Archive for the 'motivasi diri' Category

Mengenal Potensi Diri dan Merancang Hala Tuju

Sunday, May 31st, 2009

Salam bahagia. Jika anda baru di blog ini, anda digalakkan subscribe RSS feed blog ini. Klik di sini. Atau daftar Newsletter kami di sini. Terima kasih kerana melawat!

Kita sering tertanya-tanya, mengapa kita masih belum dapat berubah ke tahap yang membanggakan walaupun sudah lama melakukan sesuatu usaha. Sebaliknya orang lain yang melakukan perkara yang sama kita lakukan malah baru saja bermula, boleh dengan begitu mudah mencapai hasil yang besar.

Jika dilihat pada tindakan, ia telah betul dan Ok. Namun mengapa keadaan masih di takuk yang lama?

Mungkin salah satu sebabnya adalah tersalah melakukan usaha yang kurang serasi dengan diri. Bidangnya telah betul, tapi jalan yang dilalui adalah kurang tepat. Atau usaha telah betul, tapi bidang yang diceburi pula adalah kurang serasi. Umpana kekuatan pada kaki, tapi yang digunakan adalah suara. (Sepatutnya jadi pemain bola sepak, tapi mahu jadi penyanyi).

Maka sebab itu amat penting kita mengenali potensi diri kita, bakat kita dan juga kekuatan kita. Silapnya pendidikan di negara Malaysia lebih menitik beratkan usaha pembaikan kekurangan dan kelemahan yang ada pada diri. Sepatutnya difokuskan kepada usaha mengasah potensi dan kekuatan yang ada pada diri.

Kekurangan amat mustahil dapat diperbaiki sepenuhnya tetapi kekuatan jika diasah, ia lebih bermanfaat malah ia dapat menutup kekurangan diri yang ada. Bagi para ibu bapa, usahalah memenuhi potensi anak-anak selain semata-mata mahu mereka memperbaiki kekurangan diri. Saya rasa, salah satu sebab mengapa anak-anak muda mengalami konflik diri dan sukar berubah kerana potensi mereka diabaikan, sebaliknya ibu bapa hanya mahu kekurangan mereka diperbaiki.

Cerita Saya…

Walaupun saya sudah melakukan perniagaan internet hampir empat tahun, namun saya merasakan ada sesuatu yang ‘tidak kena’ pada diri saya. Keadaan ini membuatkan saya mengkaji, membaca dan bertemu dengan mereka yang dapat menggali apakah usaha yang lebih sesuai untuk saya lakukan.

Saya laburkan banyak wang semata-mata untuk mencungkil potensi yang ada pada diri saya dan untuk menentukan apakah jalan yang lebih patut saya lalui. Malah saya mengeluarkan banyak wang untuk membeli buku untuk kajian lanjutan. Tidak cukup dengan itu, saya meluangkan banyak masa untuk mendapatkan keputusan dan kepastian yang lebih mendalam.

Setelah melakukan semua itu, barulah saya dapat kenalpasti kekuatan yang saya ada dan apakah jalan-jalan usaha yang lebih sesuai untuk saya lakukan. Seterusnya saya melakukan strategi agar proses perlaksanaan tindakan dan hala tuju dapat dilakukan dengan lancar dan berjaya.

Jika bagi orang lain duduk dan bekerja di rumah itu amat menyeronokkan, tapi bagi saya ia ‘tidak begitu menyelesakan’ saya. Saya suka “bergerak” dan bertemu dengan orang, maka saya perlu merancang apakah usaha yang sesuai dengan ciri tersebut.

Saya juga suka menolong orang, tapi saya perlu berpada-pada agar saya juga ada dana / wang yang masuk. Maka dari situ saya perlu merancang bagaimana saya dapat membantu orang dan dalam masa yang sama saya mendapat wang (pendapatan).

Itu diri saya sebagai contoh untuk artikel ini. Bagaimana pula dengan anda? Masih tertanya-tanya mengapa usaha anda tidak mendatangkan hasil yang setimpal? Hanya ada dua sebab yang mungkin menjadi punca usaha kurang berhasil:

1. Anda sudah melakukan perkara yang betul, tapi tidak melakukan dengan cara yang tepat dan berkesan.

2. Anda sudah melakukan dengan betul, tapi anda tidak melakukan perkara yang serasi dengan potensi dalaman.

Jangan Tersalah Jalan

Begitu banyak kaedah untuk berjaya, tapi sebelum mendalami dan melakukan cara-cara itu, cubalah untuk menggali dan mengenalpasti potensi diri kita dahulu. Setelah kenal diri sendiri, barulah merancang strategi dan hala tuju untuk mencapai kejayaan.

1162026_business_decision Tidak guna melakukan cara yang berteknologi tinggi (banyak produk mahal sekarang) atau yang terhebat kerana itu semua tidak membawa kita ke jalan yang betul. Seolah-olah memandu kereta termahal tetapi ia akhirnya terhumban ke dalam gaung iaitu tidak membawa diri kita ke jalan yang sepatutnya (jalan yang serasi dengan diri).

Sebaliknya jika kita kenali potensi diri dan menggunakan alat-alat itu untuk ‘memandu’kan potensi kita itu ke arah jalan (usaha) yang serasi dengan kekuatan dalaman, sudah pasti kita akan sampai ke puncak kejayaan.

Cuba tanya diri anda, adakah anda suka dan menyintai sepenuhnya kerja yang dilakukan sekarang? Jika setiap kali melangkah ke tempat kerja hati anda tidak begitu seronok, malah melakukan kerja sambil lewa, itu mungkin satu petanda kerja itu kurang serasi dengan anda.

Cuba lihat mereka yang aman damai dan gembira hidupnya walaupun duit tidaklah sebanyak mana pun, mengapa begitu? Salah satu sebabnya adalah mereka lakukan apa yang mereka suka dan bukan menjadikan duit sebagai sasaran utama.

Seperti mana kata-kata Tiger Woods, pemain golf:

I get to play golf for a living. What more can you ask for - getting paid for doing what you love.

Don’t force your kids into sports. I never was. To this day, my dad has never asked me to go play golf. I ask him. It’s the child’s desire to play that matters, not the parent’s desire to have the child play. Fun. Keep it fun.

I want to be what I’ve always wanted to be: dominant.

I’m addicted. I’m addicted to golf.

Sumber: http://www.brainyquote.com/quotes/authors/t/tiger_woods.html

Sesuai VS Serasi

Kata Dr. Rusly dalam salah satu bukunya, sesuai itu tidak semestinya serasi. Ia mempunyai maksud yang berbeza. Apa saja kerja memang sesuai dengan kita. Tapi serasi adalah lebih daripada itu di mana sesuatu kerja atau usaha bukan hanya sesuai, malah sebati dan ada ‘hubungan’ terus dengan hati dan spiritual.

Contoh mudah, katakan saya ada ijazah dalam bidang komputer dan perisian. Maka saya sesuai jadi programmer atau system analyst atau project manager atau pegawai sistem maklumat. Tapi adakah kerja-kerja itu serasi dengan saya? Mungkin tidak.

Kesimpulan

Setiap manusia itu dijadikan dengan begitu unik dan tersendiri dengan setiap orang mempunyai potensi dan kekuatan dalaman yang tersendiri. Galilah dan kenalilah ‘diri’ anda yang sebenar. Utamakan potensi dan jangan terlalu mahu memperbaiki kekurangan sehingga terabai kekuatan yang ada.

Jika potensi dalaman diasah, dilatih, dididik dan digunakan secara optimum, anda dapat bayangkan apa yang akan terjadi kepada diri anda. Ya, diri anda akan menjadi hebat dan kejayaan akan diraih.

Alangkah bagusnya jika setiap orang melakukan sesuatu yang sesuai dengan dirinya. Satu bangsa yang setiap posisi diisi oleh mereka yang serasi dan mempunyai ‘kekuatan’ untuk ruang tersebut. Hasilnya, negara dan umat kita akan mempunyai kekuatan yang lebih maksimum dan hebat.

Umpama sebuah pasukan bola sepak, setiap posisi diisi oleh pemain yang memang sesuai untuk memenuhi posisi tersebut, maka mereka amat sukar untuk dikalahkan. Sebaliknya, apakah yang akan terjadi jika si penyerang dijadikan penjaga gol dan penjaga gol pula diletakkan di posisi penyerang? Sudah pasti pasukan itu amat mudah untuk dikalahkan.

Potensi diri + Usaha yang betul = KEJAYAAN

Kenali potensi anda, letakkan di jalan yang betul dan berusahalah dengan cara yang berkesan, insyaAllah kejayaan pasti akan dapat dicapai.

Selamat berjaya!

If you enjoyed this post, make sure you subscribe to my RSS feed!

Mengapa Belum Berjaya?

Friday, April 17th, 2009

Sempena hari jumaat, saya tulis artikel untuk kita sama-sama muhasabah diri mengapa kita belum capai kejayaan yang kita mahukan..

1. Kebanyakan manusia tidak bersyukur apa yang mereka miliki. Potensi dan kelebihan yang ada dirasakan belum cukup sehingga mereka menunda untuk berusaha. Inilah salah satu maksud tidak bersyukur sehingga akhirnya mereka menyalahkan takdir atau nasib.

Di dalam surah Ar-Rahman, Allah berulang-ulang kali bertanyakan, “Maka nikmat Tuhan mana satukah yang kamu dustakan?”. Mari kita sama-sama muhasabah diri, apakah kelebihan yang ada pada kita tetapi kita tidak menggunakannya untuk mencapai kejayaan dan menjadi insan yang disayangi oleh Allah?

Ramai orang terus menerus meminta sesuatu dengan Allah yang kononnya belum ada pada mereka. Padahal ia telah ada dalam diri mereka. Cuma sahaja mereka tidak cuba menggali dan mengenali potensi diri mereka.

Namun wujud persoalan, bagaimana untuk mengetahui potensi diri jika diri sendiri tidak dapat mengenalpasti kebolehan/potensi tersebut?

Jawapan kepada persoalan ini Allah telah menjawabnya di dalam Al-Qur’an iaitu: “Bertanyalah kepada ahli ilmu jika kalian tidak mengetahui (An-Nahl:43)“. Tanya dan belajarlah dengan mereka yang boleh membantu mengenalpasti potensi, bakat atau kemampuan anda.

Jadilah orang yang bersyukur dan seterusnya asah kelebihan yang ada pada diri sendiri tersebut. Allah sudah sempurnakan kejadian kita dengan dikurniakan dengan kelebihan tersendiri. Cuma perlu belajar, mengasahnya dan berusaha dengan betul. Sebab itu kena berguru. Baru mudah untuk berjaya.

2. Potensi atau bakat atau kelebihan pada setiap insan perlu digunakan semaksima dan sebaik mungkin (sudah pasti untuk jalan yang diredhaiNya - halal dan berkat). Kita tidak boleh salahkan orang lain jika kita tidak berjaya. Allah jadikan setiap orang dengan kelebihan masing-masing. Gunakanlah ia untuk kejayaan diri sendiri termasuk untuk manfaat orang lain.

Pendek katanya, kenalpasti apakah potensi dalam diri anda dan gunakannya ke jalan yang betul untuk meraih kejayaan dan kecemerlangan hidup yang diredhaiNya.

Bersempena artikel kali ini, saya berikan contoh bagaimana dua orang berikut menggunakan potensi yang mereka ada dan juga membuat keputusan serta bertindak untuk merealisasikan impian mereka.

Sila tonton dua video di bawah.

Video 1: Paul Potts (Juara Britains Got Talent Musim Pertama). Daripada orang biasa, kini telah berjaya menjadi penyanyi opera yang amat berjaya. Ya, sudah jadi seorang jutawan.

Klik URL berikut untuk melihat video:

http://www.youtube.com/watch?v=1k08yxu57NA

Video 2: Susan Boyle (Peserta Audition Britains Got Talent 2009) - Bakal Juara?? Di’ramal’kan beliau yang akan menjadi juara pada kali ini. Oh ya, beliau berumur 47 tahun. :)

Klik URL berikut untuk melihat video:

http://www.youtube.com/watch?v=9lp0IWv8QZY

Walau mereka nampak ’selekeh’, tapi mereka berusaha untuk menggunakan potensi dan kebolehan yang ada dalam diri mereka dan terbukti ia berjaya ‘memukau’ jutaan orang di seluruh dunia. Keinginan mereka amat tinggi dan tidak gentar untuk mencuba.

Secara ringkas, kita boleh ambil pelajaran seperti berikut:

1. Walau apa pun usia kita, tiada erti terlambat untuk memulakan sesuatu atau mencapai kejayaan yang besar. Mungkin walau hanya seminit kejayaan tersebut dicapai, ia mungkin satu titik tolak kepada perubahan besar untuk orang lain. “Berjaya walau sesaat untuk menjayakan atau memberikan perubahan baik terhadap orang lain”.

Dalam konteks Islam, mungkin kebaikan “seminit” yang anda lakukan memberikan imbalan yang tidak putus untuk anda di dalam alam kubur kelak dan memberikan manfaat kepada orang lain untuk mencapai kejayaan dalam hidup. Ia satu perkara yang amat bagus berbanding tidak berbuat apa-apa.

2. Membuat keputusan. Dua insan tersebut membuat keputusan untuk mencapai apa yang mereka mahukan. Jika mereka tidak membuat keputusan, mereka pasti akan terus berada di takuk yang lama atau kebolehan mereka hanya terbiar begitu saja.

*Walau pun contoh di atas adalah bidang hiburan, namun kita ambil sudut yang positif. Saya bukan mahu mengajak anda menjadi penyanyi/artis, tapi saya ingin menyatakan unsur positif sebagai pelajaran. Sesuaikan unsur positif yang saya huraikan di sini untuk bidang yang sedang / akan anda ceburi.

Mereka berdua telah membuat keputusan untuk mencapai apa yang mereka mahukan dan bertindak untuk meraihnya dengan menggunakan kelebihan/potensi yang mereka ada. Kita pula bagaimana?

“My dream is to spend my life doing what I believe I was born to do - Paul Potts

Susan Boyle ditanya dalam satu sesi temubual: “What made you go in for this, because you’re a shy person. What made you push yourself forward for this?”

Jawap beliau: “Basically I wanted to fulfil a wish to my mother, I wanted to do something with my life. Not only that but I think I had a bit more to offer.”. - Susan Boyle

Hidup ini terlalu singkat untuk menjadi seorang yang pengalah kerana Allah jadikan semua insan untuk menjadi seorang PEMENANG walau hanya sekadar berjaya untuk diri sendiri. Bangkit dan berjuanglah. Buatlah sesuatu untuk merubah hidup dan diri anda. Do something!

Ringkasan…

Setiap kali seseorang insan meminum air yang begitu nikmat, sedap dan lazat, kebanyakan mereka tidak mensyukurinya walau hanya sekadar ucapan alhamdulillah.

…Maka nikmat Tuhan mana satukah yang kamu dustakan? Banyak sekali… Gunakanlah potensi yang anda miliki untuk manfaat diri, keluarga, Agama dan negara. Allah jadikan kita bukan untuk saja-saja. Potensi dan kelebihan anda, ada dalam diri anda. Serlahkan ia, gunakan ia.

Jika anda dilanda cabaran, masalah dan ujian, anda perlu berusaha untuk menjadi pemenang. Jadi kena banyak sabarlah. Never give up, teruskan usaha. Seorang pemenang atau orang yang berjaya biasanya banyak sabar. Kalau dapat sesuatu tanpa usaha dan sabar, tak syok lah kan? ;)

Kita dilahirkan untuk MENANG. Buktinya? Di dalam Al-Qur’an tidak ada satu ayat pun Allah menyuruh kita menjadi seorang yang kalah atau gagal! Jadi? Anda tahu apa jawapannya dan anda tahu apa yang perlu anda lakukan.

Wassalam.

Untuk menang atau berjaya ada caranya, kalau kalah atau gagal ada sebabnya.”

If you enjoyed this post, make sure you subscribe to my RSS feed!

Jangan Perlahankan Langkah Anda

Sunday, November 30th, 2008

Salah satu faktor seseorang usahawan itu berputus-asa atau rasa berputus-asa adalah kerana pihak ketiga sama ada melalui kritikan negatif atau perbuatan jahat.

Seperti yang saya nyatakan di artikel-artikel sebelum ini, kritikan yang baik adalah kritikan yang dibuat secara berhemah dan ikhlas. Sebaliknya kritikan yang negatif adalah kritikan yang boleh membunuh motivasi dan daya gerak orang yang dikritik.

Namun, apa jua bentuk kritikan pun, anda sebagai usahawan jangan terlalu meluangkan masa yang banyak untuk melayan kritikan-kritikan tersebut dengan perasaan yang negatif. Apatah lagi turut sama ‘berperang’ dengan pengkritik-pengkritik tersebut.

Jika menghabiskan masa yang banyak untuk melayan mereka, sudah pasti ia akan memperlahankan pergerakan usaha yang sedang anda lakukan. Ini kerana apabila mereka memulakannya dan anda pula menambah, maka bermulalah babak-babak yang entah bila penamatnya (macam siri tenovela Indonesia beratus-ratus episod).

Lain jika anda tidak melayan langsung, ia pasti akan berakhir di situ sahaja atau yang berdrama hanya si tukang kritik dan kuncu-kuncunya sahaja. Tidak melayan kritikan bukan bermaksud kita tidak profesional, tetapi sebab kita profesionallah kita tidak melayan perkara yang membuang masa kita yang amat bernilai.

Yang Kurang Tidak Semestinya Tak Bagus

Di dalam buku The AirAsia Story, Tony Fernandes berulang kali menyatakan:

“Kebanyakan orang Malaysia suka melihat perkara negatif. Mereka sering mempersoalkan kenapa kekurangan itu terjadi? Sebaliknya mereka tidak terlalu lihat apa yang baik seolah-olah bagi mereka yang gagal atau kurang itu adalah salah atau tidak boleh sama sekali.”

Begitu juga seperti yang dikatakan oleh Billi Lim dalam bukunya Berani Gagal. Kebanyakan manusia melihat bahawa gagal itu adalah salah besar malah seperti satu dosa. Dan selama ini, pelajaran yang sering dilaungkan termasuk di sekolah dan pusat pengajian adalah lebih kepada mencapai kejayaan. Seolah-olah kalau boleh jangan gagal langsung.

*Petikan kata-kata mereka di atas saya tulis balik secara bebas.

Akibat daripada kesalahfahaman pemikiran ini, maka ramai usahawan tidak kekal lama dalam bidang perniagaan. Mereka tiada jati diri dan kekuatan untuk bangkit kembali. Yang mereka ada cuma semangat untuk berjaya tetapi tiada semangat dan keberanian untuk menghadapi kegagalan.

Mudah ceritanya, kebanyakan orang selama ini dididik agar TAKUT kepada gagal. Kesannya apabila gagal, maka mereka 100% membuat kesimpulan mereka telah GAGAL sepenuhnya dan mereka bersalah besar.

Pelajaran: Kesilapan atau kegagalan dalam setiap usaha bukan kegagalan yang muktamad. Itu adalah pelajaran agar kita tidak melakukan lagi sesuatu yang tidak mendatangkan hasil.

Nasihat Kepada Pengkritik

Kritikan yang baik adalah kritikan yang seimbang dan adil. Kritikan yang baik adalah dengan menyatakan pro dan kontra serta tidak bias kepada mana-mana pihak atau ada kepentingan diri atau semata-mata untuk menampakkan kehebatan diri.

Tapi apa yang sering kita lihat, ramai yang asyik mengkritik kekurangan atau kegagalan orang lain. Ini satu sikap yang kurang ajar wajar sebab ia boleh membunuh motivasi orang yang dikritik tersebut. Kebanyakan pengkritik sering salah faham yang mana mereka ingat mereka boleh perbetulkan sesuatu dengan kritikan, tapi hakikatnya tidak selalu begitu.

Hati-hati dalam penulisan dan kata-kata. Bertanggungjawablah sebaik mungkin. Jangan hanya tahu mengkritik dan biarkan orang yang dikritik demam tak kebah akibat motivasi mereka jatuh mendadak kerana kritikan yang amat berbisa. Ini biasanya berlaku melalui kritikan berbentuk ‘personal attack’.

Di dalam Islam pun amat menggalakkan kita diam daripada berbicara kerana tidak semestinya bicara kita itu menjernihkan keadaan melainkan ia perlu dan betul-betul boleh membantu.

Islam amat menekankan soal menjaga lisan (kata-kata, penulisan..) malah banyak ulama’ menulis satu kitab khas mengenai menjaga lisan. Semoga kita dijauhi daripada cakap-cakap yang tidak bermanfaat dan menyusahkan hidup orang lain.

Jangan sebab kita pandai menulis atau blogger yang dikenali, hebat atau sebagainya, kita boleh tulis apa sahaja yang kita mahu. Kita tetap disempadani oleh adab, adat, nilai kehidupan, peraturan hidup dan etika. Mudah katanya, jangan sesekali perbuatan kita seperti kita tidak berAgama.

Sebab itu kita perlu fikir dahulu sebelum menulis atau berkata-kata. Fikir dulu apakah akibat daripada perbuatan tersebut. Kalau ia boleh menyusahkan kehidupan orang, jangan ringan tangan melakukannya melainkan ia amat perlu.

Walaupun menulis atau berkata itu mudah dan ringan, tetapi untuk bertanggungjawab terhadapnya tidak seringan yang disangka. Jadi, fikirkan baik-baik dan jadi seorang yang bertanggungjawab serta adil di dalam mengkritik.

Apa pun, kritikan itu jika kena pada tempat dan caranya, ia tidak salah, malah boleh memberikan momentum. Tapi bagi saya, saya tak ada banyak masa untuk mengkritik orang lebih-lebih lagi orang yang lebih berjaya daripada saya.

Sebaliknya, kita perlu banyak belajar daripada orang yang berjaya dan BUKAN mengkritik mereka walaupun kita boleh mengkritik.

Bak kata Karam Singh Walia sambil mengangkat-ngangkat tangannya, “Lembu orang dikejar-kejar, lembu sendiri yang kelaparan. Yang dikejar tak dapat, yang lapar mati kebuluran”.

(Nama dan pepatah di atas hanya rekaan sahaja bagi menyedapkan artikel ini).

Sekian, wassalam.

If you enjoyed this post, make sure you subscribe to my RSS feed!

Menerima Kritikan Dengan Terbuka

Tuesday, November 18th, 2008

Hidup di dunia tidak dapat lari daripada kritikan dan kata-kata manusia. Walaupun kita buat perkara baik, kita tetap dikritik.

Manusia yang teruk adalah manusia yang suka cakap mengenai hal orang. Hatta rumahtangga orang pun tanpa segan silu diperkatakan. Mereka ingat mereka berkata baik agar masalah yang berlaku dapat selesai. Tapi mereka silap, mereka telah mengumpat dan menambah marak api yang belum terpadam.

Semoga kita tidak menjadi seperti manusia-manusia itu. Aib orang, kesalahan orang, ALLAH memerintahkan kita simpan baik-baik. BUKAN dedahkan.

Ok, saya bukan nak cerita pasal mengumpat hal orang, tapi saya mahu sentuh mengenai kritikan.

Usahawan Perlu Berani Terima Kritikan

Sebagai usahawan, kritikan daripada para pemerhati (baca: tukang kritik) atau pelanggan yang tidak berpuas-hati haruslah diterima dengan terbuka dan tanpa ada rasa ‘terseksa’.

Dengar atau fahami kritikan mereka dan jika ada yang baik untuk kita, terima ia dan jadikan sebagai satu pemangkin untuk kita terus berusaha.

Cuma, jangan terlalu habiskan banyak masa dengan kritikan-kritikan yang negatif. Jangan terlalu layan mereka.

Jenis-Jenis Kritikan

1. Kritikan Membina

Kritikan jenis ini amat membantu. Biasanya ia disampaikan dengan beradab dan berfakta.

2. Kritikan Negatif

Biasanya disampaikan dengan emosi yang negatif. Malah terkadang ia bersifat serangan peribadi dan yang lebih teruk, sebahagian kata-kata kritikan adalah tidak betul.

Jadi, jika kita ingin mengkritik orang, kritiklah dengan cara yang baik. Jika tidak puas hati, bawa berbincang dengan orang yang kita tidak puas hati tersebut. Sebaliknya, bukan dihebohkan di sana sini. Ia bukan jalan penyelesaian yang bijak.

Kembalikan Segalanya Kepada ALLAH

Sebagai seorang muslim, kita sebenarnya sudah mempunyai sumber kekuatan yang abadi iaitu ALLAH. Inilah sumber motivasi yang teragung.

Selagi mana kita ada perasaan takut terutama kepada manusia, ia mungkin boleh dimengertikan bahawa ALLAH belum betul-betul ada di dalam hati kita.

Dekatkanlah diri dengan ALLAH agar hati kita yakin padaNYA 100% dan insyaAllah, kita akan menjadi seorang yang berani berhadapan dengan makhlukNYA yang tiada apa-apa daya dan kuasa.

Firman Allah di dalam Al-Qur’an: “Mereka sekali-kali tidak dapat membahayakan kalian, selain hanya berupa gangguan saja“. (Ali ‘Imran: 111).

Nah, ALLAH sendiri menyatakan manusia tidak dapat berbuat apa-apa. Maka mengapa kita masih takut kepada mereka?

Tiada sebab untuk kita takut selagi mana kita melakukan benda yang betul. Teruskan usaha, fokus pada kerja. InsyaAllah, walhasilnya kita menjadi seorang hambaNYA yang tidak menyia-nyiakan hidup ini.

Tolak Kritikan atau Serangan Peribadi Secara Baik

Allah memberikan panduan bagaimana cara terbaik untuk menolak kejahatan manusia terhadap kita:

“Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara lebih baik, maka tiba-tiba orang yang ada permusuhan antaramu dan antara dia seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia. Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang yang sabar dan tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar.” (Fushshilat: 34-35)

“Maka bersabarlah kamu seperti Ulil ‘azmi (mereka yang mempunyai keteguhan hati) dari rasul-rasul telah bersabar.” (Al-Ahqaf: 35)

“Dan sesungguhnya telah didustakan (pula) Rasul-rasul sebelum kamu, akan tetapi mereka bersabar terhadap pendustaan dan penganiayaan (yang dilakukan) terhadap mereka, sampai datang pertolongan Kami kepada mereka.” (Al-An’am: 34)

Pelajaran:

1. Tolak kritikan dengan cara baik.

2. Bersabar

3. Orang yang baik ada sifat sabar

4. Yakin dengan pertolongan Allah (berdoa dan berharap)

Jangan Hilang Punca

Seorang muslim solat lima kali sehari (solat fardhu). Tetapi terkadang mereka hilang punca, risau, takut dan sebagainya. Maka boleh dikatakan solat itu belum terkesan sepenuhnya untuk diri mereka.

Seperti yang diperkatakan di atas, ALLAH adalah sumber dan punca kekuatan yang abadi. Segala apa yang berlaku, rezeki, kebaikan, keselamatan, semuanya datang daripada ALLAH.

Jadi mengapa perlu hilang punca padahal Allah itu sentiasa ada?

Sebagai seorang muslim, kita perlu usaha agar Allah sentiasa ada di dalam hati kerana perjalanan hidup yang sebenar pun adalah menuju kepada Allah jua..

Formula Kejayaan

Tak guna ada hati yang teguh dan tak guna mempunyai keyakinan kalau tidak melakukan tiga perkara berikut di dalam usaha perniagaan:

1. Perancangan yang BETUL

2. Usaha BERSUNGGUH-SUNGGUH

3. Fokus SEPENUHNYA

Lakukan sahaja apa yang perlu dilakukan. Jangan terlalu risau dan jangan meluangkan masa yang banyak melayan kritikan.

Lakukan Saja..

Jika anda melakukan perkara yang betul, maka anda ada hak untuk melakukannya.

“Lakukanlah sahaja apa yang kamu ingin lakukan. Kalau kamu lakukannya, kamu akan dikritik. Malah kamu juga tetap dikritik kerana tidak melakukannya.”

Semoga kita semua menjadi usahawan yang memiliki hati yang teguh.

Wassalam.

If you enjoyed this post, make sure you subscribe to my RSS feed!