Maksimumkan Posisi Sedia Ada

Lagi kesilapan yang saya pernah lakukan… Maklumlah, manusia biasa (adakah ini alasan?). Alah, inikan saya yang bukan jutawan buat silap, si John Reese multi jutawan itu pun buat silap besar juga seperti saya….

Saya tidak malu untuk berkongsikan kesilapan-kesilapan yang saya lakukan. Malah blog ini salah satu fungsinya adalah untuk merekodkan perjalanan saya di dalam bidang perniagaan internet ini. Apa yang saya tulis, ia adalah yang saya lalui sendiri. Ia tiada di mana-mana, tetapi hanya di sini.

Kedua, dengan perkongsian ini, saya amat berharap saudara dan saudari semua mengambil pelajaran agar bersiap-siaga dan berhati-hati di dalam sebarang perlaksanaan. Menjadi satu bonus kita dapat belajar daripada kesilapan orang lain. Jika terbuat kesilapan, letaklah kesilapan itu di tempat yang baik dan bukan dikeji-keji. Kerana ia amat bernilai.

Pengalaman yang saya kongsi adalah daripada perjalanan saya bertahun-tahun. Jika saya rahsiakan kesilapan ini, saya yakin ramai yang akan melaluinya seperti yang saya lalui. Masa, wang, ruang dan tenaga banyak digunakan padahal kesilapan itu boleh dielakkan dengan belajar daripada mereka yang sudah melaluinya.

Sudah nampak kelebihan dan nilai perkongsian ini? Maka manfaatkan sebaik mungkin. Bukan sekadar dibaca dan kemudian dilupai….

Seperti yang saya nyatakan di Facebook,

Perkara yang ditakuti oleh kebanyakan orang adalah KESILAPAN. Hina sangatkah berbuat kesilapan (tanpa sengaja) setelah berusaha sebaik mungkin? Kalaulah kesilapan itu satu kesalahan yang besar, sudah pasti KFC tidak wujud. Sudah pasti lampu tidak akan tercipta. Itu semua terhasil daripada satu demi satu kesilapan (percubaan demi percubaan) sehingga akhirnya bertemu dengan sebuah formula kejayaan….

Kesilapan dan Kesalahan adalah dua perkara berbeza…

Kesilapan biasanya berlaku tanpa disengajakan dan telah ada usaha. Kesilapan yang dibicarakan di sini adalah kesilapan di dalam usaha/teknik, bukan dosa hukum hakam.

Kesalahan pula kita sudah tahu sesuatu itu salah. Ia biasanya berbentuk hukum seperti dosa dan haram. Atau salah di sisi undang-undang dan peraturan..

Jika kebanyakan orang takut melakukan kesilapan, saya pula lain. Saya suka dan sedia melaluinya. Namun dengan syarat, mesti terus mencari penyelesaian.

Kesilapan yang saya maksudkan pada artikel ini adalah tidak menggunakan posisi sedia ada sepenuhnya. Posisi itu amat berpotensi besar dan baru berkembang biak. Umpama satu tanah besar, yang tumbuh baru sebatang pokok getah. Tanah yang besar itu boleh ditanam beratus-ratus bahkan ribuan pokok getah.

Maksudnya di sini, saya adalah seorang Internet Marketer yang mempunyai ‘nama’, dikenali, mempunyai pengikut tersendiri dan juga pengaruh. Namun ia baru umpama sebatang pokok getah dan belum dikembang-biakkan lagi kepada dua, tiga dan ribuan pokok getah seterusnya.

Beberapa kesilapan yang telah saya lakukan:

Kesilapan 1. Mahu masuk ke bidang lain yang sepenuhnya (totally) amat berbeza dengan bidang yang saya lakukan sekarang (Internet Marketing). Akibatnya, banyak masa saya dihabiskan untuk mengkaji, merancang dan belajar perkara baru tersebut. Padahal, bidang saya sekarang ini pun belum habis ‘dimakan’ lagi.

Seperti mana yang John Reese ceritakan, beliau asyik dengan projek automotifnya (kereta dan aksesori) seperti menjual aksesori kereta. Akhirnya beliau menarik diri daripada projek tersebut kerana terlalu ‘penat’ dan banyak perkara perlu dilakukan seperti mempelajari perkara baru. Kata beliau, ruginya menganak-tirikan kepakaran (niche) utama beliau iaitu Internet Marketing…

Kesilapan 2. Tidak melebar-luaskan peluang yang ada. Hidup saya selama bertahun-tahun hanya ‘disara’ oleh hasil jualan produk informasi saya sahaja (terutama Pakej Kit Blogger). Walaupun ada sumber kewangan yang lain seperti perkhidmatan (servis) dan program affiliate, namun peratusannya tidak begitu besar berbanding hasil daripada jualan produk sendiri.

Sepatutnya, saya lakukan usaha yang lain juga secara ‘agresif’ seperti bengkel, seminar, ceramah, personal coaching dan konsultasi yang berkaitan bidang Internet Marketing. (Kini, saya sedang berusaha untuk menulis buku).

Percayakah anda, sebahagian besar belanja hidup saya disara oleh bisnes produk informasi? Membeli barangan keperluan, barangan elektrik, laptop, komputer, perabot, buku-buku, makan minum, bayar duit rumah, bil telefon, bil talian internet dan lain-lain, kebanyakannya adalah hasil daripada jualan produk informasi….

Saya berniaga tanpa pinjaman sama ada daripada bank, pihak keluarga, saudara-mara atau daripada sesiapa pun. Saya tetap tekad untuk tidak mahu meminjam kerana saya yakin, bahkan telah terbukti oleh ramai orang, untuk menjadi jutawan, tidak semestinya perlu bergantung harap kepada pinjaman pihak bank.

Saya tidak pernah melakukan big launch untuk mana-mana produk saya. Sebaliknya saya mendapat ‘pendapatan automatik’ daripada jualan produk informasi sejak hampir 4 tahun yang lepas. Seperti semasa saya menyiapkan artikel ini, saya mendapat dalam RM200 tanpa melakukan apa-apa.

Dan juga seperti hari Rabu lepas semasa bersiap-siap untuk pergi menonton wayang (malam), masuk RM100.00 ke akaun bank… Dan pada hari yang sama (siang), semasa saya sedang membeli-belah buku, duit masuk dalam RM100.00++. Semasa saya sedang berehat, masuk lagi RM100.00. Dan dalam perjalanan ke KL, masuk lagi RM100.00….

Semuanya automatik, dan yang saya ceritakan itu baru sebahagian kecil untuk menunjukkan walau apa yang kita sedang buat, duit tetap masuk ke akaun bank. Namun itu baru dari satu sumber pendapatan, belum lagi ditambah dengan sumber-sumber yang lain.

Kesilapan 3. Menerbitkan produk yang berlainan niche (bidang). Bukan tidak boleh, tetapi kurang laku. Ini kerana, saya dikenali sebagai Internet Marketer yang boleh membantu orang lain turut serta membina perniagaan internet atau buat duit di internet.

Namun, saya pula pergi bersibuk-sibuk dengan beberapa projek yang saya tidak dilihat sebagai pakar dalam bidang tersebut. Hasilnya, projek tersebut hanya suam-suam kuku sahaja hasilnya walhal telah banyak masa yang diluangkan.

Pelajaran di sini, jika orang ramai melihat anda sebagai pakar urut, jangan pula anda menawarkan khidmat bedah. Jika orang melihat anda pakar SEO, jangan pula anda berbicara mengenai PPC. Orang akan keliru, apakah kepakaran anda sebenarnya dan akibatnya orang kurang yakin dengan anda bagi produk tertentu…

Bukan tidak boleh menyentuh perkara di luar bidang, tetapi biarlah berpada-pada dan tidak berlebih-lebihan. Bayangkan, dengan kedudukan anda pada posisi yang diyakini ramai, anda boleh melakukan banyak usaha untuk mempelbagaikan sumber pendapatan walaupun hanya pada satu niche.

Kesilapan 4. Tidak mengulang-ulang atau ‘menekan’ secara konsisten kepakaran. Di dalam perniagaan, pengulangan secara konsisten terhadap kepakaran atau perkhidmatan kita adalah amat penting agar ia tersemat rapi di minda orang ramai (prospek).

Jika kita dikatakan pakar perniagaan internet, ia terlalu umum. Tetapi jika kita dikatakan sebagai pakar blog, maka ia adalah lebih spesifik. Tapi untuk lebih spesifik, mungkin pakar blog WordPress.

Tip 1: Daripada sebuah buku yang saya baca, dikatakan, adalah tidak penting untuk kita beritahu apa yang kita buat. Sebaliknya, adalah lebih penting untuk kita beritahu apa yang boleh kita berikan. Contoh:

“Perkhidmatan MegaTrafik kami akan memastikan para pelanggan mendapat trafik segera (minimum 100 pelawat unik) dalam masa 24 jam sahaja.”

“Kami boleh membantu pihak usahawan kecil membina laman web automatik yang mampu mendapatkan pelanggan yang konsisten pada setiap bulan.”

“Formula X kami ini membolehkan para usahawan Internet menjana pendapatan minima RM1000 sebulan secara automatik.”

Bahkan dengan cara ini, para pelanggan lebih memahami berbanding menyebut-nyebut nama perkhidmatan yang mungkin terlalu teknikal bunyinya (sukar difahami).

Tip 2: ‘Satu Matlamat Sahaja’. Hanya satu matlamat sahaja. Seperti Lance Armstrong, pengayuh basikal profesional, katanya beliau bersukan berbasikal untuk satu matlamat sahaja iaitu untuk menang pertandingan Le Tour De France, selain hidup bahagia bersama keluarganya. Hanya itu sahaja.

Apakah matlamat utama kita di dalam perniagaan? Apakah yang boleh kita berikan kepada para pelanggan kita? Hanya satu. Bukan dua, tetapi satu sahaja. Baru pelanggan akan lebih jelas dengan perkhidmatan yang kita tawarkan.

*Satu matlamat di sini bukan bermaksud satu cara. Tetapi matlamat itu boleh dicapai dengan pelbagai cara. Rujuk semula Tip 1 di atas.

Kesilapan 5. Ini adalah kesilapan terbesar saya. Iaitu terlalu mendengar dan menurut kehendak orang. Ini adalah disebabkan oleh kedudukan dan posisi saya di mana saya dianggap mempunyai pengaruh. Seolah-olah seperti ‘public figure’ yang menjadi harapan orang.

Di satu pihak, mereka berhendakkan itu dan ini. Di satu pihak yang lain, mereka berharapkan sesuatu. Akhirnya saya berada di tengah-tengah untuk menjaga hati kedua-dua belah pihak. Akibatnya, saya tidak dapat melangkah begitu jauh.

Saya semakin sedar… Tanggungjawab pertama yang lebih utama untuk dilaksanakan adalah tanggungjawab kepada diri sendiri. Kita perlu mengutamakan diri kita dahulu sebelum memenuhi kehendak orang lain. Jika kita susah, tiada orang lain yang akan membantu kita sepenuhnya. Sebaliknya hanya kita sendiri.

Daripada kesilapan itu, kini saya lebih ikut apa kata hati saya. Jika saya mahu buat A, saya akan buat A. Jika saya mahu lakukan B, saya akan melakukannya tanpa ada pengaruh daripada mana-mana pihak. Malah kini saya semakin mudah berkata “TIDAK” kepada peluang yang hanya mengenyangkan perut orang lain sahaja dan tidak bermanfaat untuk bisnes saya.

Kesilapan ini mengingatkan saya kepada pesan guru kepada Dr. Rusly seperti yang dicatatkan di dalam bukunya, di mana kata gurunya, “jangan ada sesiapa yang masuk campur tangan di dalam perniagaan kamu”. Ia satu pesanan yang amat mendalam. Pastikan kita merdeka daripada segala pengaruh dan campur tangan. Bisnes kita adalah milik kita dan segala keputusan adalah di dalam tangan kita. Bukan orang lain.

Kesimpulan

Jelas… Adalah satu kerugian besar mempergadaikan kedudukan atau posisi yang kita usahakan selama ini begitu sahaja. Gunakannya semaksimum mungkin. Jika ada orang mengkritik, abaikan mereka. Gunakan sahaja konsep parallel thinking di mana dua pendapat langsung tidak akan bertemu pada satu titik.

Jika orang ke hadapan, saya pula akan ‘berpatah balik’ (U-Turn) untuk mengutip semula segala peluang dan ruang yang telah saya abaikan dahulu. Saya akan mengisi seluas mungkin bidang Internet Marketing ini di dalam beberapa niche yang saya fokus sebelum melebarkan sayap ke dalam bidang yang lain.

Perkongsian Kesilapan….

Saya mahu berkongsi sebanyak mungkin kesilapan-kesilapan yang telah saya lakukan sepanjang saya melakukan perniagaan internet sepenuh masa ini. Saya tidak mahu saudara saudari semua melakukan kesilapan yang sama terutama pada permulaan tahun 2010 nanti.

“Jangan salahkan orang lain jika kita lemas kerana tidak tahu berenang.”

Maksudnya, jika kita sudah tahu sungai itu dalam, jangan cuba untuk berenang. Kalau sudah tahu perkara itu silap, merugikan atau tidak bermanfaat, jangan sesekali melakukannya. Adalah satu bonus kita mempelajari kesilapan orang lain tanpa kita sendiri melaluinya. Jimat duit, masa dan tenaga.

Sekian.

Penulis: Mohd Zulfadli


(SmartZul) adalah seorang penulis dan usahawan Internet sepenuh masa. Beliau memulakan perniagaan melalui Internet sejak tahun 2005, dengan memfokus kepada bidang penulisan dan penerbitan secara online. Beliau turut aktif berkongsi ilmu dan pengalaman melalui blog dan juga komuniti Facebook. Klik menu Hubungi di atas untuk menghubungi beliau.

SERTAI NEWSLETTER SMARTUSAHA.COM
Sertai newsletter SmartUsaha.com untuk mendapatkan info dan tip-tip perniagaan dan pemasaran Internet terus ke emel anda.
Kami benci spam. Emel anda selamat bersama kami.

Komen Guna Facebook:

comments

28 thoughts on “Maksimumkan Posisi Sedia Ada

  1. Salam Bro,

    Apa yang di utarakan oleh anda memang lah berlaku kepada sesiapa jua.. Kita mungkin rasa selesa apa yang telah kita kecapi sehingga kita merasakan ingin mencuba yang lain atas tujuan ~business diversification’. Akhirnya jika tiada perancangan yang betul, masa banyak terbuang. Saperti saya, dari sektor perbankan , terjun pula ke industri pemakanan hanya kerana pengetahuan yang sedikit, akhir nya masa banyak terbuang… Ini merupakan pengalaman yang amat pahit dalam hidup saya..Kita sepatutnya menambah nilai dalam apa yang kita telah ketahui dan mempunyai kemahiran di dalam nya kerana akhirnya ia akan membuahkan kejayaan yang lebih baik dari apa yang kita ada.

  2. salam zul..

    post ini memang membantu sangat,selalunya orang baru takut dengan kesilapan sedangkan kesilapan itu yang sering membantu untuk terus berusaha lebih gigih.

    terima kasih atas perkongsian ini… 😀

  3. Assalammualaikum,

    Ya saya setuju dengan artikel ini. Tetapi selain daripada mengikut kata hati, kita juga perlu mengikut trend permintaan masa kini.

    Saya juga setuju bahawa tidak hina membuat silap, yang hina ialah membuat kesilapan yang sama berulang kali.

    Artikel yang menarik dari saudara Zul. Pengalaman adalah guru sebenar.

    1. Maaf Setria. Saya tidak setuju jika dikatakan orang yang melakukan kesilapan yang sama berulang kali itu sebagai orang yang hina. Ia satu perletakan yang amat keras. Kita hanya manusia biasa. Jadi tidak semudah itu untuk mengatakan manusia itu hina kalau sekadar melakukan kesilapan teknikal…

      Kesilapan yang saya maksudkan di artikel ini adalah kesilapan teknikal, bukan berkaitan hukum hakam. Berbeza jika hukum hakam, maka di dalam Al-Qur’an memang jelas menyatakan orang yang sesat dalam petunjuk dan degil dalam mengikut hukum hakam adalah golongan yang hina. Itupun ALLAH tetap mengampuni mereka yang hina itu sekiranya mereka bertaubat.

      Jadi bagi saya, perkataan HINA itu hanya sesuai untuk golongan yang sesat yang teramat sesat dalam Agama sahaja, bukan dalam soal teknikal atau strategi seperti bisnes. Bagi saya, terlalu sukar untuk kita mengatakan sesuatu itu hina atau tidak kerana hina itu terlalu buruk maknanya (hina bermaksud langung tiada nilai).

  4. Menarik dan sangat sangat menarik…kadang kadang kita perlu sedar dan akui kelemahan dan kesilapan diri kita dulu baru boleh menuju kedepan…masih ada beberapa hari lagi sebelum tahun baru untuk kita sama sama tulis kesilapan yang telah kita lakukan dan perbetulkan…

  5. Menarik perkongsian ‘kesilapan’ sdr zul hari ni. Sauudara menjawab Kesilapan dengan hikmah (berupa jawapan) bagi setiap kelemahan.
    Sdr masih mahu membincangkan sebegini detail kesilapan saudara, berbeza dengan sebahagian yang adakalanya kelihatan ‘ego’dengan kesilapan sendiri.
    Terima kasih, perkongsian yang menyedarkan betapa saya masih ada kesilapan yang belum ‘dicerna’! : )

    1. Saya berkongsi kesilapan secara umum kerana bagi saya kesilapan-kesilapan di atas adalah ‘mulia’ dan bernilai. Kesilapan bukanlah kesalahan (seperti dosa, haram, hukum salah dan lain-lain). Kesilapan dengan kesalahan adalah dua perkara yang berbeza (dalam konteks perbicaraan di sini).

      Semua kesilapan di atas hanyalah teknikal dalam bisnes, bukan hukum hakam. Jadi tiada sebab untuk malu berkongsi.

  6. Terima kasih Zul, dengan perkongsian Zul ini saya lebih bersemangat untuk mengharungi dunia perniagaan yang saya pilih. Perkongsian ini benar-benar menyuntik motivasi untuk terus bergerak dan bergerak…

  7. Adakah membaca artikel di dalam Blog ini satu kesilapan….? Atau Leave a Reply ini juga satu kesilapan….?

    Apapun sy tak silap menuntut ilmu di blog smartusaha dot com TERIMA KASIH

    1. Zulazis. Semuanya terletak pada bagaimana seseorang itu menilai sesuatu. Kalau kita berikan emas pun, tapi mereka melihat ia sebagai batu, maka itulah yang mereka dapat.

  8. Terima kasih bro atas info yang sangat menarik. Pengalaman yang bro kongsikan byk mengajar kami yang masih belajar dan mula berjinak dengan dunia internet marketing.

    Untuk makluman saudara smartzul, saya sendiri adalah pembeli produk bro pakej lengkap kit blogger. saya amat berpuas puas hati dengan hasil produk bro, berbaloi sangat sangat dengan harga yang bro tawarkan. takyah pergi personal coaching kalau nak mulakan blogging, beli je produk bro smartzul.

    all the best untuk 2010 bro! saya doakan kita sama sama berjaya. insyaAllah.

  9. Satu tip dan ilmu yang cukup berguna untuk kita kutip dari post ini. Memang, pada ketika inilah kita perlu merenung dan mengkaji balik setiap kesilapan2 yang telah kita lakukan sebelum ini supaya fajar 2010 kita dapat melangkah dengan lebih tenang lagi.

    Terimakasih SmartZul!!!

  10. Kesilapan itu bakal membuatkan sipembuat itu bertambah baik dalam menjalankan perniagaan, yang penting kesilapan itu di kaji untuk memperbaiki dan mengelakkan kesilapan sama diulang.

    Saya selalu memberikan nasihat kepada orang dan juga bakal usahawan lain tetapi saya juga tidak terlepas melakukan kesilapan..Yang penting saya mengingatkan sambil saya ingatkan diri saya sendiri.

    Jika saya melakukan kesilapan, harap ada orang perbetulkan dengan penuh hikmah… Saya suka!
    (Manusia memang tidak terlepas dari melakukan kesilapan..) 🙂

    1. Jai.. Ada dua golongan manusia:

      1. Golongan yang berjaya jenis 1. Mereka buat silap, tapi tidak segan untuk kongsikan kesilapannya. Mereka ini amat merendah hati (bukan merendah diri).

      2. Golongan yang berjaya jenis 2. Mereka ini tinggi egonya. Mereka tidak akan kongsi kesilapan mereka, nanti jatuh nilai mereka.

      Sudah adat orang-orang kita hanya dilatih agar sentiasa betul dan betul. Kalau terbuat salah, ia seperti satu kesilapan yang besar. Hmmm… Entahlah. Kelemahan orang kita adalah pada MINDSET. Kalaulah ia boleh diformat seperti hardisk, kan bagus. 😀

  11. Sebenarnya…. Ramai yang buat silap berkali-kali. Cuma terlalu ego atau malu untuk berkongsi dan mengakuinya… 😀

    Bagi saya amat mudah… Saya kongsi sahaja. Saya berjaya atau tidak, gagal atau sukses, itu adalah di belah pihak saya. Di blog ini saya hanya berkongsi sahaja. Apa sahaja anggapan, itu terserah kepada perspektif pembaca masing-masing untuk menilai bagi diri sendiri.

  12. Saya selalu memberikan nasihat kepada orang dan juga bakal usahawan lain tetapi saya juga tidak terlepas melakukan kesilapan..Yang penting saya mengingatkan sambil saya ingatkan diri saya sendiri. Jika saya melakukan kesilapan, harap ada orang perbetulkan dengan penuh hikmah… Saya suka!(Manusia memang tidak terlepas dari melakukan kesilapan..)

  13. Betul tu… Setiap Kesilapan ada musibahnya klau kita dapat mempelajari dr kesilapan itu, detik kejayaan sukar utk di ramal…asalkan kita sanggup bersabar & tak mudah putus asa…Org yg sanggup berkongsi kesilapannya adalah org yg perihatin dan tinggi ilmunya & pengalamannya….

  14. Satu perkongsian yang hebat,saya juga baru-baru ini sedang melakukan post-mortem prestasi perniagaan saya sepanjang tahun 2009 dan apa yang saya boleh katakan,ia memang tidak sunyi dengan kesilapan.Kesilapan juga amat bagus kerana kita akan termotivasi bagi mencari troble-shoot dan seterusnya menghasilkan satu sistem kerja yang lebih baik.Artikel Zul kali ini bagi saya sememangnya amat bagus kerana ia seolah-olah “memukul” dua pihak.pihak yang pertama ialah pihak yang tidak meneroka prestasi perniagaannya sehabis baik(melompat-lompat).Pihak yang kedua ialah pihak yang tidak cuba untuk melebarkan kemampuannya di “sub-bidang” perniagaannya.

  15. Anggap sahajalah segala kesilapan yang saya telah lakukan sebagai satu ‘perjuangan’ oleh diri saya agar kalian semua tidak merasai dan melaluinya juga.

    Saya tetap positif dalam apa jua keadaan atau hasil. Kerana yang penting adalah kesedaran.

  16. artikel yang panjang lebar tapi penuh dengan perkongsian ilmu dan pengalaman. ilmu boleh dibeli, tetapi pengalaman tidak boleh dinilai dengan wang ringgit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *