Formula Kejayaan Usahawan Internet

Bagi saya, tiada rahsia kejayaan di dalam mana-mana bidang, termasuklah di dalam perniagaan internet. Rata-rata yang kita baca atau dengar, rahsianya tidak banyak berbeza.

Jika kita perhatikan kepada kebanyakan usahawan internet yang berjaya, terutama dengan cepat, formula mereka adalah sama sahaja.

Di antara rahsia-rahsia kejayaan mereka adalah:

1. Cepat Belajar

Mereka tidak menangguh-nangguhkan proses pembelajaran walaupun sesukar mana perkara yang perlu dipelajari. Mereka rela berkorban atau bersusah-susah dahulu kerana mereka yakin, kelak mereka akan mendapat hasil yang banyak dan besar.

Inilah beza orang yang berjaya dengan cepat berbanding mereka yang belum atau lambat mencapai sesuatu hasil. Orang yang cepat berjaya tidak menangguh-nangguh untuk belajar sesuatu yang perlu dipelajari. Manakala mereka yang masih di takuk lama sering menangguh untuk belajar perkara tersebut.

2. Cepat Bertindak dan Praktik

Semua orang banyak membaca dan belajar, tetapi yang membezakan orang yang berjaya dengan yang masih di tahap yang sama adalah mereka cepat bertindak atau pantas mempraktikkan ilmu dan kemahiran yang mereka pelajari.

Adalah satu kerugian jika lambat bertindak kerana:

  • Sesuatu teknik atau ilmu biasanya akan berubah dari semasa ke semasa. Jika ia berkesan pada hari ini, kemungkinan tidak lagi pada hari esok.
  • Persaingan: Adalah lebih bagus menjadi yang terawal menggunakan sesuatu teknik atau strategi sebelum ia ditiru atau dilakukan oleh ribuan dan jutaan orang yang lain.
  • Teknologi mudah dan cepat berubah.
  • Motivasi dan semangat atau momentum usaha biasanya turun dan naik. Ia tidak selalu berada di tahap yang kita harapkan. Jadi apabila motivasi di tahap terbaik, pada masa itulah tindakan perlu dilaksanakan sebaik dan seoptimum mungkin.
  • Perniagaan akan lambat berkembang.
  • Penangguhan satu demi satu kerja akan menyebabkan berlakunya timbunan kerja yang banyak. Akhirnya keserabutan akan mula melanda yang akan menyebabkan diri akan keliru untuk bertindak. Malah, akan memberi kesan sampingan kepada usaha penting yang lain.
  • Hari esok yang belum pasti. Kita tidak tahu esok kita akan kekal sihat, kemalangan atau jatuh sakit. Atau dalam hal teknikal, kita tidak tahu server (hosting) akan bermasalah.

Itulah sebahagian daripada bahayanya lambat bertindak atau melakukan sesuatu perancangan. Jika penyakit ini menguasai kita, usahalah sesuatu dengan segera sebelum ia merugikan hidup kita sepenuhnya.

3. Tidak Takut

Mereka tidak takut “apa kata orang”. Malah mereka tidak berfikir pun apa kata orang nanti setelah mereka lakukan sesuatu. Sebaliknya, mereka hanya sibuk memikirkan soal bisnes dan hidup mereka sahaja, serta apakah sumbangan berguna untuk Agama, keluarga dan masyarakat.

Saya yakin, rata-rata pernah menghadapi situasi takut dikritik, termasuk saya. Akibatnya, ebook atau produk yang baik yang telah siap tidak dilancar dan dijual.

Hidup di dunia ini, terlalu sukar untuk menjaga hati semua orang. Malah, ia sesuatu yang amat mustahil. Jadi, lakukan sahaja kerja kita dan abaikan sahaja kata-kata negatif orang lain. Sudah fitrah manusia kebanyakannya suka mengata dan mengkritik, tetapi tidak pula suka membantu.

Orang-orang yang berjaya hanya memikirkan matlamat dan kerja mereka sahaja. Apa sahaja kata orang lain, mereka tidak ambil peduli. Jika diambil peduli, apa yang mereka dapat? Tidak ada apa-apa, kerana sebahagian besar kata-kata orang hanyalah perkara negatif dan mahu mereka berhenti daripada melakukan perkara tersebut.

Saya sering menyebut berulang kali di dalam artikel-artikel sebelum ini bahawa, “makan minum kita, hanya kita yang tanggung sendiri, bukan orang lain.” Jadi, utamakan diri sendiri dahulu. Mungkin kita pernah lalui dan hadapi, atau pernah melihat, berapa banyak orang yang tiba-tiba Β merana hidupnya, semata-mata mendahulukan orang lain. Dan orang lain itu menghilangkan diri entah ke mana.

4. Fokus dan Komitmen 100%

Cuba perhatikan kebanyakan usahawan internet seperti di Malaysia ini. Mereka fokus kepada nadi utama perniagaan mereka. Yang buat ebay, fokus pada ebay. Yang buat produk fizikal, mereka fokus kepada produk fizikal dan yang buat produk informasi, mereka fokus sepenuhnya.

Namun mereka bukan sekadar fokus sahaja, tetapi memberikan komitmen 100% (sepenuhnya) terhadap usaha mereka tersebut. Bukanlah fokus ala kadar atau sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Walaupun mereka melakukan model perniagaan internet yang lain, namun pasti (biasanya) mereka akan fokus dan memberikan komitmen 100% terhadap model bisnes mereka yang utama. Fokus + Komitmen (usaha kuat) adalah amat berbeza dengan fokus tetapi malas.

Contoh: Model Bisnes Produk Informasi (Information Marketing)

Ini adalah model utama dan pertama saya sehinggalah kini. Seperti yang saya nyatakan di entri sebelum ini, model bisnes ini adalah yang terbaik untuk saya, tetapi mungkin tidak untuk orang lain.

Saya pernah mahu melakukan model bisnes yang lain atau cuba mengambil segala peluang yang datang, namun akhirnya bak kata pepatah, “yang dikejar tidak dapat, yang dikendong keciciran.” Akhirnya saya sedar, rakus pada perkara yang baik pun boleh mendatangkan kerugian.

Melalui model bisnes produk informasi, ia bukan sekadar menjual ebook, tetapi ia lebih daripada itu. Boleh baca artikel ‘buat duit dengan kepakaran‘.

Tip di sini, jika mahu lakukan model bisnes yang lain, pastikan model pertama dan utama sudah mendapat hasil yang konsisten dan terurus dengan baiknya.

5. Pengurusan Masa

Kita tidak memerlukan buku yang tebal atau bertimbun-timbun buku mengenai pengurusan masa. Sebenarnya tiada rahsia di dalam pengurusan masa, sebaliknya ia berkaitan dengan fokus dan tindakan.

Jika kita tahu apa yang perlu dilakukan, bila dan di mana, maka tiada masalah pengurusan masa akan berlaku. Sebaliknya jika kita tidak tahu perkara-perkara tersebut (tidak merancang), itulah penyebabnya kita akan menghabiskan masa begitu sahaja, atau menyebabkan usaha akan menjadi longlai sekali.

Kita perlu tahu matlamat hidup dan bisnes kita. Kemudian fokus kepada matlamat tersebut. Rancang tindakan yang perlu dilakukan bagi mencapainya seperti tindakan dalam satu hari, seminggu, sebulan dan setahun. Fokus sepenuhnya dan berikan komitmen.

Abaikan juga segala peluang yang boleh menghancurkan segala perancangan yang telah diaturkan. Utamakan diri sendiri. Hati-hati dengan manusia yang suka memanipulasi orang lain untuk kepentingan diri mereka sendiri. Tolak tawaran mereka dengan baik dan berakhlak.

Kesimpulan

Tiada rahsia untuk berjaya. Kalau diri pemalas, itulah punca kegagalan. Kalau diri rajin dan komited, serta kaedah yang dilakukan adalah betul, insyaAllah kejayaan akan berada di dalam tangan.

Lima perkara yang dinyatakan tadi adalah di antara ‘rahsia-rahsia’ yang dimiliki oleh kebanyakan usahawan-usahawan internet yang berjaya. Tanyalah mereka, dan mereka akan berkata perkara yang sama.

  1. Cepat Belajar
  2. Cepat Bertindak
  3. Tidak Takut
  4. Fokus dan Komitmen 100%
  5. Pengurusan Masa

Seperti yang dinyatakan, lima perkara di atas hanya di antara atau sebahagian. Banyak lagi perkara atau faktor yang menyebabkan seseorang itu berjaya sama ada dari segi fizikal, mental, spiritual, mahu pun kemahiran.

Semoga kita menjadi manusia yang tidak mengsia-siakan masa, seperti yang Allah tegaskan di dalam surah Al-‘Asr.

Sekian.

Penulis: Mohd Zulfadli


(SmartZul) adalah seorang penulis dan usahawan Internet sepenuh masa. Beliau memulakan perniagaan melalui Internet sejak tahun 2005, dengan memfokus kepada bidang penulisan dan penerbitan secara online. Beliau turut aktif berkongsi ilmu dan pengalaman melalui blog dan juga komuniti Facebook. Klik menu Hubungi di atas untuk menghubungi beliau.

SERTAI NEWSLETTER SMARTUSAHA.COM
Sertai newsletter SmartUsaha.com untuk mendapatkan info dan tip-tip perniagaan dan pemasaran Internet terus ke emel anda.
Kami benci spam. Emel anda selamat bersama kami.

Komen Guna Facebook:

comments

13 thoughts on “Formula Kejayaan Usahawan Internet

  1. Setiap usahawan internet yang berjaya mempunyai formula kejayaan yang tersendiri tetapi tidak jauh berbeza dengan usahawan internet yang lain.

    Untuk berjaya seperti mereka, kita perlu ikut dan praktikkan petua dan formula yang telah mereka gunakan.

    Terima kasih Saudara Zul..artikel yang amat berguna kepada saya.

  2. Ya! Formula2 yang disebutkan di atas adalah resepi sebenar kejayaan kebanyakan usahawan internet.

    Apa hanya perlu aplikasikan pada diri dan bisnes anda sahaja.

    Tip hebat dari Tuan Zul. Terima kasih! πŸ™‚

  3. Cepat Belajar
    Cepat Bertindak
    Tidak Takut
    Fokus dan Komitmen 100%
    Pengurusan Masa

    5 perkara ini memang harus ada dalam diri seorang yang berjaya.Doa selepas solat yang berterusan juga perlu dalam rahsia kejayaan(untuk muslim sahaja)=)

    1. Tepat sekali. DOA itu amat penting, malah yang pertama-tama sekali. Hebat di dunia tapi tidak hebat hubungan dengan ALLAH tidak guna juga. Terima kasih. πŸ˜€

  4. Salam saudara zul dan semua pembaca,

    Terima kasih zul, satu artikel yang padat dan berguna sebagai panduan, 5 point nie sebenarnya memang penting tapi kerana satu sifat iaitu “malas” maka 5 point nie memang susah untuk dilaksanakan.

    Tapi yang penting segala usaha kenalah disertakan dengan doa dan tawakkal kepada Allah

  5. kadang2 ada yg tak dapat nak bahagikan masa utk bisnes dan kerja tetap masing2.. lagi2 kalau kerja sampai lewat malam.. dulu kawan saya ada cuba bisnes internet tp kena hadir kursus setiap malam.. dia tak larat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *