Blog Perniagaan Internet: SmartUsaha.com

Optimum Lawan Maksimum

Tersebut sebuah kisah, seorang guru silat memberikan pilihan kepada dua orang anak muridnya, sama ada untuk menggunakan 10 jenis senjata, atau satu sahaja semasa ujian persilatan nanti. Lantas anak murid pertama memilih untuk menggunakan 10 senjata, manakala anak murid kedua hanya memilih satu senjata sahaja.

Namun si guru memberikan satu syarat yang ketat. Kedua-dua mereka perlu memahirkan diri dengan senjata yang dipilih dalam masa dua minggu sahaja. Kedua-dua mereka setuju.

Dipendekkan perjalanan cerita, genaplah tempoh kedua-dua orang anak murid itu berlatih. Masa untuk mereka diuji sudah tiba. Anak murid pertama tadi, masuk ke medan ujian. Lawannya adalah seorang ahli silat yang sudah diiktiraf.

Semasa pertarungan ujian itu, si anak murid itu berganti-gantian menggunakan satu demi satu senjata. Keris, pedang, pisau, parang dan pelbagai lagi (10 jenis kesemuanya). Namun, dirinya gagal jua mengalahkan lawannya itu, hatta sekadar menjatuhkan lawannya. Beliau ‘kecundang’, malah kepenatan…

Kemudian tibalah giliran si anak murid kedua, yang hanya memilih satu senjata sahaja iaitu keris. Lawannya juga adalah seorang ahli silat yang sudah berpengalaman…

Di dalam pertarungan ujian itu, anak murid kedua itu begitu lincah sekali. Pantas, hayunan kerisnya hampir mengenai badan si lawan. Tapaknya utuh, langkahnya mantap, geraknya bergaya dan serangannya bertubi-tubi. Sehinggakan si lawan hanya mampu mempertahankan diri sahaja daripada terus dihunus keris.

Akhir perlawanan, si lawan jatuh terduduk, terkunci rapi dan tidak mampu melakukan apa-apa lagi kerana hunusan keris sudah berada di lehernya. Si anak murid itu menang walaupun hanya menggunakan keris sahaja…

Pelajaran Cerita

Apakah yang saya ingin bawakan melalui cerita di atas? Hanya satu, iaitu fokus kepada satu kekuatan. Apakah kekuatan kita? Penulisan? Suara? Kaki? Tangan? Setiap seorang manusia pasti ada kekuatannya yang utama. Begitu juga kita.

Kelebihan yang ada itu, kita perlu mengasahnya, melatihnya, menggunakannya dan menyintainya sepenuh hati. Amat rugi sekali jika potensi diri atau kekuatan yang satu itu tidak diasah dan diguna pakai untuk meraih kejayaan dan mencapai impian.

Optimum vs Maksimum

Kedua-dua perkataan ini walaupun nampak sama, tetapi bagi saya, ia berbeza. Berdasarkan cerita di atas, pesilat yang menggunakan 10 senjata tewas, kerana dirinya mahu menggunakan jumlah senjata semaksimum mungkin, iaitu 10 jenis senjata. Padahal, ada beberapa senjata yang beliau tidak begitu serasi.

Manakala si pesilat kedua itu pula hanya memilih satu senjata sahaja iaitu keris. Pada asas logik, jika hanya menggunakan satu senjata sahaja tidak cukup dan boleh kalah. Namun pada praktikalnya, ada kelebihannya.

Mengapa dengan hanya menggunakan satu senjata itu boleh menang dengan bergaya?

  1. Beliau memilih keris kerana sejak bertahun-tahun belajar silat, beliau lebih serasi dengan keris. Maka dipilihlah keris untuk sesi ujian tersebut.
  2. Beliau tidak menggunakan banyak senjata, kerana tempoh masa berlatih sebelum ujian hanya dua minggu sahaja. Sedikit sukar untuk memahirkan diri dengan banyak senjata.
  3. Dengan menggunakan satu senjata, minda akan lebih fokus. Ruang untuk berfikir juga terbuka luas.
  4. Tenaga tidak digunakan dengan banyak dengan satu senjata. Maka keletihan tidak begitu ketara.
  5. Dia tahu, lawannya adalah juga anak murid kepada gurunya. Jadi sebahagian besar gerak dan langkah sudah boleh diagak. :lol:
  6. Begitu juga kita, jika mahu berjaya di dalam hidup, tidak semestinya kita perlu melakukan banyak perkara yang di luar bidang atau yang tidak serasi dengan diri. Namun, ia tidak bermakna tidak boleh kerana tiada yang mustahil di dunia ini, melainkan jelas tidak mampu dilakukan oleh manusia.

Jadi cerita silat di atas ingin memberitahu bahawa, apa sahaja yang kita lakukan, walaupun ia hanya satu jenis, satu perkara, namun jika dilakukan secara OPTIMUM (sepenuh hati), kejayaan biasanya pasti akan diraih.

Dan seringkali juga kita melihat, ramai yang kecundang dan kecewa kerana gagal di dalam banyak usaha yang dilakukan. Banyak usaha itu adalah bermaksud, mereka cuba MAKSIMUMkan segala peluang yang ada, tetapi tidak mengoptimumkan usahanya.

Di sini, bukan bermaksud kita tidak boleh melakukan banyak perkara atau usaha. Tetapi yang penting, sejauh mana kita melakukan semua itu dengan SEPENUH HATI?

Di dalam perniagaan internet, tiada guna mengetahui 10 cara promosi atau pemasaran, namun satu pun tidak memberikan impak yang maksima. Sebaliknya, mereka yang fokus kepada satu, atau hanya beberapa kaedah pula, mampu membina kejayaan yang besar.

Fakta dan Realiti:

  1. Ain Maisarah, seorang penulis yang begitu ngetop sekali. Fokus kepada penulisan novel untuk pelajar sekolah. Beliau antara penulis yang berjaya mendapat royalti tertinggi di syarikat penerbitan PTS.
  2. Puan Ainon Mohd., pengasas PTS Publications. Fokusnya pada bidang training (sejak tahun 1988) dan juga penerbitan buku (bermula pada tahun 2000). Berkat fokus dan usahanya, beliau kini adalah seorang jutawan yang disegani dan dihormati ramai.
  3. Abdul Latip Talib, seorang yang amat fokus sebagai penulis. Setakat ini dengan fokusnya, telah menulis lebih daripada 20 buah buku dalam genre sastera Islam (sejarah). Juga di antara penerima royalti tertinggi di PTS.
  4. Mahathir Lokman, kuatnya pada suara. Seorang pengacara majlis yang juga mampu mengalih bahasa. Beliau membina kejayaan hanya dengan suara.
  5. David Beckham dikatakan fokus berlatih menguatkan kaki kanannya.
  6. Tiger Woods fokus kepada kepakaran menghayun kayu golf.
  7. Nicol David. Hidup sukses dengan hanya hayunan raket squash sahaja.
  8. Mark Zuckerberg, CEO (pengasas) Facebook, fokus kepada bidang pengaturcaraan. Nilai bisnes Facebook yang bermula dari bilik tidur hostelnya, kini mencecah berbilion-bilion ringgit.
  9. Dr. Rusly (Chef Li). Juga seorang jutawan. Beliau tekad melakukan bisnes masakan dan fokus kepada bidang pendidikan dengan membuka pusat latihan masakan. Saya juga adalah salah seorang usahawan yang hampir meninggalkan bidang e-bisnes ini (putus asa), namun kembali bangkit dan terinspirasi setelah membaca salah satu bukunya. (Begitu murninya seorang penulis buku yang baik-baik. Terima kasih.)
  10. Anda yang membaca artikel ini, termasuk saya, apakah kekuatan utama yang difokuskan? Jika mahu berkongsi (semoga menjadi rujukan kepada pembaca lain), catatkan pada ruangan komen di bawah.

Semoga berjaya dengan kelebihan, kekuatan, bakat dan potensi yang Allah SWT kurniakan tersebut.

    Satu atau sedikit tidak semestinya tidak cukup, banyak pula tidak semestinya yang terbaik.

    ps. Bagi saudara yang membaca artikel ini di Facebook, layari blog smartusaha.com untuk pelbagai artikel lain yang berkaitan dengan perniagaan dan pemasaran Internet.

    pps. Sertai juga SmartUsaha.com di Facebook (Fan Page).

    Catatan Impian TIGA Tahun

    Dalam kebanyakan buku yang saya atau anda baca, biasanya akan dikatakan, catatlah sesuatu yang kita mahu, impikan, atau yang kita cita-citakan. Tidak kisahlah ia kemahuan di dunia ini atau untuk dunia akhirat nanti.

    Saya memulakan perniagaan Internet sepenuh masa pada tahun 2005 lagi. Namun pada masa itu, saya masih lagi dalam proses percubaan, pencarian, kajian dan pembelajaran. Pada masa itu, bidang perniagaan Internet di Malaysia belum lagi berprestasi tinggi seperti sekarang.

    Baik, bukan itu yang saya mahu bicarakan. Tetapi saya hanya mahu kongsikan catatan saya pada tiga tahun yang lepas iaitu bertarikh 26/10/2006 di sebuah laman web (43things.com). Jika dikira sehingga 26/10/2009, genap tiga tahunlah catatan saya itu.

    Impian

    Klik pada imej untuk paparan lebih jelas.

    Nota: Saya menulis catatan itu setelah setahun melakukan perniagaan internet.

    Anda boleh melihat catatan ini di laman web berikut:

    http://www.43things.com/person/smartzul

    Dan saya juga ada menulis dua entri yang berkaitan dengan cita-cita:

    1. Dialog si penulis blog (20/2/2006) – Ini paling dahulu sebelum yang di atas.

    2. Perniagaan Internet dan Anda : Di Manakah 3 Tahun Lagi? (21/5/2007)

    Namun saya akui, perjalanan di dalam bidang ini selama 4 tahun bukanlah satu tempoh yang agak lama. Ia baru semalam… Saya masih mentah, masih banyak yang perlu dipelajari, saya belum berpuas hati apa yang dicapai, banyak lagi yang perlu diperbaiki, diperelok dan dipertingkatkan.

    Yang pasti, perjalanan saya masih panjang di dalam melaksanakan tanggungjawab yang saya pikul ini. Hanya redha Allah yang saya harapkan dan kepadaNya jua saya memohon kekuatan.

    Apakah tujuan saya menulis entri berkaitan hal ini? Hanya empat:

    1. Hidup perlu ada matlamat, cita-cita dan impian. Barulah kita dapat hidup dengan terarah.

    2. Matlamat dan impian perlu dicatat agar kita dapat FOKUS dan konsisten. Setiap kali ‘hilang arah’, baca catatan tersebut.

    3. Impian tanpa usaha adalah SIA-SIA.

    4. Indahnya hidup berjuang untuk kejayaan walaupun mengharungi 1000 kepahitan. Kelak bukan kesenangan yang kita pandang, tetapi sejarah perjalanan kita.

    “Segala di dunia ini adalah milik ALLAH, namun yang dikurniakan kepada kita itu, untuk apa? Sudah pasti untuk digunakan ke jalan kebaikan dan kejayaan, dunia dan akhirat.”

    Hari ini, 15/1/2010, saya akan bercuti penuh satu hari untuk muhasabah diri dan perniagaan. Semoga hari Jumaat yang mulia ini, Allah SWT memberikan saya kekuatan untuk terus melangkahkan kaki ini ke hadapan dan menjadi insan yang diredhaiNYA.

    -

    Mohd Zulfadli bin Suddin a.k.a SmartZul
    Internet Marketer, www.smartusaha.com
    2005-2009

    ps. Inilah blog pertama saya: http://smartbiz.tblog.com. I LOVE it so much! Kepada Termin, jika anda membaca tulisan ini, saya ucapkan terima kasih kepada saudara. Termin adalah satu-satunya pembaca dan penyokong setia saya pada permulaan saya dahulu. Namun, kami tidak pernah bersua.

    Ya, perjalanan saya ‘bermula’ dari blog itu juga. Jika mahu melihat perjalanan usaha saya, bacalah blog tersebut dan kemudian blog smartusaha.com ini dari awal hingga sekarang. Itulah serba sedikit sejarah saya di dalam bidang Internet Marketing ini.

    Abaikan ’style’ penulisan saya dahulu yang pelbagai bentuk. Al-maklum, belajar sambil buat. Mahu berjalan, perlu merangkak dahulu. Jadi banyak kesilapan.

    pps. Cerita saya, bahagian 1.

    ppps. Masih jauh perjalanan ini. Dan ia semakin mencabar…………………

    TERIMA KASIH SEMUA!

    Usaha Meraih Sukses: Hidup Berkumpulan

    Jika sebelum ini saya menulis mengenai hidup mesti mempunyai pendirian, pegangan dan prinsip sendiri, namun ia tidak bermakna kita tidak perlu berkawan atau hidup berkumpulan atau berangkaian.

    Bagi saya, hidup berkumpulan adalah satu kemestian bagi setiap orang manusia. Hidup keseorangan umpama seorang penjaga gol yang bekerja keras keseorangan tanpa penyertaan pemain yang lain.

    Begitu juga di dalam hidup ini, kita perlu hidup berkumpulan sama ada satu kumpulan, dua atau lebih. Terserah kepada keperluan. Bagi saya sendiri, saya mempunyai ‘kumpulan saya sendiri’ walaupun ia tidak secara rasmi. Boleh juga kita panggil ia sebagai rangkaian (network).

    Klik di sini untuk membaca artikel ini sepenuhnya…

    Hidup Perlu Ada Pendirian

    Nota: Akibat kesalahfahaman ramai pembaca terhadap artikel ini disebabkan oleh tajuknya “Sikap Berkecuali: Hati Lebih Tenang”, maka saya telah menukar kepada tajuk yang membawa kepada maksud sebenar yang saya cuba sampaikan iaitu “Hidup Perlu Ada Pendirian“. Sikap berkecuali yang saya cuba sampaikan sebenarnya adalah sikap mempunyai pendirian tersendiri iaitu tidak mengikut arus atau menjadi “yes man” (tukang angguk) tanpa berfikir dan menilai terlebih dahulu. Maaf di atas penggunaan istilah yang kurang tepat (berkecuali).

    Kedua, artikel ini ditulis bukan untuk skop yang umum atau general. Ia lebih kepada dunia Internet Marketing terutama di dalam isu-isu ‘panas’ yang memerlukan seseorang mempunyai pendirian tersendiri. Artikel ini khususnya dan blog ini umumnya, tiada kaitan dengan isu politik, isu semasa negara, isu Agama atau seangkatan dengannya. Harap maklum.

    Salam sejahtera semua.

    Di dalam kehidupan ini, setiap hari kita akan melihat atau mendengar orang melakukan kesalahan atau kesilapan. Hatta saya dan anda yang sedang membaca artikel ini pun tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan. Ia adalah normal.

    Apa yang ingin saya perkatakan pada kali ini adalah salah satu sikap dan pegangan saya selama ini iaitu BERKECUALI. Saya lebih tenang dan senang dengan sikap sebegini. Prinsip ini tidak bermaksud saya tidak perlu hidup ‘berpersatuan’, tetapi diri sendiri tetap mempunyai pegangan.

    Maka sebab itulah dahulunya (insyaAllah sehingga sekarang), saya lebih senang ‘bersendirian’ (underground), seperti pergi ke mana sahaja yang saya suka, buat apa yang saya mahu dan berjumpa dengan sesiapa sahaja yang saya suka, tanpa kekangan, tanpa sempadan dan tanpa ikatan. Bebas…

    Prinsip Berkecuali

    Contohnya, jika ada sekumpulan orang tidak sukakan si A atau sesebuah kumpulan yang lain, saya pula sebaliknya. Saya tidak semestinya perlu menyokong kumpulan tadi, malah tidak semestinya mempertahankan si A. Saya tidak akan bias dengan mana-mana pihak. Saya akan menjadi ‘orang tengah’ sebagai penapis segala maklumat, menyelidikinya dan mencari kebenaran setakat yang termampu.

    Kedua, saya amat tidak selesa dengan cara menolak atau meminggirkan seseorang hatta kerana salahnya yang kecil. Di dalam praktik kehidupan, manusia (iaitu kita semua) sering bereksperimentasi dengan cara tertentu. Lain orang, lain ragam, lain perspektif. Salah pada hari ini, tidak semestinya akan salah selamanya. Berikan mereka peluang untuk memperbaiki kesilapan tersebut.

    Terimalah mereka seperti mana kita menerima diri kita, iaitu sebagai manusia yang amat lemah ini. Jangan meletak diri kita seperti malaikat yang tiada dosa, dan melihat orang lain penuh dengan silap dan dosa. Tidak salah jika saya katakan, sikap sebegitu lebih teruk daripada orang yang melakukan kesalahan itu.

    Ketiga, saya suka berbincang dan berdiskusi dengan sesiapa sahaja. Saya tidak akan mendengar hanya daripada seorang atau sekumpulan orang sahaja, tetapi saya akan cuba mendengar daripada semua pihak. Semua orang adalah kawan saya. Saya tidak mahu bermusuh.

    Keempat, saya juga tidak selesa mencari, mengkritik atau membicarakan kesalahan orang lain, melainkan sesuatu perkara itu perlu diperbincangkan untuk kemaslahatan semua. Mengkritik tanpa tujuan adalah satu perbuatan yang sia-sia, membazir masa dan merugikan semua pihak. Sebaliknya, saya lebih suka menyampaikan ilmu, pengalaman dan informasi terutama melalui penulisan.

    Kelima, matlamat saya melakukan bisnes adalah untuk kebaikan semua, terutama usaha penulisan saya di blog ini, di Facebook, di forum dan kelak melalui buku, artikel dan sebagainya. Seperti mana kata-kata Zamri Mohamad di dalam bukunya:

    “Penulis bebas berkawan dengan sesiapa sahaja tanpa perlu mengikut satu kumpulan dan memusuhi kumpulan lain. Tanggungjawab penulis adalah menjadi penapis kepada sumber yang diperoleh dan diberikan kembali kepada pembaca.

    Tulisan yang dihasilkan menunjukkan sikap penulis yang cenderung kepada kebenaran dan fakta, bukan memperjuangkan sesuatu berdasarkan kepentingan individu. Penulis perlu memainkan peranan bagi mencerdikkan bangsa, mempermudah ilmu dan membumikan ilmu yang betul supaya dipraktikkan oleh masyarakat.”

    Dipetik daripada buku Tip Menjadi Penulis Bestseller, tulisan Zamri Mohamad.

    Akhir kata, jika kita mengikut cara orang lain, atau menerima bulat-bulat kata-kata orang, tunduk dan mengiyakan tanpa berfikir dahulu, maka begitu rendahnya martabat kita. Tiada nilai. Tiada prinsip. Allah SWT memberikan kita akal dan pedoman. Maka hiduplah dengan berprinsip agar kita mempunyai suatu NILAI dan MARUAH tersendiri.

    Hidup, jangan sampai kita dipergunakan orang sama ada secara terang, gelap, sembunyi, atau ditikam dari belakang. Saya akan terus dengan sikap berkecuali. InsyaAllah aman dan damai.

    Wassalam.

    Peluang Tidak Terduga: DJ SmartZul?

    Sebelum ini, teringin juga saya untuk ke udara melalui mana-mana Radio tanahair sebagai “DJ” atau sekurang-kurangnya sebagai seorang tetamu jemputan secara siaran langsung (LIVE). Setakat ini, ia belum terealisasi. Semoga impian saya itu tercapai kelak.

    Namun, di dalam menanti perkara itu, datang satu peluang untuk saya mengendalikan satu slot di Radio Internet FuhyooFM (http://www.fuhyoofm.com). Slot tersebut adalah Dunia IE (Internet Entrepreneur) yang akan bersiaran pada setiap hari Khamis, jam 12.00 tengahari. Manakala siaran ulangan pada hari Rabu, jam 2.00 petang.

    Pastikan mengikuti siri pertama rancangan Dunia IE pada 7/1/2010 (Khamis) ini, jam 12.00 tengahari. Layari http://www.fuhyoofm.com untuk mendengar siaran rakaman tersebut. Ia adalah edisi rakaman dan siaran LIVE akan dilakukan pada siri yang akan datang.

    smartzul-2

    Pada Program Countdown 2010, 31/12/2009 di pejabat Fitrah Media

    Selain saya, ada beberapa orang lagi yang mengendalikan slot tersebut secara bergilir-gilir iaitu saudara Rohaizad dan juga saudara Zamrin, di samping blogger-blogger dan Internet Marketer yang lain. Di antara segmen di dalam slot Dunia IE adalah seperti Review Produk, Layan Emel, Terjah Blog, Tip dan beberapa lagi. Setiap “DJ” akan membawakan penyampaian masing-masing.

    InsyaAllah, selain daripada slot di atas, saya juga akan mengendalikan slot yang lain. Saya akan umumkan kelak. Selain itu, kami juga akan bersiaran langsung (ONLINE) pada masa yang tidak terjangka.

    Langkah Pertama…

    Permulaan mengendalikan rancangan di radio Internet ini adalah satu permulaan yang begitu mengujakan saya. Walaupun saya tidak pandai berkata-kata, namun ia boleh dipelajari. Yang penting, informasi yang diberikan adalah bermanfaat untuk para pendengar di samping tidak menghilangkan ciri-ciri santai (hiburan).

    Selain mengendalikan rancangan di Radio Internet ini, saya juga akan kerap mengadakan mini seminar, mini workshop dan personal coaching di tingkat atas iaitu di Fitrah Media Commercial Centre (FMCC). Pada Jumaat lepas, saya baru sahaja selesai mengadakan satu sesi personal coaching Blog Wordpress. Kiranya, ber”DJ” di samping melakukan kerja-kerja di sana.

    FMCC dan FuhyooFM adalah dua projek milik Fitrah Media Entreprise. Bagi pihak yang berdekatan dengan Johor Bahru, ada beberapa buah bilik yang sesuai untuk digunakan bagi melakukan sesi taklimat, seminar atau personal coaching. Hubungi mereka untuk maklumat lanjut.

    Walaupun Radio Internet ini tidak dapat menandingi radio-radio gah yang besar, namun yang pasti, matlamat utama pihak FuhyooFM adalah PENDIDIKAN. Ini selaras dengan slogannya, “Lebih Berilmu dan Berinformasi”. Kekuatan Radio Internet ini adalah jangkauannya yang tanpa had dan sempadan.

    Maka saya bersama yang lain akan cuba membawakan mesej-mesej yang bermanfaat kepada para pendengar. Semoga kelak radio Online ini akan membina pasaran dan empayarnya sendiri bukan hanya di Malaysia, malah ke seluruh dunia.

    Semenjak kami bersiaran pada 31/12/2009 lepas, ramai juga pendengar dari negara lain seperti Singapura dan Indonesia. Malah, ada rakyat Malaysia yang berada di negara lain seperti London, Jepun dan lain-lain juga mengikuti siaran dari FuhyooFM.com. Inilah salah satu kekuatan Radio Online. Jangkauan tanpa sempadan.

    mixer

    Sedikit Info:

    1. Radio Internet FuhyooFM boleh didengari di mana-mana sahaja selagi komputer tersambung ke Internet. Untuk mendengar, layarilah http://www.fuhyoofm.com. Jika mempunyai masalah untuk mendengar, boleh cuba menggunakan Toolbar (hanya untuk browser Firefox sahaja). Dapatkan di sini.

    2. Layari ruangan Foto di Facebook saya untuk melihat gambar-gambar di sekitar program bersama Blogger & IM pada 31/12/2009 lepas. Perlu login ke Facebook untuk melihatnya.

    ps. InsyaAllah. Saya sekarang akan fokus untuk menulis buku pula di samping menyiapkan beberapa buah produk informasi.

    “Hidup terlalu singkat untuk menghabiskan masa kepada perkara yang sia-sia.”

    -

    | Panduan Buat Blog Wordpress | Panduan FTP | Sistem Survey |
    SmartUsaha.Com adalah rangkaian perniagaan internet milik Inspirasi Maya Enterprise (JM0472383-X)