Home » Usahawan Internet » Keputusan Pilihanraya Umum Ke-12 | Kuasa Internet

Pertama sekali, saya bukan blogger politik. Jadi, saya tak pandai untuk mengulas panjang mengenai politik terutama mengenai pilihanraya umum ke-12 yang telah berlangsung pada 8 Mac 2008 lepas. Tapi sebagai rakyat Malaysia, saya perlu mengambil tahu perkara ini dan ada hak untuk meluahkan pendapat selain ada kaitan sikit dengan blog.

 

keputusan pilihanraya 12

Carta Keputusan (www.Utusan.com.my)

Secara mudah, kerajaan BN tidak berjaya mendapat kuasa majoriti 2/3 di parlimen yang menyebabkan mereka akan sukar untuk bersuara lebih lantang. Lebih-lebih lagi kemungkinan bersar DS Anwar Ibrahim dikatakan akan memasuki parlimen nanti melalui kerusi yang disandang oleh isterinya, Datin Seri Wan Azizah.

Jika pilihanraya pada 2004 dulu menyaksikan BN mendapat 219 kerusi di parlimen, tapi pada kali ini BN hilang beberapa kerusi dengan mendadak sekali. Pada kali ini mereka hanya mampu mendapat 140 kerusi* sahaja. Jelas, rakyat Malaysia mahukan perubahan dan mahukan Malaysia yang baru. Pihak BN perlu peka dengan keadaan ini. Rakyat Malaysia sudah memberi isyarat awal.

Apa yang menarik pada pilihanraya kali ini ialah kekalahan teruk yang dihadapi oleh pihak Barisan Nasional. Inilah pertama kali BN tidak berjaya mendapat majoriti kuasa 2/3 di parlimen. Malah yang lebih mengejutkan, pihak pembangkang menyapu bersih kesemua kerusi parlimen di Pulau Pinang yang mana selama ini lebih didominasi oleh pihak Gerakan (Barisan Nasional).

Jika sebelum ini pembangkang hanya lebih berkuasa di beberapa buah negeri sahaja, tapi pada kali ini bukan satu, dua atau tiga, tapi lima buah (Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor). Satu pencapaian yang amat hebat berbanding pilihanraya sebelum ini. Negeri Kedah contohnya tidak pernah dimiliki oleh PAS sejak pilihanraya dilakukan. Tapi pada kali ini, kemenangan besar telah diperolehi, bahkan Azizan Abdul Razak (PAS) sudah pun mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang baru.

Malah di Negeri Kelantan pula, memang bukan suatu yang pelik. Jangan main-main atau mempermainkan rakyat Kelantan. Semua orang tahu bahawa politik Kelantan ini boleh berubah-rubah kerana rakyatnya adalah jenis boleh berubah parti pada bila-bila masa. Pihak BN sepatutnya menggunakan peluang sejak 4 tahun lepas yang diberikan oleh rakyat Kelantan untuk mengambil kedudukan baik di Kelantan.

Tapi mereka (BN) ‘terleka’ dan tidak berusaha sebaik-baiknya di Kelantan. Saya tahu sebab saya orang Kelantan. Saya tahu bagaimana orang UMNO berpolitik sebab persekitaran saya ialah ramai orang UMNO. Mereka (BN) baru bermula usaha lebih kuat apabila pilihanraya semakin hampir. Tapi semuanya sudah terlambat..

“Nampok gayo aku keno pakoh PAS kali ni”. Mungkin itulah kata-kata di hati majoriti rakyat Kelantan apabila melihat peluang yang mereka berikan kepada BN tidak digunakan sebaik mungkin. Akhirnya, sejarah kemenangan besar pada tahun 1990 kembali berulang untuk pihak PAS di Kelantan. Inilah politik “cah keting” rakyat Kelantan.

Mengapa??

Persoalannya, mengapa ini semua berlaku? Bahkan orang-orang kuat BN pun kepeningan dan tergeleng-geleng kepala tidak percaya. Saya mahu ambil satu faktor sahaja yang ramai menyetujuinya. Salah satu faktornya ialah penggunaan media Internet dan media alternatif yang lain. Kita ambil sahaja media Internet di sini kerana saya amat yakin ia lebih banyak digunakan oleh rakyat Malaysia sekarang.

Sejak empat tahun lepas, pihak pembangkang sudah mula agresif di dalam menggunakan Internet terutama penggunaan blog, laman web, video web dan portal. Pihak PAS contohnya mengambil inisiatif kreatif dengan mewujudkan TVPas sebagai satu saluran penyampaian berita terkini politik terutama bagi pihak PAS untuk melawan pihak BN yang menguasai media perdana yang sedia ada.

Manakala, begitu ramai mereka yang menyokong Barisan Alternatif (pembangkang) mempunyai blog sendiri untuk menyampaikan berita dan info yang menyebelahi pihak pembangkang. Kita lihat sahajalah selepas program BERSIH dianjurkan pada tahun lepas, tidak banyak video yang berkaitan keluar di media utama seperti TV dan akhbar harian. Sebaliknya, begitu banyak video mengenai BERSIH ada di YouTube dan gambar-gambar pula ‘berselerakan’ dipaparkan di laman web dan blog.

Semalam di TV3 semasa program ulasan pilihanraya, seorang ahli panel mengatakan bahawa, akibat daripada penguasaan kerajaan BN terhadap media gergasi seperti TV1, TV2, TV3 dan akhbar harian, maka rakyat Malaysia telah cuba mencari cara alternatif untuk mengetahui berita dari pihak pembangkang. Saya sendiri, bahkan anda juga mesti akan mencari berita seperti video dari Youtube.com untuk mendengar suara Barisan Alternatif.

Akhirnya, rakyat Malaysia termasuk ke dalam ‘jerangkap samar’ pihak pembangkang. Di laman web seperti itu, begitu banyak sekali video, bahkan pihak pembangkang telah mendominasi YouTube dengan hebat sekali. Sebaliknya di pihak BN, mereka menentang penggunaan blog dan laman web di dalam peyampaian informasi. Mereka tidak serius dan tidak mahu cuba melihat kuasa Internet dan blog ini, padahal mereka punyai dana yang besar untuk melakukan perkara ini.

Video: YB Vs Blogger

Kini mereka (pihak BN) menerima satu tamparan hebat bahawa mereka tidak boleh lagi memperlekehkan saluran Internet, laman web atau blog. Nampaknya selepas ini mereka perlu belajar lagi mengenai Video Marketing. Hehe, jangan marah. Pelajarilah seni ‘peperangan siber’ ini daripada pihak Barisan Alternatif kerana terbukti mereka mempunyai kemahiran ini. Malah apa yang berlaku sekarang ini juga membuktikan bahawa rakyat Malaysia sudah ramai menggunakan Internet dan celik IT.

Barisan Nasional perlu akur dan mengakui kesilapan yang mereka lakukan iaitu mempergunakan media perdana untuk kepentingan sendiri. Seperti yang saya nyatakan di atas, manusia apabila disekat pada jalan A, mereka akan mencari jalan B. Semoga pelajaran ini diambil serius oleh pihak BN jika mahu kekal menang pada pilihanraya nanti. Tapi, ia sudah tidak semudah itu kerana suara mereka di parlimen bukan lagi kuasa 2/3. Suara rakyat di parlimen akan lebih kuat dan pihak BN sudah agak sukar untuk beraksi dengan lebih berkuasa.

Saya tidak mahu mengatakan saya sokong pihak belah mana. Biarlah ia rahsia. Tulisan ini pun saya menyentuh kedua-dua belah pihak secara pro dan kontra. Namun saya amat kagum dengan usaha dan kesungguhan pihak BA bagi mendapatkan pencapaian besar sebegini. Saya atau anda boleh menilai sendiri kesungguhan mereka. Lihat sahaja di YouTube, tidak banyak video dari pihak BN, sebaliknya banyak video pihak pembangkang. Menyesal sudah tidak berguna, jangan perlekehkan kuasa Internet ini.

Sesungguhnya semua ini perlu diambil sebagai satu pelajaran oleh semua pihak. Kepada pihak BA, tahniah atas kemenangan, tetapi jangan terleka dengan kejayaan ini. Usaha kuat perlu terus dilipat-gandakan. Ingat, kuasa rakyat boleh menentukan jatuh bangun sesebuah kerajaan. Tidak mustahil pilihanraya kelak akan kembali berpihak kepada BN jika BA terleka dengan usaha mereka.

Kepada pihak BN pula, usah terlalu kecewa dan sedih. Inilah demokrasi dan apa sahaja keputusan perlu diterima dengan penuh tenang dan keredhaan. Pihak BN perlu bekerja lebih kuat selepas ini, tapi seperti yang saya katakan di atas, ia tidak lagi semudah seperti sebelum ini.

Kesimpulannya, rakyat Malaysia pada zaman ini bukan lagi seperti pada 10 tahun yang lepas yang boleh diperkotak-katikkan begitu sahaja. Pihak BN perlu akui dan sedar dengan kenyataan ini. Satu pelajaran yang perlu diambil oleh pihak BN ialah apabila rakyat bersuara, layanlah dan dengarlah dengan elok. Bukan ditentang suara mereka dan jika mahu menolak, tolaklah dengan baik. Sebaliknya bukan dengan cara yang rakyat benci.

Bagi media perdana pula, keputusan pilihanraya ini menjadi pelajaran terbaik untuk mereka perlu mengubah ‘polisi’ penyampaian informasi. Usah lagi berpihak kepada mana-mana pihak. Rakyat Malaysia sudah matang di dalam membuat penilaian. Malah sampai satu tahap, mereka sudah jemu dengan berita yang berat sebelah. Akibatnya mereka akan mencari media alternatif yang lain.

Rakyat Malaysia mahukan berita yang adil dan sama rata, bukan hanya berat dan condong kepada satu pihak sahaja. Ingat, manusia mempunyai sifat ingin tahu dan mereka akan berusaha sehingga keinginan mereka itu terjawab. Dan Internet adalah jawapannya.

Akhir sekali, kuasa Internet memang hebat. Ia satu medium yang bebas dan tidak dimiliki oleh sesiapa pun. Anda perlu tahu sebagai pengguna Internet, anda wajib mempertahankan kebebasan Internet ini sebab ada pihak yang mahu menguasai Internet ini seperti mengawal aliran Internet dan akses yang terhad. Tapi keinginan mereka ditentang. Mana boleh Internet dimiliki (dimonopoli) oleh pihak tertentu sahaja sebab ia adalah milik semua. Yang boleh dihalang hanyalah jenayah siber sahaja.

Salam maju jaya kepada semua. Semoga Malaysia selepas ini lebih rancak membangun dari segi ekonomi, akhlak dan ketamadunan. Tidak kisahlah parti BN atau BA, utamakan kebajikan rakyat dan bekerjalah untuk rakyat sebaik-baiknya. Jangan letakkan kepentingan diri melebihi daripada kepentingan rakyat. Inilah hakikat tugas seorang YB, ia bukan untuk mengenyangkan perut sendiri, tetapi perlu berkorban masa dan tenaga untuk kebajikan rakyat. InsyaAllah, mendapat keredhaan Allah di dunia dan akhirat.

Kepada para YB baru, selamat bertugas!

ps. Jom buat kerja balik. Pilihanraya dah habis! ;)

*Keputusan semasa mungkin berubah..

Penulis: Mohd Zulfadli


(SmartZul) adalah seorang penulis dan usahawan Internet sepenuh masa. Beliau memulakan perniagaan melalui Internet sejak tahun 2005, dengan memfokus kepada bidang penulisan dan penerbitan secara online. Beliau turut aktif berkongsi ilmu dan pengalaman melalui blog dan juga komuniti Facebook. Klik menu Hubungi di atas untuk menghubungi beliau.

SERTAI NEWSLETTER SMARTUSAHA.COM
Sertai newsletter SmartUsaha.com untuk mendapatkan info dan tip-tip perniagaan dan pemasaran Internet terus ke emel anda.
Kami benci spam. Emel anda selamat bersama kami.

37 thoughts on “Keputusan Pilihanraya Umum Ke-12 | Kuasa Internet

  1. Din Beramboi says:

    Syukur Alhamdulillah sebab negeri saya dapat dipertahankan oleh PAS..walaupun setiap 3@ 4 hari sekali Pak Lah turun Kelantan nak menambat hari rakyat Kelantan. Tapi mereka tak tahu yg org Kelantan begitu sayangkan Tok Guru… :)

    Kemaluan besar jugak kepada Awang Adek Hussin yg bercita-cita utk jd MB Kelantan, tetapi di jawab oleh rakyat Kelantan dgn kekalahan memalukan di kerusi Parlimen dan DUN yg di tandinginya…

    Bg rakyat kelantan, perbandingan Tuan Guru dengan Adek Awang umpama langit dengan bumi…So, jgnlah bermimpi seperti mana Pak Lah yg selalu bermimpi (tido) ..hihi. :)

    1. pyan says:

      kemaluan besar …………

  2. smartzul says:

    Negeri Kelantan negeri saya juga. :p

    Orang Kelantan amat sayangkan kepimpinan kerajaan PAS. Mereka kata, takder sebab nak tukar kerajaan. Malah orang luar pun sejuk hati dengan kepimpinan Tok Guru Nik Aziz. Biarlah Kelantan dengan PAS. Ramai yang akui (pakar dan penganalis politik) mengatakan amat mustahil BN boleh menang mudah di Kelantan melainkan betul2 ada satu sebab yang kuat.

  3. titan says:

    ehm..susah nak menang kat kelantan. Inikan plak sekarang. 4 negeri dah kene kebas..

  4. Din Beramboi says:

    Smartzul oghe Kelate la..hihi. Bangga seh ada org Kelate berjaya mcm Smartzul.. :)

    Yup, mmg org luar suka kepimpinan Tok Guru..Org Cina ngan India pun suka. Saya dah tengok klip video yg org Cina dan India memberi sokongan. Siap ada pakai baju lambang bulan lagi. Hari tu kat Pasir Mas jumpe org Cina pegang bendera PAS..

    Ingat lagi masa kerajaan BN kata dulu, bila PAS pegang Kelate akan berlaku perpecahan kaum..Tapi sampai sekarang masih aman malah bertambah bersatu di bawah kepimpinan Tok Guru.

    Korang percaya tak, di Kelantan orang Cina ada band dikir barat sendiri dan main wayang kulit jugak..Hehe.

  5. Raymond Chua says:

    Kejadian ini memberi suatu pengajaran kepada kita dalam bidang perniagaan internet iaitu peka terhadap kehendak, suara serta isyarat awal pasaran.

    Web 2.0 memang hebat terutamanya dalam aspek ranking dalam Search Engine. Tambah pula dengan kemudahan RSS. Ini amat penting kerana ia tidak memerlukan sebarang kos untuk marketing.

    Saya lebih suka merujuk kepada social media web 2.0 berbanding dengan media massa tempatan untuk mendapatkan berita.

    Mengendahkan web 2.0 atau lebih teruk lagi, melabelkan para blogger dengan kenyataan yang negatif merupakan suatu langkah yang kurang bijak.

    Ia mencerminkan tahap pendedahan mereka terhadap internet.

  6. pyan says:

    Kat Perak ni …sape pulak nak jadi MB, ……. Ngeh ke Ahmad Nizar (jurutera)

  7. En Dlie says:

    Kejutan PRU12… yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.. bukan mengutuk atau mengata, tetapi itulah realiti.. semoga BN sedar kesilapan yang dilakukan..

  8. beduz says:

    lepas ni BN akan cara otai-otai blog untuk ajar perwakilan2 BN macam mana nak buat blog…buat jalan bisnes camni..hu3

    1. Raymond Chua says:

      Kalao macam ni, mungkin saya boleh buat seminar tentang blogging plak. :)

  9. best ulasan zul.. memang media arus perdana kita telah dikuasai kerajaan sehinggan tak beri muka kepada pihak lain untuk sampaikan mesej. Akhirnya. internet tanpa sempadan telah tunjukkan kuasanya.

    mereka perlu peka, pengundi baru adalah golongan muda. golongan muda adalah golongan berpendidikan. harap selepas ini, kerajaan persekutuan kena ambil tahu lah kuasa blog dan media internet. :)

    di Negeri Sembilan pun, semua bandar-bandar habis diambil pembangkang. tinggal kampung-kampung je yang dikuasai BN.

  10. Din Beramboi says:

    Ya…betul tu Noorizam Shah. Org kg ni mudah di gula-gulakan sikit. Bagi RM100 sorang dah pangkah Be End..Org bandar lebih bukak mata. Sebab tu Sabah byk menang Be End sebab banyak kwsn kg..

    Kat Serawak bukti yg jelas…kat kg2, BN menang tetapi kat Bandaraya Kuching, pembangkang menang..

    Aku sungguh berterima kasih juga kepada budak2 UiTM yg kebanyakkannya di berikan RM200 seorang dan bas percuma oleh Khairi Jamaluddin akhirnya memangkah PAS…hehe. Padan muka !!! Benci aku ngan Khairi !!!

    1. Cikgu Azleen says:

      Wah wah.. Banyak tuh dorang dapat ya.. Napelah masa aku kat univ dulu takde sapa nak sponsor camtuh.. :D

  11. Din Beramboi says:

    Bila bercakap pasal demokrasi yg Saudara Smartzul katakan di Malaysia ni, saya katakan memang Malaysia telah menjalankan demokrasi, tetapi demokrasi ‘kepala lutut’ BN…pengusaan TV secara 100% tak sepatutnya berlaku jika ianya sebuah negara demokrasi.

    Padahnya, Menteri Penerangan Dato; Zainuddin Maidin ditampar, sepak terajang dan juga dilutut dengan kekalahan yg memalukan…Padan muka. Benci Zainuddin Maidin !!! Walauppun aku juga bernama Mohd Zainuddin, tapi kami tidak sama yea…hehe. :)

  12. Cikgu Azleen says:

    Menarik video YB vs Blogger tuh ya..

    Walaupun saya menjangkakan kemenangan BN akan merosot, tapi saya tidak sangka ianya akan seteruk ini :)

    Saya lihat ianya lebih kepada protes rakyat terhadap Pak Lah dan menantu kesayangannya.. Ini memang betul-betul kronisme secara membuta-tuli dan terang-terangan..

    P/S: Saya tertanya-tanya adakah PM ‘dibutakan’ atau memang buta?!

  13. zain says:

    Memang betullah kata saudara Zul media internet memainkan peranan yang penting dalam pilihanraya kali ini dalam berkempen jika dibandingkan dengan pilihanraya pilihanraya yang lepas dan hasilnya sudah terserlah sekarang.

    Itulah kuasa informasi yg hebat dari internet yang menjadi saluran yang tepat dan terbuka dalam penyampaian segala maklumat. Moga ini jadi satu pengajaran berguna kepada semua pihak.

    Yang menang lakukan sesuatu yg terbaik , kepada yang kalah tu gandakanlah usaha dan renungi kesilapan yang dilakukan.

  14. setria says:

    Assalammualaikum,

    Betul kata zul tu, sepatutnya BN menangkis segala tohmahan yang dilemparkan kepada pemimpinnya melalui web dan blog juga tetapi saya tengok tiada satu pun, blog dan website yang dapat menangkis segala tohmahan, kalau adapun tak cukup kuat.

    So, jika pihak BN membuka mata keatas kesan medium inernet keatas pilihan raya, penggunaan blog dan Web 2.0 akan berkembang di Malaysia, so, sesiapa yang bermula sekarang adalah trend setter bagi penggunaan blog di Malaysia. Majulah blog untuk negara. (panjang plak)

  15. zool says:

    Betul Zul.. Setuju amat….
    Kini medium cyber merupakan satu media yang hebat namun tidak digunakan sepenuhnya oleh BN.. Asik2 ugut blogger2..
    Tgklah sampai Jeff Oii, blogger pun dapat jadi wakil rakyat..
    Mungkin lepas ni Zul plak jadi wakil rakyat Kelate kot..

    1. smartzul says:

      Erkk.. Tak pernah terfikir. Hehe.. :D Berat tu amanah seorang YB. Bukan benda main-main dalam Agama. AMANAH.

  16. Itulah kuasa internet.. Walau siapa pun memerintah diharap aman dan makmur hendaknya.. Insyaallah..

  17. farhanfirdaus says:

    Salam,saya amat bersetuju dengan kata-kata saudara tentang rakyat malaysia mahukan malaysia yang baru…hehehe.saya skang study kat kedah…kedah sekarang ditukar dengan ketua menteri baru…bawah pas plak…saya pun teringin nak merasa pemerintahan baru…hehehe.baru leh wat perbandingan mane lagi bagus…saya tak mahir sangat pasal politik ni.tau sikit0sikit je.K…la wasalam.semoga saudara terus sukses…

  18. wanwma says:

    Hei..hei…hei…korang sumer! “JANGAN CABAR SAYA!! SAYA PANTANG DICABAR!”

    “Tak kira la korang pembangkang ker, rakyat ker atau sape, kalau lawan saya, rasalah padahnya. Saya akan kerahkan polis, FRU yang taat setai untuk menangkap korang! Kalau perlu TEMBAK JER DIORANG NIE!!!”

    1. Raymond Chua says:

      Macam pernah dengar je ayat ni kat YouTube, hehe.

      Shhh shhh….

      1. beduz says:

        raymond, ayat siapa tu?
        shh shhh…

        1. titan says:

          ehhe..tul. macam penah dengar je..

        2. Raymond Chua says:

          HI Beduz,

          Biarlah jadi rahsia. :)

  19. wanwma says:

    sory, bukan ‘setai’ tapi setia…hahaha

  20. Din Beramboi says:

    Kedah ada Menteri Besar la cik abang oi…huhu. Bukan Ketua Menteri.. :)

  21. JimieRay says:

    Gurindam Pak Lah

    Panas kusangka ke petang, rupanya hujan ditengahari,
    Kelantan kusangka mudah ditawan, rupanya kuhilang 5 negeri,
    Sungguh malang nasibku ini, tiada kampung tiada negeri,
    Penang negeriku ditawan DAP, taktau kemana nak bawa diri,

    Ada baiknya ku undur diri, bagi peluang kepada Khairy,
    Sambil kutumpu kepada isteri, manalah tau kot2 ku dapat baby,
    Cemerlang, Gemilang, Terbilang, Kecundang, Tumbang… :)

    (Malam ini, buat pertama kalinya ratusan ribu rakyat Kedah dapat mengikuti ucapan sulung MB barunya di Kota Sarang Semut-ibupej PAS Kedah, tanpa sekatan dan gangguan polis)

    1. Raymond Chua says:

      Isyk. Bersastera pula.

      Tema
      ====
      Perjalanan hidup seorang pemimpin politik.

      Rima akhir
      =======
      Rangkap pertama – aaaa

      Rangkap kedua – aab

      Gaya bahasa
      ========
      Aliterasi

      Asonansi

      Bahasa Inggeris – baby, DAP

      Sinkof – kot, tau, ku

      Personifikasi – kecundang, tumbang

      Metafora – ditawan

      Hiperbola – Cemerlang, gemilang, terbilang

      Maksud
      ======
      Rangkap 1 – Penyair melahirkan rasa kecewa dan sedih atas kehilangan kawasan naungannya termasuk di negeri penyair berasal.

      Rangkap 2 – Atas sebab-sebab itu, penyair bercadang untuk menarik diri dari dunia kerajaan dan memulakan kehidupan bahagia bersama keluarga tersayangnya.

      Nilai dan pengajaran
      =============
      Ini ialah kerja rumah anda. Hantar esok. :)
      Kelas bersurai.

      1. smartzul says:

        Hoho, ni dah sastera tahap tinggi ni. Tak leh nak lawan. ;)

  22. zuhairy says:

    saya bersetuju dengan pendapat Smartzul. Malah, penganalisis politik terkenal iaitu prof Madya Dr Agus Yusof pun mengatakan kebanyakkan rakyat telah beralih kepada media alternatif seperti blog. Inilah kehebatan blog. Sapa yang tak tau nak buat blog, bleh belajar dengan Smartzul.

  23. smartzul says:

    Rakyat dah bosan sebenarnya. Orang zaman sekarang dah mula pandai berfikir dan sudah mula wujud sifat mempersoalkan. Jadi, mereka akan mencari jawapan kepada soalan mereka tu. Wal akhir, terjumpalah mereka dengan video, artikel dan sebagainya dari pihak BA.

    Internet, tiada sekatan, bebas.

    Tak kisahlah BN atau BA, ambil pelajaran baik-baik.

    ps. Contoh terbaik adalah Dr. Asri. Dialah satu-satunya mufti yang guna blog (drmaza.com). :) Update selalu pulak tu. Kalau ada mufti lain, sila maklumkan kat saya. Mcm tu juga kebanyakan ulama timur tengah, masing2 ada laman web sendiri sama ada dibuat sendiri atau para pengikut mereka. Tapi kat Malaysia, tak nampak sangat kemajuan ICT di pihak pentadbiran. Apa puncanya?

    pps. Saya nak cuba dekati sorang jutawan bisnes ni. Nak sponsor blog untuk dia. Doakan usaha saya berjaya.

    1. Raymond Chua says:

      “Tapi kat Malaysia, tak nampak sangat kemajuan ICT di pihak pentadbiran. Apa puncanya?”

      Mungkin puncanya macam kebanyakkan IM juga iaitu tahu je beli tapi tak tahu pakai dan terus beli lagi. :)

      Semoga berjaya dalam usaha JV anda. :)

  24. Leeza says:

    panjang betul zul … letih akak baca … tapi yg pasti rakyat kini mahukan perubahan tapi jgn terlalu mengharap kerana ia sukar dilaksanakan dlm waktu terdekat … jangan juga cepat melenting kerana sikap begini akan lebih menyukarkan mereka untuk menjalankan tugas …

    Reformasi dan Demokrasi Terpimpin …

  25. mus says:

    media alternatif seperti internet ini memang menjadi satu saluran yang cukup berkuasa pada masa kini. Semakin ramai orang yang suka mencari maklumat di internet berbanding mendengar radio, tv dan surat khabar.

    pilihanraya yang memberi kemenangan yang agak besar kepada pihak pembangkang membuktikan kuasa internet menjadi bukti kepada kemenangan ini. Inilah jalan yang terbaik dan telah digunakan sepenuhnya oleh pihak Pas dan BA dengan cara yang bijak. Kaedah ini terpaksa digunakan setelah BN mempergunakan media arus perdana dengan cara yang memualkan. Tahniah kepada BA. Semoga terus success.

    kepada pihak BN, mereka harus sedar akan situasi ini. Mereka juga perlu menggunakan media internet ini dengan cara yang terbaik. Tapi apakah langkah ini akan memjadi gemaran masyarakat masa kini untuk melihat dan membaca laman web atau blog BN. Ini kerena kebanyakan rakyat kelihatan lebih gemar membaca maklumat daripada pihak BA.

    apapun situasinya…internet menjadi satu dunia baru dalam pelbagai tujuan kehidupan termasuk dalam menentukan perjuangan sesebuah parti politik…

    selamat berjuang

  26. BAGAK says:

    Saya pernah menulis dulu yang ahli politik BN tidak ramai(macam tak ada jer) yang menulis blog atau ada website sendiri.
    Tetapi ahli politik BA tak terkira banyaknya.

    Menulis blog akan memberi rakyat peluang menilai daya pemikiran seseorang ahli politik. Kalau blog pun malas nak tulis, macam mana nak jaga kawasan atau rakyat?

    Mungkin akan ada jawatan kosong sebagai penulis blog untuk YB XXX. Sebab YB XXX tak de masa nak menulis.

    Tolonglah, sapa2 yang nak jadi calon PRU13. Wujudkan blog anda sendiri.

    p.s biar YB tak de ‘masa’ nak menulis , jangan pula YB tak de ‘otak’ nak menulis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Current ye@r *

CommentLuv badge

Notify me of followup comments via e-mail. You can also subscribe without commenting.