Fasa-fasa perniagaan dan sudah tiba masanya untuk anda pergi lebih jauh

Fasa-fasa perniagaan yang biasa kita baca dan tahu:

  1. Bekerja sendiri (self employed)
  2. Pemilik perniagaan (business owner)

Ramai usahawan di Malaysia mahupun di luar negara bermula dengan bekerja sendiri. Keseorangan. Ada yang terus begitu dan ada yang naik ke fasa seterusnya iaitu membina sebuah perniagaan yang berorganisasi.

Seorang mentor saya berkata, “Alang-alang mahu bekerja sendiri, lebih baik jadi boss terus.”

Beliau berkata begitu kerana ramai orang yang tidak suka bekerja dengan orang lain, membuat keputusan untuk bekerja sendiri tetapi akhirnya menjadi kuli kepada diri sendiri. Mereka melakukan apa jua tugas-tugas dalam perniagaan sendiri-sendiri. Pengurusan, operasi, akaun, promosi, pemasaran dan jualan, merekalah segalanya. Malah merekalah juga kerani, tukang cuci, tukang hantar barang dan cashier.

Saya setuju dengan pandangan mentor saya itu, lantas saya juga berazam untuk menjadi lebih baik dan membentuk sebuah perniagaan yang lebih berstruktur. Saya sebenarnya seorang berminda usahawan dan strategist, bukan lebih kepada kepakaran. Sebab itu saya tidak pernah mengatakan saya pakar itu dan pakar ini. Saya seorang usahawan. Itu saja.

Walaubagaimana pun, saya tidak boleh menafikan pandangan-pandangan lain. Tetapi pandangan mentor di atas bagi saya, ia lebih jauh ke depan, terutama bagi usahawan yang mahu membina sebuah empayar. Bagi yang sekadar mahu berniaga untuk cari pendapatan, itu cerita lain. Pada asasnya, membina perniagaan bukan sahaja untuk diri sendiri, malah membuka peluang pekerjaan untuk orang lain. Dan salah satu matlamat perniagaan dilakukan adalah untuk “bebas”, tetapi kita sendiri boleh akui, adakah ramai yang bebas? Tidak. Mereka membelit diri mereka sendiri..

Namun untuk lebih menenangkan jiwa dalam isu ini, saya mengambil jalan tengah. Seorang yang baru mula berniaga, boleh memulakan dengan diri sendiri, ataupun sekurang-kurangnya mempunyai seorang rakan niaga. Syarat-syarat rakan niaga adalah:

  • Elakkan ahli keluarga ataupun saudara-mara
  • Bukan sahabat baik
  • Mereka adalah orang yang pandai sesuatu yang kita tidak tahu. Mereka boleh saling melengkapi.
  • Rakan kongsi tidak semestinya orang yang kita sudah lama kenal.
  • Sebaik-baiknya salah jantina. Ia lebih selesa, mudah dan jauh daripada fitnah. Melainkan mereka adalah pasangan sah kita. 😉

Kita boleh bermula keseorangan, tetapi jangan terlalu lama. Namun tiada dalam mana-mana kitab dan fatwa ulama yang mengatakan haram hukumnya berniaga seorang diri. Bagi saya, kadang-kadang yang seorang itu lebih baik daripada cara lain. Tetapi dengan syarat, harus dilakukan dengan baik, fokus dan terurus.

Mana-mana cara boleh dilakukan, bergantung juga kepada jenis perniagaan, keperluan dan matlamat dalam perniagaan. Kalau hari ini kita ada satu gerai pisang goreng, bagaimana kita boleh mengembangkannya ke tempat lain? Sudah pasti kita perlukan pekerja ataupun “wakil” untuk membuka gerai yang baru di kawasan lain. Contoh yang lain, jika anda seorang penulis, anda pasti perlu seorang diri saja. Tetapi tidak semestinya. Sampai satu masa atau anda juga boleh terus memulakan sebuah pasukan ataupun syarikat penulisan secara bersama-sama.

Kesimpulannya, jika anda mahu, mulakan terus dengan membina sebuah perniagaan yang berstruktur iaitu anda sebagai pemilik perniagaan, ada personal assistant, kemudian ada rakan kongsi, barisan pengurus perniagaan dan kemudian ada para pekerja. Saya tahu, semua ini mengambil masa, tetapi kata mentor saya itu lagi, kita perlu terus lantik pekerja walaupun kita tidak banyak duit. Apabila melantik pekerja, kita pasti akan bekerja keras untuk membayar gaji mereka.

Tepuk dada, tanya selera. Ilmu Allah begitu luas. Tiada soal betul ataupun salah di sini. Lakukan apa yang anda rasa betul untuk anda, dan tidak bertentangan dengan ilmu-ilmu bisnes yang murni, agama dan undang-undang.

Penulis: Mohd Zulfadli


(SmartZul) adalah seorang penulis dan usahawan Internet sepenuh masa. Beliau memulakan perniagaan melalui Internet sejak tahun 2005, dengan memfokus kepada bidang penulisan dan penerbitan secara online. Beliau turut aktif berkongsi ilmu dan pengalaman melalui blog dan juga komuniti Facebook. Klik menu Hubungi di atas untuk menghubungi beliau.

SERTAI NEWSLETTER SMARTUSAHA.COM
Sertai newsletter SmartUsaha.com untuk mendapatkan info dan tip-tip perniagaan dan pemasaran Internet terus ke emel anda.
Kami benci spam. Emel anda selamat bersama kami.

Komen Guna Facebook:

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *