Dialog si penulis blog..

Hmm, kalau anda tanya, berapa ramai yang masuk blog ini, saya tak dapat jawab. 🙂 Mungkin boleh kira dengan jari kot. Jom baca dialog dua sekawan ini:

“Apa? Sikitnya pelawat web kau.. Blog kau tak laku yer zul.. haha..”, sindir seorang kawan.

“hmm, tak laku kau kata?”, aku membalas.

“yer lah, kalau laku, mesti ramai yang masuk..”, dia bertegas lagi.

“kau mesti tahu, blog aku ni laku..”, aku meyakinkan lagi.

“buktinya?”, tanya dia yang ragu-ragu..

“kau perlu tahu, aku menulis di sini bukan untuk hari ini atau esok dan lusa, tapi aku menulis untuk 3 tahun nanti. Masa tu, insyaAllah aku yakin blog aku ni akan ‘laku'”, aku menjawab.

“kau yakin?”, kawan itu masih tidak puas hati..

“yer, aku yakin. Sebab sekarang fasa aku belajar dan membina. Tahun ini, aku buka syarikat sendiri, aku target 2 tahun untuk berjaya dan tahun ketiga, aku ingin menjadi seorang perundingcara perniagaan internet yang dikenali & menjadi rujukan ramai.. dan bermula tahun itulah, aku akan terus mengukuhkan cita-cita aku itu. Aku tulis hari ni, adalah apa yang aku pelajari dan aku lalui.. Kelak, ia pasti akan dirujuki kembali”, jelasnya panjang lebar.

“ermm, kau yakin target 3 tahun itu akan tercapai?”, kawan itu masih tidak mahu mengalah.

“Usaha, doa dan tawakkal. Apa lagi yang dapat kita lakukan selain 3 cara ini? Allah itu lebih Mengetahui..”, jawab aku dengan ringkas dan padat.

“?”.. Sahabat tadi diam seribu bahasa.. Perbualan terhenti di situ.

Pengajaran:

Dialog dua sahabat tadi menunjukkan ‘aku’ itu bercita-cita tinggi untuk menjadi usahawan internet yang berjaya dan juga perundingcara perniagaan internet yang dikenali. Dia menulis blog hari ini, bukan untuk hari ini. Tetapi untuk suatu masa nanti.. Tulisan-tulisan itu, pasti akan dirujuk kembali dan akan menjadi suatu peninggalan untuk dijadikan rujukan ramai.

Para pembaca yang mempunyai cita-cita yang sama seperti ‘aku’ di atas, janganlah bersedih dan berduka jika blog atau laman web anda tidak ramai yang melawat, kerana kelak pasti anda akan dapat hasilnya jika anda gigih dan sabar. InsyaAllah.

“sehari selembar benang, lama-lama jadi kain”.

Kemaskini: 15 Januari 2010, 4:58 AM

Entri “Dialog Si Penulis Blog” ini ditulis pada 20/2/2006.

Kini, selepas hampir empat tahun impian ini ditulis, cita-cita saya telah tercapai (sebenarnya lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan) dan kini terus mengorak langkah untuk mempertingkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran di dalam bidang Internet Marketing ini. Terima kasih kepada semua yang telah memberikan sokongan sejak 4 tahun yang lepas lagi! Hanya kepada ALLAH kita serahkan segalanya.

Tips Persaingan Sihat..

Ingin saya nyatakan terlebih dahulu kepada anda, saya pasti dan akan pasti merujuk kepada panduan Agama Islam di dalam menulis sesuatu topik di dalam blog ini. Mesti ada yang bertanya, mengapa begitu? Kita kan masyarakat majmuk, berbilang Agama..? Ketahuilah bahawa, Islam itu datang untuk semua bangsa dan manusia, sesuai digunapakai oleh sesiapa sahaja, bersifat universal.. -tamat jawapan-. 🙂

Berkaitan dengan tajuk di atas, saya akan mengemukakan tips persaingan dan dalam kes ini adalah perniagaan internet. Seringkali kita melihat, kebanyakan usahawan internet yang menjual produk yang sama akan meng-klaim (mendakwa) merekalah yang terbaik. Itu ok lagilah, namun yang paling tak ok dan tak baik, nama pihak lain disebut-sebut akan kelemahan dan kekurangannya.

Tahukah anda, kita tak perlu pun memperbandingkan atau susah-susah memperkatakan kelemahan orang lain? Di dalam perniagaan internet, para pakar memberi tips: SEBUTLAH KEISTIMEWAAN PRODUK ANDA & PRODUK ANDA ITU ADA NICHE/UNIK. Mudah bukan? Jika orang jual hosting, dan kita pun nak jual hosting, kita buatlah plan pemasaran hosting yang lain dari yang lain. Kalau boleh, buat yang tak pernah orang buat lagi dan mampu dimiliki oleh semua orang.. – Ehem, apa khabar sempoihosting.com? – Begitu juga dengan produk-produk lain, jika orang jual buku cara mengurut badan, anda juallah buku cara mengurut untuk menghilangkan penyakit sembelit! Ops, boleh ker tukang urut? Ya ada, urut refleksi.. Agak-agak, berapa ramai yang sakit sembelit yer. Nampak tak? Bidang sama (urut), tapi tajuk kedua lebih spesifik. Orang yang sakit sembelit tak nak tahu pasal sakit lain, mereka hanya nak tahu dan nak sembuhkan penyakit sembelit mereka sahaja!!

Nampak idea ini? Itulah niche dan itulah salah satu cara untuk anda bersaing dengan mereka yang lain. Nampak macam tak bersaing bukan? So, terjawablah, tak perlu lagi untuk anda membawa dan memperkatakan kelemahan produk orang lain!

Itu niche.. Tak cukup ada produk yang niche, anda mesti berulang kali menyebut-nyebut kelebihan dan keistimewaan produk / servis anda. Sebut dan sebut dan sebut.. 🙂 Berapa kali sebut daa.. hehe, yer, kena sebut banyak kali dan berulang kali. Keistimewaan di sini bermaksud, apa yang pembeli/pengguna akan dapat? Sebut dan sebut. Sebab itu yang mereka nak tahu. Mereka tak nak tahu sejarah, mereka tak nak ambil tahu cerita lain, tapi mereka nak tahu apa yang mereka akan dapat.. Itulah biasanya. Anda pun begitukan semasa ingin membeli produk? “Hmm, sos tiram ni boleh bagi masakan aku lebih sedap ker?”. Jeng jeng jeng!! Terbukti bukan?

Sebut dan sebut di sini bukanlah menyebut benda yang sama di dalam laman web anda. Boleh, tetapi yang dimaksudkan juga sebut berulang-kali adalah anda senaraikan pelbagai keistimewaan produk anda. Bukan hanya senaraikan, tetapi ada sedikit penjelasan yang terang dan mudah difahami.

FORMULA : NICHE + SEBUT KEISTIMEWAAN – CERITA KEBURUKAN PRODUK LAIN

Tahniah, anda telah bersaing dengan hebat! 🙂

Pesanan: “jangan cari lawan, tapi cari kawan..”.

mohd zulfadli,
bakal perunding cara pemasaran internet, insyaAllah.

Bila Sudah Berjaya…

Mungkin topik kali ini lari tajuk sedikit, tapi ia juga ada kaitan dengan perniagaan dan keusahawanan internet. Ini hanyalah pendapat saya semata, mungkin ada salah dan silap.. Perbetulkan.
Kelak, bila anda sudah berjaya menjadi usahawan internet, telah menerbitkan buku, menjadi pengajar mengenai perniagaan internet (mengadakan seminar, bengkel, kursus..), apakah yang akan anda lakukan? Dan, bagaimanakah anda ketika itu?

Daripada pemerhatian saya, tidak kisahlah di negara mana sekalipun, kebanyakan usahawan internet yang telah berjaya masing-masing ingin mengatakan mereka adalah yang terbaik, yang terbagus dan tidak perlu merujuk orang lain lagi. Cukup mereka seorang sahaja. Sifat ini bagi saya bukanlah satu sifat yang wajar diutamakan.. Lebih-lebih lagi jika kita mengatakan, kita datang membawa kelebihan yang tiada pada usahawan internet yang lain, lantas mengatakan mereka yang lain itu hanya teori semata-mata, hanya mahukan wang semata-mata..

Jika kita melakukan sebegini dengan menyatakan yang kita hebat, lain dari yang lain, produk kita bagus; dengan membuat pernyataan sebegitu, sebenarnya kita telah ‘menempah’ satu tiket ‘kebencian’ daripada pelbagai pihak.. Ya, andaikata kata-kata kita itu tidak terbukti, maka kita akan dicaci, dikeji dan akan ‘disenarai-hitamkan..’. Hati-hatilah di dalam berkata-kata, kerana ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya..’. Setelah berkata, anda sudah mula berada di dalam ‘zon bahaya’.

Jadi apa yang perlu kita katakan? Pertama, jika benar dakwaan orang lain ada kekurangan, apakah salahnya jika kita saling bantu-membantu? Hulurkan idea, pandangan dan cadangan yang bernas untuk mereka memperbaiki apa yang silap atau kurang itu? Bukan dengan menperkatakan mereka, kerana ia amat mudah tergolong di dalam fitnah dan umpatan.. Amat besar kesannya.. Selain itu, cukuplah kita melaksanakan apa yang kita ada, gunakan kelebihan kita dan bukan mengambil kelemahan orang lain untuk memperjatuhkan mereka.

Dalam soal ini, adalah menjadi hak pengguna untuk memilih, menilai dan menentukan siapakah yang terbaik, bukan kita. Kita hanya menyatakan apakah perbezaaan kita dan kelebihan kita, bukan berlebih-lebih mengatakan kita adalah yang terbaik. Dan kita hanya menyatakan apa yang patut atau tidak patut dilakukan. Orang kata, angkat bakul sendiri; Walaupun hakikatnya benar kita adalah lebih hebat daripada orang lain, namun kita tidak layak untuk mendakwa kita adalah yang terbaik.

Kesimpulannya di sini, janganlah merendah-rendahkan orang lain dan jangan memperburukkan orang lain walaupun dengan cara sindiran, lebih-lebih lagi apa yang mereka lakukan adalah perkara yang betul, walaupun ada ruang-ruang kekurangan. Jangan terus menolak mereka, kerana ia umpama berlian yang diselaputi lumpur.. Sama-sama kita mengambilnya dan menggilapnya.. Tinggal yang kurang dan ambil yang baik.

Harapannya agar, kita tidak bersaing dengan cara yang ‘kotor’. Di dalam Islam, persaingan dengan menjatuhkan dan merendah-rendahkan orang lain adalah dilarang sama sekali, lebih-lebih lagi orang yang kita perkatakan itu samada dengan sindiran atau terangan adalah saudara seIslam kita sendiri. Persaingan cara kotor itu adalah metod dan kaedah yang tidak terdapat di dalam Islam. Sebaliknya Islam mengajar kita bekerjasama, tegur-menegur dengan hikmah dan saling lengkap-melengkapi antara satu dengan yang lain. Pokoknya adalah, BUKAN KEPENTINGAN INDIVIDU, tetapi kepentingan bersama. Islam juga melarang kita memperkatakan kelemahan dan keburukan orang lain secara terang-terangan lebih-lebih lagi mereka itu bukanlah golongan yang merbahaya. Kaitan dengan kita sebagai pengajar atau usahawan internet yang telah berjaya, adalah, hati-hati dengan ayat-ayat ataupun tulisan kita samada semasa berkata, berceramah, di laman web, artikel atau buku.

Ketahuilah, tiada manusia yang sempurna atau lengkap di dunia ini! Semua saling perlu memerlukan, bantu-membantu.. Jika anda mengatakan orang lain tidak hebat, tunggulah masanya untuk orang lain pula mengatakan anda bukanlah hebat sangat!

“jangan menipu diri sendiri dan jadilah orang yang cerah akal dan hatinya..”.

Ikhlas,

mohd zulfadli

Bakal Perunding Cara Pemasaran Internet. 🙂 InsyaAllah.

Local Market Vs International Market

Apabila anda ingin melakukan atau telah melaksanakan perniagaan internet, satu persoalan yang biasanya timbul adalah, pasaran mana yang perlu anda ‘kuasai’ dengan produk dan servis anda?

Persoalan ini dapat dijawab dengan mudah iaitu lihat apakah servis / produk anda. Jika produk yang anda jual itu sesuai dengan semua masyarakat antarabangsa, maka silalah mengambil peluang untuk memasarkan produk anda ke international market tersebut. Salah satu keuntungan apabila anda menjual produk ke luar negara, keuntungan anda adalah 3 hingga 8 kali ganda berbanding dengan nilai setempat anda (negara). Jika RM1.00 untung jualan anda, maka RM3.80 untung anda bagi pasaran luar negara jika menggunakan matawang USD.

Jika produk anda hanya menumpu kepada pasaran setempat, anda perlu mempunyai strategi. Salah satunya adalah ‘niche’ (unik). Sebab itulah sebelum anda memilih produk, anda perlu mengkaji pasaran sedia ada terlebih dahulu. Maksudnya, melihat kepada keperluan yang amat sangat bagi sesuatu pasaran sasaran. Anda perlu tahu, tidak semua produk sesuai untuk pasaran antarabangsa. Jika anda menjual produk yang sudah ramai orang menjualnya di internet, bermaksud anda memasuki persaingan yang sengit..

Oleh itu, sebelum anda memulakan perniagaan internet anda, pastikan pasaran manakah yang anda ingin masuki. Salah satu atau kedua-duanya? Jika kedua-dua, apakah produk yang sesuai untuk kedua-dua pasaran itu? Jika setempat, pastikan produk anda itu dikehendaki ramai. Jangan melihat hebatnya produk anda, tetapi produk itu mestilah sesuatu yang dapat menyelesaikan masalah orang ramai (pasaran bertumpu). Ini kerana, tidak semestinya produk yang hebat, semua orang memerlukannya. Mengenai pasaran bertumpu ini, saya ada menerangkan pada tulisan yang lepas. Jadi, buatlah kajian terlebih dahulu, apakah masalah yang dihadapi ramai orang dan jual sesuatu produk/servis untuk selesaikan masalah mereka. Konsep atau kaedah ini boleh diaplikasikan untuk pasaran setempat ataupun global.

Terserah kepada anda, pasaran mana satu yang anda ingin sertai. Cuma, jika pasaran global, anda perlulah mempunyai pengetahuan bahasa inggeris yang asas. Tahu menulis, mendengar, bercakap dan membaca. Jika itu anda sudah ada, sudah tiba masanya untuk anda meluaskan perniagaan anda ke luar. Namun, jika pasaran setempat anda lupakan, anda telah melepaskan sebuah pasaran yang mudah untuk anda kuasai, sebab ia adalah ‘kawasan’ (negara) anda sendiri..

“hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri.. Lebih baik negeri sendiri..”. 🙂

Lakukanlah yang terbaik walau pasaran manapun yang anda sertai..

Zulfadli.

http://www.smartusaha.com

Perancangan Jangka Panjang SmartUsaha.Com

Di sedikit kesempatan yang ada ini, saya ingin menulis beberapa perkara mengenai perancangan dan strategi smartusaha.com terutama peracangan jangka panjang.

Seperti sedia maklum, smartusaha.com terutama melalui blog ini lebih fokus kepada perniagaan internet dan juga memperbincangkan mengenai keusahawanan internet. Untuk pengetahuan anda, saya juga sering mengkaji dan mengikuti perkembangan perniagaan berasaskan di rumah yang tidak melibatkan internet.

Saudara/i pembaca, tidak semua orang mempunyai internet dan inilah salah satu faktor mengapa begitu ramai orang tidak dapat melakukan seperti yang orang lain lakukan. Namun jangan risau dan resah, lemah semangat atau rasa terpinggir.. Saya akan membimbing dan memberikan tips mengenai perniagaan ber-asaskan di rumah (home-based business).

Tahukah anda, di negara-nagara barat, industri perniagaan di rumah adalah antara bidang yang berkembang pesat..

Oleh itu, salah satu misi smartusaha.com adalah memberikan info, tips dan panduan di dalam melakukan kedua-dua bidang yang saya nyatakan iaitu perniagaan internet dan juga Home-based Business..

InsyaAllah, nanti anda akan dapat menyertai bersama dengan saya dan juga mereka yang lain.. Anda hanya memerlukan sedikit masa untuk membaca dan memahami informasi dan pengetahuan yang diberikan oleh kami di smartusaha.com.

“Anda perlu faham, ada ‘1001’ cara untuk membuat duit dengan mudah..”.

Akhir kata, lapang-lapangkanlah masa anda untuk membaca.. 🙂

Jumpa lagi, wassalam.

Model Perniagaan Drop Ship

Anda berminat untuk melakukan perniagaan internet.. Tapi… Mesti memikirkan produk & juga modal bukan? Tahukah anda terdapat satu model perniagaan internet yang hanya memerlukan anda melakukan sedikit kerja sahaja. Samada menggunakan laman web untuk memasar atau mempromosi, itu terserah kepada anda..

Drop ship.. Ya, itulah model yang ingin saya sampaikan secara ringkas di sini. Dengan model ini, anda tidak perlu risau lagi mengenai produk. Apa yang perlu anda lakukan adalah mencari syarikat ataupun pihak yang mempunyai produk. Terserah kepada anda untuk memilih produk apapun tetapi pastikan produk tersebut diperlukan oleh orang ramai..

Setelah anda mendapatkan produk & membuat perjanjian dengan syarikat tertentu, maka anda sudah boleh mempromosikan model produk tersebut melalui pelbagai medium termasuklah menggunakan laman web (ini yang digalakkan).

Setelah produk tersebut dipesan & pembayaran telah dilakukan oleh pelanggan anda, anda perlu memesan produk tersebut kepada syarikat tadi. Berikan maklumat pemesan produk tersebut seperti nama & alamat pembeli untuk membolehkan syarikat menghantar terus produk tersebut kepada pelanggan anda. Yang menariknya, nama anda atau nama company (jika anda berniaga atas nama company) akan terpapar pada bungkusan produk tersebut. Jadi, seolah-olah anda yang memproses & menghantar produk tersebut.

Dari segi harga produk, terserah kepada anda untuk tentukan. yang penting adalah harga yang anda dapatkan dari syarikat produk tersebut. Buat perjanjian & kemudian anda tentukan harga sendiri..

Itulah secara ringkasnya model drop ship ini.. Jika anda berminat, anda boleh mencari syarikat-syarikat atau pun pihak yang menerima model ini.. Pesanan dari saya, pastikan anda memilih pihak yang kukuh & dipercayai.. Jangan pula anda tertipu.. Al-maklum, begitu banyak penipuan di mana-mana pun..

Sedikit tips mengenai model ini:

1. Pilih produk yang diperlukan oleh pengguna

2. Jangan jual banyak produk, cukup hanya beberapa produk sahaja. Atau cukup hanya satu jenis sahaja. Ini bertujuan agar anda dapat fokus kepada pemasaran & juga kos

3. Pilih pembekal/syarikat yang ada reputasi atau kukuh

4. Pastikan produk sentiasa ada dalam stok syarikat. Jika bayaran telah dilakukan tetapi stok produk telah tiada, anda perlu memulangkan kembali bayaran pembeli atau buat perjanjian dengan pembeli bahawa pesanan mereka akan diproses dalam tempoh terdekat

5. Tips umum. Berniagalah dengan serius, jangan lakukan SPAM, dan amalkan etika-etika internet yang lain.

Jumpa lagi.