http://facebook.com/MohdZulfadli.IM

Penulis: Mohd Zulfadli


(SmartZul) adalah seorang penulis dan usahawan Internet sepenuh masa. Beliau memulakan perniagaan melalui Internet sejak tahun 2005, dengan memfokus kepada bidang penulisan dan penerbitan secara online. Beliau turut aktif berkongsi ilmu dan pengalaman melalui blog dan juga komuniti Facebook. Klik menu Hubungi di atas untuk menghubungi beliau.

SERTAI NEWSLETTER SMARTUSAHA.COM
Sertai newsletter SmartUsaha.com untuk mendapatkan info dan tip-tip perniagaan dan pemasaran Internet terus ke emel anda.
Kami benci spam. Emel anda selamat bersama kami.

Komen Guna Facebook:

comments

6 thoughts on “Pelajaran Berharga Perniagaan

  1. Benar, buat silap untuk pertama sebenarnya tidak mengapa kerana ianya boleh dijadikan pengajaran di masa depan, apa yang tidak baik ialah mengulangi kesilapan yang sama untuk kali kedua.

  2. Terima kasih tuan Zul. Memang benar apa yang tuan katakan itu. Saya telah mengalaminya dan sedang berusaha untuk menjadi lebih baik. Semoga tuan Zul sentiasa sihat dan didalam Rahmat-Nya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *