Kejayaan : Jadilah Seperti Padi

Pepatah melayu ada mengatakan, “ikutlah resmi padi, makin berisi makin menunduk”.

Maksudnya, semakin banyak ilmu dan kejayaan yang kita raih, semakin kita merendah diri dan tidak bermegah-megah.

Sebagai contoh, saya bawakan satu cerita si A. A dahulu adalah seorang yang tidak tahu langsung mengenai perniagaan internet, tetapi kini sudah jauh dan banyak tahu berbanding dengan orang lain. Pendapatannya juga sudah tinggi. Malah lebih berjaya dan jauh melangkah daripada mereka yang telah membantunya di peringkat permulaan dahulu.

Namun, seribu kali sayang, kata-katanya kini sudah jauh berbeza dengan sewaktu dirinya di saat awal dulu. Kini, dia angkuh dalam senyap, suka mengangkat-angkat dirinya, suka menyindir orang lain yang dirasakannya tidak bagus, tamak dan tak kurang juga takut orang lain buat sama apa yang dia buat. Apabila orang bertanyakan sesuatu, beliau menjawab, tetapi daripada jawapan itu, terserlah dengan ‘pengagungan’ kejayaannya dan seolah-olah orang lain tidak bagus.

Cerita di atas hanyalah rekaan semata-mata, kalau ada yang terasa, maaf dipinta. 😉

Tujuan saya menyatakan hal ini kerana ingin mengingatkan kepada mereka yang telah berjaya, jadilah seperti padi, yang mana sifatnya semakin berisi, semakin menunduk. Dan jangan menjadi seperti lalang, semakin tinggi, semakin bongkak. Saya mengingatkan diri saya dan juga kepada semua agar menjauhi sifat bongkak, takabbur, riak, kedekut, bangga diri dan lain-lain sifat yang negatif. Walau sehebat mana pun kita, ilmu yang kita ada hanya secebis atau sekelumit sahaja. Tapi ramai manusia yang angkuh dengan ilmu yang tidak seberapa itu.. Mereka mula lupa setelah berjaya.

Perkara lain yang perlu kita ketahui, jika dahulu kita zero, tetapi kini kita lebih maju daripada orang lain, semuanya adalah kehendak Allah dan juga bergantung kepada keadaan seseorang. Jika anda berjaya, syukur, jika orang lain berjaya, juga syukur. Bukannya menuding orang lain tidak bagus, tidak hebat, tidak banyak memberi sumbangan dan sebagainya.

Jangan apabila kita sudah berjaya, maka kita mula mendabik dada. Saya telah melihat, ada yang sudah berjaya setelah baru beberapa bulan bermula, dan dengan kejayaan tak disangka itu, mereka mula menyindir orang lain, ‘riak dalam tak sedar’ dan memperlekehkan orang lain. Hmm, mungkin mereka tidak sedar atau terkeliru atau masih di peringkat awal kejayaan (shock?).. Wallahu ‘alam. Semoga mereka sedar kelak.

Kononnya, mereka banyak membantu orang lain (aku hebat!) dan dikatanya orang lain tidak banyak membantu. Padahal, orang lain sudah banyak memberikan sumbangan dan dia buta akan kebaikan orang lain. Kita perlu tahu, setiap orang ada cara sendiri di dalam penyampaian sesuatu ilmu dan kita tidak tahu apakah yang telah mereka lakukan.. Setiap orang ada sumbangan masing-masing. Maka jangan sesekali mengatakan orang lain hanya “action” sahaja lebih.

Lebih-lebih lagi dengan barunya bidang perniagaan internet ini di Malaysia, maka ada segolongan yang seolah-olah mahu ‘memburukkan’ usaha orang lain yang dirasakannya tidak sebaik dan sebagus yang beliau lakukan. Malah ada yang takut, perniagaannya terjejas dengan kehadiran orang-orang baru. Usahawan apakah ini? Sepatutnya, dengan adanya pesaing, ia dijadikan sebagai motivasi dan daya penggerak untuk menjadi lebih baik daripada orang lain, sebaliknya BUKAN menjatuhkan atau menggagalkan orang lain.

Jadi, kepada anda yang belum berjaya, atau masih di peringkat awal, ingatlah pesan ini, jangan lupa diri. Jika kini anda dibantu oleh orang lain, maka apabila anda berjaya kelak, maka menjadi tanggungjawab anda pula untuk menyebarkan ilmu tersebut dengan sebaik dan seikhlas yang mungkin. Sebaliknya, bukan mendabik dada, bersifat “aku the best!”, kedekut ilmu atau suka menyalahkan orang lain. Jangan sesekali… Tidak ada sesiapa pun yang paling bagus atas muka bumi ini. Yang bezanya adalah, lebih tahu dan kurang tahu. Itu sahaja.. Yang mana lebih tahu, kongsilah bersama dan bantulah dengan ikhlas mereka yang memerlukan.

Saya menulis hal ini juga kerana saya sudah banyak melalui onak dan duri malah dahulu di peringkat awal pun saya banyak melakukan kesilapan dan telah memerhati satu demi satu penyebab gagalnya seseorang itu menjadi usahawan yang sebenar. Maka di sini, saya berkongsi dengan anda perkara-perkara yang perlu kita utamakan. Ketahuilah, jika setakat membuat banyak duit tetapi ciri dalaman kurang (‘sakit’), maka sebenarnya harta yang banyak itu umpama ‘racun’ dalam senyap.

Saya doakan agar kita bersama-sama tidak lupa diri dan menjadi seperti padi, makin berisi, makin menunduk.

Wassalam.

PS. Pesanan ini ikhlas daripada saya dan tidak menuju kepada sesiapa pun. Hanya sekadar pesanan untuk sama-sama kita fikirkan bersama. Ambil yang baik, buang yang keruh.

