Elakkan Dua “Kesilapan” Ini…

Mengelak kesilapan adalah satu tindakan yang bijak. Sepanjang saya melakukan perniagaan internet dari tahun 2005 sehingga sekarang (2010), boleh dikatakan amat banyak kesilapan yang telah saya lakukan. Namun saya melihat ia dari sudut positif di mana:

  • Kesilapan tidak boleh dielakkan,
  • Manusia adalah lemah, tiada yang sempurna,
  • Ia adalah satu ‘latihan’ untuk usahawan agar menjadi lebih cekal.

Jadi, saya tidak berputus-asa untuk terus melakukan perniagaan jika saya melakukan kesilapan (yang tidak disengajakan). Sebaliknya saya perlu belajar dan cuba untuk tidak melakukannya lagi.

Sebelum ini saya telah berkongsikan beberapa kesilapan perniagaan internet yang perlu dielakkan. Pada kali ini, saya kongsikan dua lagi kesilapan yang wajar dielakkan oleh para peniaga internet. Jika boleh, jangan buat langsung dua kesilapan ini.

1. Menjanjikan produk yang belum siap.

Saya telah melakukan “kesilapan” ini beberapa kali. Pada masa itu, belum nampak kesan mendatang. Walaupun saya mampu menyiapkan produk yang belum siap itu, namun kita tidak tahu apakah halangan yang mendatang. Jalan hidup kita hanya Tuhan sahaja yang tahu. Ia adalah rahsia Tuhan. Kita hanya mampu merancang sahaja.

Jadi ingin dijadikan cerita, saya telah menjanjikan sekian-sekian produk kepada sejumlah orang walhal produk itu belum siap. Dari segi hukum, ia tidak salah menjanjikan produk yang belum siap jika kita mampu menghasilkannya. Dalam kes ini, saya mampu menyiapkannya.

NAMUN… Seperti yang dikatakan di atas, kita tidak tahu jalan hidup kita. Lain yang dirancang dan dimahukan, lain pula yang berlaku. Beberapa hal “peribadi” telah berlaku dan ia sedikit sebanyak mengganggu urusan perniagaan saya. Ini mengakibatkan, mereka yang dijanjikan itu terus bertanya status terkini produk, sudah siap atau belum?

Saya ‘bernasib baik’ kerana janji-janji itu hanyalah untuk bonus sahaja (bukan produk utama). Kiranya, produk itu tidak dibayar, tetapi sebagai hadiah tambahan percuma sahaja. Keduanya, saya tidak menetapkan sekian-sekian tarikh yang spesifik. Saya hanya menyatakan apabila produk siap sahaja.

Pendek kata, perkara yang saya lalui ini hanyalah “kecil” sahaja berbanding kes-kes yang dilalui oleh para Internet Marketer yang lain. Saya tidak ada berhutang wang ringgit, tetapi saya hanya berhutangkan janji produk (bonus) sahaja.

Anggap sahaja perkongsian di atas sebagai ikhlas daripada saya agar anda tidak melakukan kesilapan ini. Kalau dilakukan juga, anda akan mengalami tekanan hidup kerana anda akan ditekan bertubi-tubi oleh para pembeli yang telah membayar anda. Tidak cukup dengan itu, ada juga manusia yang akan menjadi “batu api” cuba membakar lagi keadaan yang sedia marak.

Kesimpulan di sini, JANGAN menjual produk yang belum siap. JANGAN ambil duit orang (pembeli) sebelum produk siap. Kita tidak tahu esok masih ada atau tidak untuk kita. Walaupun kita mampu menyiapkannya, tetapi kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada hari esok.

Mulalah menjual produk yang sudah ‘confirm’ akan sampai stoknya (sudah siap, cuma perlu tunggu stoknya), atau lebih baik menjual produk yang telah ada dalam simpanan kita.

2. Tidak menjual kepada prospek yang sedang “hangat”.

Terus-terang saya katakan, saya mempunyai lebih daripada 10,000 emel di dalam sistem autoresponder saya. Banyak bukan? TETAPI, saya menyesal kerana saya tidak menggunakannya semaksimum mungkin di saat-saat awal mereka menyertai Mailing List saya.

Sepatutnya, jikalau sudah ada prospek yang masih baru dan berminat dengan produk jualan kita atau baru tahu mengenainya, kita perlu secepat mungkin menjual atau mempromosikan kepada mereka. Jangan sesekali takut kalau mereka marah atau mengkritik. Mereka punyai pilihan untuk membeli atau tidak.

Mengapa perlu cepat? Di antara sebabnya:

  • Kebanyakan orang, minat mereka terhadap sesuatu perkara hanya sementara.
  • Mereka memiliki kemudahan internet dalam sekian waktu sahaja.
  • Mereka hanya aktif di Internet untuk sekian waktu sahaja.
  • Keperluan mereka telah dipenuhi oleh usahawan lain.
  • Emel “rosak”. Ada emel yang tidak aktif atau telah dihapuskan.

Kes Sebenar: Ada seorang yang mendaftar di Mailing List saya dengan menggunakan emel syarikat di tempat beliau bekerja. Pada satu masa, saya ada menghantar emel “broadcast” kepada ribuan orang termasuklah ke emel beliau. Kemudian saya mendapat satu emel “reply” menyatakan bahawa beliau telah bertukar kerja dan saya dinasihatkan agar “membuangkan” emel beliau daripada rekod autoresponder saya. Emel reply itu dihantar oleh pegawai di tempat kerja itu. Anda tahu apa yang saya mahu sampaikan di sini bukan? Ya, seorang prospek telah “pergi selamanya”.

Jikalau anda sudah mempunyai prospek yang ‘hangat’ sama ada di senarai emel, blog, di Facebook atau di forum, cepat-cepatlah mengambil peluang itu. Jangan sesekali menunda-nundanya di hari lain kerana kita tidak tahu adakah hari itu masih ada atau tidak untuk kita. Kalau masih ada pun, tidak semestinya hari itu adalah ‘hari yang terbaik’ untuk kita.

Antara yang boleh anda lakukan terhadap prospek yang sedang ‘hangat’:

  • Menjual produk utama (first level product).
  • Mempromosikan produk lain (cross promotion).
  • Mempromosikan produk affiliate yang sesuai untuk mereka.
  • Menawarkan pelbagai pakej pilihan pembelian (yang berbeza harga).
  • Mengadakan seminar, kursus atau bengkel.

Sikap mengambil peluang dengan segera adalah selaras dengan sebuah hadis masyhur Rasulullah SAW, iaitu “rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara”. Menunda-nunda sesuatu usaha yang bermanfaat adalah sesuatu yang amat merugikan kerana kebanyakannya hanya datang SEKALI SAHAJA.

Kesimpulan

Dua kesilapan teknikal perniagaan internet (atau mana-mana jenis perniagaan pun) yang saya kongsikan di atas perlu dijadikan pelajaran terbaik untuk anda. Anda boleh dan mampu mengelaknya. Saya telah melaluinya dan tetapi anda tidak perlu.

Semoga bermanfaat.

-comment off-

Penulis: Mohd Zulfadli


(SmartZul) adalah seorang penulis dan usahawan Internet sepenuh masa. Beliau memulakan perniagaan melalui Internet sejak tahun 2005, dengan memfokus kepada bidang penulisan dan penerbitan secara online. Beliau turut aktif berkongsi ilmu dan pengalaman melalui blog dan juga komuniti Facebook. Klik menu Hubungi di atas untuk menghubungi beliau.

SERTAI NEWSLETTER SMARTUSAHA.COM
Sertai newsletter SmartUsaha.com untuk mendapatkan info dan tip-tip perniagaan dan pemasaran Internet terus ke emel anda.
Kami benci spam. Emel anda selamat bersama kami.

Komen Guna Facebook:

comments