Sambungan: 101 Idea dan Tip Perniagaan Internet 2010

Sambungan kepada siri yang pertama 101 Idea dan Tip Perniagaan Internet 2010.

Berikut adalah 25 lagi tip tersebut.

26. Berazam pada diri untuk balik ke kampung sekurang-kurangnya sekali sebulan untuk menjenguk ahli keluarga, terutama ibubapa. Mereka tidak mahu wang daripada kita, tetapi sudah memadai mereka mendapat perhatian kita.

27. Laksanakan program komuniti (sumbangan kepada masyarakat) secara percuma yang berkaitan dengan bidang anda. Jika anda fokus pada bidang kewangan, maka boleh lakukan seminar percuma berkaitan pengurusan kewangan. Jika fokus pada Internet Marketing, boleh lakukan ceramah percuma dalam sejam dua.

Tip: Akan timbul soal kos bukan? Tip di sini adalah, cari sponsor (penaja). Elakkan mengenakan bayaran kepada para peserta. Jika betul-betul mahu berikan secara percuma, maka jangan kenakan sebarang caj. Kalau kenakan sebarang caj, mungkin ia sudah tidak termasuk dalam kategori percuma.

Di luar sana, terlalu ramai pihak terutama pihak perniagaan yang bersedia untuk menjadi penaja. Kita hanya perlu cari dan meyakinkan mereka sahaja. Jika ‘tawaran’ kita bagus, biasanya mereka tidak akan menolak.

28. Tulis sekurang-kurangnya satu post seminggu di blog. Blog adalah satu cara pemasaran percuma yang amat berkesan. Tulislah walaupun sedikit. Rujuk artikel di sini untuk idea penulisan.

29. Jika sebelum ini tidak mengurus kewangan perniagaan, tahun 2010 menjadi satu permulaan terbaik untuk melakukannya. Pengurusan kewangan hanya ‘susah’ pada peringkat awal, tetapi akan menjadi amalan biasa pada satu tempoh yang panjang.

30. Menulis buku. Bagi mereka yang mempunyai pengalaman atau pengetahuan yang berharga, menulisnya ke dalam sebuah buku adalah satu keputusan yang bijak. Ia adalah umpama harta yang bermanfaat untuk kita walaupun kita telah tiada di dunia ini.

Dari segi pemasaran, buku adalah ‘marketing tool’ yang amat berkesan selain ia adalah sebagai salah satu sumber pendapatan pasif (royalti), di samping akan terbukanya pelbagai peluang yang menguntungkan.

31. Jimatkan wang untuk perkara yang boleh dijimatkan. Jika ada dua perkara yang sama nilainya, tetapi berlainan harga, maka tidak salah memilih yang lebih rendah kosnya. Jangan membeli barangan yang tidak diperlukan untuk perkembangan perniagaan atau diri sendiri.

32. Perniagaan Internet boleh dilakukan dari rumah (SOHO) sahaja tanpa perlu menyewa ruang pejabat (melainkan memang perlu). Saya sehingga kini pun masih berniaga dari rumah.

Namun begitu, untuk perkembangan bisnes yang lebih luas, ruang pejabat perlu dimiliki tetapi tetap perlu mempertimbangkan pelbagai aspek seperti kemampuan membayar, keperluan dan sebagainya. Selagi belum tiba masanya, anda tidak perlu ruang pejabat. Cukup melakukan dari rumah sahaja.

33. Sediakan satu buku khas untuk mencatat sebarang idea. Baca artikel di sini untuk mengetahui kepentingan sebuah buku catatan idea.

34. Masuk pasaran antarabangsa. Walaupun internet itu adalah global, namun ia mempunyai segmen pasaran yang banyak. Masuk ke pasaran lain selagi boleh terutama pasaran berbahasa Inggeris.

35. Lakukan kepelbagaian cabang usaha perniagaan. Sama bidang, tetapi pelbagai cara. Jangan bergantung kepada satu sumber sahaja.

34. Upah (outsource) sesuatu kerja kepada orang lain terutama kerja yang kita tidak mempunyai kemahiran untuk melakukannya. Namun, kerja yang kita tahu pun boleh juga gunakan khidmat orang lain agar kita mempunyai lebih banyak masa untuk perkara lain.

Antara kerja yang boleh diserahkan kepada orang lain adalah seperti pembinaan laman web, blog, terjemahan dan banyak lagi.

35. Automasikan perkara yang boleh diautomasikan. Automasi ini bukan setakat menggunakan perisian atau sistem, malah boleh juga menggunakan orang. Perkara yang boleh diautomasikan adalah seperti emel (menggunakan autoresponder), pembayaran dan penghantaran link download (bagi produk digital). Bagi produk fizikal, juga boleh automasikan penghantaran dengan mengupah seseorang atau menggajikan staf.

36. Menggunakan khidmat pembantu peribadi (PA). Mereka inilah yang akan menjawab panggilan telefon, menguruskan temujanji anda dengan pelanggan, mengurus perjalanan program, mengurus dokumen, mengemaskini blog untuk aspek tertentu dan lain-lain yang berkaitan.

PA ini tidak semestinya berada di pejabat. Mereka boleh bekerja dari rumah mereka sendiri (juga dipanggil Virtual Assistant). Yang penting mereka ada atau disediakan dengan peralatan seperti laptop, telefon khas untuk perniagaan, mesin faks dan talian internet.

37. Gunakan alamat yang profesional. Boleh gunakan khidmat pejabat maya (virtual office). Ini adalah alternatif untuk mereka yang tidak mahu menyewa pejabat. Amat sesuai untuk perniagaan internet dan SOHO.

Antara yang boleh digunakan adalah dari pihak:

1. http://flexioffice.com.my (pernah guna pada tahun 2007/2008)

2. http://www.bayatech.com.my/bayatech-product-294

*Bayaran adalah tahunan untuk dua perkhidmatan di atas. Namun lihat pada pakej yang ditawarkan. Ada juga bayaran bulanan.

Kita akan diberikan alamat, No telefon, No faks dan beberapa kemudahan yang lain. Setiap penyedia perkhidmatan ini mempunyai pakej masing-masing. Pilih mana yang sesuai.

38. Membuka minda kepada bentuk perniagaan internet atau model buat duit yang lain agar ada tambahan sumber pendapatan. Namun pastikan ada fokus. Maka perlu ada perancangan yang baik (proper plan). Di internet, terdapat banyak cara buat duit yang sah dan halal. Yang penting adalah bagaimana kita mengurus peluang-peluang tersebut. Sebaliknya, jangan tolak kesemuanya.

39. Mengutamakan kaedah pemasaran yang memberikan trafik yang cepat, mudah dan terbukti berkesan. Antaranya seperti PPC, email marketing, pengiklanan dan juga forum siber. Kaedah lain seperti laman sosial, lebih sesuai untuk membina dan mengembangkan jenama perniagaan.

40. Melakukan tracking untuk beberapa perkara seperti trafik yang datang ke blog atau laman web, kadar conversion rate laman web jualan dan kadar CTR iklan (teks atau banner).

41. Ini kegemaran saya: Masuk juga ke dalam pasaran offline. Jangan Online semata-mata. Anda boleh buat consultation, personal coaching, seminar, talk dan bengkel yang khas dengan kepakaran anda. Jangan takut untuk melakukannya. Ia adalah hak anda dan untuk berkongsi sesuatu, tidak perlu tunggu menjadi pakar. Kongsikan apa yang berkesan dan bermanfaat, itu sudah memadai.

42. Menyertai program-program seperti seminar dan konvensyen yang disertai oleh para usahawan sama ada yang percuma atau berbayar. Di sana boleh menambah rangkaian (network) perniagaan dan memperkenalkan perniagaan anda. Cara ini saya kerap melakukannya dan dapat menghasilkan pelanggan dan kenalan usahawan.

43. Melakukan kerja di persekitaran yang lapang dan kemas. Susun fail, alat tulis atau kertas dan sebagainya dengan sebaik mungkin. Walaupun ia sekecil perkara, namun ia juga menentukan motivasi untuk bekerja.

Mana-mana benda yang tidak diperlukan, jika boleh dibuang, maka buang sahaja. Jika boleh didermakan, maka lagi bagus. Jangan simpan sesuatu yang hanya menyesakkan pandangan mata.

44. Ada dokumentasi untuk setiap jenis projek. Contohnya jika menjual produk fizikal, apakah aliran proses yang perlu dilakukan daripada promosi, menerima bayaran sehinggalah menghantar (pos) barang kepada pembeli. Begitulah juga untuk perkara lain walaupun sekecil-kecil perkara. Dengan ada dokumentasi ini, kerja kita lebih lancar dan teratur.

45. Wujudkan akaun bank untuk bisnes dan peribadi. Daftar akaun semasa perniagaan atau akaun semasa peribadi di mana-mana bank. Utamakan akaun Islamik. Contohnya saya ada dua akaun Maybank, satu peribadi dan satu lagi akaun semasa (untuk bisnes).

46. Peruntukkan sebahagian wang pendapatan untuk dana kecemasan perniagaan. Terserah untuk menyimpan sebanyak mana pada setiap bulan. Dana kecemasan boleh digunakan apabila perniagaan yang dilakukan mengalami masalah yang tidak diduga.

47. Setiap bulan, peruntukkan sedikit wang untuk didermakan kepada mana-mana pihak. Selain membersihkan rezeki kita, ia juga dapat menenangkan hati dan ia juga adalah satu bentuk tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh seorang insan. Yang penting adalah ikhlas kerana Allah.

48. Sebelum membeli sesuatu atau terfikir untuk membeli apa sahaja barangan sama ada untuk perniagaan atau diri sendiri, fikir dan rancang dahulu. Pastikan barangan, produk atau perkhidmatan itu betul-betul diperlukan. Elakkan membazir. Jika perlu, lakukan ‘survey’ dahulu agar membeli tanpa kesilapan seperti ditipu.

49. Ini amat PENTING: Setiap transaksi jual beli atau sebarang perjanjian dengan pelanggan atau rakan kerjasama perniagaan, perlulah ada hitam putih. Jika melalui internet, emel boleh digunakan. Jika secara offline, boleh gunakan resit atau sebarang cara lain yang mencatat transaksi tersebut.

Catatan transaksi jual beli amat penting agar ia dapat membantu kita menyempurnakan simpan rekod perniagaan dan juga kita dapat tahu duit yang masuk dan duit yang keluar. Pastikan ada hitam putih (sekurang-kurangnya ditulis) walaupun sekadar satu sen.

50. Pakaian (Penampilan Diri): Bagi para usahawan internet khususnya, walaupun kerjaya ini tidak memerlukan pakaian yang formal, namun apabila bertemu dengan pelanggan secara offline, pakaian akan menentukan ‘siapa kita’. Elakkan membawa prinsip terlalu santai di hadapan pelanggan.

Oleh itu, cuba untuk berpakaian yang kemas walaupun tidak terlalu formal. Janji sedap dipandang sudah memadai. Semuanya bergantung kepada keadaan juga. Peruntukkan sedikit wang untuk membeli satu atau dua set pakaian yang formal seperti kemeja, tali leher, kot, kasut, seluar dan juga ‘beg bisnes’. Semua ini juga adalah satu ‘tool’ perniagaan.

Penutup Siri Kedua

Semuanya sudah 50 tip yang dikongsikan termasuk siri yang pertama dahulu. Nantikan tip yang seterusnya!

ps. Dapatkan idea-idea bisnes secara percuma di sini.

Penulis: Mohd Zulfadli


(SmartZul) adalah seorang penulis dan usahawan Internet sepenuh masa. Beliau memulakan perniagaan melalui Internet sejak tahun 2005, dengan memfokus kepada bidang penulisan dan penerbitan secara online. Beliau turut aktif berkongsi ilmu dan pengalaman melalui blog dan juga komuniti Facebook. Klik menu Hubungi di atas untuk menghubungi beliau.

SERTAI NEWSLETTER SMARTUSAHA.COM
Sertai newsletter SmartUsaha.com untuk mendapatkan info dan tip-tip perniagaan dan pemasaran Internet terus ke emel anda.
Kami benci spam. Emel anda selamat bersama kami.

Komen Guna Facebook:

comments

15 thoughts on “Sambungan: 101 Idea dan Tip Perniagaan Internet 2010

  1. Salam Tuan Zul,
    Pendapat mengenai bisnes daripada tuan yang sangat detail… sangat terperinci dari segenap segi hampir tiada kesilapan…

    terima kasih kepada tuan zul!!!!!!

  2. Thanks Zul, nice tips. Habis dah bace semua tips. Juz baru ternampak yang ada virtual office. sangat menarik tapi belum perlu lagi rasanya. Tapi sekarang masih lagi membesarkan network biz internet selain menambah kenalan dan outsource pakar dari luar dan dalam negara.

    Banyak sangat lubang dan niche yang masih belum di pelopori oleh usahawan internet di Malaysia ni. Semua itu kita perlu lihat dengan teliti. Peluang, tidak semua yang nampak dan tahu menilai dari sudut perniagaan.

    Keep it bro. Sentiasa memberi ilmu dan tips yang memang terbaik dari ladang 🙂

  3. Memang saya cukup suka baca artikel saudara smartzul, ini kerana ayat-ayat yang digunakan menampakkan lagi kepakaran dan kehebatan saudara dalam bidang yang diceburi. Semua info yang dikongsi harap dapat mengubah diri saya ke arah lebih baik pada masa akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *