Isu: Kadar Bayaran Ceramah

Setelah melakukan sedikit kajian dan pembacaan mengenai penetapan kadar bayaran untuk jemputan ceramah, saya dapati ada dua pendapat atau ‘mazhab’ (kumpulan):

  1. Ceramah sebagai amalan akhirat (tidak caj mahal)
  2. Caj dari sudut pandangan bisnes

Kedua-dua kumpulan ini masing-masing mengemukakan hujah tersendiri, malah ada yang menidak-nidakkan atau mempersoalkan kaedah pihak yang lain. Dan saya perhatikan, yang banyak mengupas hal ini adalah kumpulan satu.

Contohnya, kumpulan 1 mengatakan orang yang meletakkan kadar bayaran yang tinggi adalah orang yang tidak ikhlas, membebankan pihak penganjur dan mementingkan duniawi. Maksudnya, amatlah tidak wajar kadar bayaran diletak dengan begitu tinggi. Mereka mahu semua orang ikut cara mereka, yang tidak mementingkan kadar caj dan lebih sesuai di sisi Agama, katanya.

Namun, kumpulan 2 pula tetap dengan pendirian mereka dengan menggariskan sebab-sebab mereka menetapkan kadar bayaran yang tinggi. Antaranya adalah soal kos, penceramah itu tiada bergaji tetap (usahawan) dan pelbagai lagi kos-kos lain yang perlu mereka tanggung. Inilah yang dimaksudkan caj dari sudut bisnes, iaitu caj ditetapkan dengan pelbagai rangkuman aspek berkaitan.

Isu ini lebih kurang sama dengan persoalan “adakah mengambil upah dengan mengajar Al-Quran boleh atau tidak”. Ada ulama yang membolehkan, ada ulama yang tidak mengalakkannya. Namun, pendapat pertama adalah lebih disokong ramai atas penilaian-penilaian yang munasabah, dan melihat pada pelbagai skop. Namun, semuanya bergantung juga kepada keadaan dan situasi.

Pendapat Saya?

Saya tidak berpihak kepada mana-mana dua kelompok di atas, malah mengguna pakai kedua-dua cara. Pada tahun 2005, saya beberapa kali memberikan ceramah mengenai perniagaan internet tanpa mengenakan sebarang caj. Ceramah itu adalah untuk para pelajar IPT. Niat saya adalah untuk berkongsi ilmu dan pengalaman.

Manakala pada tahun 2006, saya menjadi penceramah dan trainer untuk satu pihak penganjur bengkel perniagaan internet. Berapa yang saya dapat? Saya tidak menetapkan apa-apa, malah menerima berapa sahaja yang mereka berikan. Yang penting dapat memenuhi kos pengangkutan, makan minum dan ada sedikit duit lebihan. Saya tidak sesekali melihat kepada ‘profit’. Hanya ingin berkongsi ilmu sahaja.

Namun, dalam keadaan tertentu, saya juga akan mengenakan kadar bayaran yang tinggi. Semuanya melihat kepada keadaan dan situasi. Hidup kita ini adalah fleksibel dan tidak boleh keras hati dengan satu pegangan semata-mata.

Untuk kumpulan 1 yang mengatakan kadar bayaran tinggi itu menyusahkan dan menuduh pihak kumpulan 2 tidak ikhlas, ia adalah satu kata-kata yang penuh kerosakan. Siapakah kita untuk membaca hati dan niat orang lain? Mengenakan bayaran yang tinggi tidak bermaksud tidak ikhlas, dan mengenakan bayaran yang rendah tidak pula bermaksud si penceramah itu adalah yang terbaik.

Lihat sahajalah berapa ramai penceramah percuma yang cincai isinya hanya mengutuk itu ini, mengumpat dan memfitnah, sampai diri sendiri pun cakap tidak serupa bikin. Jadi kita tidak boleh mengatakan yang harga tinggi itu tidak patut, dan yang murah itu terbaik. Begitulah sebaliknya, ada juga yang mahal kosong isinya, dan yang murah pula penuh pengisian.

Di dalam berpandangan, kita perlu melihat kesemua pegangan tanpa berat sebelah atau memandang pada satu sisi sahaja. Keduanya, kita tidak boleh menghakimi orang lain dengan prinsip kita yang mungkin hanya sesuai untuk kita dan tidak untuk orang lain.

Ketiga, jika seseorang penceramaah menetapkan harga tinggi dan tidak mampu untuk kita membayarnya, kita masih mempunyai banyak pilihan untuk menjemput penceramah yang sesuai dengan bajet atau peruntukan program. Mudah bukan? Jangan sampai kita menuduh orang lain tidak ikhlas atau melontarkan 1001 kata-kata nista dan dusta kepada mereka.

Kita perlu menjadi manusia yang adil di dalam menilai dan berkata sesuatu. Kita tidak boleh menghakimi orang lain sesuka hati. Penceramah yang meletak harga tinggi ada pasarannya tersendiri dan penceramah yang meletakkan harga rendah juga ada sasaran mereka sendiri.

Di dalam proses menyebarkan ilmu, ada banyak jalan, kaedah dan cara. Kita sama sekali tidak boleh menetapkan hanya satu kaedah untuk proses penyampaian ilmu ini. Sebagai contohnya, orang-orang yang berada. Mereka biasanya lebih selesa menyertai program yang mahal dan eksklusif. Jadi mereka adalah kumpulan terbaik untuk penceramah yang meletak kadar bayaran yang tinggi tadi.

Orang-orang yang berada (kaya) itu mahu mengikuti program yang eksklusif sahaja bukanlah bermakna mereka menidakkan yang murah atau yang biasa-biasa, tetapi mereka melakukan sesuatu yang sesuai dengan tahap mereka. Tidak bolehlah kita menghukum mereka sesuka hati. Orang miskin pun ramai juga yang jahat, orang kaya pun ramai juga yang baik. Selagi bernama manusia, miskin atau kaya, semuanya terletak pada hati. Jangan sama sekali menilai pada harta.

Bayangkan, jika semuanya murah-murah, adakah usaha “dakwah” atau penyampaian ilmu akan sampai kepada orang-orang yang berada itu? Manusia ini banyak kelompok dan jenisnya. Maka kita perlu berusaha dengan kaedah yang sesuai untuk setiap kelompok.

Yang meletakkan harga tinggi tidak semestinya tidak ikhlas dan tidak diredhai Allah. Malah mungkin yang meletakkan bayaran murah itu amat riak orangnya dan kacau jiwanya. Segalanya ada kemungkinan. Maka dapat kita simpulkan, (1) Jangan membaca hati dan niat orang (hukumnya berdosa), (2) Jangan menilai sifat seseorang pada kadar bayaran, (3) Kita perlu bersangka baik, (4) Kita buat cara kita dan orang lain dengan cara mereka.

Akhir kata, isu-isu kecil sebegini hanya diheboh-hebohkan oleh mereka yang tidak adil di dalam berilmu dan pertimbangan, serta menilai sesuatu tanpa melihat pada pelbagai aspek dan skop berkaitan. Mereka hanya tahu menghukum semua orang lain salah dan hanya mereka betul. Paling teruk, mereka hanya pengkritik yang tiada apa-apa sumbangan untuk Agama, umat, bangsa dan negara.

Hidup ini terlalu banyak rencahnya dan apabila kita seronok dengan kaedah kita, janganlah pula menghakimi orang lain semuanya tidak betul dan salah. Cuba soalkan diri kita dahulu sebelum mengkritik orang lain, “Adakah cara aku benar-benar sudah betul?” Dari situ kita akan sedar bahawa, tiada yang terbaik. Semuanya betul melainkan jelas ia salah.

Wassalam.

Nota Kaki:

Setakat ini, saya belum menganjurkan sebarang siri seminar saya sendiri. Saya tidaklah hidup dengan mengadakan seminar atau ceramah selama bertahun-tahun lamanya. NAMUN, ingin saya nyatakan, tidak salah seseorang itu mengadakan seminar atau hidup dengan hasil berceramah atau menganjurkan program sahaja. Mengapa? Sudah ditakdirkan dirinya berperanan sebagai penceramah! Rezeki masing-masinglah kan? Kalau kita mempersoalkan, bermakna kita telah mempersoalkan Allah yang telah menyediakan rezeki itu untuk mereka.

