Kebebasan Hidup Melalui Keusahawanan Internet?

Saya tidak pernah menafikan bahawa bekerja makan gaji banyak kelebihannya. Malah apa pun kerjaya kita, yang perlu dilihat adalah pada soal tanggungjawab dan keikhlasan, bukan pada gaji atau kebebasan semata-mata.

Namun ada pilihan untuk kita. Bagi diri saya sendiri, bekerja makan gaji selama setahun membuktikan yang saya tidak boleh bekerja di bawah orang lain. Saya tidaklah kata saya terlalu baik, tetapi akibat saya terlalu baik, orang mempergunakan saya. Malah dibuli. Haha.. 😉

Lantas, saya terus terjun ke bidang perniagaan terutama perniagaan internet walaupun persediaan mental dan modal tidaklah begitu banyak. Namun jiwa dan diri saya tenang dan boleh lakukan apa saja yang saya mahukan walaupun terkadang terpaksa mengikat perut. Tiada lagi bos atau orang atas yang mengawal saya dan memarahi saya sesuka hati.

Saya juga boleh bercuti dan ke mana saja saya mahu pergi pada bila-bila masa tanpa perlu mengisi borang dan meminta kebenaran daripada sesiapa. Seperti semasa saya menulis artikel ini, saya sedang berada di kampung menjenguk kedua orang tua saya yang kurang sihat. Saya boleh balik dan berada di kampung selama mana yang saya mahu dan pergi serta balik semula pada bila-bila masa.

Inilah kelebihan dan kehebatan perniagaan melalui internet. Anda tidak perlu ada kedai yang besar dan pekerja yang ramai untuk menjaga kedai. Sebaliknya anda hanya perlu ada kedai maya iaitu laman web jualan. Segalanya diautomasikan walaupun tidak sepenuhnya. Anda hanya perlu menyemak emel beberapa kali sahaja dalam sehari.

Syarat utama untuk berniaga melalui internet adalah memiliki sebuah laptop dan juga talian internet. Saya galakkan anda mengutamakan laptop kerana anda boleh bawa ia ke mana sahaja termasuk semasa anda pulang ke kampung halaman.

Talian internet pula sekarang mempunyai banyak pilihan. Jika di kawasan bandar, anda boleh gunakan broadband seperti Celcom. Namun jika tiada kemudahan sebegitu, anda boleh singgah di mana-mana tempat yang menyediakan kemudahan WiFi. Sekarang kedai mamak pun dah ada sediakan kemudahan sebegini.

Kedai-kedai kopi moden seperti Cafe Bean, Starbucks sehinggalah kepada restoran KFC, McD dan lain-lain termasuk kebanyakan hotel menyediakan kemudahan WiFi. Anda hanya perlu menempah sekurang-kurangnya segelas minuman dan duduklah berjam-jam lamanya tanpa ada orang yang akan menghalau anda.

Jadi jika anda pulang ke kampung dan tiada talian internet, salah satu penyelesaian adalah pergi ke bandar berdekatan dan carilah tempat yang sediakan kemudahan WiFi.

Bagi diri saya, kampung saya bukanlah kampung sangat, tapi sebuah pekan. Talian Streamyx sampai di sini. Jadi saya buka satu akaun Streamyx di rumah. Bila saya di Johor, saya gunakan broadband Celcom atau Wimax. Jika saya berada di kampung, saya gunakan Streamyx.

Inilah kehidupan seorang usahawan internet: boleh berniaga walau di mana saja anda berada selagi ada kemudahan internet. Namun jika tiada talian internet pun, ‘kedai’ tetap akan berfungsi 24 jam sehari dan 7 hari seminggu iaitu laman web jualan produk anda.

Pra-Syarat Usahawan

Menjadi seorang usahawan memerlukan kerja yang kuat dan perlu semangat yang tinggi. Rata-rata kita sering mendengar keseronokan menjadi seorang usahawan, namun sebelum mereka berjaya, mereka banyak juga kegagalan. Nak berjaya tidak semudah memetik jari.

Jika anda ingin melakukan perniagaan internet sepenuh masa, perancangan rapi perlulah dilakukan dengan baik terutama jika anda sudah berkeluarga dan mempunyai tanggungjawab kewangan yang besar.

Kemudian, jika anda rasa anda bukan seorang yang berdisiplin sangat, latih diri dahulu agar berdisiplin terutama dari segi penggunaan waktu dan wang. Apabila anda sudah berniaga sepenuh masa, usaha andalah yang menentukan sebanyak mana pendapatan yang bakal diperolehi.

Sedikit usaha, banyak malas, maka sedikitlah pendapatan anda. Jika banyak usaha, kena caranya dan rajin, maka insyaAllah banyaklah pendapatannya.

Salah satu matlamat saya melakukan perniagaan adalah untuk memberikan kegembiraan dan kebahagiaan kepada kedua ibu bapa saya dan keluarga saya. Adalah satu nikmat yang tak terhingga apabila melihat ibu bapa senang hati dan gembira.

Walaupun mereka sering mempertikaikan mengapa saya tidak bekerja makan gaji terutama kerja kerajaan, namun saya memahami mereka berkata begitu kerana sayangkan saya. Namun saya menjadi usahawan adalah juga kerana saya sayangkan mereka.

Saya tidak mahu teruskan tradisi keluarga saya dengan bekerja makan gaji dan minda hanya ditakluk dengan dunia makan gaji semata-mata. Niat saya adalah untuk mengubah tradisi keluarga saya daripada minda yang ditakluk tersebut kepada dunia yang lebih ‘mencabar’.

Malah saya juga ingin membuka mata sesetengah pihak yang sering mengkritik saya mengapalah saya dengan ‘bodoh’ memilih jalan keusahawanan. Kata mereka kan bagus kalau saya kerja dengan kerajaan. Tidaklah perlu berhempas pulas siang malam bekerja. Nak pinjam duit pun mudah (statement ini yang paling membuat saya tertawa seorang diri).

Saya tidaklah melawan kata-kata mereka kerana saya yakin mereka tetap begitu tanpa mahu membuka minda, malah sebenarnya saya sudah agak lali dengan kritikan sebegitu sejak hampir 4 tahun yang lepas. Tak apalah, mereka berkata begitu kerana mereka selesa dengan makan gaji, tapi saya bukanlah orang yang selesa dengan dunia tersebut.

Namun saya tetap menghormati mereka, tetapi mereka janganlah memandang rendah para usahawan. Tanpa usahawan, ekonomi negara pasti hancur. Saya amat kagum dengan sesiapa sahaja yang menjadi usahawan sepenuh masa kerana tidak semua orang berani mahu menjadi begitu.

Bebas…

Saya percaya dan yakin, hanya melalui jalan keusahawanan sahaja saya boleh mengubah hidup saya dan keluarga saya dengan ‘cepat’. Dan melalui keusahawanan jugalah saya boleh memiliki kebebasan hidup terutama bebas melakukan apa yang saya mahu tanpa sebarang kekangan dan cengkaman orang lain.

Saya bebas!

Wassalam.

Penulis: Mohd Zulfadli


(SmartZul) adalah seorang penulis dan usahawan Internet sepenuh masa. Beliau memulakan perniagaan melalui Internet sejak tahun 2005, dengan memfokus kepada bidang penulisan dan penerbitan secara online. Beliau turut aktif berkongsi ilmu dan pengalaman melalui blog dan juga komuniti Facebook. Klik menu Hubungi di atas untuk menghubungi beliau.

SERTAI NEWSLETTER SMARTUSAHA.COM
Sertai newsletter SmartUsaha.com untuk mendapatkan info dan tip-tip perniagaan dan pemasaran Internet terus ke emel anda.
Kami benci spam. Emel anda selamat bersama kami.

Komen Guna Facebook:

comments

29 thoughts on “Kebebasan Hidup Melalui Keusahawanan Internet?

  1. syabas!! terus kekal dengan dunia keusahawanan saudara 🙂 saya bangga lihat orang bumiputera ceburi dunia usahawan ini. bukan pekerjaan menjadi ukuran, yang menjadi ukuran adalah pelaksanaan tanggungjawab terhadap kerja yang dilakukan. kerja kerajaan pun ada banyak tanggungjawab. cuma ramai kata mudah sebab kerja tak banyak, sedangkan ada profesion tertentu perlu lakukan kerja yang banyak. pada yang dipertanggungjawabkan dengan kerja @ tugasan yang banyak tuh, lakukan dengan penuh tanggungjawab ya, sebab kita diberi gaji sebab kita lakukan tanggungjawab kerja yang diamanahkan, bukannya atas sebab bila masuk kerajaan je terus dapat gaji selamanya 😉

    1. Terima kasih Edyanie. Itulah yg saya ingin sampaikan. Tidak kisah apa yang kita lakukan, apa kerja kita, yang penting ia halal dan bermanfaat sama ada untuk kita, keluarga, bangsa dan Agama kita.

      Kita diberi pilihan untuk melakukan kerja apa. Kemudian laksanakanlah kerja dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas.

      Tidak kisah kerja kerajaan, berniaga atau kerja swasta, yang penting adalah halal dan diredhaiNYA.

  2. Bagi saya yang masih bekerja sepenuh masa dan sudah berkeluarga, masa utk tumpukan kpd perniagaan internet mmg suntuk..namun, mcm kata zul, utk menempa kejayaan gemilang sbg usahawan, perlu bersemangat waja dan Alhamdulillah..kini saya sudah merasai pendapatan dari internet, InsyaAllah..saya akan terus berusaha untuk memastikan saya menjadi usahawan sepenuh masa! 😀
    Tq Zul..

    1. Nuwa, nak stay kerja sedia ada pun tak ada masalah. 😀

      Kalau saya dah stable makan gaji pun, berpuluh kali juga nak berhenti kerja. 😉 Lagi2 kalau ada income dari internet, lagi lah syok dalam comfort zone. Tak salah pun nak berada dalam comfort zone. Yang penting kita ada perancangan hidup.

      Keusahawanan bukan satu2nya jalan kebebasan. Ia adalah pilihan sahaja.

  3. tahniah utk bro.zul sbb berjaya dalam dunia ni. mmg menjadi impian semua org nak ada kebebasan masa dan kewangan dan tak nak terikat dengan rutin pejabat etc, tapi itu lah bukan senang juga nak ke arah itu. keluarga juga antara halangan yang besar. huhu syabas n gudluck moga sukses slalu untuk bro.zul

  4. Saya masih lagi bekerja makan gaji dari 8.00 am – 5.00 pm. Kadang-kadang sampai lewat malam. Masa yang terluang pada waktu malam, saya habiskan untuk menguruskan perniagaan internet saya. Kadang-kadang tidur pukul 3 – 4 pagi. Memang masa amat suntuk. Saya juga mempunyai hasrat untuk menjadi usahawan sepenuh masa.

    Thanks Zul.

  5. Bekerja Kerajaan mahupun Swasta (sendiri) ada kelebihan dan kekurangan, dan risikonya yang tersendiri. Yang penting, tahu dan faham matlamat kenapa

    (a) nak kerja makan gaji?
    (b) nak kerja sendiri?

    Saya memang tak setuju kalo masih ada yang memandang sebelah mata potensi nak jadi usahawan (especially IM) ni. kena buka minda dan kena jenguk-jenguk dunia usahawan ni kat luar negara.

    Nak pinjam duit pun mudah? Itu memang betul…kerja dengan gomen ni kekadang langsung tak perlu penjamin. tapi time nak membayarnya memang la payah loh…mana2 yang terfikir bab-bab pinjam meminjam ni as easy as a-b-c, harap2 ubahla sikap 😀

    1. Itulah yg saya maksudkan. Ramai yang bangga sebab boleh buat pinjaman dengan mudah.

      “Saya ketawa” kerana mereka tak sedar, mereka hanya meminjam dan kena bayar balik. Duit pinjaman tu bukanlah duit mereka. 😉

      Kadang2 ada kebaikan juga susah nak meminjam ni. Membuatkan kita bekerja kuat untuk cari duit.

  6. Saya setuju dengan pendapat usahawan=kebebasan…..Ramai yang tak sedar mereka yang berjaya sekarang adalah dari golongan peniaga……..kepada yang masih makan gaji jangan berhent dulu kalau anda tidak mahu menanggung risiko…tetapi bila anda cukup berani…..terbang lah seperti seekor burung……Insyallah kebebasan bersama anda

    1. Nak kaya dgn makan gaji boleh saja. Cuma bak kata Dr. Rusly, orang makan gaji dan berusahawanan ni umpama kereta kancil dan kereta BMW. Kerana mana yang lebih laju dan sampai dulu ke destinasi?
      Sudah pasti kereta BMW iaitu perumpamaan bagi usahawan.

      Malah Rasulullah SAW sendiri telah menyatakan, 9/10 daripada rezeki adalah dari perniagaan.

  7. pilihan yang bijak
    sbb mmg ada orang
    pushla…mcm mn pun
    tapi hatinya mmg berniaga jugak
    potensi ada dalam diri tu pnting
    kalau dapat tau

    1. Adalah kesilapan yang besar kalau kita memaksa seseorang memenuhi posisi sesuatu kerja yang bertentangan dengan potensi dan kekuatannya.

      Yg mana jiwanya sesuai dengan berniaga, biarkanlah mereka berniaga. Jangan halang.

  8. saya dah bekerja dengan kerajaan dan swasta selama setahun setiap satu. lepas tu saya decide nak buat perniagaan sendiri. ternyata ianya lebih bebas tetapi memerlukan disiplin supaya tidak kerugian di kemudian hari.

    1. Disiplin ni lah cabaran yg paling besar bagi usahawan. Bila dapat duit banyak, lagilah menguji diri. Ramai yg dapat banyak duit mulalah nak malas bekerja. :p

  9. Pilihan yang tepat. Perlu ada lebih ramai usahawan muda seperti anda ini.

    Kini semakin ramai orang menggilai bidang keusahawan ni. Sudah pasti trend sekarang ialah hendak menjadi usahawan internet.

    Bro… bila nak buat bengkel usahawan internet? Boleh saya join…

  10. Setelah 10 tahun bekerja di co. swasta (beberapa kali tukar kerja), saya kenalpasti jiwa saya memang tak suka bekerja di bawah orang lain. Saya slowly mulakan bsns internet dan dapat feedback positif. Saya berazam untuk 100% bebas (bekerja utk diri sendiri – bukan lg bekerja di bawah org lain) dalam 3 tahun akan datang. Saya setuju dgn en Zul, di samping kebebasan kewangan, dpt juga kebebasan masa utk family tersayang. Tahniah En. Zul kerana dah dapat kebebasan itu.

  11. Salam Zul dan rakan-rakan,

    Betul apa yang Zul katakan tu.. samalah mcm saya.. Sebab tu saya hendak memberi peluang dengan menganjurkan bengkel Berhijrah dari Makan Gaji pada 5hb Julai 2009 ini. 🙂

    http://www.h2jbiz.com

  12. Salam Zul,

    Betul tu, memang kerja sendiri ni bebas. Kalau nak pergi ke mana-mana pun senang.

    Dengan adanya kemudahan laptop dan WiFi atau broadband, memang memudahkan. Cuma perlu usaha kerana kejayaan tidak akan muncul tanpa usaha.

  13. Kebebasan Hidup Melalui Keusahawanan – betul tu memang betul. Boleh datang kerja ikut kehendak kita, boleh untung lagi besar jika usaha keras, peraturan mengikut kehendak kita dan macam-macam lagi.

    Pernahkah terfikir ramai usahawan yang sering katakan ia tiada masa? Tiada masa untuk berborak di warung kopi itu saya boleh terima lagi. Tetapi tiada masa untuk beribadat. Kadang-kadang tu terfikir juga diri ini begitu jahil sehingga tidak memikirkan soal akhirat, sibuk memanjang dengan internet untuk mencari duit. Seimbangkan diri, agar kita akan memperolehi ketenangan di dunia mahupun di akhirat.

    PS : Sekadar peringatan kepada mereka yang tak ingat 🙂

  14. Sy macam ada sedikit percanggahan mengenai pendapat Zul ni.

    Mmg betul apa yg Zul katakan mengenai kebebasan kalau kita menjadi usahawan.

    Tapi kita mesti ingat, ada pepatah yang mengatakan ‘Dengan Kebebasan itu anda mempunyai tanggungjawab yg lebih besar’

    Kata-kata ni sy petik dari Dr. Fazley seorang motivasi & artist terkenal.

    Sy setuju dgn pepatah tu, di mana bg sy lagi banyak kebesan yg kita perolehi, lg besar sebenarnya tanggunjawab yg kita pikul.

    Ok, sebagai contoh, seorang usahawan sepenuh masa sy lihat beberapa tanggungjawab besar ialah :

    1) Menjana & meningkat lg tahap ekonomi negara kita. Merekalah penggerak utama ekonomi negara kita. Merekalah yg menyebabkan apa dikatakan sbg ‘the Velocity of Money’ utk menjadi lebih pantas & efisyen.

    2) Menjadi penyelesai masalah kepada masyarakat dgn menghasilkan produk/servis yang boleh mendatang nilai, boleh ditukar ke RM utk masyarakat membeli penyelesaian masalah2 tersebut.

    Jadi apa yg sy ingin sebenarnya sy ingin sampaikan di sini ialah, sy tak nak nnt masyarakat kita tersalah faham bahawa dgn jadi usahawan sepenuh masa lah kita boleh menjadi sebebas-bebeasnya dgn sepenuhnya, bak burung yg bebas berterbangan di angkasa..hehe.

    Hakikatnya ia bukan seperti demikian.

    1. Hazwan, saya setuju. Tapi…

      KEBEBASAN yang saya maksudkan adalah kebebasan menentukan hala tuju diri sendiri. Sebaliknya bukan bebas segala-galanya.

      Namun begitu, dalam hidup ini di mana-mana pun ada TEKANAN. Yang penting adalah sejauh mana kita mengawal dan menggunakan tekanan itu untuk mencapai matlamat dan impian. Tanyalah mana-mana usahawan, semuanya setuju jika dikatakan sebab mereka BERJAYA adalah kerana wujudnya tekanan (tanggungjawab) yang besar.

      Sebab itulah saya katakan saya amat respek (kagum) dengan sesiapa yang mahu menjadi usahawan sepenuh masa. Bukan calang-calang orang yang RELA menjadi usahawan sepenuh masa dan sebagai kerjaya mereka. 🙂

      Saya juga tidak sesekali mahu membuatkan rakyat Malaysia tersalah faham erti kebebasan. Buktinya, saya telah banyak kali menyatakan di blog ini (sila rujuk artikel lepas) akan hakikat perniagaan yang sebenarnya. Malah saya juga pernah menulis bahawa TIDAK SEMUA orang layak menjadi usahawan. Dan untuk menjadi jutawan juga, tidak semestinya perlu membina perniagaan.

      Apa pun, semuanya terserah kepada kita. Adakah kita mahu melihat tanggungjawab besar itu sebagai batu loncatan terhadap kejayaan, ATAU sebagai batu penghalang yang terus menerus menguasai kita untuk tidak MELAKUKAN sesuatu yang kita impikan atau ia terus menerus membuatkan kita takut dengan bayang-bayang sendiri.

      Usahawan yang hebat adalah usahawan yang rela melakukan apa sahaja sama ada yang susah, senang, besar atau kecil. Tiada alasan dan tiada yang mustahil melainkan di luar kemampuan manusia (sudah pasti atas kehendak Allah jua). Dalam kamus hidup usahawan, tiada perkataan susah, besar atau kecil. Semuanya adalah sama sahaja. Cuma satu yang usahawan tahu: PERLU MELAKUKANNYA SEBAIK MUNGKIN.

      Yang susah boleh jadi mudah jika kita merancang dan melakukannya dengan sebaik-baiknya.

  15. Saya pun sama dgn en. zul. Saya kerja jd j/latih PLKN selama setahun sblm saya menyedari saya tdk sesuai bekerja bwh arahan org lain. Di kem saya selalu bertengkar dgn j/latih lain & akhirnya saya memutuskan utk berhenti. Ramai kutuk,ada gembira tapi saya sendiri lega krn saya ada perancangan sendiri;menjadi peniaga internet w/pun selalu kena marah krn selalu berada depan laptop yg saya beli sendiri. Skrg saya mengenali ramai IM & belajar cara mrk kendalikan perniagaan mrk di internet. Wang belum masuk lagi tapi saya gembira krn mendapat byk ilmu yg saya tak tahu sebelumnya. Utk mendapat kejayaan, kita kena korbankan sesuatu.

    1. Nikmat pertama menjadi IM full time adalah “kelegaan” atau kebebasan. Lega bukan? Tiada arahan orang lain dan kita bebas menentukan sebahagian besar perkara. Hasil pendapatan itu soal kedua. Kebanyakan usahawan sepenuh masa lebih mahukan kebebasan dan ketenangan hati. Rata-rata adalah orang seperti kita yang kurang sesuai bekerja di bawah orang.

      Yang penting, buatlah sesuatu dengan perasaan seronok. Duit itu akan datang jua kelak. InsyaAllah. Cuma, buat yang terbaik dan elakkan kesilapan jika boleh. Baca artikel saya yang bertajuk 18 Kesilapan dan memaksimumkan posisi sedia ada.

  16. Salam, Zul & rakan2 yg lain…

    Sudah 16 tahun saya bekerja makan gaji,alhamdulillah dapat hidup agak selesa,berkeluarga dsb.Walaubagaimanapun sy masih terikat dgn peraturan & arahan yg adakalanya merimaskan sy..

    Skrg sy ada buat kerja part time hujung minggu utk menambahkan pendapatan & yg penting saya bebas melakukan kerja tersebut mengikut cara saya,selagi ia tidak melanggar peraturan & hukum syarak.

    1. Tuan Zahir. Benar sekali… Ada satu artikel yang saya tulis di blog ini mengenai bapa saudara saya. Walaupun kerjanya biasa bergaji rendah, tetapi hidupnya bersama isterinya amat tenang. Sebaliknya mereka yang buat bisnes, masih tercari-cari ketenangan itu.

      Di sini kita lihat, soal kerja itu adalah soal kedua. Yang pertama adalah keberkatan dan ketenangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *