Mengapa Asyik-Asyik Persalahkan Melayu??

Pemikiran saya dulu terlalu mudah mengikut apa kata orang. Maklumlah, di sekolah selama 11 tahun saya hanya diajar ikut sahaja apa yang cikgu ajar, tapi tidak atau kurang diajar mempersoalkan dan berfikir… Tapi kini, saya cuba mempersoalkan apa sahaja perkara kerana amat rugi saya ada akal, tapi hanya ikut-ikut sahaja.

Jika anda mengikut perkembangan Sains contohnya, sudah banyak penemuan-penemuan dahulu yang kita belajar dalam buku sekolah sudah dinafikan di zaman ini. Jika di sekolah kita percaya mengenai A, hakikatnya ia tidak benar. Begitu juga hal-hal adat yang mana ada dianggap sebagai syariat Islam, padahal ia adalah perkara syirik dan kurafat. Ini berlaku kerana adanya golongan manusia yang terus berfikir dan mempersoalkan.

Saya membahagikan pemikiran manusia kepada dua jenis:

1. Pemikiran lapuk atau klasik

2. Pemikiran bijak (akal yang cerah)

Pemikiran klasik adalah pemikiran yang dimiliki oleh orang yang hanya taklid buta atau tidak menggunakan akal dengan sebaiknya. Akal hanya berfungsi dengan baik jika ada ilmu dan pengetahuan. Mudah dikatakan, mereka hanya angguk-angguk, geleng-geleng, ya ya dan tidak-tidak. Mereka tidak mempersoalkan. Akal mereka lesu, takut atau malas untuk mempersoalkan.

Pemikiran bijak pula adalah pemikiran yang menggunakan akal sama ada dengan berfikir, mengkaji, bertanya atau mempersoalkan. Contoh: Saya menerima SMS berbentuk keAgamaan yang menyuruh saya forwardkan kepada 9 orang yang lain. InsyaAllah katanya kamu akan mendapat rezeki yang tak disangka-sangka.

Kemudian saya persoalkan kawan saya itu: Boleh bagitahu saya dalam kitab mana atau ulama mana atau paling kurang satu hadits sahih yang mengatakan hal ini? Dia jawab tak tahu sebab hanya ikut-ikut orang sahaja.

Saya beritahu dia, bab-bab rezeki atau syariat, jika sesuatu itu bukan wahyu Ilahi, kita tidak boleh mempercayainya. Agama telah sempurna dan kita tidak boleh mereka-reka sesuatu walaupun niat baik. Sama kisahnya dengan surat berantai yang kononnya wasiat daripada Rasulullah, jumhur ulama menafikannya. Syariat telah sempurna, tiada lagi wahyu dari Ilahi.

Pendapat Klasik dan Lapuk Mengenai Melayu

Satu pendapat dan pandangan yang selalu kita asyik dengar daripada mulut orang Melayu sendiri adalah mengenai kekurangan bangsa Melayu. Orang Cina, India, rasanya kurang menyebut akan kekurangan orang Melayu, sebaliknya mereka kuat berusaha untuk diri mereka. Hanya Melayu yang berkata negatif mengenai Melayu…

Mungkin anda pernah mendengar kata-kata seperti ini:

“Hmm, inilah orang Melayu. Pemalas!”.

“Orang Melayu tak pandai buat bisnes”.

“Orang Melayu kalau buat bisnes, kejap je lingkup”.

“Orang Melayu suka dengki, macam mana bangsa nak maju”.

“Tu la Melayu, tamak, mudah lupa diri…”.

“Ermm, orang Melayu bodoh, orang kata jangan buat, buat juga skim cepat kaya tu. Itu la Melayu dari dulu, tak berubah-rubah..”.

dan banyak lagi… Bahkan saya yakin, kita sendiri pun pernah menuturkannya. Kan kan? Termasuklah saya, tapi sebelum ini lah, hehe.. 😉 Kini, saya cuba mempersoalkannya secara serius…

Saya ada dua persoalan:

1. Benarkah bangsa Melayu itu tidak sebagus dengan bangsa lain? Atau, adakah benar tuduhan-tuduhan tersebut?

2. Jika benar, maka perlukah kita asyik mempersalahkan semua orang yang berbangsa Melayu? Sebab daripada ayat-ayat lapuk tadi, kita sebut orang Melayu, maka secara tak langsung ia menuju kepada semua orang yang berbangsa Melayu.

