Blog Perniagaan Internet: SmartUsaha.com

Isu: Kadar Bayaran Ceramah

Setelah melakukan sedikit kajian dan pembacaan mengenai penetapan kadar bayaran untuk jemputan ceramah, saya dapati ada dua pendapat atau ‘mazhab’ (kumpulan):

  1. Ceramah sebagai amalan akhirat (tidak caj mahal)
  2. Caj dari sudut pandangan bisnes

Kedua-dua kumpulan ini masing-masing mengemukakan hujah tersendiri, malah ada yang menidak-nidakkan atau mempersoalkan kaedah pihak yang lain. Dan saya perhatikan, yang banyak mengupas hal ini adalah kumpulan satu.

Contohnya, kumpulan 1 mengatakan orang yang meletakkan kadar bayaran yang tinggi adalah orang yang tidak ikhlas, membebankan pihak penganjur dan mementingkan duniawi. Maksudnya, amatlah tidak wajar kadar bayaran diletak dengan begitu tinggi. Mereka mahu semua orang ikut cara mereka, yang tidak mementingkan kadar caj dan lebih sesuai di sisi Agama, katanya.

Namun, kumpulan 2 pula tetap dengan pendirian mereka dengan menggariskan sebab-sebab mereka menetapkan kadar bayaran yang tinggi. Antaranya adalah soal kos, penceramah itu tiada bergaji tetap (usahawan) dan pelbagai lagi kos-kos lain yang perlu mereka tanggung. Inilah yang dimaksudkan caj dari sudut bisnes, iaitu caj ditetapkan dengan pelbagai rangkuman aspek berkaitan.

Isu ini lebih kurang sama dengan persoalan “adakah mengambil upah dengan mengajar Al-Quran boleh atau tidak”. Ada ulama yang membolehkan, ada ulama yang tidak mengalakkannya. Namun, pendapat pertama adalah lebih disokong ramai atas penilaian-penilaian yang munasabah, dan melihat pada pelbagai skop. Namun, semuanya bergantung juga kepada keadaan dan situasi.

Pendapat Saya?

Saya tidak berpihak kepada mana-mana dua kelompok di atas, malah mengguna pakai kedua-dua cara. Pada tahun 2005, saya beberapa kali memberikan ceramah mengenai perniagaan internet tanpa mengenakan sebarang caj. Ceramah itu adalah untuk para pelajar IPT. Niat saya adalah untuk berkongsi ilmu dan pengalaman.

Manakala pada tahun 2006, saya menjadi penceramah dan trainer untuk satu pihak penganjur bengkel perniagaan internet. Berapa yang saya dapat? Saya tidak menetapkan apa-apa, malah menerima berapa sahaja yang mereka berikan. Yang penting dapat memenuhi kos pengangkutan, makan minum dan ada sedikit duit lebihan. Saya tidak sesekali melihat kepada ‘profit’. Hanya ingin berkongsi ilmu sahaja.

Namun, dalam keadaan tertentu, saya juga akan mengenakan kadar bayaran yang tinggi. Semuanya melihat kepada keadaan dan situasi. Hidup kita ini adalah fleksibel dan tidak boleh keras hati dengan satu pegangan semata-mata.

Untuk kumpulan 1 yang mengatakan kadar bayaran tinggi itu menyusahkan dan menuduh pihak kumpulan 2 tidak ikhlas, ia adalah satu kata-kata yang penuh kerosakan. Siapakah kita untuk membaca hati dan niat orang lain? Mengenakan bayaran yang tinggi tidak bermaksud tidak ikhlas, dan mengenakan bayaran yang rendah tidak pula bermaksud si penceramah itu adalah yang terbaik.

Lihat sahajalah berapa ramai penceramah percuma yang cincai isinya hanya mengutuk itu ini, mengumpat dan memfitnah, sampai diri sendiri pun cakap tidak serupa bikin. Jadi kita tidak boleh mengatakan yang harga tinggi itu tidak patut, dan yang murah itu terbaik. Begitulah sebaliknya, ada juga yang mahal kosong isinya, dan yang murah pula penuh pengisian.

Di dalam berpandangan, kita perlu melihat kesemua pegangan tanpa berat sebelah atau memandang pada satu sisi sahaja. Keduanya, kita tidak boleh menghakimi orang lain dengan prinsip kita yang mungkin hanya sesuai untuk kita dan tidak untuk orang lain.

Ketiga, jika seseorang penceramaah menetapkan harga tinggi dan tidak mampu untuk kita membayarnya, kita masih mempunyai banyak pilihan untuk menjemput penceramah yang sesuai dengan bajet atau peruntukan program. Mudah bukan? Jangan sampai kita menuduh orang lain tidak ikhlas atau melontarkan 1001 kata-kata nista dan dusta kepada mereka.

Kita perlu menjadi manusia yang adil di dalam menilai dan berkata sesuatu. Kita tidak boleh menghakimi orang lain sesuka hati. Penceramah yang meletak harga tinggi ada pasarannya tersendiri dan penceramah yang meletakkan harga rendah juga ada sasaran mereka sendiri.

Di dalam proses menyebarkan ilmu, ada banyak jalan, kaedah dan cara. Kita sama sekali tidak boleh menetapkan hanya satu kaedah untuk proses penyampaian ilmu ini. Sebagai contohnya, orang-orang yang berada. Mereka biasanya lebih selesa menyertai program yang mahal dan eksklusif. Jadi mereka adalah kumpulan terbaik untuk penceramah yang meletak kadar bayaran yang tinggi tadi.

Orang-orang yang berada (kaya) itu mahu mengikuti program yang eksklusif sahaja bukanlah bermakna mereka menidakkan yang murah atau yang biasa-biasa, tetapi mereka melakukan sesuatu yang sesuai dengan tahap mereka. Tidak bolehlah kita menghukum mereka sesuka hati. Orang miskin pun ramai juga yang jahat, orang kaya pun ramai juga yang baik. Selagi bernama manusia, miskin atau kaya, semuanya terletak pada hati. Jangan sama sekali menilai pada harta.

Bayangkan, jika semuanya murah-murah, adakah usaha “dakwah” atau penyampaian ilmu akan sampai kepada orang-orang yang berada itu? Manusia ini banyak kelompok dan jenisnya. Maka kita perlu berusaha dengan kaedah yang sesuai untuk setiap kelompok.

Yang meletakkan harga tinggi tidak semestinya tidak ikhlas dan tidak diredhai Allah. Malah mungkin yang meletakkan bayaran murah itu amat riak orangnya dan kacau jiwanya. Segalanya ada kemungkinan. Maka dapat kita simpulkan, (1) Jangan membaca hati dan niat orang (hukumnya berdosa), (2) Jangan menilai sifat seseorang pada kadar bayaran, (3) Kita perlu bersangka baik, (4) Kita buat cara kita dan orang lain dengan cara mereka.

Akhir kata, isu-isu kecil sebegini hanya diheboh-hebohkan oleh mereka yang tidak adil di dalam berilmu dan pertimbangan, serta menilai sesuatu tanpa melihat pada pelbagai aspek dan skop berkaitan. Mereka hanya tahu menghukum semua orang lain salah dan hanya mereka betul. Paling teruk, mereka hanya pengkritik yang tiada apa-apa sumbangan untuk Agama, umat, bangsa dan negara.

Hidup ini terlalu banyak rencahnya dan apabila kita seronok dengan kaedah kita, janganlah pula menghakimi orang lain semuanya tidak betul dan salah. Cuba soalkan diri kita dahulu sebelum mengkritik orang lain, “Adakah cara aku benar-benar sudah betul?” Dari situ kita akan sedar bahawa, tiada yang terbaik. Semuanya betul melainkan jelas ia salah.

Wassalam.

Nota Kaki:

Setakat ini, saya belum menganjurkan sebarang siri seminar saya sendiri. Saya tidaklah hidup dengan mengadakan seminar atau ceramah selama bertahun-tahun lamanya. NAMUN, ingin saya nyatakan, tidak salah seseorang itu mengadakan seminar atau hidup dengan hasil berceramah atau menganjurkan program sahaja. Mengapa? Sudah ditakdirkan dirinya berperanan sebagai penceramah! Rezeki masing-masinglah kan? Kalau kita mempersoalkan, bermakna kita telah mempersoalkan Allah yang telah menyediakan rezeki itu untuk mereka.

Dan keduanya, setiap manusia ada cara dan peranan tersendiri. Jangan pula kalau kita buat A, kita juga mahu orang lain buat A dan mempersoalkan mengapa mereka buat B. Mengapa mahu dengki dan mempersoalkan? Tiada apa-apa manfaat jika kita cuba mempertikaikan usaha baik orang lain. Bak kata Wonder Pets (cerita kartun), yang penting adalah KERJASAMA. Sama-samalah kita membangunkan umat dan bangsa dengan cara masing-masing. Bersatu teguh, bercerai kita roboh.

Cadangan Topik Buku Asas Perniagaan Internet

Entri ini boleh dikatakan sebagai kaji selidik ringkas saya.

Saya bakal mula menulis buku yang pertama. Cadangannya berkaitan ASAS perniagaan Internet dan ia adalah dalam bentuk teori dan konsep sahaja, bukan teknikal. Saya memerlukan cadangan tuan puan semua, apakah di antara topik atau perkara yang perlu saya masukkan (tulis) ke dalam buku tersebut? Jika boleh, perkara paling asas yang masih belum atau mahu difahami.

Saya mahu menulis buku asas kerana masih ramai lagi yang tidak memahami asas-asas perniagaan internet. Setiap hari, boleh dikatakan saya menerima pelbagai soalan-soalan yang asas. Jadi saya semakin merasakan, jalan terbaik adalah menulisnya ke dalam buku agar setiap kali saya ditanya soalan asas, saya boleh mencadangkan buku tesebut untuk mereka beli dan baca, sebagai bacaan pertama sebelum bertindak memulakan sebarang bentuk atau model perniagaan internet.

Keduanya, saya mahu menyusun sebuah penulisan secara tersusun dan mudah dibaca (sudah pasti melalui buku). Walaupun saya sudah banyak menulis di blog ini, namun tidak semua orang mempunyai masa yang banyak untuk membaca di internet. Dengan harapan, buku berbentuk asas dan ‘teori’ ini boleh dibaca di mana-mana sahaja.

Ketiganya, saya telah mengkaji banyak buah buku, dan saya melihat ada beberapa ‘kekosongan’ atau bahagian yang boleh saya isi. Buku-buku sedia ada sudah bermanfaat, namun saya yakin, dengan kehadiran buku saya kelak, ia sedikit sebanyak melengkapkan rujukan-rujukan sedia ada. Kiranya, buku saya ini bukan untuk meyaingi buku-buku tersebut, tetapi adalah untuk melengkapkan dan menambah jumlah rujukan buku Internet Marketing di dalam Bahasa Melayu, yang kini masih belum banyak di pasaran.

Untuk itu, seperti yang saya nyatakan di atas, saya memerlukan cadangan daripada tuan puan semua mengenai topik yang mungkin boleh dimasukkan ke dalam buku tersebut. Tulis seberapa banyak cadangan atau permintaan pada ruangan komen di blog ini.

Apakah topik atau perkara yang dirasakan perlu untuk masukkan ke dalam buku tersebut? Jika boleh, perkara paling asas yang masih belum atau mahu difahami.

Kemudian, saya juga menghargai jika tuan puan para pembaca membantu saya memenuhi ‘Survey’ ringkas di sini:

Kaji Selidik Pengisian Buku Asas Perniagaan Internet

Saya menerima cadangan daripada sesiapa sahaja sama ada mereka yang baru mahu (berminat) melibatkan diri dalam perniagaan internet, sudah lama atau yang baru bermula. Semoga buku ini kelak dapat memberi manfaat kepada semua pihak.

Kepada yang memberi cadangan dan pandangan, saya ucapkan terima kasih sebanyak-banyaknya.

-
Mohd Zulfadli bin Suddin a.k.a SmartZul
Penulis Blog Perniagaan Internet

24 Sebab Saya Mahu Menulis Buku

Ada 24 sebab (sebenarnya banyak lagi) mengapa saya mahu menulis buku, iaitu buku bercetak melalui mana-mana penerbit yang sudah berdaya saing, di mana sebab-sebab ini, atau kelebihannya, TIADA pada ebook. Di samping saya mahu menulis buku, saya juga akan terus menerbitkan produk-produk informasi digital.

24 sebab tersebut adalah:

1. Ia boleh dipegang oleh pembaca. Cetakannya berkualiti berbanding pembeli cetak sendiri (beli ebook dan cetak).

2. Saya boleh bersahabat dengan para penulis buku yang mana mereka BUKAN penulis ebook. Setakat ini saya telah mempunyai ramai rakan penulis buku. Malah, sudah mengenali tuan punya penerbit buku. :D

3. Pendapatan PASIF. Setiap enam bulan sekali (setahu saya), penulis buku akan mendapat bayaran royalti. Buku pada asasnya, penulisnya tidak perlu jual sendiri. Pihak penerbit akan melakukan pemasaran. Jika kena caranya, tidak mustahil dengan hanya royalti buku sahaja, mampu membina kekayaan dan kejayaan.

Contohnya, Ain Maisarah yang saya sebutkan pada artikel sebelum ini, mampu membeli sebuah kondomium HANYA daripada hasil wang royalti novel-novelnya:

ainmaisarah

Sebuah kondo tiga bilik yang pemandangan balkoninya menghadap tasik dan menara berkembar KLCC. Jaraknya pula hanya 5 minit dari Mid Valley!

Sumber: Rentetan Diari AinMaisarah Tahun 2009

Ya, ya. Pasti akan ada yang berkata, jual ebook lagi mudah dan lebih cepat kaya. Betul, tapi saya tidak bersetuju. Mengapa? Jawapannya ada di akhir artikel ini.

4. Buku boleh diletak dan disusun pada rak-rak di kedai buku. Ebook tidak boleh. Tidakkah bangga (bangga fitrah, bukan bangga riak) apabila melihat buku itu ada nama kita. Malah, tidak semua buku mampu memecah masuk kedai-kedai buku yang ternama seperti MPH dan Popular.

Klik di sini untuk membaca artikel ini sepenuhnya…

Ruang JV Ditutup

Salam ceria untuk para pembaca blog ini dan usahawan internet semua.

Saya menerima banyak emel yang menjemput saya untuk bekerjasama (JV), mendapatkan testimonial, review produk dan pelbagai lagi permintaan. Terima kasih saya ucapkan kerana memberikan kepercayaan kepada saya.

Namun, disebabkan tahun 2009 semakin hampir kepada tirai penutupnya, maka saya tidak dapat lagi menerima sebarang bentuk jemputan atau permintaan buat masa ini sehingga tahun 2010.

Di akhir tahun ini, banyak perkara yang perlu saya lakukan terutama ‘tahun kewangan’ perniagaan saya (bagi tahun 2009) sudah pun cukup setahun. Jadi saya perlu melakukan banyak perkara untuk memastikan perjalanan perniagaan saya lancar pada tempoh yang baru akan datang (2010).

Tip: Untuk lebih maju pada tahun hadapan, lakukan analisa perniagaan untuk satu tahun yang lepas (2009). Senaraikan kelemahan atau kesilapan yang perlu diperbaiki dan senaraikan kekuatan yang masih boleh ditingkatkan. Dan tambah lagi strategi agar pendapatan dapat ditingkatkan beberapa kali ganda.

Selain itu, saya sedang berhempas pulas untuk menyiapkan beberapa produk yang sedang terbengkalai, di samping ada beberapa ‘janji’ yang belum saya tunaikan kepada beberapa orang Internet Marketer seperti review produk, JV dan lain-lain lagi.

Saya seboleh mungkin mahu membantu usahawan-usahawan internet yang lain setakat yang saya mampu. Setakat ini, saya telah membantu ramai usahawan internet dan bilangannya terus bertambah. Saya meletak ia sebagai satu sumbangan ikhlas saya agar usahawan lain turut berjaya di dalam bidang ini, dan saya tidak melihat ia sebagai tujuan bisnes semata-mata. Biarlah Allah yang membalas untuk sumbangan saya itu.

Namun, saya tidak dapat memenuhi semua kehendak orang kerana saya juga perlu fokus kepada usaha saya. Apa pun, saya memanjatkan syukur kepada Allah kerana telah memberikan ruang kepada saya sejak 3 tahun lepas untuk membantu ramai para usahawan internet walaupun sekadar secebis pandangan.

Akhir sekali, maafkan saya jika ada emel yang tidak berbalas kerana entri (makluman) ringkas ini telah menjawabnya. Saya menulis entri ini secara umum agar bakal penghantar emel akan memahami ’status’ saya sekarang.

Saya mohon maaf di atas segala kesulitan ini.

Salam kejayaan kepada semua.

ps. Bagaimanalah saya boleh terlupa… SmartUsaha.com telah pun mencapai usia empat tahun pada September lepas! (September 2005 – September 2009). Ish… Macam mana boleh lupa nih. :D

Terima Kasih

Sebagai seorang manusia, tidak cukup hanya berterima kasih kepada Allah sahaja. Kita juga perlu berterima-kasih kepada manusia.

Seperti mana sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A.:

“Barangsiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak mensyukuri Allah”. (Hadith riwayat Ahmad dan At-Tirmizi. Kata Al-Albani: Sahih)

…dan barangsiapa yang melakukan kebaikan kepadamu, maka balasilah dia, jika kamu tidak dapati apa-apa untuk membalasinya, maka berdoalah untuknya hingga kamu dapati bahawa kamu telah membalasinya”. (Hadith riwayat Abu Daud dan An-Nasa’i dengan sanad-sanad As-Sahihayn)

Saya tidak akan berada di tahap ini sekarang tanpa ada orang “di belakang” yang menyokong saya, membimbing, menunjuk jalan dan termasuklah yang mengkritik.

Saya ucapkan terima kasih kepada:

1. Mentor-mentor saya yang langsung atau tidak langsung.

2. Penulis-penulis buku yang banyak memberikan input positif.

3. Pemandu-pemandu bas dan kenderaan awam yang membawa saya sampai ke destinasi yang saya tuju.

4. Tukang-tukang masak yang pernah saya makan masakan mereka. Terima kasih kerana ia membuatkan saya terus bertenaga untuk berjuang..

5. Pembaca blog dan tulisan saya. Tanpa anda saya mungkin tiada semangat untuk menulis.

6. Rakan-rakan Facebook dan forum yang pelbagai prinsip. Membuatkan saya semakin matang di dalam menilai erti sebuah hidup dan menjadi diri sendiri.

7. Para pengkritik. Tanpa anda, saya tidak akan tertekan untuk terus berusaha dan memecut ke hadapan. Terima kasih.

8. Para pesaing perniagaan yang menjadikan saya tidak duduk diam untuk terus meningkatkan usaha dari masa ke semasa..

Klik di sini untuk membaca artikel ini sepenuhnya…

| Panduan Buat Blog Wordpress | Panduan FTP | Sistem Survey |
SmartUsaha.Com adalah rangkaian perniagaan internet milik Inspirasi Maya Enterprise (JM0472383-X)