Archive for the 'motivasi usahawan' Category

Cabaran Usahawan Internet Sepenuh Masa

Wednesday, August 13th, 2008

Salam bahagia. Jika anda baru di blog ini, anda digalakkan subscribe RSS feed blog ini. Klik di sini. Atau daftar Newsletter kami di sini. Terima kasih kerana melawat!

Sebelum saya mula menjadikan keusahawanan Internet sebagai kerjaya sepenuh masa, saya pernah bekerja selama setahun. Walaupun kerja yang saya lakukan itu adalah berkaitan dengan bidang yang saya pelajari di Universiti, namun saya mula berputus-asa dengan kerja itu.

Saya bukanlah bosan sepenuhnya dengan kerja yang diamanahkan kepada saya, malah saya seronok melakukannya dan orang lain pun merasakan pentingnya kehadiran saya pada waktu tersebut.

Namun, akibat saya ‘disalahgunakan’ untuk kepentingan beberapa orang, lantas saya tekad berhenti kerja dan fokus kepada perniagaan Internet tanpa menoleh ke belakang lagi. Malah saya rasakan, kelebihan diri saya mempunyai potensi yang besar di dalam bidang keusahawanan dan sama sekali tidak wajar saya menyeksa diri sendiri dengan bekerja makan gaji.

Dilema Usahawan Internet Sepenuh Masa

Kebiasaannya, keluarga sendirilah yang menjadi ‘musuh’ kepada keinginan kita untuk menjadi usahawan sepenuh masa. Tidak kisahlah  usahawan internet atau usahawan biasa. Bila kita kata mahu berniaga dan tidak mahu makan gaji, mereka amat terkejut, marah dan paling teruk mengatakan kita ‘gila’.

Dalam soal ini, saya tidak mahu mengatakan mereka salah, cuma mereka tidak memahaminya sahaja. Saya yakin, kalau mereka tahu besarnya manfaat berniaga, sudah pasti mereka amat mahu kita lakukan bisnes. Sebaliknya, inilah realiti hidup, manusia amat takut dengan dunia yang mencabar (zon tidak selesa), lagi-lagi bidang yang mereka tak tahu menahu.

Andaikata keluarga anda menentang, pertama sekali, cuba usahakan mendapat restu daripada ibu bapa (terutama ibu). Restu mereka amat penting dalam segenap usaha kita. Kedua, cuba luangkan sedikit masa untuk menerangkan kepada mereka mengenai perniagaan yang anda lakukan, lagi-lagi perniagaan Internet yang masih baru di minda orang Malaysia.

Persoalan di sini, bagaimana jika tidak mendapat restu ibu bapa? Jika menurut saranan Dr. Rusly dari bukunya “Aku Tak Nak Miskin”, beliau menyarankan kita berhijrah ke satu tempat yang jauh daripada keluarga dan pihak yang menentang. Kemudian, berusahalah sampai berjaya.

Jika mengikut Dr. Rusly, anda boleh cari kerja dahulu di tempat baru dan bagitahu keluarga anda mendapat kerja di sana. Tapi dalam masa yang sama, anda lakukan perniagaan dan berhenti kerja bila tiba masanya. Saya juga yakin, jika niat hijrah kita baik dan ikhlas, Allah pasti akan bantu kita.

Manusia secara psikologinya hanya mempersoalkan usaha kita pada peringkat awal sahaja. Tapi apabila kita sudah berjaya, bergaya, mewah, berharta, semuanya senyap membisu. Malah yang tak mengaku saudara sebelum ini pun akan mengaku saudara. Usahalah sampai berjaya untuk membuktikan bahawa kerjaya usahawan juga mempunyai kedudukan yang sama hebat dengan kerjaya lain.

Jalan berhijrah  tadi adalah jalan tekad dan pasrah. Niatkan dalam hati, jika anda tidak berniaga, sampai bila hidup anda akan berubah, dan sampai bila keluarga anda tidak senang-senang? Semoga dengan niat ini, Allah sediakan jalan yang luas dan senang dilalui.

Niat Sebagai Jihad

Sebagai seorang muslim, adalah satu kebaikan jika menjadikan apa sahaja yang diusahakan (termasuk perniagaan) sebagai satu bentuk jihad. Jihad ini tidak semestinya di medan perang, tetapi apa sahaja jalan yang dilakukan dan ia boleh memberikan kebaikan kepada keluarga, Agama, bangsa dan umat Islam, maka ia termasuk salah satu jihad.

Jadi, jika niat anda murni, tulus, ikhlas dan baik, maka teruskan sahaja perjuangan anda di dalam bidang perniagaan ini secara sepenuh masa. Pastikan juga anda berdoa tanpa rasa putus-asa agar keluarga anda akan menyokong usaha anda juga kelak.

Mengapa sepenuh masa dan mengapa tidak secara part time? Pertama, artikel saya ini adalah khas untuk mereka yang melakukan perniagaan Internet secara sepenuh masa dan sedang mengalami dilema yang dibincangkan. Kedua, melakukan secara sepenuh masa adalah lebih bebas daripada gangguan pihak lain. Ketiga, anda mempunyai banyak masa untuk diluangkan kepada perniagaan.

Jangan Sesekali Berundur

Bagi saya, tidak guna kita bertapak melangkah ke belakang semula jika kita sudah berpijak di atas jalan perjuangan ini (berniaga sepenuh masa). Maksud saya, mengalah dengan kehendak ahli keluarga atau individu terdekat agar kita mencari kerja (makan gaji).

Saya pernah kecewa dan tertekan akibat tekanan yang mereka berikan kepada saya, malah saya hampir berputus-asa dan mahu kembali mencari kerja. Tiada sesiapa di sisi saya melainkan rakan-rakan usahawan. Tapi saya berfikir sejenak, apabila saya sudah menjadi seorang ‘perwira’ dan pejuang, adakah wajar saya kembali menjadi seorang penakut? Tidak mungkin sama sekali. Para pejuang tidak boleh menyerah kalah begitu sahaja.

Dan adakah adil dan bijaksana jika saya meletak diri saya di tempat yang tidak sesuai dengan kebolehan saya? Jika saya bekerja makan gaji dan mengabaikan bisnes, maka saya akan rasa bersalah sebab kelebihan yang Allah kurniakan kepada saya untuk berniaga tidak digunakan untuk kebaikan Agama, umat Islam, bangsa dan negara. Bagi saya, ia satu amanah yang perlu saya laksanakan, sebaliknya bukan bersenang-senang dengan makan gaji.

Biar saya panaskan lagi semangat anda yang mempunyai potensi yang besar untuk berniaga. Adalah satu perkara yang amat memalukan jika anda yang mempunyai bakat berniaga tetapi masih ke sana ke sini meminta-minta kerja. Pendatang lain yang ke Malaysia boleh kaya raya, tapi kita berbeza, masih meminta-minta bantuan orang lain. Mudah ceritanya, “hidup mengemis di tanahair sendiri”.

Saya panaskan lagi diri anda. Jika orang lain beria-ia mahu berhenti kerja dan fokus sepenuh masa kepada perniagaan Internet secara sepenuh masa, sebaliknya anda terbalik, mahu mencari kerja pula. Anda sendiri faham dan tahu, apabila bekerja dengan orang lain, masa akan terhad, tidak bebas dan komitmen/beban anda semakin bertambah. Pendek kata, kita mahu menjadikan hidup ini semakin mudah, bukan semakin menyusahkan.

Manusia Tak Akan Habis Kehendaknya

Bagi anda yang kalah dengan tekanan pihak yang mahu anda bekerja makan gaji, maka ketahuilah, selepas anda bekerja makan gaji, anda tetap ‘dikawal’ oleh mereka. Manusia, bicaranya tak akan habis sampai kiamat.

Jika hari ini mereka mahu kita makan gaji dan kita penuhi kehendak mereka, maka kemudian mereka minta kita lakukan perkara lain pula. Selepas melakukan perkara lain itu, maka datang lagi kehendak mereka yang lain.

Jadi, usah kalah dengan kehendak mereka sebab bicara dan kehendak mereka tak akan habis sampai bila-bila. Hidup jangan dikawal oleh manusia secara ‘kuku besi’, tapi biarlah berpada-pada.

Walaupun saya menyarankan anda yang sedang berniaga sepenuh masa agar terus dengan usaha tersebut, tidak bermaksud melakukannya begitu sahaja. Kenalah ada perancangan, matlamat, produk/servis yang menguntungkan dan ada perancangan kewangan dan kehidupan.

Selain itu, pembinaan diri juga jangan diabaikan seperti menjadi seorang yang bermotivasi, bertenaga, sihat, penampilan diri yang baik, komunikasi yang cemerlang, berakhlak mulia dan sebagainya. Jika semua perkara ini lengkap atau cukup, saya yakin, orang yang menentang kita akan menyokong kita, malah mereka pun mahu turut serta.

Pendek katanya, ubah diri anda! Manakan tidak orang menentang anda, sebab asyik berada di depan komputer sampai lupa makan, tak jaga kesihatan (asyik sakit-sakit), tidur tak terurus, tak bersosial, diri tak terurus dan sebagainya. Maka jangan salahkan mereka jika diri anda tidak berjaya meyakinkan mereka.

Walaupun kerjaya anda adalah  usahawan internet , tidak bermakna pakaian tidak perlu kemas, diri kusut masai, tak perlu terlalu profesional dan tak perlu pandai bercakap sangat. Jika ini kepercayaan anda, maka wajarlah orang tidak yakin dan percaya dengan usaha anda. Jadilah usahawan yang bertenaga, ceria dan boleh meyakinkan orang lain.

Akhir kata, semoga maju jaya kepada semua usahawan internet sepenuh masa. Jangan sesekali berundur ke belakang. Teruskanlah menapak ke hadapan, kerana mungkin dengan hanya beberapa langkah sahaja lagi, semua tentangan akan terus lenyap dari pandangan dan kejayaan akan dicapai. Sebaliknya mungkin dengan hanya berundur selangkah sahaja, anda menjemput 1001 kesusahan. Fikir-fikirkan.

Wassalam.

Popularity: 20%

If you enjoyed this post, make sure you subscribe to my RSS feed!

Sindrom Takut Dikritik

Wednesday, July 9th, 2008

Akibat takut dikritik, ramai yang minat berniaga akhirnya kecundang sebelum melakukan apa-apa lagi.

Akibat takut dikritik, banyak idea yang menguntungkan tidak dipasarkan sama-sekali.

Akibat takut dikritik, ramai orang yang berbakat tidak mencapai apa yang sepatutnya mereka capai (kejayaan).

Akibat takut dikritik, ramai usahawan gulung tikar dan berundur 1000 langkah.

Akibat takut dikritik, produk yang telah siap tidak dijual-jual.

Akibat takut dikritik, perancangan hanya tinggal perancangan.

Akibat takut dikritik, impian besar akhirnya tidak kesampaian.

Akibat takut dikritik, diri akan menjadi seorang yang pasif dan tidak yakin.

Kata Dr. Hill (penulis buku Think & Grow Rich), takut dikritik adalah perasaan takut yang paling merbahaya di antara ketakutan yang lain (takut sakit, takut mati, takut miskin..).

Ini kerana, ketakutan yang lain itu tidaklah memberikan kegagalan yang amat besar, tapi jika takut dikritik, segala-galanya akan tidak mendatangkan hasil atau dalam erti kata yang lain, impian yang dibina akan musnah dan matlamat yang ditetapkan pasti tak akan tercapai.

Jika anda takut dikritik, anda tidak akan menjadi usahawan yang berjaya.

Jika anda takut dikritik, anda tidak akan berani mengeluarkan produk inovasi anda.

Jika anda takut dikritik, bakat dan kelebihan anda hanya akan ditelan masa.

Jika anda takut dikritik, idea bernas anda umpama besi berkarat yang tunggu untuk hancur sahaja.

Jika anda takut dikritik, anda akan kekal miskin, kekal susah dan kekal dengan angan-angan kosong.

Jika anda takut dikritik, anda akan terus menangguhkan masa dan kerja.

Jika anda takut dikritik, anda tidak memahami apa itu erti kehidupan.

Jika anda takut dikritik, anda sebenarnya tidak menghargai diri anda sendiri.

Jika anda takut dikritik, anda tidak akan mendapat wang tambahan.

Jika anda takut dikritik, anda akan ketinggalan dan ditinggalkan.

Jika anda takut dikritik, _____(apa yang anda akan dapat?)_______.

Nah, lihat. Apa yang akan anda dapat kalau anda takut dikritik??

Wassalam.

Terkini: Peluang untuk mendapatkan Sistem EZSurvey dengan harga RM20.00 terbuka untuk 58 orang sahaja lagi. Klik di sini untuk membeli.

Popularity: 32%

If you enjoyed this post, make sure you subscribe to my RSS feed!

Zon Selesa: Keluar, Tapi Masuk Semula?

Monday, June 23rd, 2008

Ada orang kata, “keluarlah dari zon selesa”. Maksudnya, buat sesuatu yang kurang selesa atau yang kita rasakan ia sesuatu yang sukar. Atau dalam maksud yang lain, buat perkara yang ramai orang takut nak buat.

Ya, saya amat setuju. Rata-rata anda yang membaca blog ini pun adalah usahawan sepenuh masa. Melakukan perniagaan secara sepenuh masa adalah satu perkara yang amat luar biasa sekali. :)

Apa yang saya ingin perkatakan pada hari ini ialah, sikap mudah selesa para usahawan. Mereka telah keluar dari zon selesa, tapi mereka ‘masuk semula’ ke dalam zon itu.

Bagaimana ini boleh terjadi?

Banyak sebab boleh terjadi…

Antaranya, seorang usahawan internet telah mengeluarkan satu produk dan sambutannya amat menggalakkan. Daripada satu produk itu pun dia berjaya mendapat pendapatan yang amat-amat lebih daripada cukup makan.

Lantas, dia amat berpuas-hati. Duit yang diperolehi digunakan secara rambang tanpa kawalan. Ya lah, dia amat selesa sekali dengan pencapaian dan pendapatannya itu.

Itu adalah salah satu contoh keluar dari zon selesa, tapi masuk semula..

Contoh lain pula ialah katakan seorang ni dia sudah tekad mahu melakukan bisnes. Tapi belum sampai pun di pertengahan jalan, dia sudah berputus-asa dan kembali berkira-kira mahu bekerja makan gaji.

Akhirnya, dia kembali semula ke zon selesa. Dia takut dan tidak yakin untuk melalui zon yang amat luar biasa itu. Dia tak mahu melalui liku-liku kegagalan.

Para usahawan semua,

Janganlah cepat rasa selesa. Kerana itu adalah sikap yang tidak sesuai untuk anda. Sebaliknya, usahawan perlukan usaha yang berterusan.

Sikap cepat berpuas-hati adalah musuh utama anda yang boleh membawa kepada kegagalan. Malah sikap sebeginilah yang menjadi penyebab besar anda berlengah-lengah dalam tindakan dan usaha.

Jangan mudah rasa selesa kerana esok belum tentu keselesaan itu masih ada di sisi anda. Jadi, awas!

Wassalam.

Popularity: 30%

If you enjoyed this post, make sure you subscribe to my RSS feed!

Tip Cepat Berjaya: Jangan Letak Banyak Syarat!

Monday, June 9th, 2008

Salah satu punca seseorang itu terlalu lambat untuk meraih kejayaan atau mencapai matlamat adalah kerana terlalu banyak meletakkan syarat.

Contohnya ialah seperti perlu bergaya, perlu sertai seminar di hotel 5 bintang (tak layan program di hotel kelas rendah), modal bisnes perlu besar, wajib ada kereta sendiri, mahal dan baru, perlu ada komputer baru dan macam-macam lagi.

Pendek kata, segenap perkara perlu lengkap, tak ada sedikit kekurangan, baru dan berjenama.

Kalau perniagaan offline, penyakit letak banyak syarat ni ialah seperti perlu ada ruang pejabat yang besar, selesa, perabot yang baru, set komputer yang baru, staf yang ramai dan serba serbi perlu baru dan dibeli.

Ini ada dinyatakan oleh Chef Li dalam buku kelimanya (kalau tak silap), di mana beliau respon kepada seorang peserta seminarnya semasa menaiki lif. Sindir peserta itu, “Kenapa buat seminar kat hotel murah macam ni?”. Lantas jawab Chef Li, “Jangan letak banyak syarat sangat untuk capai kejayaan”. Terus senyap peserta tersebut.

Pendek kata, kalau anda mahu cepat raih kejayaan, atau paling kurang pun berjalan di atas jalan kejayaan, bermulalah dengan apa yang ada.

Jika anda ada komputer buruk tapi masih boleh digunakan untuk menaip dan mengakses Internet, maka gunalah. Saya pernah menyatakan yang saya selama ini hanya menggunakan sebuah komputer yang hampir 8 tahun usianya. Komputer itu banyak berjasa kepada saya di dalam perniagaan yang saya bina.

Kini, saya sudah boleh sedikit berpuas hati kerana bukan satu, malah dua buah komputer yang saya miliki. Satu untuk kerja di SoHo dan satu lagi sebuah laptop. Yang seronoknya, kesemua barangan kelengkapan yang saya beli adalah secara tunai dengan hasil berdikit-dikit selama ini.

Kesemua hasil yang saya terima sekarang adalah bermula dengan apa yang saya mampu ketika itu iaitu sebuah komputer usang dan tanpa talian Internet sendiri.

Bagi perniagaan Offline pula, bermulalah dari rumah. Anda dapat jimatkan banyak kos daripada membeli ruang premis anda sendiri. Bila dah maju dan cukup modal, beralihlah ke premis perniagaan sendiri.

Saya ada seorang kenalan yang mana katanya beliau melakukan bisnes frozen food hanya dari rumah. Keluarganya melakukannya dari rumah sejak beliau kecil lagi sehinggalah sekarang. Sekarang bisnes sudah maju dan mereka akan beralih ke premis sendiri nanti.

Anda pula bagaimana? Idea sudah ada, modal sudah ada, alat sudah ada dan ilmu pun sudah ada. Mula sahaja belum. Adakah anda meletakkan terlalu banyak syarat untuk bermula?

Lupakan semua syarat-syarat itu yang mana ia adalah penghalang anda untuk melangkah dengan senang ke arah kejayaan. Syarat-syarat itu bukanlah satu kewajipan malah sampai satu tahap, ia adalah PENGHALANG.

Ingat pesan orang dulu-dulu, “sikit-sikit, lama-lama jadi bukit” dan “bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian”. Atau kata orang putih, “start small, finish big”. Percayalah, formula sebegini akan tetap menjadi sampai bila-bila sejak dulu kala lagi.

Wassalam.

Popularity: 25%

If you enjoyed this post, make sure you subscribe to my RSS feed!

Antara Diam dan Bercakap: Mana Satu Yang Terbaik?

Thursday, May 15th, 2008

Jika ada sesuatu topik, biasanya ada dua pendapat yang saling bertentangan. Satu kelompok kata A, dan satu lagi kumpulan akan kata B. Sampai satu tahap, jika kumpulan B tidak setuju dengan pendapat kumpulan A, maka akan timbullah perkelahian dan tidak puas hati.

Apa yang ingin saya perkatakan pada hari ini bukanlah mengenai perbalahan secara berkumpulan, tetapi kita (individu). Pada pendapat anda, yang mana satukah tindakan terbaik? Berkata sesuatu (pendapat) atau berdiam diri tanpa berkata apa-apa?

Kadang-kadang, timbul satu perasaan serba-salah. Kalau bagi pendapat, ada pihak yang berduka-cita dan terasa. Kalau tak bagi pendapat, maka mungkin lagi parah jika tidak turut memberi pendapat kerana kadang-kadang pendapat kita itulah jawapan yang boleh membantu.

Itu satu hal. Kadang-kadang, apa yang kita tulis sama ada di blog atau forum akan dianggap lain maksudnya oleh orang lain. Padahal kita maksudkan lain. Jadi adakah tanpa perlu tulis apa-apa adalah jalan terbaik agar tiada orang yang terguris hati?

Ya, memang tak semua orang kita boleh jaga hati mereka. Kita tidak mampu kerana semua orang mahu puaskan hati sendiri. Tapi persoalan di sini, yang mana satukah tindakan terbaik untuk dilakukan di dalam satu-satu keadaan? Bercakap atau berdiam diri? Kalau nak bercakap atau menulis juga, apakah cara yang terbaik?

Ada satu tip yang mungkin anda sudah tahu iaitu cara kita menulis, bercakap atau menyampaikan sesuatu pendapat. Si A dan B cakap benda sama, tapi si A cakap dengan nada yang marah-marah dan emosional. Si B pula cakap dengan relaks, profesional dan mengawal setiap patah perkataannya.

Pada anda, siapakah yang lebih mudah diterima? Biasanya orang jenis Si B tadi kerana beliau tidak emosional. Jadi itu satu cara untuk menulis atau mengatakan sesuatu iaitu cara kita menyampaikan.

NAMUN…

Tak semua perkara kita perlu sertai sekali. Orang kata, jangan nak menyibuk dengan perkara yang tidak perlu. Sebab ia adalah salah satu jerat yang memakan banyak masa anda, walaupun ia perkara yang baik.

Pendek kata, berfikirlah dahulu sebelum berkata-kata. Perlu atau tidak? Jika perlu, maka susunlah ayat-ayat yang ingin dikatakan dengan sebaik mungkin.

Namun perlu ingat. Sebaik mana pun ayat-ayat anda, masih tetap ada mereka yang tak akan puas hati. Maka di sinilah pentingnya anda mengawal emosi agar tidak tergelincir dengan ayat-ayat yang boleh mencalarkan nama dan kredibiliti anda.

Selain itu, dengan bersifat toleransi atau bertolak-ansur, insyaAllah tidak akan berlakunya pertikaman lidah. Walaupun pendapat orang lain tidak tepat, tetapi dengan bertolak ansur dan tidak memanjang-manjangkan perbincangan, maka pergaduhan boleh dielakkan.

Di dunia ini, anda tidak akan mampu mengawal semua hati manusia. Sebaliknya anda hanya mampu dan perlu berusaha sebaik yang mungkin sahaja. Orang suka atau tidak, itu bukan masalah anda, tapi ia adalah ‘masalah’ mereka…

Apa pendapat anda dengan topik kali ini? :)

p.s. Saya masih di kampung sekarang. Namun dengan talian Streamyx yang baru dipasang, kaki sedikit liat nak berangkat pulang ke Johor. Nenek saya pun nampaknya semakin sihat. Alhamdulillah.

Popularity: 21%

If you enjoyed this post, make sure you subscribe to my RSS feed!