Blog Perniagaan Internet: SmartUsaha.com

Jalan Terbaik

Jalan yang terbaik adalah jalan yang dibina atas kehendak diri sendiri. Jalan itu berasaskan kepada cita-cita kita, impian, angan-angan, matlamat atau apa sahaja yang kita mahu mungkin sejak kecil lagi. Binalah ia dan jangan ia hancur kerana pengaruh orang lain.

Jalan yang kita lalui bukan jalan yang ditentukan oleh orang lain sama ada mereka ibu bapa kita, rakan, mentor, sahabat, rakan niaga, penulis, motivator, jurulatih atau sebagainya.

Mereka itu semua hanya berperanan untuk membimbing, berkongsi ilmu dan memberi cadangan kepada kita sahaja terhadap jalan yang kita pilih. Sebaliknya, segala keputusan bukan di tangan mereka. Jalan mana yang mahu kita lalui, ia adalah di dalam bidang kuasa kita.

Namun segalanya sedang ke arah kehancuran apabila kita mudah melutut kepada cadangan dan kata-kata orang lain tanpa menilai terlebih dahulu kepada kehendak jiwa kita. Apabila sampai di pertengahan jalan, kita mula menyesal kerana jalan itu dibina atas kehendak orang lain.

Binalah jalan sendiri. Jika kita gagal, kita puas hati dan tidak akan menyalahkan atau melibatkan pihak lain. Allah menyuruh kita berusaha dan kemudian Allah menyuruh kita bersabar jika menghadapi ujian. Ini bermaksud, jika usaha jalan yang dipilih itu gagal, penawar awalnya adalah kesabaran.

Beberapa perkara yang perlu diawasi dalam hidup ini:

  • Setiap orang akan cuba mempengaruhi orang lain untuk kepentingan tertentu.
  • Semua orang ada propaganda masing-masing sama ada dalam sedar atau tidak. Baik mereka ada udang di sebalik batu.
  • Buat baik berpada-pada, baik jahat jangan sekali. Jangan mudah terpengaruh dengan kebaikan manusia. Ambil masa untuk ‘menilai’ hati budi mereka.
  • Elakkan memuji manusia berlebih-lebihan. Kelak kita akan kecewa jika orang yang dipuji itu melukai kita walaupun hanya sekali.
  • Jangan mudah berkata “YA” terhadap sebarang tawaran dan idea orang lain. Berikan kita masa untuk menilai baik buruk, pro dan kontra. UTAMAKAN jalan dan usaha kita dahulu. Susah senang kita, makan minum kita, bukan mereka yang tanggung jika sesuatu berlaku. Pentingkan diri sendiri dahulu.
  • Utamakan dahulu diri sendiri, ibu bapa, anak isteri dan sanak saudara. Dalam tidak sedar, kita kadang-kadang lebih suka mengutamakan orang lain tetapi ahli keluarga kita terkontang-kanting, kelaparan dan kesusahan. Ingatlah, Rasulullah S.A.W telah berpesan bahawa sebaik-baik sedekah adalah kepada ahli keluarga.
  • Tidak perlu meletak terlalu banyak syarat untuk mengecapi hidup yang bahagia. Apa yang anda miliki sekarang sudah memadai untuk dijadikan sebagai wadah kebahagiaan. Sifat merasa cukup apa yang ada dan menghargai apa yang dimiliki adalah kunci utama kebahagiaan.
  • Tidak perlukan orang luar untuk “menyintai” dan sayangkan kita. Tidak perlu memaksa itu semua. Dalam tidak sedar, kita telah memiliki ibu bapa, keluarga, pasangan hidup dan anak-anak yang 100% menyayangi kita. Itu sudah memadai. Namun manusia kebanyakan melupai apa yang ada dan mengejar yang belum pasti.
  • Perlu ada PRINSIP HIDUP untuk dijadikan sebagai asas penilaian.

Berbalik kepada tajuk entri ini, apakah jalan yang anda mahu bina? Cuba ingati semula impian anda beberapa tahun yang lepas atau pada masa kecil dahulu, adakah impian itu lebih anda cintai, serasi dan mahu, berbanding yang anda lakukan sekarang?

Atau soalan yang lebih spesifik, adakah yang anda lakukan sekarang adalah kehendak orang lain? Atau yang lebih menyedihkan, anda melakukannya tanpa sedar atas pengaruh orang lain.

Ikut Hati Anda

Mungkin apa yang ditulis pada entri inilah yang pepatah Melayu berikut mahu sampaikan : Tepuk dada, tanya selera.

Binalah jalan anda sendiri, hiduplah dengan tenang dan bertawakallah kepada ALLAH sepenuhnya.

-

Penulis: smartzul


Mohd Zulfadli (SmartZul) adalah seorang penulis dan usahawan Internet sepenuh masa. Beliau memulakan perniagaan melalui Internet sejak tahun 2005, dengan memfokus kepada bidang penulisan dan penerbitan secara online. Beliau turut aktif berkongsi ilmu dan pengalaman melalui blog dan juga komuniti Facebook. Klik menu Hubungi di atas untuk menghubungi beliau.

Incoming search terms:

  • ikut hati anda
  • pepatah melayu
  • ikut kata ibu atau diri sendiri?
  • pepatah melayu terbaik
  • tepuk dada tanya selera
  • sebaik-baik sedekah belanja keluarga makan
  • sebaik-baik sedekah adalah belanja ahli keluarga makan
  • sebaik baik sedekah adalah belanja keluarga makan
  • sebaik baik sedekah adalah belanja ahli keluarga
  • pepatah untuk ikut hati

7 Responses to “Jalan Terbaik”

  1. Norsiah says:

    Ye, tanya hati sendiri sebab hati tidak pernah berbohong.

  2. ahmadyani says:

    Sifat orang Melayu yang ingin menjaga hati, takut orang tersinggung, takut dikata, dan sebagainya. Dan itulah yang menjadikan seseorang itu tidak berani ‘mencipta’ jalan sendiri, dia rasa ‘selesa’ dan ‘selamat’ mengikut jalan orang lain. Sedangkan hakikatnya bila berlaku ‘akibat’ dari segala tindakan, dialah seorang yang menanggungnya.
    Emmmm…ini bukan sifat orang Melayu. Ini sifat orang apa?

  3. Mohd Fazli says:

    Seperti kata orang dulu-dulu
    “Ikut hati MATI”
    “Ikut rasa BINASA”
    “Ikut suka DUKA”

    Jadi buatlah pilihan yang tepat!

    • smartzul says:

      Benar. Bagi saya, pepatah “ikut hati itu mati” bermaksud, mengikut hati yang gelap dan emosi yang tidak terkawal. Jika hati bersih dan bercahaya, insyaAllah selamat.

  4. omecool20 says:

    Satu artikel yang ringkas dan padat daripada tuan Zul. Ya, kita ada kuasa untuk memilih apa tindakan yang kita mahu lakukan untuk mencapai impian kita. Saya senyum melihat gambar buku yang tuan Zul letakkan dalam post ini. Buku aslinya ( versi Bahasa Inggeris ) adalah salah satu buku pemangkin perubahan hidup saya pada awal abad ini … :)

  5. Hadi Rofiee says:

    Salam Tuan SZ.

    Benar. Kita mesti berani bersuara & berani bertindak. Kuasa di tangan kita.

    Teringat iklan celcom dulu2. :-)

Leave a Reply




Polisi Komen:

Sila baca polisi berikut sebelum memberikan pendapat (komen) anda untuk artikel di blog ini:

  • Gunakan nama sebenar atau nama panggilan anda, bukan keyword promosi
  • Tidak meletak link URL di dalam komen
  • Gunakan bahasa yang sopan dan tidak beremosi
  • Dilarang meletak URL website program buat duit yang diragui.
  • Dilarang meletak link URL yang telah disembunyikan (cloak).

Komen yang tidak mematuhi polisi akan diedit atau dipadam.

 

Why ask?

Notify me of followup comments via e-mail. You can also subscribe without commenting.

| Panduan Buat Blog Wordpress | Kuasa Pemasaran Forum | Kuasa FTP |
SmartUsaha.Com adalah rangkaian perniagaan internet milik Inspirasi Maya Enterprise (JM0472383-X)