Next Level Internet Marketer (IM)

Apa itu ‘Next Level IM’?

Apa yang saya fahami, Next Level yang dimaksudkan itu adalah perniagaan bertahap lebih tinggi daripada biasa. Jika pada hari ini kita seorang affiliate, pada satu hari nanti (mungkin tahun hadapan) kita sudah ada sebuah laman web yang sistem affiliate terbesar untuk pasaran Malaysia seperti mana Clickbank.

Andaikata sekarang kita seorang penulis ebook, pada satu masa nanti kita adalah penerbit ebook seperti mana yang dilakukan oleh ahli pasukan saya, EducatticMind. Penerbit ebook ini kelak akan mempunyai barisan-barisan penulis ebook yang hebat di mana mereka akan menghasilkan manuskrip-manuskrip (penulisan) yang akan menjana hasil yang besar.

Kelebihan menjadi penerbit adalah kita hanya perlu membantu penulis memasarkan ebook mereka dan kemudian kita akan menjana pendapatan melalui karya mereka. Penerbit ebook juga perlu mempunyai sistem tersendiri daripada proses pembelian sehinggalah kepada proses pengiraan royalti penulis, yang mungkin agak kompleks untuk dihasilkan, selain menelan kos yang besar.

Hakikatnya….

Apa yang kita baca, segala rahsia, strategi dan seumpamanya, tidaklah seindah dan semudah yang digembar-gemburkan. Untuk naik ke atas, kita perlu bermula daripada bawah. Agak sukar sebenarnya mereka yang tidak ada apa-apa pengalaman dalam bidang ini terus untuk naik ke puncak.

Bukan tidak boleh, tetapi risiko untuk jatuh terlalu tinggi. Umpama tiada kemahiran memanjat pokok, akhirnya jatuh terduduk ataupun menyebabkan patah tulang. Walhal, kita boleh memberikan sedikit masa untuk belajar memanjat dengan betul daripada terus memanjat tanpa sebarang kemahiran.

EducatticMind sebagai contoh, sebenarnya hampir akan didaftarkan sebagai Sdn. Bhd., namun atas nasihat seorang mentor bisnes, beliau mencadangkan agar kami mendaftarkan pemilikan perkongsian terlebih dahulu. Katanya, kita lihat dahulu ‘sepak terajang’ dalam tempoh setahun dua dan kemudian barulah kita daftarkan Sdn. Bhd.

Katanya benar. Lebih kurang tujuh bulan EducatticMind berlayar di samudera maya ini (internet), banyak ‘kegagalan’ yang kami hadapi. Banyak pelajaran yang dapat kami senaraikan dan kumpulkan. Andaikata kami daftarkan Sdn. Bhd. dengan persediaan yang sifar, sudah pasti banyak kos yang akan dibazirkan begitu sahaja.

Pelajarannya…

Setiap sesuatu perlu mengikut arus dan rentaknya, serta secara bertahap. Mereka yang sedang berada di atas sekarang, kebanyakan menyimpan satu ‘rahsia’ yang mereka jarang dedahkan, iaitu mereka juga bermula dengan kepayahan. Mereka bermula daripada kosong, kemudian berusaha langkah demi langkah sehinggalah mereka naik dari satu tahap ke tahap yang lebih baik.

Kita tidak boleh terlalu rakus untuk terus ke atas tanpa mahu melalui jalan-jalan bawahnya dahulu. Ia adalah ‘peraturan alam’. Kita boleh melihat contoh mudah seperti artis-artis segera, yang kebanyakannya cepat naik dan kemudian jatuh dengan cepat juga. Berbeza dengan mereka yang bermula dari bawah, sedikit demi sedikit, akhirnya mereka kekal lama dalam bidang mereka.

Perniagaan Hanyalah Kenderaan…

Sebelum kita memikirkan bagaimana bentuk hasil perniagaan yang kita mahukan, sewajarnya kita juga selarikan dengan diri kita juga, iaitu apakah perubahan yang perlu dibuat pada diri sendiri.

Jika hasil yang kita sasarkan adalah besar, maka perubahan pada diri juga perlu lebih besar daripada hasil yang dimahukan itu. Mungkin tiga kali ganda daripada itu. Kita adalah tuan kepada perniagaan. Bagus kita, baguslah perniagaan. Lemah kita, lemahlah perniagaan. Malas kita, ‘malaslah’ perniagaan.

Perubahan diri harus dilakukan jika kita benar-benar mahu berjaya. Andaikata kekuatan kita lebih rendah daripada hasil yang dimahukan, kita sudah dapat menjangka lebih awal bahawa kita tidak akan berjaya meraih hasil itu, walaupun satu suku daripadanya.

Namun….

Saya tahu, tulisan di atas adalah berita hiba buat mereka yang sedang berimpian tinggi dan mahukan kejayaan yang super pantas. Di sini saya berikan satu berita baik…

Kita boleh singkatkan masa…

Dengan mempunyai mentor dan belajar mempraktikkan sistem-sistem (formula) yang telah sahih berkesan, kita akan cepat berjaya. NAMUN…. AWAS. Kita memang berjaya, tetapi kita belum pasti seorang yang kental. Jiwa kita mungkin akan terlalu takutkan kegagalan dan terlalu bergantung kepada mentor. Kita juga terlalu takut untuk membina jalan sendiri dan kreatif.

Itulah….

Seperti yang saya perkatakan, kita perlu mengikut ‘peraturan alam’. Semua mahkluk Tuhan di dunia ini mempunyai evolusinya masing-masing, termasuklah kita sendiri. Daripada setitis air mani, menjadi janin, keluar sebagai anak kecil, seterusnya menjadi kanak-kanak, remaja, dewasa dan akhirnya menjadi tua. Tidak ada manusia yang lahir terus menjadi dewasa.

Andaikata kita mengikut peraturan alam, kita akan menjadi manusia yang kental kerana kita telah menelusuri hidup ini dengan sewajarnya termasuk mengharungi susah payah dan ujian.

Kesimpulan

1. HAKIKAT: Tidak semua orang akan mampu naik ke Next Level dalam masa setahun dua. Hanya mereka yang telah berada dalam bidang ini sekurang-kurangnya 1-2 tahun, lebih mudah untuk ke Next Level. Hal ini jika kita melakukan segalanya seorang diri.

2. Bagi yang belum mampu, anda sebenarnya masih boleh ke Next Level mengikut usaha yang sedang dilakukan. Katakan bidang Affiliate mempunyai sebanyak lima tahap. Anda sekarang berada di tahap 2. Jadi, usahakan agar naik ke tahap 3, kemudian 4 dan seterusnya 5. Tahap 5 itu mungkin super top affiliate. 🙂

3. STRATEGI: Jalan pintas untuk ke Next Level adalah bergabung dengan beberapa individu lain yang mempunyai semangat, minat, kemahiran dan bakat yang tinggi terhadap perniagaan.

4. Perlu mempunyai sistem, kemahiran dan ilmu untuk melakukan model bisnes ‘next level’.

5. Tidak semua orang sesuai naik ke Next Level. Kita tetap perlu ada affiliate (agen), penulis, editor, freelancer dan sebagainya.

6. Mereka yang melakukan bisnes secara fulltime lebih berpeluang besar untuk ke Next Level dengan lebih mudah dan bergaya.

7. Next Level IM boleh didefinisikan (diberikan pengertian) yang pelbagai. Ia kadang-kadang satu perkara yang subjektif.

Penulis: Mohd Zulfadli


(SmartZul) adalah seorang penulis dan usahawan Internet sepenuh masa. Beliau memulakan perniagaan melalui Internet sejak tahun 2005, dengan memfokus kepada bidang penulisan dan penerbitan secara online. Beliau turut aktif berkongsi ilmu dan pengalaman melalui blog dan juga komuniti Facebook. Klik menu Hubungi di atas untuk menghubungi beliau.

SERTAI NEWSLETTER SMARTUSAHA.COM
Sertai newsletter SmartUsaha.com untuk mendapatkan info dan tip-tip perniagaan dan pemasaran Internet terus ke emel anda.
Kami benci spam. Emel anda selamat bersama kami.

Komen Guna Facebook:

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *