Panduan Asas SEO + Tiga Rahsia PENTING

SEO adalah satu teknik pemasaran dan promosi yang percuma. Atau dalam istilah Internet Marketing, ia dipanggil sebagai Organic Search.

Namun, ikhlas saya katakan, untuk mendapat hasil SEO yang memuaskan ia memakan masa. Tapi walaupun mengambil masa, jika anda tidak mulakan sekarang, maka hasilnya entah bila anda akan dapat. Dan saya buat SEO untuk blog ini sejak dua tahun yang lepas lagi.

Jadi mulakan hari ini juga sedikit demi sedikit. Buat yang asas-asas dulu pun tak apa macam link exchange, submit ke direktori, internal linking dan juga On Page SEO. Sebelum tu, kenal pasti apakah keyword yang patut anda target melalui keyword research.

Satu syarat penting, buat secara normal dan jangan terlalu mendadak. Sebab itu amat penting anda rangka jadual untuk aktiviti SEO laman web atau blog anda.

Dengan siapa boleh belajar SEO?

Jawapan mudah, bukan dengan saya. Saya hanya pengamal (practitioner) dan bukan pakar atau bukan ahlinya. Saya tarik diri awal-awal lagi ya. 🙂

Ada tiga sumber yang anda boleh belajar SEO:

1. Daripada Internet Marketer yang ada pengalaman dan hasil SEO tersendiri. Mereka bukan bercakap kosong.

2. Daripada laman web enjin carian sendiri. Contohnya seperti laman web Google (Webmaster Help).

3. Daripada pakar-pakar SEO profesional yang diiktiraf.

Saya memetik kata-kata Jon Leger yang mana katanya, banyak blog atau laman web yang kongsikan tip dan teknik SEO. TAPI sayang sekali, mereka tidak nyatakan BUKTI dan FAKTA.

Contoh: Kalau mereka kongsi 10 teknik berkesan SEO, mereka tidak nyatakan mengapa teknik itu berkesan beserta dengan faktanya. Kalau nyatakan teori, at least bagitahu logiknya.

Jadi, hati-hati dengan nasihat mereka yang tidak ada bukti, fakta atau sandaran yang kuat. Malah mungkin teknik-teknik yang dikongsikan itu sudah tidak relevan malah yang lebih teruk, anda menghabiskan banyak masa dengan teknik yang tak berkesan.

Tiga RAHSIA Penting

Saya ingin kongsikan tiga tip penting atau boleh dikatakan sebagai PANTANG dalam SEO.

1. Rahsiakan kata-kunci (keywords)

Mendedahkan kata-kunci yang anda fokus (target) adalah satu KESALAHAN BESAR. Ia umpama ingin memusnahkan perniagaan anda sendiri. Semakin ramai yang gunakan keyword tersebut, maka semakin besar persaingan yang wujud.

Jika kita perasan, ramai marketer yang buat kesilapan ini. Kononnya mereka mahu menunjukkan kehebatan ilmu SEO mereka, lantas mereka katakan, “lihat, laman web saya ni dah dapat no 1 di google dengan keyword ni”.

Lainlah jika website tersebut hanya sebuah website/blog pandu-uji sahaja, maka itu tidak mengapa. Tapi kalau ia laman web perniagaan, 100% digalakkan jangan dedahkan kata-kunci yang digunakan.

2. Rahsiakan maklumat SEO laman web anda

Tidak kisah anda lakukan apa-apa model perniagaan. Yang penting adalah JANGAN dedahkan maklumat SEO laman web anda. Maksudnya, anda cerita yang dengan keyword ini menyebabkan laman web ini dapat top ten di google.

Jika anda dedahkan, para pesaing akan mula mengkaji laman web anda dan strategi yang anda gunakan. Ingat, Internet amat berbeza dengan perniagaan offline di mana dengan Internet, pesaing amat mudah untuk korek strategi sesebuah website.

Jadi, salah satu cara untuk kurangkan risiko sebegitu atau menyusahkan usaha pesaing korek rahsia, jangan dedahkan maklumat SEO laman web anda.

3. Rahsiakan teknik yang anda gunakan

Jika anda ada terjumpa atau menemui teknik yang berkesan untuk laman web anda, rahsiakannya. Bisnes tetap bisnes. Bayangkan, jika anda kongsikan teknik tersebut, bukan satu, dua, tiga atau empat pesaing akan gunakannya, malah beribu-ribu pesaing.

Kalau mahu kongsikan teknik tersebut, boleh. Tapi terangkan secara umum sahaja dan jangan dedahkan apa keyword yang anda guna serta website yang anda libatkan (melainkan ia web pandu-uji).

Tip Mudah PASTI Jadi Punya

Tip ini amat mudah dan kalau anda dedahkan keyword pun, pasti tak berguna sedikit pun untuk pesaing anda. Tak percaya? Tak apa, sila baca lagi…

Jika anda seorang usahawan, sudah pasti salah satu cara orang mengenali anda adalah melalui nama. Kalau boleh, biarlah nama itu unik. Tak semestinya nama sebenar anda.

Contohnya, saya lebih dikenali sebagai smartzul. Jadi, sebab orang lebih kenal saya dengan panggilan smartzul, maka apa yang akan saya lakukan adalah:

1. Beli nama domain smartzul.com

2. Guna nama smartzul di mana-mana saja (forum, komen di blog, dalam laman web, signature, profile web social dan lain-lain lagi…)

Jadi, katakan anda sudah femes, atau ramai orang kenal anda dengan nama anda tersebut, mereka akan cari di enjin carian. Ya, ini sudah pasti 100%.

Malah, mengikut pemerhatian saya, ada sesetengah pembaca blog ini menaip nama saya atau nama smartusaha di enjin carian untuk masuk ke blog ini.

Begitu juga dengan website-website lain macam Utusan, Berita Harian, pembaca mereka akan taip di enjin carian untuk masuk ke web tersebut. Mengapa? Sebab mereka malas untuk taip URL. 😉

Jadi, di sinilah pentingnya penggunaan nama brand (jenama) anda secara ‘agresif’. Serius, teknik penggunaan keyword jenama ini amat-amat berkesan. Ia sudah pasti tak berguna pun untuk pesaing anda gunakan nama jenama anda tersebut.

Mudah cerita, anda promosikanlah diri anda dengan jenama yang unik dan pasti pengguna internet akan guna nama tersebut untuk cari mengenai anda.

Promosikanlah nama anda itu di mana-mana sahaja. Bagi kes saya, syukur sebab saya ada nama unik iaitu Smartzul. Kalau saya guna Zulfadli, ramai nama Zulfadli atas dunia ni. Hakikatnya, nama Smartzul lebih dikenali daripada nama Zulfadli.

Pemasaran SEO dengan menggunakan nama yang unik sudah pasti akan menjadi. InsyaAllah. Dengan penggunaan nama yang unik, tak perlu sangatlah anda bersaing dengan usahawan yang lain.

Yang perlu anda lakukan adalah, promosikan diri anda dan cipta buzz mengenai perniagaan atau diri anda. Selebihnya orang akan cari anda melalui enjin carian.

Tapi, teknik ini hanya sesuai untuk promosi diri (personal brand) atau untuk jenama produk sahaja. Untuk produk-produk yang umum, anda tetap perlu guna keyword berkaitan.

Kesimpulannya, jika anda seorang yang femes, belilah satu nama domain untuk nama yang anda guna tersebut. Rugi kalau tak gunakan nama domain bagi nama tersebut, sebab yang pasti, pengguna internet akan cari anda melalui enjin carian.

Moga anda jelas dengan penerangan pasal kata-kunci jenama diri di atas.