7 cara menggandakan jualan produk informasi

Bidang saya adalah menjual produk informasi. Produk sebegini akan terus mendapat sambutan selagi mana manusia perlu menambah pengetahuan, memperbaiki hidup dan perlu menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

Jika anda menjual produk informasi, kita sebenarnya mempunyai pelbagai kelebihan untuk mempelbagaikan kaedah jualan. Tujuan mempelbagaikan kaedah adalah agar jumlah jualan dapat digandakan atau sekurang-kurangnya konsisten.

Jumlah jualan di sini bukan kadar keuntungan, tetapi jumlah bilangan yang terjual. Namun secara asasnya, apabila semakin tinggi kuantiti terjual, maka keuntungan juga akan meningkat.

Di antara cara yang boleh kita lakukan adalah:

1. Sediakan tawaran yang menggiurkan. Secara asasnya, kita menjual satu produk pada satu laman web (minisite). Ini sudah semestinya wajib dilakukan. Namun, di laman jualan itu, nyatakan tawaran-tawaran yang membuatkan pelawat (prospek) tidak senang duduk. Contohnya, tawarkan bonus-bonus bernilai yang berkaitan dengan produk utama.

2. Menjual produk lain kepada pembeli sedia ada, dengan syarat produk itu sesuai untuk mereka. Contohnya, jika kita menjual ebook strategi pemasaran emel, kita juga boleh jual panduan menggunakan autoresponder, sistem tracking dan sebagainya kepada mereka.

3. Mempakejkan semua produk yang kita ada kepada satu pakej jualan istimewa, sama ada secara terhad ataupun satu pakej khas. Namakan pakej itu kepada nama unik. Daripada pengalaman saya, didapati ada pembeli yang belum pernah membeli sebarang produk daripada saya, tetapi membeli ‘pakej istimewa’. Ini bermaksud, ada pembeli yang suka beli produk secara ‘borong’ dengan harga istimewa (menjimatkan).

4. Pelbagaikan versi produk. Sebagai contoh, saya telah wujudkan dua versi ebook Panduan Blog iaitu Panduan Bina Blog Sendiri dan satu lagi adalah Pakej Kit Blogger. Ebook Panduan Bina Blog Sendiri itu adalah asas dan tidak banyak bonus diberikan. Tetapi untuk Pakej Kit Blogger, banyak item tambahan dan bonus diberikan. Perbezaan kedua-duanya adalah HARGA. Satu berharga rendah dan satu lagi tinggi.

5. Pelbagaikan format produk. Katakan kita ada sebuah ebook, hasilkan pula dalam bentuk video, audio ataupun mungkin dalam bentuk bercetak. Contohnya, Panduan Mudah FTP yang saya hasilkan pada tahun 2007, saya telah hasilkan juga dalam bentuk video (KuasaFTP), tetapi ada banyak penambahan.

6. One Time Offer (OTO). Tawaran terhad dalam satu masa. Katakan kita menjual satu ebook berharga RM20.00, sebaik sahaja bakal pembeli klik pada ‘button’ beli (buy), mereka akan dibawa terlebih dahulu ke laman tawaran terhad (OTO). Tawarkan kepada mereka tambahan ebook, pakej atau sebagainya.

7. Jika kita ada squeeze page, letakkan penerangan ringkas mengenai produk di laman (page) terima kasih, iaitu page selepas mereka memasukkan nama dan emel. Sediakan satu laman jualan khas di mana ada harga jualan istimewa untuk mereka.

Squeeze Page —> Laman Terima Kasih —> Laman Jualan Khas

Mengapa perlu mempelbagaikan kaedah jualan?

  • Kehendak, kemahuan, prinsip dan persepsi setiap orang (pembeli) adalah berbeza. Ada yang suka beli satu ebook, tapi ada mereka yang suka beli dalam bentuk pakej (banyak ebook sekaligus).
  • Lebih banyak kaedah jualan, lagi besar potensi untuk kita mendapat jualan yang konsisten. Jika cara A tiada jualan pada hari ini, mungkin kaedah B dan C ada jualan. Jadi bayangkan, jika kita hanya menumpu satu kaedah sahaja, agak sukar untuk kita mendapat hasil perniagaan yang konsisten.

Dalam perniagaan, kita tidak boleh duduk diam dan berbangga dengan hanya satu kaedah. Kita perlu sentiasa belajar, mengkaji dan merekodkan apa jua pelajaran yang berguna, dan kemudian praktikkan secepat mungkin untuk perniagaan kita.

Untungnya perniagaan melalui internet, sebahagian besar kerja kita hanyalah di hujung jari sahaja. Andaikata kita malas memperbaiki kelemahan dan berusaha lebih baik, sewajarnya kita perlu menyalahkan diri sendiri apabila kita gagal memperolehi hasil yang besar.

Penulis: Mohd Zulfadli


(SmartZul) adalah seorang penulis dan usahawan Internet sepenuh masa. Beliau memulakan perniagaan melalui Internet sejak tahun 2005, dengan memfokus kepada bidang penulisan dan penerbitan secara online. Beliau turut aktif berkongsi ilmu dan pengalaman melalui blog dan juga komuniti Facebook. Klik menu Hubungi di atas untuk menghubungi beliau.

SERTAI NEWSLETTER SMARTUSAHA.COM
Sertai newsletter SmartUsaha.com untuk mendapatkan info dan tip-tip perniagaan dan pemasaran Internet terus ke emel anda.
Kami benci spam. Emel anda selamat bersama kami.

Komen Guna Facebook:

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *