Blog Perniagaan Internet: SmartUsaha.com

Tip menjual ebook dan produk informasi

Jika kita menjual ebook, elakkan menyebut perkataan “ebook” dalam surat jualan ataupun iklan. Sebahagian besar pembeli terutama orang baru tidak tahu apa itu ebook. Dicadangkan kita menggunakan perkataan seperti:

  • Panduan
  • Kursus
  • Pakej
  • dan lain-lain…

Kemudian, pada laman web, nyatakan apakah format atau bentuk panduan itu. Contohnya begini:

“Panduan ini telah disusun dalam bentuk video, audio dan juga file PDF. Selepas pengesahan bayaran dilakukan, pihak kami akan memberikan link download ke emel anda.”

“Panduan ini adalah dalam bentuk file PDF yang boleh dimuat turun (download) terus ke komputer anda, sebaik kami mengesahkan pembayaran anda.”

“Pakej ini adalah terdiri daripada video dan ia dimasukkan dalam CD. CD ini akan diposkan terus ke alamat yang anda berikan.”

Alasan lain menggunakan cara ini adalah kerana, ebook sebenarnya mempunyai pelbagai format. Hatta format .doc juga adalah ebook. Selain itu, dengan menerangkan cara begitu, pembeli akan lebih jelas apa yang mereka akan dapat dan bagaimana mereka akan memperolehinya.

Rahsia Perniagaan Internet??

Adakah wujud rahsia dalam perniagaan internet? Sejujurnya, tiada.

Saya telah banyak menulis mengenai hal ini, tetapi saya terpanggil untuk menulis lagi walaupun secara ringkas agar kita sentiasa memperingati diri masing-masing.

Biarlah saya berterus-terang di sini. Sebelum itu, ingin saya katakan, saya tidak mahu mengganggu periuk nasi mana-mana perniagaan Internet Marketer yang memfokus pada ‘niche’ Internet Marketing, malah saya sendiri pun menjadikan niche ini bidang utama saya. Niat penulisan saya ini adalah baik agar bidang ini sentiasa berada dalam keadaan yang terkawal.

Hakikatnya, kebanyakan Internet Marketer tidak akan sama sekali mendedahkan kesemua ‘senjata-senjata’ yang mereka gunakan secara mendalam. Jika ada 10, mereka akan kongsikan satu, dua dan tiga sahaja. Dan itu pun, hanya secara berperingkat dan melalui tempoh masa tertentu.

Namun saya tidak nafikan, masih ada Internet Marketer yang telus dalam penyampaian ilmu mereka. Sebaliknya bergantung kepada orang yang belajar itu pula mahu bertindak ataupun tidak.

Saya tidaklah mahu menjadikan ilmu yang saya miliki sebagai satu bisnes, tetapi saya mahu menjadi seorang yang boleh membimbing orang lain dengan cara yang teratur dan terancang. Secara peribadi, saya kurang suka menggunakan trik untuk menarik minat orang lain semata-mata saya banyak tahu dan berpengalaman.

Bagi saya, ilmu yang ada pada diri kita adalah satu amanah. Jika mahu kenakan harga, biarlah ia mampu milik kebanyakan orang. Saya sentiasa memegang prinsip seorang mentor saya di mana katanya, “Ambillah sedikit sahaja keuntungan. Moga berkat yang kita dapat.”

Persoalan yang timbul, bagaimana kita akan kaya jika ambil sedikit untung sahaja? Kita boleh lakukan begini:

  • Cipta sumber pendapatan berulang (recurring income) dan juga passive income (buat kerja sekali dapat duit berkali-kali). Walaupun untung kecil, tetapi apabila pendapatan berulangan, maka di situ lah kita akan mula dapat mengumpul ‘kekayaan’ sedikit demi sedikit.
  • Perbanyakkan produk dan perkhidmatan.
  • Pelbagaikan lagi bisnes dalam bidang yang sama.
  • Pertingkatkan ‘volume’ jualan. Semakin tinggi jumlah jualan, semakin banyak wang yang kita dapat.
  • Tambah kekerapan aktiviti. Contoh: Adakah 4 kali kursus dalam sebulan, berbanding sekali sahaja.
  • Kaedah bersiri. Contoh: Tulis buku secara bersiri.

Dan itulah yang akan dan sedang saya lakukan.

Berbalik kepada topik artikel ini, benarkah ada rahsia dalam perniagaan internet?

Untuk berjaya, ia bukanlah berkaitan dengan rahsia, tetapi sejauh mana kita memiliki kemahiran perniagaan. Selain itu, kesungguhan, disiplin dan kerajinan kita juga adalah di antara faktor penyumbang kejayaan. Manakala, proses pembelajaran perlu terus berlangsung sampai bila-bila. Perlu banyak membaca, bertanya dan belajar.

Seseorang usahawan yang mahu berjaya perlu mempelajari skil (kemahiran), sebaliknya bukan hanya membaca dan mendengar informasi sahaja. Walaupun apa yang dibaca itu langkah demi langkah dan “how to”, namun jika tidak melatih dan melakukannya sehingga mahir (terbiasa), maka sedikit sukar untuk meraih hasil yang besar.

Saya kuat percaya bahawa selain soal hati yang bersih, usahawan yang berjaya adalah kerana mereka memiliki kemahiran dalam aspek tertentu seperti pemasaran, penggunaan komputer dan teknologi, pengurusan, keterampilan, estim diri, komunikasi dan beberapa lagi aspek lain yang penting.

Dan semua itu dipelajari, dilatih dan diamalkan secara berperingkat. Sebaik-baik jalan pintas adalah, tiada jalan pintas sama sekali.

-

Layari blog Motivasi Usahawan

[Terhad] Pakej Video KuasaFTP – Resell Rights

ProdukĀ KuasaFTP adalah sebuah produk panduan dalam bentuk video, mengandungi beberapa modul seperti berikut:

  1. Asas Internet.
  2. Asas Domain dan Hosting.
  3. Asas Cpanel.
  4. Asas FTP (FileZilla).

KuasaFTP

Klik di sini untuk membaca artikel ini sepenuhnya…

9 Formula Mencipta Kejayaan Bisnes Internet

Melihat kisah Mark Zuckerberg membina empayar Facebook bermula tahun 2006, sehingga syarikat itu mempunyai aset lebih daripada 1 bilion dolar, merupakan satu kisah yang menakjubkan. Meskipun Mark Zuckerberg memperoleh gelaran sebagai bilionair termuda di dunia, pada beliau wang bukan menjadi ukuran kejayaan.

Pasti kita hairan mengapa rata-rata pemula yang memulakan bisnes, kerana mahu memperoleh wang semata-mata sering mengalami jalan kebuntuan atau kegagalan. Dalam satu kajian yang telah dibuat oleh pihak Forbes, individu yang melakukan bisnes demi mengejar wang akan mengalami tiga situasi iaitu:

  • Akan menemui jalan buntu meskipun empayar bisnes sudah berkembang.
  • Sanggup melakukan perkara-perkara kotor, demi mendapatkan wang.
  • Tidak mempedulikan apa jenis bisnes selagi ia menguntungkan.

Dalam mana-mana bisnes, pegangan, disiplin dan konsep untuk berjaya tidak lari jauh. Salah satu daripada kajian Bill Murphy dalam bukunya The Intelligent Entrepreneur menyatakan, hampir 90% daripada usahawan yang lahir dari Universiti Harvard mempunyai persamaan yang ketara iaitu:

  • Tidak pernah mengaku kalah.
  • Minat adalah punca menjalankan bisnes, wang hanya bonus untuk menyara kehidupan.

Klik di sini untuk membaca artikel ini sepenuhnya…

Melatih Disiplin Diri Cara Islami

Ingin jadi usahawan berjaya? Sesiapa pun mahu. Anda, saya dan ramai orang mahu jadi berjaya. Tetapi, ada satu syarat penting, iaitu DISIPLIN DIRI.

Tanpa disiplin, kita begitu mudah untuk tidak mematuhi waktu. Janji terabai, projek tertangguh dan banyak urusan tidak berjalan lancar. Disiplin yang tinggi akan menentukan kita berjaya ataupun tidak.

Beberapa cara yang boleh digunakan untuk melatih disiplin diri cara Islami adalah seperti berikut:

  1. Fokus mendengar azan dan jawab dengan sedar. Fahami maksud azan dan jawapan yang diberikan itu. Sebaiknya kita diam. Tidak lama untuk menghormati azan. Hanya beberapa minit sahaja. Indahnya azan, terkandung satu khasiat di sini iaitu melatih kita untuk berehat menenangkan jiwa buat sebentar.
  2. Solat pada awal waktu. Bagi lelaki, digalakkan solat berjemaah sama ada di masjid ataupun di tempat kerja.
  3. Bangun di 1/3 terakhir malam untuk solat tahajud.
  4. Bangun awal pagi dan bersedia untuk solat subuh (sebaiknya berjemaah di majid/surau atau bersama keluarga). Bangun awal pagi juga adalah satu sunnah yang terpuji.
  5. Tidur awal. Tidur awal adalah sunnah Rasulullah SAW. Malah tidak disarankan berada di luar rumah seperti lepak dan berborak kosong sampai larut malam. Allah telah mengingatkan bahawa dijadikan malam itu untuk beristirahat dan siang pula untuk bekerja/mencari rezeki.

Itulah beberapa cara yang boleh dilakukan. Tidak perlu banyak. Jika diamalkan perkara-perkara di atas, insyaAllah ia boleh membentuk diri kita menjadi seorang yang berdisiplin. Setiap amalan ibadat dan sunnah terkandung pelajaran yang tersirat.

Indahnya Islam. Maka benarlah dikatakan “Islam itu adalah cara hidup”. Allah SWT telah menyediakan satu pakej sistem hidup yang lengkap dan sempurna untuk umatnya. Hanya perlu diikuti dan dilakukan sahaja tanpa perlu berpenat-penat mencipta sistem hidup sendiri menggunakan akal yang terbatas.

Wassalam.

Pelajaran Berharga Perniagaan

Berikut adalah beberapa pelajaran berharga yang saya perolehi sepanjang melakukan perniagaan:

  • Jika ada orang berminat untuk berurusan dengan kita, segerakan urusan itu. Pastikan tidak menangguh ia sehingga satu tempoh yang lama. Fitrah manusia akan bersungguh pada peringkat mula, tetapi jika telah begitu lama, peluang sebegini akan lupus begitu saja kerana mereka telah tidak berminat.
  • Setiap apa yang dimulakan, perlu diselesaikan. Kita mudah mendapat banyak idea, tetapi jika idea itu mahu dilaksanakan banyak sekaligus, kita mudah rebah di mana semua idea itu terbengkalai. Nasib orang tamak yang tidak bertempat selalu akan rugi.
  • Selesaikan perkara dan urusan-urusan yang kecil dengan SEGERA. Perkara kecil yang ditangguhkan umpama kudis. Semakin ia digaru, semakin membesar. Begitu juga perkara kecil, jika ia ditangguh dan dikumpul-kumpul sehingga banyak yang tidak diselesaikan, akhirnya ia umpama pasukan anai-anai yang mampu merobohkan sebuah rumah.
  • SIMPAN DUIT. Sebaik dapat hasil, simpan sebahagian daripadanya. Bagi usahawan internet yang merasakan dirinya sukar menyimpan sebulan sekali, latih diri dengan menyimpan jumlah wang yang kecil pada setiap hari pada akaun simpanan khas untuk simpanan sahaja. Manfaatkan ‘online banking’ kerana tidak perlu ke kaunter bank untuk membuat simpanan. Simpanan tunai adalah penting untuk hidup dan juga bisnes.
  • FOKUS. Perniagaan kecil lagi-lagi jika dilakukan secara solo (persendirian), maka sebaiknya kita fokus sepenuhnya pada bidang utama kemahiran, bakat dan kepakaran kita. Memang banyak bidang yang menguntungkan di dunia ini, tetapi biarlah berpada-pada dan mengikut kemampuan.
  • KEPUTUSAN. Belajar untuk membuat keputusan dengan cepat. Sama seperti perkara kecil di atas, hal-hal yang dilewatkan kata putusnya boleh membuatkan kita kelemasan kerana terlalu banyak ditangguhkan. Padahal, ada perkara hanya memerlukan jawapan YA ataupun TIDAK sahaja.
  • Gunakan apa yang ada. Terkadang mungkin kita rasa belum cukup peralatan, perisian, kemahiran, pengetahuan dan sebagainya. Biar semua cukup dahulu baru mahu mula. Elakkan sikap begini. Gunakan saja apa yang sedang dimiliki kerana belum tentu apabila kira rasa telah cukup, kita dapat kejayaan dengan itu semua. Bahkan belum pasti kita dapat bermula dengan baik. Hargai masa, kerana satu saat ke depan kita belum pasti apa akan terjadi.
  • Tidak takut mencuba. Beranikan diri mencuba sesuatu yang takut untuk kita buat atau yang kita rasakan tidak perlu. Contohnya, usahawan internet jarang mahu berurusan melalui panggilan telefon. Namun sebahagian pelanggan lebih suka berurusan dengan cara itu. Beranikan diri, lama-kelamaan kita akan biasa.
  • Profesional. Jika kita ada masalah peribadi, ia hanya hal peribadi, bukan hal bisnes. Perniagaan adalah satu entiti lain dan ia perlu digerakkan walau apa jua keadaan kita. Perlu belajar menjadi seorang yang kental dan profesional.
  • Pelbagaikan projek. Jangan hanya mengutamakan projek-projek yang besar sahaja kerana biasanya ia mengambil masa yang lama untuk disiapkan di samping tidak mudah juga untuk mendapat pelanggan. Hasilkan juga produk yang berharga rendah atau menerima kerja-kerja daripada klien walaupun bayarannya tidak tinggi. Pendek kata, tidak memilih rezeki.
  • SIBUK. Lebih baik sibuk berbanding banyak masa kosong yang tidak terisi. Kesibukan akan melatih diri kita agar lebih berdisiplin, mematuhi waktu (janji) dan lebih bijak merancang. Benar kata orang bijak, “Hanya orang yang sibuk mempunyai masa”. Dan pastikan masa sibuk itu adalah yang memberikan hasil kepada bisnes. Sibuk melakukan perkara yang produktif seperti mempromosikan bisnes.

Anda, jika baru bermula, pastikan mempunyai sikap dan disiplin yang baik agar usaha tetap berjalan dengan lancar.

“Buat silap sekali tidak mengapa, tetapi jika berulang kali, pasti ada sesuatu yang tidak kena. Mungkin jawapannya berkaitan dengan hati.”

(c) http://facebook.com/MohdZulfadli.IM

Ukuran Kejayaan Perniagaan

Dalam dunia perniagaan, ada beberapa ukuran yang boleh kita gunakan untuk menentukan tahap kejayaan:

  • Keuntungan bersih
  • Jumlah simpanan wang
  • Aset yang terkumpul
  • Jenama yang dikenali ramai
  • Jumlah pengikut
  • Pengaruh dan karisma
  • Produk yang ‘evergreen’ (terus mendapat sambutan)
  • Jumlah klien yang berjaya hasil konsultasi/bantuan kita
  • Jumlah atau kualiti usahawan berjaya yang dihasilkan
  • Jumlah pengetahuan yang dimiliki
  • Penulisan atau buku melahirkan ramai manusia yang berjaya dan yakin diri
  • Jumlah produk yang dihasilkan.

Dan banyak lagi ukuran lain yang boleh dijadikan sebagai petanda kejayaan usaha perniagaan yang dilakukan. Daripada senarai di atas kita melihat bahawa WANG bukanlah satu-satunya ukuran kejayaan seseorang atau sesebuah perniagaan.

Contoh paling mudah, siapa yang lebih hebat di antara seorang jutawan yang hanya dirinya sahaja kaya harta berbanding seorang usahawan yang mempunyai ramai pengikut kerana dirinya sentiasa memberi inspirasi dan semangat kepada orang lain?

Jawapannya adalah…. subjektif. Kita tidak boleh kata jutawan itu tidak berjaya, kerana dari segi aspek kewangan dan harta, dia memang berjaya. Tetapi tidak dapat juga kita katakan usahawan yang ramai pengikut itu tidak berjaya kerana dia memiliki kuasa pengaruh yang lebih besar daripada jutawan tadi.

| Panduan Buat Blog Wordpress | Kuasa Pemasaran Forum | Kuasa FTP |
SmartUsaha.Com adalah rangkaian perniagaan internet milik Inspirasi Maya Enterprise (JM0472383-X)