Blog Perniagaan Internet: SmartUsaha.com

Menjual Barang Cetak Rompak di Internet

Kalau baca berita-berita di bawah, jual beberapa keping DVD cetak rompak pun pesalah akan dicari sampai ke lubang cacing. Jadi berhati-hatilah kepada mereka yang terlibat dengan jenayah sebegini, termasuklah plagiat penulisan atau hasil kerja orang lain. Jangan menyesal di kemudian hari.

—————–

Mahasiswa USM Didenda RM8,000 Tawar Empat DVD Menerusi Internet

PULAU PINANG, 17 Nov (Bernama) — Seorang mahasiswa Universiti Sains Malaysia peringkat sarjana teknologi maklumat didenda sejumlah RM8,000 atau penjara 18 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini setelah mengaku bersalah menawarkan untuk penjualan empat DVD bagi pasaran luar negara menerusi laman web.

Hakim Hadhariah Syed Ismail membuat keputusan itu setelah Poh Wee Leng, 30, dari Petaling Jaya, Selangor menukar pengakuannya kepada bersalah ketika pertuduhan dibacakan semula kepadanya hari ini.

Ketika dihadapkan ke mahkamah pada 17 Okt lepas, Poh bersama teman wanitanya, Huan Su Ling, 25, dari Island Park di sini, mengaku tidak bersalah.

Bagaimanapun mahkamah hari ini melepaskan tanpa membebaskan Huan, yang juga mahasiswa USM peringkat sarjana IT, daripada tuduhan itu.

Keputusan itu dibuat setelah pegawai pendakwa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Hashim Hassan memberitahu mahkamah bahawa pihaknya mendapat arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk menarik balik pertuduhan terhadap Huan.

Mengikut pertuduhan pertama, Poh didakwa menawarkan untuk penjualan sekeping DVD bertajuk “Garfield” dan sekeping DVD “Garfield, A Tale Of 2 Kitties” kepunyaan 20th Century Fox Home Intertainment.

Poh, yang diwakili peguambela R.S.N. Rayer juga didakwa menawarkan bagi tujuan yang sama masing-masing sekeping DVD bertajuk “The Da Vinci Code” dan “Mean Girl” kepunyaan Paramount Pictures.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah teman wanitanya di No 18, Solok Tembaga Dua, Island Park di sini, pada 1 petang 12 Okt lalu.

Kesemua pertuduhan adalah mengikut Seksyen 41(1) (B) Akta Hakcipta 1987, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 41(1)(i) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM2,000 dan maksimum RM20,000 bagi setiap salinan, atau lima tahun penjara atau kedua-duanya.

Dalam kes lain, mahkamah menetapkan 5 Feb tahun depan sebagai tarikh perbicaraan terhadap ahli perniagaan percetakan, Teoh Kee Hean, yang dituduh menawarkan untuk menjual dua keping DVD bertajuk “Poseidon” dan dua keping DVD bertajuk “Superman Returns” milik Warner Bros Entertainment Inc.

Dia didakwa melakukan kesalahan di Blok 12-7-04, Tingkat Paya Terubong di sini, pada 12 tengah hari 12 Okt lepas.

– BERNAMA
Sumber: http://www.bernama.com.my/kpdnhep/news.php?id=230701=my

Pelajar IPTA Ditahan Kerana Edar DVD Cetak Rompak Melalui Internet

PULAU PINANG, 13 Okt (Bernama) — Seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini adalah antara tiga orang yang ditahan oleh Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang kerana menjalankan urus niaga pengedaran video cakera padat digital (DVD) cetak rompak melalui Internet.

Pelajar wanita jurusan teknologi maklumat berumur 24 tahun itu yang sedang mengikuti pengajian peringkat sarjana bersama teman lelakinya berumur 29 tahun, memperoleh pendapatan lumayan antara RM90,000 dan RM100,000 sebulan hasil kegiatan haram selama dua tahun itu.

Ketua Penguatkuasa Negeri, M. Guna Seelan berkata pasangan itu ditahan di sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Jelutong di sini, manakala seorang lagi iaitu pemilik syarikat percetakan berumur 33 tahun, ditahan di Paya Terubong kira-kira 12 tengah hari semalam.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau berkata hasil serbuan oleh unit Internet Piracy dan Forensic dengan kerjasama Motion Picture Association (MPA) itu, mendapati urus niaga yang dijalankan dalam mata wang Amerika Syarikat itu hanya membabitkan pelanggan dari luar negara, termasuk dari Australia, Jepun, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Beliau berkata tangkapan itu merupakan kes pertama membabitkan laman web yang berdaftar di Malaysia yang hanya boleh diakses oleh pelanggan di luar negara.

Katanya setiap pesanan dihantar menerusi khidmat penghantaran cepat.

Guna Seelan berkata antara tajuk salinan langgaran yang dirampas ialah filem Garfield, The Da Vinci Code, Mean Girls dan Tuxedo, yang dijual antara RM29 dan RM129.

– BERNAMA
Sumber: http://www.bernama.com.my/kpdnhep/news.php?id=224719=my

Wanita ‘Licik’ Guna Internet Jual DVD, VCD Cetak Rompak

JOHOR BAHARU, 12 Julai (Bernama) — Seorang suri rumah diberkas di sebuah rumah di Taman Seri Alam di Masai dekat sini semalam kerana disyaki mengedar VCD dan DVD cetak rompak dengan menerima tempahan menerusi internet, kes pertama seumpamanya yang dikesan di Johor.