Kata-kata itu akan diucapkan apabila berlaku sesuatu masalah atau kerugian. Contohnya dalam satu urusan perniagaan berlaku masalah, maka akan dikatakan, “inilah orang Melayu, buat kerja tak pandai!”. Atau contoh lain, seorang Melayu menipu dalam satu pembelian di Internet, akhirnya semua orang marah dan berkata, “Ni yang aku malas berurusan dengan orang Melayu ni!”.

Ia seolah-olah menjadi satu warisan atau paling teruk seperti satu sumpah. Jika mindset atau pemikiran lapuk ini tidak dibendung, saya rasa sampai ke generasi masa depan pun akan terus-menerus wujud kata-kata sebegitu.

Buktinya, jika ditanya kepada mereka yang berkata begitu, saya yakin mereka pun tak tahu kenapa mereka berkata begitu.. Maka, jangan jadikan ia seperti satu sumpah berzaman.

Jadi, apa yang perlu kita buat?

Sudah sampai masanya kita BERHENTI daripada berkata begitu. Kita pun tidak tahu, siapa yang memulakan kata-kata tersebut. Adakah pihak musuh yang sengaja mewujudkan keadaan ini? Atau sebab dari lidah orang Melayu sendiri?

Bagi saya, kita perlu bersabar dalam menangani karenah orang-orang Melayu. Kalau nak ikut geram, saya pun boleh ikut. 🙂 Tapi kini saya rasakan, itu bukan satu tindakan yang bijak dengan menyalahkan bangsa. Sepatutnya kita salahkan individu tersebut…

Satu perkara yang kita perlu faham, setiap bangsa ada identiti tersendiri. Melayu sifatnya begini, Cina sifatnya begini, India sifatnya lain pula dan begitulah bangsa lain. Sebenarnya Allah jadikan pelbagai bangsa dengan tujuan tersendiri. Sebab itu Islam tidak mengungkit soal bangsa, ia Agama universal. Islam menitik-beratkan soal keimanan individu kerana jika setiap orang Islam baik, maka baiklah satu umat.

Kita juga perlu tahu, mungkin disebabkan sesuatu faktor dahulu seperti di era penaklukan Barat, bangsa Melayu menjadi lemah sedikit berbanding bangsa lain. Apa yang saya tahu, ekonomi Melayu kurang kuat disebabkan dasar pecah dan perintah yang dilakukan oleh pihak British. Melayu bidang pertanian, Cina perlombongan dan India pula di ladang (estate).

Maka bertitik tolak dari situ, ia sedikit sebanyak mempengaruhi kekuatan atau tahap sesuatu bangsa. Maka, tidak bolehlah kita hanya mahu mempersalahkan bangsa Melayu tetapi tidak melakukan apa-apa untuk mengubah. Orang kata, hanya lepas geram…

Kerosakan Akhlak: Peratusan Tertinggi Adalah Orang Melayu

Bagi saya, jika kita mahu melihat kepada kadar peratusan (statistik) kerosakan akhlak di Malaysia, rasanya kita tidak boleh menjadikannya sebagai satu rujukan mutlak dalam mengatakan orang Melayu paling bermasalah. Ini kerana kita perlu tahu bahawa, populasi terbesar di Malaysia adalah kaum Melayu, maka sebab itu bagi saya peratusan Melayu mengatasi bangsa lain.

Begitu juga orang Kelantan. Kalau kita baca berita, sikit-sikit orang Kelantan. Walau kejadian di Sabah, orang Kelantan pun terlibat di dalam satu-satu kejadian. Nak tahu kenapa? Majoriti orang Melayu di Malaysia kan di Kelantan… 🙂 Sebab itu apa-apa peratusan tertinggi seperti perceraian biasanya adalah milik orang sana.

Maka jelas, kita tak boleh hanya lihat pada statistik untuk mengatakan bangsa Melayu rosak, tak berakhlak dan sebagainya…

Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri

Saya rasa, sudah tiba masanya kita kurangkan kata-kata lapuk mengenai Melayu. Benarlah kata Pendeta Za’ba dalam bukunya “Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri”:

“Perangai bergantung kepada diri sendiri ini ialah di antara sifat-sifat kelebihan yang membawa ketinggian umat dan kemajuannya. Apabila terdapat pada sesuatu bangsa orang yang perangainya kuat bergantung kepada kebolehan dirinya sendiri dan tidak hendak bersokong kepada orang lain bagi mendirikan dirinya itu, nescaya majulah mereka dan negeri mereka pun majulah bersama-samanya dengan sebab kuat usaha mereka dan bersungguh-sungguh segala kerja mereka itu”.

Kata beliau lagi: “Sesuatu negeri dan bangsa menjadi naik atau turun, menjadi maju atau ketinggalan, ialah semua itu terikat sebabnya kepada sifat-sifat keadaan diri tiap-tiap seorang tunggalnya yang menjadikan bangsa itu atau yang menduduki negeri itu…”.

Jelas, yang salah BUKAN bangsa, tetapi diri individu yang menjadi anggota kepada bangsa itu. Maka janganlah lagi berkata buruk mengenai Melayu, tetapi perbetulkanlah si individu yang bermasalah itu tadi… JUGA, jangan hanya sibuk memperbetulkan orang lain, tapi diri sendiri hanyut di dalam kealpaan.

Biar saya ulangi, yang perlu dipersalahkan adalah individu, bukan bangsa. Kerana bangsa adalah satu institusi yang terdiri daripada diri-diri individu.

Akhir kata, jika anda seorang yang profesional dan sayangkan bangsa sendiri, berhentilah daripada menyalahkan bangsa walaupun menyebut ORANG MELAYU. Ia masih umum, sebaliknya kita perlu fokus terus kepada mereka yang bermasalah itu. Kita perlu sedar dan membuka mata, mana-mana individu berbangsa lain pun ada kurangnya, tetapi mengapa kita hanya terlalu mahu menyalahkan sehingga disumpahkan satu Melayu?

Jika kita mahu mengatakan Melayu itu dan ini, soal dulu diri kita, “aku ni seorang Melayu yang bagus ke? Apa yang aku dah buat untuk bangsa aku? Aku ni hanya tahu cakap je ke??”. Saya pasti, anda tak berani menuturkan kata-kata lapuk mengenai Melayu sebab nanti orang lain pula mengata anda… Kalau orang begitu, kita pula begini. Jelas, ia soal indvidu, bukan bangsa…

Kata-kata jika diucapkan dalam waktu tertentu, ia boleh menjadi doa selain kita yakin sangat ia betul. Jika benarlah ia satu doa dan ia terkabul, maka benarlah dari dulu sampai sekarang orang Melayu tak berubah-rubah sifatnya sebab orang Melayu sendiri sering berkata buruk… “Inilah Melayu…!”. Maka dari itu, jagalah kata-kata kita.

Sekian.

PS. Adakah orang yang mengatakan kata-kata lapuk itu seorang yang berfikiran lapuk?

PPS. Tahukah anda. Dahulu bangsa di Barat tenggelam di dalam zaman kegelapan, tetapi mereka bangkit dan maju ‘gara-gara’ sifat berani mempersoalkan semua perkara. Rujuk buku sejarah untuk cerita selanjutnya. 😉

Penafian: Tulisan saya kali ini tiada niat untuk menyindir mana-mana pihak, tetapi ia adalah untuk kita fikirkan bersama. Sudah tiba masanya kita memiliki pemikiran yang bijak. Gunakan akal sebaik-baiknya di dalam berkata-kata dan membuat pertimbangan.

Penulis: Mohd Zulfadli


(SmartZul) adalah seorang penulis dan usahawan Internet sepenuh masa. Beliau memulakan perniagaan melalui Internet sejak tahun 2005, dengan memfokus kepada bidang penulisan dan penerbitan secara online. Beliau turut aktif berkongsi ilmu dan pengalaman melalui blog dan juga komuniti Facebook. Klik menu Hubungi di atas untuk menghubungi beliau.

SERTAI NEWSLETTER SMARTUSAHA.COM
Sertai newsletter SmartUsaha.com untuk mendapatkan info dan tip-tip perniagaan dan pemasaran Internet terus ke emel anda.
Kami benci spam. Emel anda selamat bersama kami.

Komen Guna Facebook:

comments

18 thoughts on “Mengapa Asyik-Asyik Persalahkan Melayu??

  1. Tapi Zul kebanyakan kata kata tu memang berdasarkan kejadian kejadian yang berlaku, saya pun secara peribadi tak suka dengan kenyataan begitu. Jadi sebagai generasi baru kita perlulah bersemangat untuk menangkis tanggapan itu. Saya sebagai contohnya pernah bertugas dengan kerajaan ( steriotype -orang melayu kerja dengan kerajaan sahaja ) dan bila saya mengambil keputusan untuk meletak jawatan dan menyertai swasta , ramai kawan -kawan terutama yang senior yang terkejut dengan tindakan saya yng dianggap tidak normal bagi seorang melayu, tapi alhamdullilah sudah 4 tahun lebih saya di sektor swasta dan memang susah tapi saya berbangga kerana saya berjaya memecahkan tembok kebal itu yang “orang melayu tahu kerja kerajaan sahaja”. Insyaallah sekarang ni tengah belajar untuk bisnes pula dan belajar tentang bisnes internet. Terima kasih atas panduan membina blog tu.. sangat bagus untuk newbie macam saya.

  2. Ntahla zul.. Skrg ni mmg ramai yg selamba badak je ckp.. kalau salah sikit, melayu apa la.. Semua buruk2..

    Apa yg saya tgoklah kan, tujuan asalnya adalah untuk mnyedarkan bangsa kita tntg kelemahan bangsa kita sendiri.. Tp dari hari ke hari bila dah terlampau dan melampau kritikan pdas kononnya byk keburukan melayu spt yg zul nyatakan tu sbnarnya bakal menjatuhkan org melayu sendiri..

    Pernah 1 ketika, saya agak lambat balas emel seorang yg bertanya tntg sesuatu.. Last2 masa saya check emel, dia hantar 3 emel.. emel terakhir dia bertulis..

    “Mcm ni la Melayu ckp xserupa bikin. Penipu besar. Patutlah bisnes tak maju asyik menipu je.”

    Hmm.. saya terdiam je sbb dia tak beli apa2 dr saya pun tp tetiba kena cop sbg penipu plak.. nmpak sgt produk saya dah dicetak rompak.. Tp yg paling mnyedihkan dia mnyalahkan Melayu sdgkan dia pun melayu jugak.. Dan dlm hati saya berkata,

    “Ah, pemikiran dia yg sempit sdgkan bgsa lain buat mcm ni pun takder org pernah pertikaikan. Ini nak persoalkan bgsa sndiri. Mangkuk betul! Sekali aku sepak berjoget nanti” (hnya ckp dlm hati)

    Dlm perkara ini, kita sbnarnya perlu memberi sokongan sesama melayu yg lain utk memantapkan melayu sendiri bkn mendedahkan kelemahan dan kekurangan Melayu kpd mata dunia.. Jika kita msing2 beri sokongan, Insya-Allah bangsa kita akan maju..

    Akhir kata, saya ada satu ayat best ni.. (menterbalikkan ayat)
    “Jangan Merosakkan Susu Sebelanga Dengan Setitik Nila”

    -Fai-

    PS: Pnah tringat teacher saya ckp dulu, dia malu dgn pelajar melayu kelas dia yg asyik layu je.. padahal hakikatnya xsesuai mnyalahkan bgsa kita krn bgsa lain pun sama..

  3. Ya ya.. Dulunya mungkin kata-kata sebegitu di gunakan untuk menyedarkan bangsa Melayu.. Tapi apabila penggunaannya dah terlalu kerap, ianya dah menjadi satu identiti.. Contoh lain adalah janji melayu.. Hehehehe..

    Sebagai generasi baru, kita perlu ubah mentaliti ini.. Betul cakap Pendeta Za’ba yang perangai bergantung kepada diri sendiri – bukan sebab bangsa.. Kalau tak, takkanlah kita ada orang-orang Melayu yang hebat dan berjaya.. Ya tak?

