Pelaburan Internet Sudah Sampai Ke Hujung Tanduk?

Iklan: Anda jutawan pelaburan Internet yang mengarut? Siapa peduli? 😉

Sudah lama tak tulis pasal benda-benda panas ni. Setiap kali saya ungkit hal ini, pasti ada yang tak senang duduk atau marah.. Tapi nak buat macam mana, dah hakikat, kenalah kita kongsi-kongsi kebenaran. Setuju? Kata ustaz Zaharuddin, sah atau tidak sesuatu pelaburan ini di sisi undang-undang, itu BUKAN PERSOALANNYA, tapi hakikatnya kita perlu tahu ia halal ATAU haram? Katanya lagi, kilang arak Carlsberg di Malaysia ni sah di sisi undang-undang negara, TAPI arak adalah HARAM dalam Islam (syari’at).

Oklah, bab-bab hukum-hakam, kita serahkan kepada yang lebih berilmu. So, saya just copy & paste dan bagi link yang berkaitan. Semoga kita tak tertipu dengan skim pelaburan yang bermacam-macam di Internet sekarang demi menggapai keredhaanNya. InsyaAllah.

Berikut adalah petikan berita daripada akhbar tempatan :

1. Pelaburan menerusi Internet Adalah Haram

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, berang ketika mendedahkan ada pegawai kanan kerajaan di negeri itu dikesan terbabit dalam pelaburan di internet yang semakin popular hingga menjejaskan prestasi kerja.

“Jika masuk jabatan kerajaan, kita melihat segelintir kakitangan sibuk berurusan atau mengendalikan pelaburan skim pelaburan menerusi internet.

“Yang menarik, bosnya (ketua jabatan) turut mengeluarkan wang untuk menyertai skim ini. Ini menyebabkan prestasi kerja menurun,” katanya.

Bagaimanapun, hanya satu pesanan daripada Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin kepada umat Islam yang ghairah melabur di internet:

“Jika makan khinzir itu haram dan berdosa besar, dosa makan riba adalah lebih besar daripada dosa makan khinzir. Kerana itu, al-Quran mengisytiharkan riba sebagai perang.”

Beliau berkata demikian ketika menjelaskan mengenai pelaburan menerusi internet yang disifatkannya riba.

Menurut mufti termuda negara itu, tindakan ramai orang Melayu menyertai pelaburan itu yang menjanjikan pulangan dalam tempoh singkat jelas bertentangan dengan Islam.

“Pelaburan ini tidak menjalankan sebarang bentuk perniagaan kerana menggunakan pulangan tetap (fixed return) yang jelas bertentangan dengan prinsip Islam iaitu Mudharabah.

“Apabila melabur, pelabur tidak perlu berbuat apa-apa, hanya tunggu keuntungan tanpa mengetahui apa yang dijalankan itu betul atau salah,” katanya.

Dr Mohd Asri berkata, sehubungan itu Majlis Fatwa Perlis (MFP) yang bersidang bagi membincangkan perkara berkenaan 10 Mac lalu mengeluarkan fatwa sebarang bentuk pelaburan menerusi internet adalah haram.

Namun, katanya, keputusan itu belum dibawa kepada Majlis Agama Islam Perlis (MAIP) dan pihaknya akan berbuat demikian pada pertemuan akan datang supaya dapat memberi gambaran sebenar, khususnya kepada umat Islam.

Dr Mohd Asri berkata, dalam perkara itu umat Islam tidak seharusnya mengambil jalan mudah dengan memikirkan keuntungan semata-mata tanpa mengkaji apa yang dilakukan atau disertai.

“Dalam perkara seperti ini yang menawarkan keuntungan atau pulangan segera, orang Melayu memang suka tetapi mereka perlu ingat, ini adalah haram dan berdosa besar.

“Memang ada pihak mengabui mata mereka, pada peringkat awal akan dapat pulangan, tetapi saya pasti ada pihak akan terkena,” katanya.

Beliau kesal kerana ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan nama pejabat Mufti Perlis dan beberapa pejabat kerajaan lain dengan mendakwa mereka menghalalkan pelaburan itu.

“Ingin saya tegaskan di sini, kami tidak pernah memberi kebenaran, jauh sekali menghalalkan pelaburan menerusi internet, kerana ia jelas haram dan berdosa besar. Begitupun, kami ambil langkah perlu bagi mengelak ia menjadi lebih buruk,” katanya.

Ditanya adakah perkara itu akan dibawa ke Majlis Fatwa Kebangsaan atau kepada majlis agama Islam negeri lain, Dr Mohd Asri berkata, ia terpulang kepada negeri masing-masing.

“Kita di Perlis mengharamkannya tetapi di negeri lain, terpulang kepada jabatan atau majlis agama masing-masing. Begitupun, saya sarankan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil tindakan segera supaya tidak ramai terbabit dan jadi mangsa,” katanya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang Melayu khususnya supaya lebih berhati-hati sebelum menyertai sesuatu skim dan perlu merujuk kepada pihak berwibawa jika ada keraguan.

“Pada hari ini, ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan istilah Islam, sekali gus mengelirukan umat Islam yang menyangka sesuatu perkara itu berlandaskan hukum Islam.

“Hari ini kita ada sekuriti syariah yang menjalankan analisis mengenai pelbagai perkara. Bagi yang kurang faham, boleh merujuk kepada mereka yang terbabit,” katanya.

2. Ketepikan hukum agama untuk jadi OKB

KUALA LUMPUR: Akibat terlalu ghairah untuk menjadi ‘orang kaya baru’ atau OKB, ada umat Islam di negara ini sanggup mengetepikan hukum agama dengan mengambil risiko melabur di dalam skim pulangan ekspres di internet.

Walaupun menyedari ia berbentuk skim cepat kaya dan pelaburan mereka berisiko berikutan hanya bersandarkan urusan di internet dan satu nombor telefon, habuan lumayan dijanjikan skim itu menjadikan mereka ‘kelabu mata’.

Bagaimanapun, Setiausaha Majlis Penasihat Syariah sebuah institusi kewangan Islam antarabangsa di Malaysia, Zaharuddin Abdul Rahman, memberi amaran, pulangan yang diterima daripada skim di internet adalah haram.

Beliau yang juga penulis tamu untuk ruangan An-Nur di Metro Ahad berkata, selepas tiga minggu berturut-turut membicarakan mengenai pelaburan di internet di ruangan itu, banyak maklum balas diterima daripada orang ramai.

“Ramai menelefon dan menghantar e-mel untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut. Malah, saya diminta membentangkan kajian saya mengenai pelaburan di internet dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, 10 Mac lalu.

“Selain saya, seorang lagi yang juga bekas pelabur di dalam skim pelaburan internet turut membentangkan pengalamannya,” katanya.

Zaharuddin berkata, pada mesyuarat itu, jawatankuasa berkenaan memutuskan pelaburan di internet sebagai haram.

“Apabila saya maklumkan keputusan ini kepada mereka yang menelefon dan menghantar e-mel, ada yang terkejut dan menangis kerana selama ini menggunakan wang haram.

“Yang jelas, jangan kata makan minum atau membeli aset, wang berkenaan juga haram meskipun digunakan untuk membayar hutang, termasuk cukai.

“Ini kerana Majlis Fekah Sedunia memutuskan, wang yang difatwakan daripada hasil yang haram harus disedekahkan kepada badan kebajikan awam atau surau dan masjid selain golongan fakir,” katanya.

Bagaimanapun, Zaharuddin berkata, kajian ulama dan pakar ekonomi Islam mendapati, ada beberapa ciri di dalam pelaburan berkenaan yang jelas bertentangan dengan Islam, menyebabkan ia difatwakan sebagai haram.

“Yang jelas, ia tidak mempunyai Penasihat Syariah. Selain itu, banyak helah di dalam skim pelaburan berkenaan, sekali gus menimbulkan risiko besar kepada pelanggan, yang mana keadaan ini tidak dibenarkan di dalam Islam.

“Semua skim ini tidak ada kontrak atau perjanjian sempurna, sebaliknya hanya berurusan di internet tanpa butiran sebagai bukti, menyebabkan risiko untuk orang ramai tertipu adalah besar dan mudah,” katanya.

Beliau berkata, tindakan beberapa skim menetapkan kadar faedah untuk tempoh tertentu juga bertentangan dengan hukum Islam kerana berkonsepkan riba.

Zaharuddin berkata, tiada jalan penyelesaian, selain umat Islam yang terjebak dengan skim berkenaan mengeluarkan semua wang mereka dan mengambil semula modal sebenar yang dilaburkan.

“Wang keuntungan pula perlu diserahkan untuk kebajikan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata jika diteliti, banyak skim pelaburan di internet mengamalkan konsep skim piramid.

Di dalam satu kenyataan, beliau berkata, ada skim meminta pesertanya menarik peserta lain untuk menyertainya dengan menawarkan insentif tinggi dengan lebih ramai berjaya ditarik, maka lebih tinggi insentif diperoleh.

“Persoalannya, peserta yang mengikuti skim ini tidak tahu di mana wang mereka sebenarnya dilaburkan. Apa sebenarnya berlaku ialah, wang pelabur ini dijadikan pusingan untuk membayar pelabur lain.

“Pada satu peringkat, wang berkenaan tidak lagi dijadikan sebagai pusingan sehingga menyebabkan pelabur tidak menerima insentif diharapkan,” katanya sambil menambah, tidak wujud undang-undang pada masa ini yang menjamin pelabur seperti ini mendapat semula wang mereka jika berlaku penyelewengan terhadap skim berkenaan.

Lain-lain yang BEST untuk dibaca (klik pada setiap tajuk) :

1. Pelaburan Saham Neraka

2. ABB Fund, Eaindex, Arabic Fund & Winlifund : Hukum Shariah

3. Pelaburan Empay : Halal atau Haram?

4. Hukum melabur dalam Swiss Cash

5. Pelabur Internet Perlu Taubat Segera : kata Mufti Terengganu & Johor

6. SWISSCASH BERASASKAN SISTEM KONVENSIONAL, RIBA 

Dan banyak lagi.. Boleh layari laman web : http://www.zaharuddin.net

Komen saya:

Nampaknya, golongan Agama yang pakar seperti mufti, ulama’ dan ustaz sudah mula SERIUS akan pelaburan-pelaburan MENGARUT. Alhamdulillah. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada mereka (golongan ilmuan Agama ini) dan memberikan kesedaran kepada umat Islam.

Sama juga kepada Usahawan Internet, jual-lah produk yang baik-baik (halal) dan tidak bertentangan dengan akidah Islam, serta lakukanlah mengikut jalan syari’at. Boleh baca artikel menarik di sini :

Perniagaan Internet: Halal atau Haram

http://www.zaharuddin.com/v1/interview.htm

“Mencari rezeki itu wajib, lebih-lebih lagi di dalam keluar daripada kefakiran dan kemiskinan adalah sesuatu yang dituntut. Tidak ramai yang mahu hidup susah dan tidak suka kehidupannya kais pagi makan pagi kais petang makan petang, cukup bulan dapat gaji habis bayar hutang.

Semua ini pasti membelenggu kehidupan seseorang. Tetapi ingat rezeki Allah cukup luas, tiada batasannya tiada hadnya. Dia Maha Kaya. Justeru, janganlah hendaknya keghairahan mencari duit mengalpakan kita daripada mencari pelaburan yang halal.” – Ustadz Mohd. Farid Ravi

Kepada yang ada kemampuan untuk menyampaikan seperti melalui blog, apa salahnya sentuh hal ini sikit. Biar ilmu-ilmu ini tersebar agar umat Islam tak ditipu oleh orang Islam sendiri.

Ingatlah diri anda, tatkala berseorang diri di dalam liang lahad kelak.. Sekujur tubuh, berbalut kain putih, dihimpit tanah kiri dan kanan, atas dan bawah. Hanya amal yang soleh sahaja menjadi penyelamat. Semak sumber pendapatan anda!

Semoga Islam bangkit kembali dan subur selamanya. InsyaAllah.

Wassalam.

Nota: Pesan ustaz, kalau kita dah tahu sesuatu kebenaran, maka wajib bagi kita untuk sebarkan jika kita mampu. Takut? Allah itu lebih utama untuk ditakuti. Dunia ini hanya sementara, kepadaNya jua kita kembali. 🙂

BERITA:

CERAMAH KHAS : “PELABURAN INTERNET” 

Penceramah : Ust Zaharuddin Abd Rahman
Tarikh : 1 April 2007 (Ahad Malam Isnin)
Tempat : Dewan Solat, Surau As-Shakirin, Bandar Utama,
No 1 A, Jln BU 3/2, Bandar Utama, PJ
Masa : Lepas Maghrib
Masuk : Percuma
Hubungi : Ust Rosdee 013-320 3072

Siapa yang kelapangan dan mampu tu, pergilah ya, FREE tu. Saya tak dapat nak pergi. InsyaAllah kelak nanti pasti saya ‘bersemuka’ juga dengan ustaz zaharuddin. 🙂 Kepada anda yang tahu ceramah Agama ni, tapi tak dapat pergi, sebar-sebarkan kepada orang lain…

Sekian.

-ruang komen ditutup- 🙂

Penulis: Mohd Zulfadli


(SmartZul) adalah seorang penulis dan usahawan Internet sepenuh masa. Beliau memulakan perniagaan melalui Internet sejak tahun 2005, dengan memfokus kepada bidang penulisan dan penerbitan secara online. Beliau turut aktif berkongsi ilmu dan pengalaman melalui blog dan juga komuniti Facebook. Klik menu Hubungi di atas untuk menghubungi beliau.

SERTAI NEWSLETTER SMARTUSAHA.COM
Sertai newsletter SmartUsaha.com untuk mendapatkan info dan tip-tip perniagaan dan pemasaran Internet terus ke emel anda.
Kami benci spam. Emel anda selamat bersama kami.

Komen Guna Facebook:

comments

2 thoughts on “Pelaburan Internet Sudah Sampai Ke Hujung Tanduk?

  1. Pingback: AzizMansor… » Isu hangat: Pelaburan Internet yang sudah sampai kemuncak

Comments are closed.