Dan keduanya, setiap manusia ada cara dan peranan tersendiri. Jangan pula kalau kita buat A, kita juga mahu orang lain buat A dan mempersoalkan mengapa mereka buat B. Mengapa mahu dengki dan mempersoalkan? Tiada apa-apa manfaat jika kita cuba mempertikaikan usaha baik orang lain. Bak kata Wonder Pets (cerita kartun), yang penting adalah KERJASAMA. Sama-samalah kita membangunkan umat dan bangsa dengan cara masing-masing. Bersatu teguh, bercerai kita roboh.

Penulis: Mohd Zulfadli


(SmartZul) adalah seorang penulis dan usahawan Internet sepenuh masa. Beliau memulakan perniagaan melalui Internet sejak tahun 2005, dengan memfokus kepada bidang penulisan dan penerbitan secara online. Beliau turut aktif berkongsi ilmu dan pengalaman melalui blog dan juga komuniti Facebook. Klik menu Hubungi di atas untuk menghubungi beliau.

SERTAI NEWSLETTER SMARTUSAHA.COM
Sertai newsletter SmartUsaha.com untuk mendapatkan info dan tip-tip perniagaan dan pemasaran Internet terus ke emel anda.
Kami benci spam. Emel anda selamat bersama kami.

Komen Guna Facebook:

comments

27 thoughts on “Isu: Kadar Bayaran Ceramah

  1. Ya, saya setuju dengan pendapat u. Saya juga sering dipanggil untuk memeberikan talk berkaitan Penyusuan Susu ibu. Adakalanya saya dengan rela hati tidak mahu menerima bayaran.Adakalanya saya menerima sahaja berapa yang diberi dan Adakalanya juga saya terpaksa menetapkan bayaran kerana melihat pada sudut bisnes.

    Sememangnya tidak adil membuat tuduhan penceramah tidak ikhlas. Kena juga lihat dari segi kos perjalanan dan masa serta ilmu yang ingin dicurahkan.

  2. Aku dah meniaga sendiri lebih dari 8 tahun. Dan aku dah menolong mak ayah aku berniaga sejak dari darjah 3.

    Pada aku, harga seminar yang mahal itu tidak perlu di pertikaikan SELAGI kita tahu apa yang kita sampaikan itu berkualiti.

    On top of that, aku selalu berpegang pada satu prinsip yang ada dalam syariah berbunyi:

    “Biar kita naikkan harga barang (kerana boleh tawar menawar) dari kita tipu sukatan timbangan”

    Yang penting, peserta happy dan rasa berbaloi dengan apa yang mereka bayar.

    p/s: itulah antara pegangan yang aku pegang dalam dunia perniagaan selama ini.

    1. Saya bersetuju dengan Abg Rohaizad dengan pendapat beliau kerana saya alami sendiri pengalaman berseminar bersama beliau.

      Pada awalnya, saya juga berpendapat seminar blogging yang berharga RM450 itu begitu mahal harganya kerana rata-rata seminar yang saya “dengar” tidak berbaloi jika dibandingkan isi kandungan dan harga.

      Tetapi sangkaan saya meleset kerana seminar ini telah menjangkaui sangkaan saya.

      Kesimpulan yang boleh saya buat disini ialah perletakan harga itu adalah “harus” kerana golongan tersebut mencari nafkah / rezeki daripada seminar tersebut, namun penyampaian / hasil adalah sesuatu yang perlu dititik beratkan kerana ia adalah elemen yang menyebabkan mereka yang datang dari pelbagai negeri untuk mendapatkan sesuatu maklumat daripada pihak penganjur.

      Sekadar berkongsi pendapat. :)

  3. Satu pandangan yang jujur dan penuh makna jika ditakrif dari pelbagai segi. info yang ingin saya berikan di sini sebagai tambahan sahaja.

    Saya hanya berpegang kepada dua prinsip ini. Dua prinsip ini saya dapati hasil dari berguru dengan pelbagai jenis guru/ustaz/ilmuan.

    1)Meletakkan ‘harga’ itu harus. Jangan terlalu mahal dan jangan terlalu murah. Ini kerana setiap individu ada kelebihan masing-masing.Kita kena hargai segala penat lelah yang telah dizahirkan. Jika kita tak hargai segala usaha penat lelah kita, bererti kita seolah-olah menzalimi diri sendiri! (soalan: Sanggupkah kita zalimi diri sendiri?)

    2) Tiada masalah jika nak berikan perkhidmatan percuma. Cabaran paling besar di sini adalah keikhlasan (niat) dan nilai yang bakal diberi (oleh pengajar) dan diterima (oleh pendengar). Allah telah bagi jaminan pada sesiapa yang ikhlas-balasan di dunia pun dapat, di akhirat sana pun dapat. Bagi individu yang kurang maklumat, perkara ini yang selalu tak faham dan disalahertikan dan disalahtafsirkan. Pokoknya sekarang, buat dulu, sharing dengan sepenuh hati..Insya’ Allah rezeki akan hadir tanpa disangka-sangka.[p/s: Satu isu yang bakal menarik dibincangkan adalah, adakah ilmu yang percuma itu bakal dimanfaatkan? Jika tak dimanfaatkan, takkan nak salahkan si pengajar untuk kenakan 'caj' selepas itu? :-) ]

    1. Terima kasih Rizal. Saya setuju.

      Bab percuma itu, sudah banyak kes orang tidak hargai. Ini hakikat. Konklusi: Letak harga. Kalau mahu dimanjakan semua orang selalu, bahaya juga untuk masa hadapan mereka.

      ps. Ada orang tanpa diminta, mahu membayar lebih RM10 ribu untuk belajar tidak sampai sehari. Jadi sini, dapat kita simpulkan, manusia ada pelbagai kemampuan. Kalau orang mahu bayar kita dengan harga mahal, kita terima. Kalau kita letak harga rendah dan orang mahu bayar, juga kita terima.

  4. Kita sebagai orang yang masih memerlukan bimbingan perlulah pandai pilih.

    Pilih otai yang dah terbukti atau yang direcommend oleh otai-otai, baru berbaloi pelaburan.

    Dan kalau diorang letak harga tinggi pun, aku rasa berbaloi dengan ilmu yang diorang ada. Bukan senang nak sampai tahap otai

    Tapi harga ni subjektif, lainlah kalau ada standard yang boleh difollow.

  5. Salam,

    Sy bersetuju dengan pendapat sebelum ni mengenai harga ceramah. Bagi saya, kalau nak letak harga, ia mestilah bersesuaian dengan kualiti kandungan ceramah tersebut. Bagi yang hadiri ceramah, mereka membayar sejumlah harga untuk mendapatkan ilmu yang diiklankan. Jangan sampai habis je ceramah, majoriti pendengar menyuarakan ketidakpuashatian mereka.. Pihak penganjur harus peka dan sentiasa improvekan ceramah2 anjuran mereka..

  6. uih..Abg Zul kalau tulis posting
    mmg touching habis..

    kalau org lain tulis pjg2 saya malas
    nak baca.

    tapi psoting Abg Zul mmg saya rela spend more time utk baca..
    da lama say tunggu IM kita ulas isu harga produk atau bayaran service ceramah ni..

    hmm mmg betul apa yg abang katakan tu

  7. Pendapat saya pula, harga memainkan peranan penting. Harga tersebut adalah termasuk dengan khidmat sokongan dan juga lingkaran pengaruh yang diperolehi selepas menghadiri seminar tersebut.Itu yang lebih penting sebenarnya selain dari mengambil tindakan.

    Jangan tertipu dengan “seminar” yang berharga rendah kerana ia mungkin adalah sebuah seminar untuk “presell” produk mereka. Saya pernah terkena. Tidak salah sebenarnya untuk membuat “presell” tetapi jangan gunakan perkataan seminar, gunakan perkataan preview dan sebagainya.

  8. Pendapat saya pula harga memainkan peranan penting kepada peserta. Menjadi tanggungjawab penceramah untuk menyampaikan ilmu sebaik mungkin setimpal dengan harga. Kalau boleh sertakan sekali dengan khidmat sokongan selepas seminar.

    Tetapi ada juga pihak meyalah gunakan perkataan seminar untuk membuat “presell” bagi produk mereka. Tidak salah membuat presell tetapi jangan salahgunakan perkataan seminar. Oleh itu jangan tertipu dengan “seminar” yang murah.Mungkin itu cuma preview untuk produk mereka.

  9. saya setuju. pada saya soal keikhlasan hanya Allah yang maha mengetahui dan soal bayaran, ia satu ganjaran atau manfaat yang diperolehi oleh seseorang diatas ilmu yang dimilikinya selagi usaha meghalakan cara.

  10. bagi saya tidak perlu pertikaikan pasal bayaran. Keikhlasan bukan terletak pada wang ringgit. Dan tu antara dia dan Allah sahaja.

    Sebagai manusia kita perlu terima bahawa mereka ini juga perlu hidup dan memerlukan wang.Jadi tidak salah untuk mengenakan caj.

  11. sebenarnya asas bergantung kepada tahap kepuasan yang diperolehi oleh penceramah tersebut, sama ada dia rasa berbaloi dengan bayaran rendah atau tidak. kena fikir jugak, diorang ni sampaikan ilmu yang baik dan berkualiti, dan bukannya jadikan kita lalai macam konsert2…yang tu, orang tak kisah pun bayar, ni orang nak kasi ilmu, nak dipertikaikan pulak..contoh kalau dengan bayaran tinggi dapat memotivasikan seseorang penceramah untuk memberikan 100% penyampaian yang berkualiti dan hebat, itu lebih bagus kan…jadi, bab duit jangan berkira bila bab ilmu, sebab ilmu lah yang akan jaga kita.. :)

  12. ilmu adalah sesuatu yg berharga, kepuasan yang diperolehi adalah bergantung kepada isi kandungan dan maklumat yang disampaikan. Isu bayar atau tidak itu bergantung kepada mereka yang memberi ilmu tersebut.

    Namun, meletakkan harga adalah perlu. Mahal atau tidak adalah soal kedua yang. Yang penting harga itu mesti ada supaya pemberi ceramah dan penerima ilmu tidak mempersoalkan perkara tersebut di kemudian hari. Ini juga untuk mengelakkan salam faham yang mungkin akan timbul.

    Apapun fikirkan yang terbaik berapa yang harus anda beri dan berepa yang harus anda bayar.

  13. Salam.

    Saya amat bersetuju dengan entri di atas. Seminar yang berbayar biasanya amat bagus kerana pengisiannya penuh dan bukan sekadar melepas batuk di tangga.

    Ini kerana, apabila penceramah meletak sesuatu harga, dia bersedia dan yakin untuk untuk memuaskan hati klien (pendengar)setimpal dengan jumlah bayaran.

    Saya pernah ke seminar internet percuma, dan pengisiannya cukup ‘basic’ dan sekadar untuk menjemput pendengar ke seminar bebayar. Tidak berbaloi dengan dengan kos pengangkutan.

    Lebih baik seminar berbayar tetapi berbaloi!

  14. setuju sangat… Ikhlas itu ilmu untuk mengawal diri, selamatkan diri bukan untuk semak keikhlasan orang lain…

  15. Kadar bayaran ceramah adalah isu paling subjektif untuk dibincangkan. Pada masa kini, kebanyakan pemikiran masyarakat awam berpendapat bahawa golongan agama sepatutnya memberi ceramah secara PERCUMA sahaja.

    Contoh paling mudah : Berapa ramai yang memberi saguhati pada guru al-Quran (mengaji) berbanding guru tuisyen?

  16. Kadar bayaran ceramah merupakan isu yang paling subjektif. Banyak pro & kontra yang perlu dibahaskan. Kebanyakan orang berpendapat, golongan agama hanya perlu mengajar secara percuma sahaja. Sebagai contoh, berapa ramai yang yang memberi saguhati kelas mengaji berbanding kelas tuisyen?

  17. PENAH ADA PENGALAMAN..JEMPUT SEORANG TU..MASA TU TAK DER LA TERKENAL SANGAT LAGI..TAPI MINTAK FLIGHT 1'ST CLASS N BILIK HOTEL VIP, BAYARAN TAK YAH CITER LA…..ENTAHLA..DUNIA..DUNIA…

    1. Tidak boleh juga kita kata mereka materialistik atau keduniaan. Sampai satu tahap, permintaan sebegitu bagi saya adalah perlu untuk memudahkan mereka juga. Tip saya di sini, jemput penceramah yang sesuai dengan kemampuan bajet kita. Jika penceramah itu minta mahal, kita hormati sahaja mereka.

      Kita juga perlu tahu, penceramah ada banyak level dan ada cara masing-masing. Seperti artikel di atas, hati manusia kita tidak tahu. Yang letak mahal tidak semestinya materialistik dan yang letak murah tidak semestinya bagus.

Berikan Komen Anda

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Current ye@r *

Notify me of followup comments via e-mail. You can also subscribe without commenting.