PPS. Sama-sama kita mendoakan saudara-saudara kita yang dilanda banjir agar mereka selamat dan bersabar di atas ujian tersebut yang berulang kali ke-2.
Wallahu ‘alam.

Penulis: Mohd Zulfadli


(SmartZul) adalah seorang penulis dan usahawan Internet sepenuh masa. Beliau memulakan perniagaan melalui Internet sejak tahun 2005, dengan memfokus kepada bidang penulisan dan penerbitan secara online. Beliau turut aktif berkongsi ilmu dan pengalaman melalui blog dan juga komuniti Facebook. Klik menu Hubungi di atas untuk menghubungi beliau.

SERTAI NEWSLETTER SMARTUSAHA.COM
Sertai newsletter SmartUsaha.com untuk mendapatkan info dan tip-tip perniagaan dan pemasaran Internet terus ke emel anda.
Kami benci spam. Emel anda selamat bersama kami.

Komen Guna Facebook:

comments

7 thoughts on “Kejayaan : Jadilah Seperti Padi

  1. Susah lar kalau semua usahawan ada sikap lupakan diri. Dlm kehidupan berkomuniti, kita digalakkan berinteraksi secara sihat sesama kita dan berkongsi ilmu untuk kemajuan bersama. Apabila sama-sama dah maju pasti peluang untuk berjaya menjadi lebih besar.

  2. Zul,
    Kadang2 manusia ni bila duit dah dikaburi wang memang jadi macam tu.

    Tapi dunia ni macam roda, ada hari kita memang kat atas, tapi ada hari kita jatuh. Lagipun, dalam apa-apa perniagaan memang ada risiko.
    Sebagai contoh, bila internet kat rantau Asia terjejas akibat kerosakkan cable, sudah tentu ramai yang terjejas juga pendapatan mereka melalui perniagaan kat internet, sebab susah nak email prospek, tak dapat update site…etc.

    Baru-baru ni Paypal saya dah kena limited access. Maka, terjejas jugalah bisnes saya sebab sekarang saya kena guna payment processor lain dan buang semua paypal button, iklan paypal yang ada pada website2 saya.

    Dalam berniaga ni, memang kena rendah diri. Bila-bila je anything boleh jejaskan bisnes kita. Kita janganlah jadi sombong dan bermegah sgt kalo dpt duit beribu-ribu lemo sebab nanti kalo lemon tu dah tak datang bergolek, kita gak terpaksa minta tolong orang lain…

    Just my 2 sen.

  3. zul, tq for tips.

    teringat pula kat kata2 sham(raja Ads), “bukan senang nak senang, bukan susah nak susah”.
    satu lagi yg selalu melekat kat fikiran saya, “hanya mereka yg cekal & tabah sahaja akan berjaya”.

  4. saya menyokong kata-kata Galadriel dan Hapisol, truly saya kagum dengan korang smeua, termasuk Zul sendiri..saya cukup kagum!

    saya baru bermula dalam arena internet biz Mac tahun lalu..jangankan bisnes internet , bisnes konvensional pun begitu juga senarionya..bila kawan kita dah mampu berdiri sendiri, dia dah tak tengok siapa yang bantu dia dulu dan mula tak hirau orang lain dah, sebab dia rasa dia lebih baik, lebih cemerlang dan dia yang terbest..bila dah mencapai langit, dia lupa untuk melihat rumput di tanah..opps!

    tetapi, jika anda semua menghadapi keadaan yang sewaktu dengannya, maka jangan cepat ambil hati, yang penting terus bersemangat untuk tambahkan ilmu, kemahiran dan network online..kalau boleh terus bersemangat untuk bersaing dengannya, buktikan anda mampu kalahkan dia dengan positive attitude, your skill and knowledge..

    memang benar, only the strong will survive..so, untuk survive, kena be strong, cari lebih banyak ilmu and keep the positive attitude..

  5. Zul,

    Biasalah tu. 🙂 Kami pernah mengalami situasi yang hampir sama. Ketika baru bermula dan hampir berputus asa, orang yang paling dekatlah di hampiri untuk meminta bantuan, tetapi apabila dah berjaya… Mentang2lah sebab kawan sendiri, ambil endah tak endah je orang yang telah membantu.

    Tapi, nak buat mcm mana. Nak ketuk2 pun bukan anak kita. Terpaksa move on je lah and teruskan khidmat kita kepada sesiapa yang memerlukan. We got business to take care, dan kalau kita over layan sangat isu-isu yang mcm ini, nanti business kita plak terjejas.

  6. Kak galadrieal, sabar je laa. Sama situasinya kalau website kena hack. Atau server down. Ia terjadi kepada saya pada minggu pertama lancar ebook saya. Tak ke rugi dalam beberapa hari. hehe..

    Sabri, tak apa. Bila sampai masanya, diaorang tu akan sedar sendiri terutama bila menghadapi sesuatu saat genting kelak. Yup, kita kena fokus pada bisnes dan tak boleh layan benda2 mcm ni sangat. Saya tulis ni pun sekadar mengingatkan jer. Sebab kelak, keangkuhan diri tu akan termakan diri sendiri kelak.

    Semoga kita semua berjaya dan dijauhi sifat lupa diri.

  7. Salam bro,

    Terima kasih sebab saling ingat mengingatkan.Itula,kita manusia ni kadang-kadang terlupa dan kadang-kadang tak sedar apa yang kita buat tu salah.Bila ada ingatan macam ni,harap-harap dapat betulkan semula kita ke landasan yang betul.

    Sekali lagi,terima kasih,teruskan post-post ‘ingatan’ sebegini.

    Rakan internet anda,
    AmirulFaisyal

    p.s:Kak galadriel,sabar banyak-banyak yek,ada hikmah tu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *