Blog Perniagaan Internet: SmartUsaha.com

Cerita Saya : Mengejar Impian Membina Sebuah Empayar Perniagaan (1)

Setiap orang memiliki cerita sendiri. Dan berikut ini cerita saya.

Mungkin cerita ini sedikit panjang. Tapi saya berharap ia sedikit sebanyak memberikan anda inspirasi, semangat dan motivasi. Tidak seperti orang lain, saya tidak banyak kisah kejayaan. Hatta sekarang pun, saya masih ‘bermain-main’ dengan kegagalan. Dan, cerita saya pun tidaklah sehebat cerita orang lain.

Mungkin ramai yang bertanya kisah saya atau cerita saya. Bagaimana saya bermula dan bagaimana saya boleh ‘berjaya’ seperti sekarang. Sebelum itu ingin saya nyatakan, saya belum berjaya sepenuhnya.

Bermula tahun 1996 iaitu semasa tingkatan dua, saya sudah mula minat dengan perniagaan. Tetapi pada masa itu saya 100% buta IT dan komputer. Tetapi peluang pada masa itu yang terbentang luas adalah mail order business.

Setiap iklan di akhbar yang menawarkan peluang perniagaan, semuanya saya cuba dapatkan maklumat secara percuma, malah ada juga yang saya bayar. Duit belanja sekolah saya, saya simpan sedikit dan saya amat jarang makan nasi di sekolah semata-mata mahu membeli bahan rujukan.

Hasilnya… Saya tidak dapat apa-apa. Kebanyakan peluang perniagaan adalah karut, menipu dan hanya indah pada kata-kata sahaja. Saya kecewa. Tujuan utama saya mahu mencari wang tambahan adalah kerana saya tidak mahu menyusahkan keluarga saya dan saya mahu berdikari. Saya pun tidak sangka saya boleh mempunyai fikiran sebegitu pada umur 14 tahun.

Sedikit perkongsian, saya amat sukakan hobi rekacipta sejak umur 14 tahun lagi. Subjek Kemahiran Hidup adalah salah satu subjek kegemaran saya. Malah saya masih ingat, pada darjah 4 (umur 10 tahun) selepas pulang dari sekolah, saya ‘mencipta’ satu ubat menggunakan daun kapal terbang. Saya berbuat demikian sebab cikgu saya kata saya berbakat jadi saintis.

Saya bercita-cita tinggi mahu menjadi seorang perekacipta seperti Zulkifli Haron. Beliau menjadi inspirasi saya. Satu-satunya inspirasi saya pada masa itu. Hidup saya tak lepas daripada merekacipta atau mencuba pelbagai eksperimen sehingga pernah terkena kejutan elektrik. Di sekolah, saya adalah antara orang yang membantu kawan menyelesaikan masalah elektronik.

Itu cita-cita dulu. Tapi selepas tamat sekolah, ia terkubur begitu saja. Saya akan ceritakan bagaimana ia boleh terkubur. Tapi konsep dan pemikiran rekacipta saya tu saya tetap guna sampai sekarang untuk perniagaan saya. Dalam bisnes, kreativiti amat perlu.

Berbalik kepada kisah perniagaan saya sejak sekolah, disebabkan saya akan menduduki peperiksaan PMR pada tahun 1997, saya meninggalkan terus segala peluang perniagaan yang saya cuba cari tersebut. Syukur, keputusan PMR saya amat cemerlang termasuk bahasa Arab yang mana seingat saya hanya 10 orang sahaja yang dapat A daripada sekitar 40 orang.

Menyebut mengenai peperiksaan bahasa Arab, ingin saya kongsikan sedikit perjalanan usaha saya sehingga mendapat A. Rumah saya di kampung bukanlah besar sangat. Lampu luar (ruang tamu) perlu ditutup pada waktu malam (waktu tidur). Jadi tiada ruang selesa untuk saya mengulangkaji pelajaran.

Sebelah petang pula saya jarang study sebab saya perlu bantu nenek saya. Kerja-kerja rumah sayalah yang melakukannya seperti memasak dan mengemas. Selepas Asar, saya perlu ke surau untuk belajar mengaji hatta sayalah sorang-sorangnya yang paling tua di antara yang belajar mengaji. Solat maghrib dan isyak, saya ‘diwajibkan’ solat berjemaah di surau.

Datuk saya amat tegas dalam bab solat dan mengaji Quran. Terima kasih atas didikan Allahyarham datuk saya yang menyebabkan saya pandai dalam mengaji dan amat sensitif dengan soal Agama. Saya tidak sempat membalas jasanya. Tapi saya hanya mampu memandikan jenazahnya sahaja.

*Saya dibesarkan oleh datuk dan nenek saya sejak kecil lagi. Mak dan ayah saya masih ada. Saya pun tidak tahu sebab saya ‘diambil’ oleh nenek. Mungkin sebab saya cucu sulung dia kot. ;)

Jadi, satu-satunya masa untuk saya mengulangkaji pelajaran hanya pada waktu malam. Dengan sedikit ‘tempias’ cahaya lampu dari dapur yang masuk ke bilik, saya cekalkan hati belajar dalam sedikit kegelapan. Saya tidak boleh buka lampu kerana saya tidak mahu ahli keluarga saya terganggu tidur mereka.

Pada malam sebelum peperiksaan bahasa Arab, dengan berbekalkan cahaya pelita, saya mengulangkaji apa yang perlu. Alhamdulillah, kebanyakan yang saya ulangkaji amat-amat membantu saya. Seterusnya saya dapat A.

Kehidupan saya yang tidaklah begitu senang membuatkan hati dan jiwa saya semakin berombak-ombak untuk mencari pendapatan sendiri. Namun entah mengapa, saya tidak tergerak untuk mencari peluang perniagaan yang baru. Saya terus melupakannya sehingga saya tamat tingkatan lima (SPM – dapat 9 agregat, top 10 student).

Namun saya masih ingat. Pada masa itu, saya ada menulis impian untuk memiliki sebuah perniagaan sendiri yang maju pada masa nanti. Dan sehingga kini, saya masih berhempas pulas untuk merelisasikannya.

Ahli keluarga saya langsung tidak tahu apa yang saya buat. Malah tidak tahu pun ke mana wang belanja sekolah saya habis. Saya hanya keseorangan di dalam perjalanan mengejar impian saya yang entah tercapai atau tidak. Impian saya untuk memiliki perniagaan bukan tiga empat tahun lepas, tapi sejak saya di sekolah lagi (13 tahun lalu : 1996-2009).

Amat Minat Komputer

Saya amat gilakan komputer. Namun untuk menyentuhnya pun saya tidak mampu. Semasa tingkatan dua tidak silap saya, saya sering melihat ke arah bilik komputer di sekolah. Hendak masuk kursus komputer di sekolah tu, saya tidak mampu. Jadi saya hanya mampu memasang impian sahaja.

Saya beli Majalah PC. Dan saya beli akhbar Utusan Malaysia pada setiap hari Khamis yang mana ada sisipan Megabait iaitu mengenai komputer dan IT. Saya baca dan hanya memahami komputer secara teori sahaja. Langsung tidak menggunakannya.

Dan saya masih ingat. Saya sering berulang-alik ke sebuah sebuah kedai buku yang berdekatan dengan sekolah. Apa saya buat? Saya ke sana mencuri baca sebuah buku asas komputer. Nak beli tidak mampu. Malah saya mana ada komputer untuk mempraktikkan ilmu dalam buku tu. Jadi saya baca sahaja dan bermain dengan “khayalan”.

Di perpustakaan sekolah pula, saya mencari buku komputer. Sedih di hati, tiada buku yang berkaitan. Hanya buku mengenai programming BASIC sahaja. Tapi saya layan sajalah cuba memahami “programming tu apa benda?”. :D

Saya juga bertanyakan pengalaman ibu saudara saya menggunakan komputer. Saya hanya bermain dengan bayangan sahaja daripada cerita beliau. Saya hanya menyimpan hasrat pada suatu hari nanti saya akan memiliki sebuah komputer. Saya masih ingat lawak saya kepadanya, yang saya kata, “Tak apa tak dapat beli satu set komputer terus. Li akan beli satu-satu bahagian. Beli mouse dulu, kemudian keyboard…”. Kami tergelak kecil..

Pertama Kali Sentuh Komputer

Saya ingat-ingat lupa bila pertama kali saya menggunakan komputer. Tapi seingat saya semasa di kelas Rekacipta semasa tingkatan 5. Walaupun begitu, komputer amat jarang digunakan. Tapi saya rasa puas walaupun menggunakan komputer sedikit-sedikit.

Namun, pada masa tersebut ada satu pusat latihan komputer menawarkan kursus percuma. Saya sama sekali tidak melepaskannya. Saya belajar yang asas (modul Office). Dan kemudian untuk dapatkan sijil, saya perlu bayar RM5.00. Saya sekali lagi puas sebahagian hajat telah terlaksana.

Kemudian, kawan saya ajak saya ke ‘Cyber Cafe’. Punyalah ‘baik’ kawan tu, benda pertama yang dia ajar adalah chatting IRC. ;) Selepas habis masa dia, saya extend satu jam lagi. Saya mula ketagih internet. Saya keseorangan di situ. Selepas kali pertama tu, saya sudah pandai ke CC seorang diri.. Tapi dengan satu hajat utama. BUAT DUIT.

Saya masih simpan dua disket mengenai cara buat duit melalui internet. Disket itu sudah berusia 3 tahun pada masa tersebut yang mana saya beli pada tahun 1996. Bayangkan, disket yang saya dapat tu, tiga tahun kemudian baru saya buka dan dapat baca sepenuhnya.

Namun hati sekali lagi kecewa. Tiada maklumat khusus bagaimana buat duit dalam disket tersebut. Yang diberi hanya link laman web sahaja. Dia suruh kita buat, tapi tidak diajar bagaimana untuk buat.

Tapi saya melihat ia secara positif. Sekurang-kurangnya mata hati saya sudah mula terbuka dan tahu bahawa di internet ada “lombong emas” yang boleh menghasilkan duit untuk saya.

Satu-satunya perkara yang amat membekas di hati saya yang menyebabkan saya tekad untuk berubah dan mencapai kejayaan adalah “saya berkongsi makan sebiji telur goreng dengan nenek saya dan ‘berkuah’kan budu sahaja dengan nasi kosong”. Saya masih ingat keadaan itu sehingga sekarang dan saya tidak mahu ia berulang lagi.

Perjalanan saya begitu panjang. Hatta sekarang pun saya masih mengalami kegagalan. Ramai orang menganggap saya begitu mudah mencapai tahap sekarang. Sama sekali tidak.

Banyak ranjau yang telah saya lalui. Hanya hati yang tabah sahaja yang mampu mengharunginya. Bukanlah bermaksud orang lain termasuk anda perlu melalui ranjau dan susah tersebut. Ia adalah cerita saya, bukan cerita anda. Hidup ini penuh warna warni. Ada manis, ada pahit.

Saya sudah banyak kali rebah, tapi saya terus bangkit walaupun sekadar hanya mampu merangkak.

bersambung…

Facebook comments:

24 Responses to “Cerita Saya : Mengejar Impian Membina Sebuah Empayar Perniagaan (1)”

  1. jedi79 says:

    Zul, the story speaks for itself, a lot of lesson to be learned ni.Part telur goreng tu terharu baca…

  2. Waida Kmy says:

    Pengalamanlah yang mendewasakan kita. Tiada pengalaman, tiadalah kita, bukan? :) Tidak semua orang mampu merasa pengalaman sebegini

  3. Elyas says:

    Slm Zul, thanks dengan perkongsian anda. Setiap insan pasti melalui liku2 hidup seperti kejayaan dan kegagalan. Yang penting kita berani hadapi segalanya. Dengan segala pengalaman, saya yakin kita akan lebih peka dan bijak menjalani kehidupan ini.

    Bagi saya kita tidak harus berputus asa walaupun menempuh seribu kegagalan. Kejayaan adalah pasti sekiranya kita dapat mengharungi segala dugaan. Saya menghormati perjalanan hidup anda kerana ia adalah perkara yang paling berharga.

  4. Afyan says:

    Seronok baca kisah Tuan Zul!

    Saya tidak sabar menanti kesinambungan kisah ini.

    Kebetulan, di blog saya, saya baru sahaja bercerita beberapa kegagalan saya dalam bisnes :(

    Kisah 1 : Mula-mula bisnes dengan modal kecik
    Kisah 2 : Bisnes Kad Prepaid
    Kisah 3 : Bisnes bunga Konvo

    :)

    • smartzul says:

      Terima kasih Tuan Afyan!

      Dunia ni penuh warna warni. Dan setiap orang ada warna-warna tersebut.

      Kisah kegagalan adalah kisah yang LEBIH HEBAT berbanding kisah kejayaan. Sebabnya mudah:

      KEGAGALAN = PERJALANAN

      KEJAYAAN = HASIL

  5. KampungBoy says:

    Owh…sekolah Arab dulu
    samala..dengan ambo
    tapi…tula, mmg tak berapa minat Arab
    tu yang amik aliran sains

    • smartzul says:

      Tak, saya ambil aliran Sains tapi ambil subjek Bahasa Arab. Itu masa PMR sahaja. Masa SPM, dah tak ambil bahasa Arab Tinggi sebab dibubarkan dari aliran sains.

      So, saya sekolah harian biasa saja. :)

  6. Pengalaman mengajar erti sebuah kejayaan.. Kegagalan membentuk kita untuk menjadi lebih matang.. Keinginan adalah satu sumber inspirasi untuk berjaya

  7. JimieRay says:

    Salam Zul.

    Satu catatan perjalanan yang cukup panjang bagi orang yang mengalaminya.

    “Anda tidak kalah walaupun anda berada di bawah, tetapi ada pasti kalah sekiranya anda tidak sanggup untuk bangun semula.”

  8. Mimi Salleh says:

    kemanisan usia adalah pada pengalaman dan orang2 yang kita temui.

  9. asma says:

    Saudara Zul,

    Saya baru saja memulakan langkah dalam bidang ini. Kadang-kadang saya merasa amat takut, takut pada kekalahan dan kegagalan.

    Terima kasih kerana berkongsi pengalaman. Saya promote blog saudara dalam blog supaya orang-orang seperti saya akan berjaya seperti saudara!

    • smartzul says:

      Takut itu adalah biasa saja pada permulaan. Ia normal. Cuma jangan sampai takut tu menguasai diri lah. :)

      Lama-lama insyaAllah takut tu akan hilang, malah semakin seronok buat bisnes ni.

  10. Adilla says:

    Salam!

    Mengikuti kisah yang dinukilkan di atas membuat saya tambah percaya bahawa kejayaan itu memang manis untuk dikecapi tapi payah untuk diraih. Payah itu adalah dari segi pengorbanan dan kesukaran liku-liku yang harus ditempuh. Ada orang dengan mudah mencipta kejayaan namun ramai juga yang bermula seperti saudara Zul.

    Pandangan saya, sudah pasti erti kejayaan itu berbeza bagi mereka yang terlalu mudah mengecapinya berbanding dengan yang perlu melalui pahit maung seperti saudara. Namun hasilnya pasti lebih manis dan dapat menjadi ingatan supaya tidak mudah lupa asal usul sebelum menjadi seperti sekarang.

    Saya cuma ingin mengucap tahniah pada saudara atas apa jua kejayaan yang saudara telah kecapi dan bakal kecapi dan didoakan saudara mendapat barokah dalam hidup. Insayaallah saudara pasti boleh!

    Wassalam.

  11. Adilla says:

    Salam!

    Saya nak bertanya sikit, apakah formula utama untuk cepat faham dan mahir dalam Bahasa Arab (menurut pengalaman saudara). Anak sulung baru memasuki Tingkatan 1 di SMKA Maahad Hamidiah dan baru-baru ni markah peperiksaannya menurun dari ujian sebelumnya. Seperti biasa mak risau lebih dari anak. Selain tu saya juga minat dengan Bahasa ni, cuma tak lagi berpeluang mempelajarinya.

    Salam

    • smartzul says:

      Salam.

      Saya tak tahu lah apa rahsianya. Kalau ikut pengalaman saya dulu, yang penting adalah faham konsep asas bahasa Arab tu terutama tatabahasanya. Ia lebih mudah dari bahasa Inggeris sebenarnya.

      Kemudian, pastikan hafal perkataan (vocabulary) sebanyak mungkin. Sedikit tahu perkataan dalam bahasa Arab, susahlah nak menulis atau bercakap.

      Satu lagi, buat latihan secara konsisten. :)

      Apa pun, minat perlu ada lah. Saya suka bahasa ni. So tak jadi masalah untuk saya belajar dengan seronoknya.

  12. nazanoyin says:

    salam semua,

    kisah en zul ini sangat-sangat memberi inspirasi.

  13. azie says:

    salam zul,

    tahniah kerana telah hampir sampai ke puncak. setiap pahit n getir cuma asam garam dalam hidup ini utk menjadikan kita lebih tabah n kuat dlm menharungi hidup ini.

  14. abanglong says:

    Salam Zul. Terimakasih kerana hadir di Bengkel Rahsia Tarikh Lahir ahad lepas.

    Bukan senang nak senang. Semuanya perlukan pengorbanan, samada masa, tenaga ataupun wang ringgit. Selagi ada matlamat dan tujuan, selagi itulah kena bekerja keras untuk mencapainya.

    Perjuangan kita semua belum selesai.

    Jumpa lagi

Trackbacks/Pingbacks

  1. Perniagaan Internet | Usahawan Internet Malaysia Berjaya | Motivasi » Mereka Semua Ada Kemahiran Komputer & Internet
  2. Catatan Impian TIGA Tahun | Blog Perniagaan Internet

Leave a Reply




Polisi Komen:

Sila baca polisi berikut sebelum memberikan pendapat (komen) anda untuk artikel di blog ini:

  • Gunakan nama sebenar atau nama panggilan anda, bukan keyword promosi
  • Tidak meletak link URL di dalam komen
  • Gunakan bahasa yang sopan dan tidak beremosi
  • Dilarang meletak URL website program buat duit yang diragui.
  • Dilarang meletak link URL yang telah disembunyikan (cloak).

Komen yang tidak mematuhi polisi akan diedit atau dipadam.

 

Why ask?

| Panduan Buat Blog Wordpress | Panduan FTP | Sistem Survey |
SmartUsaha.Com adalah rangkaian perniagaan internet milik Inspirasi Maya Enterprise (JM0472383-X)