Wanita berusia 41 tahun itu, yang dipercayai menjalankan kegiatan itu secara bersendirian, diberkas oleh anggota Unit Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Johor dalam serbuan pada 3.15 petang ekoran intipan sejak beberapa minggu lepas, kata ketua unit itu Fahmi Kasim kepada pemberita Rabu.

“Wanita ini amat licik. Urusan melalui laman web dilakukan di Taman Seri Alam tetapi urusan posnya beralamat di Taman Megah Ria bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

Fahmi berkata wanita itu mampu meraih ratusan ringgit dalam masa sehari.

Ketika serbuan dibuat, terdapat dua orang di rumah itu terdiri bapa wanita berkenaan berusia dalam 60an dan anak lelakinya berusia 12 tahun.

Pegawai-pegawai penguatkuasa itu menemui satu unit komputer selain senarai tempahan serta 3,769 keping DVD beberapa filem Inggeris terbaru termasuk “Mission Impossible 3″ dan “Scary Movie 4″ yang dipercayai untuk dihantar kepada pelanggan dengan harga RM7 sekeping.

“Beberapa keping VCD lucah turut dirampas,” kata Fahmi.

Beliau berkata kegiatan wanita itu dipercayai bermula awal tahun ini dengan mensasarkan pelanggan di sekitar Johor Baharu dan juga warga Singapura berdasarkan senarai alamat pelanggan yang ditemui di rumah itu.

Katanya terdapat beberapa alamat yang dikenal pasti sebagai pelanggan tetap wanita itu, dan satu daripadanya mencatatkan tempahan tertinggi dengan nilai RM900 bagi beberapa tempahan.

Wanita ini dipercayai menggunakan perkhidmatan Pos Laju di Pejabat Pos Tampoi untuk mengedar DVD dan VCD cetak rompak kepada pelanggan berdasarkan penemuan beberapa keping salinan borang perkhidmatan itu di rumahnya.

“Semua urusan pembayaran pelanggan dilakukan menerusi akaun bank,” kata Fahmi.

Katanya wanita itu akan didakwa mengikut Akta Hak Cipta 1987 dan dia boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA
Sumber: http://www.bernama.com.my/kpdnhep/news.php?id=207662=my

-

Penulis: smartzul


Mohd Zulfadli (SmartZul) memulakan perniagaan Internet sejak tahun 2005. Fokus beliau lebih kepada penghasilan produk informasi seperti ebook, video dan audio. Selain mengurus perniagaannya sendiri, beliau juga membimbing individu lain melalui kursus, konsultasi, coaching dan seminar yang memfokus kepada memulakan perniagaan Internet, bisnes produk informasi dan "Wordpress Blogging". Hubungi beliau untuk maklumat lanjut.

Incoming search terms:

  • akta cetak rompak
  • cetak rompak internet
  • akta plagiat
  • seksyen 41 akta hakcipta 1987
  • cetak rompak di internet
  • seksyen undang undang etika perniagaan
  • artikel cetak rompak
  • teoh kee hean
  • akta internet
  • akta hakcipta


7 Responses to “Menjual Barang Cetak Rompak di Internet”

  1. Hanafi Wawi says:

    Nak berniaga kenalah ikut cara yang betul dan tidak menyalahi undang-undang, sama-sama kita jauhi urus niaga yang tidak sah disisi perundangan negara.

  2. mus99 says:

    Sifat nak dapat untung besar dan cepat kaya meneyebabkan manusia berbuat apa saja tak kira halal haram.

    Nak ajak umat Islam sendiri yang mengaku pejuang Islam dan mujihidin gunakan produk halal sangatlah susahnya…. banyak alasannya, banyak dalihnya pada hal menggunakan yang halal tu wajib, menggunakan yang haram tu haram…

    Tapi kalau jual benda-benda macam tu…yang tak ada manafaat apa-apa malah melalaikan…cepat je orang sambak!!

    Jadi ambil sajalah jalan singkat dan cepat…

  3. rasanya tak boleh pos cd/dvd ke luar negara.

  4. isham says:

    baik kita jual pisang goreng tepi jalan,beli pisang beli dapur bukak gerai semua barang kita beli…buat keuntungan dengan barang kita…biar dapat sikit…sape kate jual pisang goreng dapat sikit hehe kayo tu…nampak je sempoi..biar untung sikit asal berkat

  5. Hadi Rofiee says:

    Sepandai-pandai tupai yang melompat, akhirnya ia akan jatuh ke tanah juga. :-)

  6. puteri says:

    Salam sejahtera.
    Saya minta izin untuk meminjam artikel ini untuk rujukan undang2 bagi Hak Cipta negara Malaysia.

    Saya sedang melakukan sedikit kajian berkenaan dengan undang2 hak cipta di dalam Internet.

    -nurfatimahz AKA puteri-

Leave a Reply




Polisi Komen:

Sila baca polisi berikut sebelum memberikan pendapat (komen) anda untuk artikel di blog ini:

  • Gunakan nama sebenar atau nama panggilan anda, bukan keyword promosi
  • Tidak meletak link URL di dalam komen
  • Gunakan bahasa yang sopan dan tidak beremosi
  • Dilarang meletak URL website program buat duit yang diragui.
  • Dilarang meletak link URL yang telah disembunyikan (cloak).

Komen yang tidak mematuhi polisi akan diedit atau dipadam.

 

Why ask?

Notify me of followup comments via e-mail. You can also subscribe without commenting.

| Panduan Buat Blog Wordpress | Kuasa Pemasaran Forum | Kuasa FTP |
SmartUsaha.Com adalah rangkaian perniagaan internet milik Inspirasi Maya Enterprise (JM0472383-X)