    Walaupun tak mudah untuk keluar dari kumpulan pemikiran negatif sebegini, kita perlu lakukannya.. Dan didik anak-anak kita supaya berfikiran berbeza..

    P.S.: Ingat lagi masa di universiti, bila tanya lecturer kenapa satu2 benda tuh begitu, beliau jawab “Awak jangan banyak tanya, baca aje dan hafal”..

  4. memang kita telah disogokkan dengan ayat-ayat seperti yang zul katakan..
    dan disebabkan itulah sedikit sebanyak ianya meninggalkan kesan dalam bangsa kita sendiri..
    Nampaknya komentar bagi komen-komen yang panjang tapi saya tak mampu nak tulis pepanjang lah..
    no idea..

  5. selamat malam zul,

    bagi saya, zul… semua bangsa adalah sama…
    mereka mempunyai mata, hidung, kaki, tangan dan lain-lain lagi…
    tapi yang bezanya ialah perangai dan sikap….

    kalau di ikutkan, bangsa lain pun ada buruknya…
    kita tidak boleh salahkan bangsa melayu saja…

    kalau nak kata orang melayu tamak, orang cina pun ada yang tamak dan orang india pun ade yang tamak…
    semua nya sama je…
    sikat je yang beza!!!

    tapi yang penting, kita bukan jenis seperti itu…
    kita mestilah kenal siapa kita…
    macam di blog DR irfan khairi STOP DO LIST…
    fikirkan keburukkan kita dan buang kan nya… bersihkan diri kita jika ada keburukkan yang memberi kesan kepada kita…

    -han

  6. Alangkah baiknya sekiranya artikel ini dapat disebarkan ke seluruh negara.

    Kan ia dapat menyedarkan lebih banyak orang yang belum berpeluang sampai ke laman ini.

    Teringat pula saya pada wayang The Secret.

    Kita akan menarik lebih banyak situasi yang kita ANTI. Sebaliknya, untuk memulihkan keadaan, kita perlu PRO perkara yang kita idamkan dan bukan ANTI perkara yang kita bencikan.

    Sebagai contoh, jika anda ANTI parti politik A, PRO lah parti politik B. Ini akan mendekatkan kita lagi dengan matlamat kita.

    Sekiranya kita ANTI perti A, kita akan memberi lebih banyak tenaga kepada parti tersebut dan menguatkan lagi parti itu.

    Sekadar contoh, 😛 Saya tidak bermaksud untuk menyebarkan sebarang fahaman politik di sini. 😆

  7. tak yah bandingkan melayu dengan bangsa lain, sebenarnya melayu jauh lebih bagus dari bangsa lain, kalau tak bagus tuhan tak bagi cahaya islam, tuhan bagi melayu cahaya islam, maknanya melayu layak memerima islam, melayu adalah yg paling bagus.

    petik kata-kata ali(orang putih masuk islam), pendakwah moden amerika dan juga “card game devoleper”,untuk menjalankan perniagaan, kita mesti berurusan dengan semua orang yg bersesuai, tidak kira,apa bangsa dan agama.

  8. Pendapat saya, yang kata melayu begitu CUMA nak ekspresi marahnya pada seseorang. Tujuan mengejek untuk menyakitkan hati seseorang dan bukannya satu bangsa. Mungkin sebab kita sensitif kita terasa… Bangsa lain juga bukannya perfect. Ianya bergantung kepada individu itu sendiri. So saya tak ambil pusing hal begini…

  9. “Hmm, inilah orang Melayu. Pemalas!”.

    “Orang Melayu tak pandai buat bisnes”.

    “Orang Melayu kalau buat bisnes, kejap je lingkup”.

    “Orang Melayu suka dengki, macam mana bangsa nak maju”.

    “Tu la Melayu, tamak, mudah lupa diri…”.

    sepatutnya kita kena tukar perppepsi semua kepada….

    “Hmm, inilah orang Melayu. Berjaya!”.

    “Orang Melayu memang pandai buat bisnes, terutama orang Kelate 😆 🙂 ”.

    “Orang Melayu kalau buat bisnes, kejap je dapat sambutan, sebab sentiasa murah dengan senyuman”.

    “Orang Melayu suka suka tolong menolong, patutla makin maju”.

    “Tu la Melayu, Berdiri Teguh Bersama Agama Yang Diredhai…”.

  10. Walaupun saya bukan orang melayu tetapi…
    Kalau saya ianya bergantung daripada diri kita sendiri…. 😀 , keingingan dan kehendak bukan milik orang melayu atau bangsa lain,melainkan milik kita sendiri dan ianya adalah pembawaan kita…. kita tidak bebas apabila mungkin terpaksa menjadi orang lain kerana tidak pernah menjadi diri sendiri dan kita tidak bebas untuk keluar daripada zon kita sendiri…. 😳 😥

  11. salam,

    baik apa bangsa pun sama gak jika di bandingkan dgn bangsa kita(melayu).. yg penting pedulikan apa org kata…bukan org kasi kita rezeki..tetapi Allah!!!

    lebih baik kita belajar mengenal diri…maka baru kita kenal Allah…amin

  12. Ada sesetengah point tu saya setuju, sesetengah tu plak saya rasa kurang tepat.. Saya pun agak setuju dgn cruzertech, kekadang mungkin diorang terlepas cakap mcm tu (terutamanya semasa berurusan dgn ajensi kerajaan).

    Tapi apa pun, org Melayu sahaja yg boleh memajukan melayu itu sendiri. Kerajaan dan tolong mcm2, manfaatkan peluang sepenuhnya, dan yg paling penting, jgn jadi kacang lupakan kulit

  13. Assalamualaikum,

    Memanglah kalau kita kaji setiap kes secara individu setiap bangsa dalam dunia akan ada setiap benda buruk dan juga benda baik nya. Tetapi bila kita melihat statistik ianya adalah melihat secara kesuluruhan tentang pencapaian atau keburukan sesuatu kumpulan atau bangsa.
    Maka sekiranya statistik menunjukkan bahawa 80% penagih dadah adalah dari bangsa Melayu, adakah kita hendak menolaknya kerana bangsa Melayu adalah 60% dari populasi Malaysia.

    Kenapa kita tidak tengok pulak berapa peratus pelajar yg dapat 1st class honors di university di Malaysia adalah Melayu? Adakah ratio ini selari dengan jumlah pelajar Melayu didalam university. Ini belum lagi di lihat pencapaian di taraf dunia…

    Saya sudah berkerja lebih dari 10 tahun dan semuanya adalah bersama dengan syarikat swasta, ada yg “local” tapi kebanyakkan adalah MNCs. Semasa saya berada di peringkat bawahan saya kerap mengatakan ada “pilih kasih” didalam hiring. Ini kerana hampir disetiap syarikat MNCs yg saya sertai biasanya saya adalah satu-satunya org Melayu didalam bidang tersebut (saya terlibat didalam R&D perisian).

    Sekarang saya didalam posisi yg membolehkan saya mempunyai suara didalam memilih perkerja didalam bahagian yg berkenaan. Semasa lima tahun pertama saya cuba mencari calon-calon Melayu yg berkelayakkan, tetapi tidak mendatangkan hasil. Hanya selepas lima tahun baru saya mendapat calon Melayu pertama yg berkelayakan.

    Mengapa saya tidak dapat mencari calon Melayu?
    1 – CGPA yg rendah. Kelayakan minima utk syarikat saya adalah 3.2 dan 80% dari calon bukan Melayu yg datang mempunyai CGPA 3.5 keatas.
    2 – Calon Melayu gagal melepasi temuduga teknikal. Kami mempunyai 3 peringkat temuduga teknikal.

    Adakah saya boleh “cincai” dan cuba melepaskan calon yg tidak berkelayakan. Ya boleh, tetapi ini boleh memburukkan lagi reputasi orang Melayu. Dari apa yg saya lihat bahkan calon-calon yg bagus pun menghadapi cabaran hebat utk menyudahkan projek-projek yg diberikan kpd mereka maka bayangkan sekiranya orang yg “cukup-cukup makan” didalam situasi yg sama.

    Maka adakah saya mengatakan pelajar-pelajar Melayu tidak berkualiti. Ya secara keseluruhannya. Memang ada segelintir pelajar Melayu yg berkualiti. Saya punya pendapat ini berdasarkan kepada beribu-ribu resume yg sudah saya screen, dan beratus-ratus sessi temuduga yg saya hadiri (sebagai penemuduga).

    OK…tetapi, kita masih ada harapan. Semenjak 2 tahun kebelakangan ini saya dapat melihat perubahan. Saya dapati lebih ramai graduan-graduan Melayu yg berkualiti memasuki pasaran kerja. Ini adalah graduan-graduan Melayu kelas satu, yg boleh berkomunikasi dengan baik dan menyampaikan idea-idea yg bernas. Rakan-rakan sekerja saya yg sama-sama terlibat didalam menemuduga semuanya adalah bukan Melayu, dan mereka ini pun merasakan perubahan ini. Apa yg lebih membanggakan ialah kebanyakkan calon-calon Melayu yg ditemuduga (yg bagus) mempunyai kelebihan ketara dari segi pemikiran…mereka kata orang Melayu ni lebih kreatif dan lebih “passionate” tentang apa yg dibuat. Dan ciri-ciri ini adalah sangat berharga kepada organisasi yg berteraskan R&D dimana idea-idea merupakan “seed” kepada perkembangan organisasi tersebut.

    Tentang kadar perceraian yg tinggi di Kelantan, itupun adalah satu fakta sepuluh tahun dahulu. Sekarang mungkin ada tempat lain yg mempunyai kadar yg sama. 10 tahun dahulu saya ada mengambil kelas sociology dan salah satu dari case study nya ialah tentang kadar perceraian di Kelantan. Hasil kesimpulan dari case study tersebut (di selidik dari sociology) …mungkin lain kali kita cerita.

    Wassalam

  14. Pendapat saya, kalau buat statistik biar adil.
    Walaupun tak masuk kategori tu. Tapi ada dalam kategori lain.
    Contoh:- Siapa pengedar CD/DVD haram paling ramai.
    Inipun salah satu dari kategori, cuma sebab apa bila yang lain buat kita tak ambil pusing….

  15. haaa… jangan ikut sedap hati aje nak kata itu ini begitu begini. kalo dah ada akal tu kena gunakanlah dengan sebaik mungkin jagan dijadikan perhiasana dalaman semata-mata…

  16. coba tanyakan kepada orang yang menyatakan bahwa ORANG MELAYU ITU PEMALAS. apa tolak ukurnya atau hukumya atau teorinya atau sesuatu ukuran yang valid tentang sesuatu itu bisa dianggap pemalas. saya orang melayu asli. saya sudah muak mendengar perkataan melayu pemalas. sudah banyak orang yang saya ajak debat mulut secara langsung. yang mereka bisa hanyalah menipu dan memfitnah. mereka layak untuk dipukul atau dipancung karena mereka telah menghina. saya tanyakan kepada teman debat saya apa alasan atau tolak ukur untuk mengukur suatu kaum itu pemalas. mereka katakan bahwa bayak orang berkata melayu itu pemalas. saya tanyakan siapa orangnya, anda jangan menghina ya. saya katakan kepada anda, anda jangan sok-soklah. dan jangan sok pintar dan rajinlah memangnya hebat sekali anda. anda mau cari pasal atau mau apa. saya katakan jika anda memang hebat mari kita bertikam. ni, saya tunjukan saya orang melayu. apa yang terjadi… ternyata orang non melayu banyaknya besar mulut dan pengecut.

    1. Kalau benar seseorang Melayu itu malas (atau tidak kisah bangsa apa pun), maka apa lagi yang dapat kita katakan? Adakah mereka rajin? Pelik kalau kita katakan yang malas itu rajin. Ia adalah sifat individu, bukan bangsa. Jadi kita tidak perlu cepat melenting dan amat sensitif.

      Disebabkan kita sukar mengaku kelemahan bangsa kita sendirilah bangsa kita terus mundur dan selesa dengan kedudukan ala kadar.

      Tidak kisah bangsa apa, semuanya ada kelebihan sebab apa jua bangsa, itu adalah ciptaan ALLAH. Pendek kata, masing-masing pandai-pandailah ukur baju di badan sendiri dan tepuk iman di dada. Elakkan terlalu bersifat perkauman. Dirikanlah perjuangan atas nama Islam (Agama).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *