“Lihatlah Dengan Kasih Sayang…”

Pada hari ini, umur saya genap 28 tahun. Saya bersyukur kerana masih diberi peluang oleh ALLAH untuk terus hidup sehingga ke saat ini. Bermaksud, Dia berikan masa untuk saya melakukan perubahan dan memperbaiki amalan agar lebih baik.

Terdetik hati ini ingin mencoret serba sedikit nota sebagai peringatan kepada diri sendiri, perkara yang PERLU DIELAKKAN agar hati sentiasa tenang dan amalan sentiasa terjaga.

1. Mengumpat

Apabila kita tidak sukakan seseorang, elakkan mengumpat atau berbicara mengenai kekurangan atau kesilapan kecil orang lain, melainkan ia benar-benar perlu. Jangan kerana gara-gara ingin memuaskan hati yang bencikan seseorang, lantas kita membuka pekung orang lain.

Sikap buruk sebegini tidak akan menyelesaikan masalah yang timbul. Malah, masalah yang tidak wujud pun akan wujud. Yang lebih teruk, hati yang tidak sakit akan menjadi sakit. Itu baru satu masalah atau seorang individu yang diumpatnya. Jika lebih ramai? Maka lebih sakitlah hatinya. Patutlah tidak tenang-tenang dan asyik emosional selalu.

Contoh Bahayanya Mengumpat: Semasa Ali mengumpat mengenai seseorang, si pendengar setuju dan angguk-angguk, malah menambah satu dua ‘perasa tambahan’. Tetapi kemudian di satu hari, Ali melihat kawannya itu terlalu mesra dan angguk-angguk bersama si mangsa umpatan tempoh hari. Terdetik di hatinya, “Adakah aku telah meluahkan kepada si talam dua muka? Alamak…”

2. Jangan Simpan Di Dalam Hati

Kata orang ramai, jika tidak puas hati, luahkan. Jumpa individu terbabit, dan bincang. Terkadang, persepsi awal dan prasangka kita melebihi segala-galanya. Kita takut jika kita berterus-terang, orang akan marah dan bencikan kita. Padahal mungkin tidak begitu. Lakukan sahaja. Mereka suka atau tidak, itu bukan satu masalah besar.

Meluahkan kepada mereka adalah jalan terbaik berbanding meluahkan kepada orang lain. Ini kerana, orang lain itu kita tidak tahu hatinya. Kelak cerita kita itu akan dijadikan pisau untuk menikam kita dari belakang. Tersilap meluah, rupa-rupanya orang itu talam dua muka.

Di dalam perniagaan, jika tidak puas hati, pintu belakang (sesi mengumpat) bukanlah caranya. Kita boleh lakukan secara profesional. Masalah dan kekurangan adalah normal dan lumrah. Manusia itu bukan malaikat.

3. Melihat Dengan Kasih Sayang

Jika melihat seseorang melakukan kesilapan, lihatlah dengan kasih sayang, lagi-lagi jika mereka saudara seAgama. Jika kita melihat dengan kebencian, itulah titik mulanya masalah di mana:

  • Niat ikhlas akan rosak.
  • Masalah biasanya tidak akan selesai.
  • Mahu selesaikan KERANA benci, bukan kerana ikhlas.
  • Membenci bermaksud hati kita sakit.

Melihat dengan kasih sayang di sini bermaksud, kita tidak mahu saudara kita itu terlibat dalam hal-hal yang salah. Kita amat  risaukan mereka jika sesuatu terjadi kepada mereka akibat kesalahan yang dilakukan.

Jika kita lihat situasi sekarang, kebanyakan orang melakukan ‘amar makruf nahi mungkar’ atau menghadapi manusia dengan penuh ketegasan. Tegas itu tidak salah, tetapi ada satu kekurangan, iaitu KASIH SAYANG.

Dengan melihat dengan kasih sayang, hati akan tenang, kita tidak akan beremosi, tidak akan memberi komen dengan bahasa yang tidak baik di blog orang lain dan pelbagai lagi kelebihan. Selain melihat dengan kasih sayang, kita juga perlu bercakap, menulis, melawan balas dan mendengar dengan perasaan kasih sayang.

4. Berkelompok

Hidup berkumpulan memang wajar. Namun, jika sudah berkelompok-kelompok dengan menolak kumpulan lain yang baik-baik, itu berpecah-belah namanya.

Hidup berkelompok-kelompok biasanya akan menyebabkan kita hanya ‘syok’ dengan dunia sendiri sahaja, sehingga terlalu sukar untuk menerima dunia dan pemikiran orang lain. Lantas, kita akan hanyut dan tenggelam dalam dunia kecil kita. Ketinggalan dan ditinggalkan… Rugi.

5. Taksub

Sehebat mana seseorang, kita boleh jadikan mereka sebagai guru, rakan atau mentor kita. Namun apabila terlalu taksub, sama seperti perkara ke-4 di atas, kita akan terkongkong dengan satu lorong pemikiran sahaja. Lantas, kita akan mudah memangkah dan menolak apa jua pendapat orang lain walaupun ia baik dan betul.

Jika kita mahu maju, semua pendapat perlu kita terima dan mendengarnya agar kita dapat menilai sesuatu dengan bukan hanya satu dimensi, tetapi dengan pelbagai sudut pandangan.

6. Membazir Masa

Zaman sekarang zaman Facebook. Bagi hati yang lemah, ia sebenarnya satu bahana yang amat merugikan jiwa, hati, pekerjaan dan perniagaan. Kehebatan Facebook atau apa sahaja laman web sosial lain seperti MySpace, Twitter dan sebagainya, atau apa sahaja medium lain seperti blog dan forum Online, pastikan ia tidak mencuri masa untuk kita berproduktviti.

Bagi saya, membazir masa di laman sosial adalah salah satu kesalahan terbesar di abad ini yang dilakukan oleh ramai orang. Gunakan teknologi ini untuk sekadar ruang yang sepatutnya. Tidak perlu berlebih-lebihan.

Kepada yang melakukan Internet Marketing, jangan terlalu bergantungan dengan Facebook. Utamakan juga strategi dan teknik yang lain. Aturkan masa khas untuk ‘bersosial marketing’ di Facebook atau di laman web sosial yang lain. Apa pun, jangan disalahkan laman web sosial tersebut, tetapi salahkan diri sendiri. Gagal merancang, bermaksud merancang untuk gagal.

7. Kurang Membaca

Tidak kisahlah membaca buku atau sebagainya, selagi ia satu bahan bacaan yang boleh ‘menajam’kan otak dan minda, lakukan sahaja.

Sesetengah orang tidak tahu untuk membicarakan sesuatu kerana mereka kurang membaca. Mereka kekurangan input, maka bagaimana mereka dapat mengeluarkan output yang berguna kepada orang lain. Akibat kurang membaca, maka yang dibicarakan hanyalah hal yang sama sahaja setiap masa kerana kekurangan input.

Bacalah dan terus membaca walaupun satu muka surat sehari. Bahan bacaan mungkin berkaitan dengan bidang kerjaya atau apa sahaja topik yang berguna untuk kehidupan.

8. Sibuk Hal Orang

Yang terakhir adalah penyakit “sibuk hal orang”, atau “busy body”. Setiap hari, ada sahaja yang tidak puas hatinya. Si A salah, si B salah, si C tidak baguslah, si D itu ini.

Bayangkan, betapa banyaknya masa yang akan kita habiskan jika terlalu sibukkan hal orang. Padahal kita tidak perlu pun bersibuk-sibuk hal orang. Hal diri sendiri pun belum selesai dan masih banyak yang perlu dilakukan.

Pasti akan ada yang menyatakan, “Kami bukan menyibuk hal orang. Bukankah Islam menyuruh kita menasihati sesuatu yang baik dan mencegah yang mungkar?” Mereka ini pandai berkata-kata, tetapi tindakan menasihati dan mencegah itu langsung tiada. Sebaliknya mereka lebih suka mengumpat dan membicara hal buruk orang. Mahu mencegah yang mungkar, tetapi mereka tidak sedar, mereka menambah satu lagi kemungkaran (mengumpat, memfitnah).

Dalam satu sisi lain, ada sesentengah orang hanya suka melihat prestasi orang lain sehingga terabai mengisi ruang hidup dan perjuangan sendiri. Setiap kali mereka mahu melangkah, mereka melihat orang lain telah jauh ke hadapan. Lantas mereka tidak jadi bertindak, gara-gara semangat sudah luntur akibat asyik melihat orang lain.

Untuk berjaya, sibukkanlah diri dengan usaha sendiri. Orang lain biarlah dengan usaha dan pencapaian mereka. Rezeki masing-masing, perjalanan juga masing-masing. Setiap orang ada lorong-lorong kehidupan tersendiri, jangan dibanding-bandingkan. Kelak lemah jiwa dan raga.

Penutup

Semoga kita cemerlang dunia dan akhirat, fizikal, mental dan spiritual. Kurangkan yang negatif (sifat mazmumah) dan lebihkan yang baik-baik (mahmudah). Semoga kita memiliki hati yang tenang!

Hati yang sihat akan berkasih sayang.

Wassalam.

Penulis: Mohd Zulfadli


(SmartZul) adalah seorang penulis dan usahawan Internet sepenuh masa. Beliau memulakan perniagaan melalui Internet sejak tahun 2005, dengan memfokus kepada bidang penulisan dan penerbitan secara online. Beliau turut aktif berkongsi ilmu dan pengalaman melalui blog dan juga komuniti Facebook. Klik menu Hubungi di atas untuk menghubungi beliau.

SERTAI NEWSLETTER SMARTUSAHA.COM
Sertai newsletter SmartUsaha.com untuk mendapatkan info dan tip-tip perniagaan dan pemasaran Internet terus ke emel anda.
Kami benci spam. Emel anda selamat bersama kami.

Komen Guna Facebook:

comments

13 thoughts on ““Lihatlah Dengan Kasih Sayang…”

  1. terima kasih encik zul,

    cara penulisan encik nampak sangat banyak membaca
    dan penuh ilmu di dada..bukan setakat hal bisnes
    sahaja…sama-sama la kita amalkan…

  2. Zul dan pemuda yang sewaktu dengannya sedang merintis dan mencipta dimensi baru dalam mencari rezeki. Moga bertambah umur diikuti dengan penambahan ilmu dan kematangan diri.

  3. Salam. Selamat menyambut ulang tahun. Semoga nasihat yang diberi menjadi peringatan dan amalan kepada diri saya. Terimakasih

  4. Selamat Ulang Tahun Kelahiran..!

    Moga yang dicitakan tercapai..

    Terima Kasih atas Perkongsian. Ya, kita jarang melihat dengan kasih sayang, tetapi lebih kepada rasa benci yang membuak-buak dek beberapa kesilapan seseorang itu telah lakukan sehingga tiada langsung nilai kebaikkan mereka pada mata kita. Itu satu silap besar..

    Islam mengajar kita benci pada perbuatan yang dilakukan bukan pada individu yang melakukannya.

    Satu lagi sikap buruk ialah terlalu berprasangka..

    Moga kita semua dijauhkan dari penyakit-penyakit hati sebegitu..

  5. Dah lebih 3 tahun rasanya follow blog smartusaha ni. Apa yang pasti, isi kandungannya semakin hari semakin ‘kaw’, padat dengan isi2 yang bermanfaat dari pelbagai sudut. Kematangannya jauh melebihi usia tuan empunya..

    Tahniah dan selamat menyambut ulangtahun kelahiran..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *