Ulasan Puan Ainon Mengenai Saya

ainon-zulSalah seorang “taiko” internet-marketing yang menghadiri bengkel adaptasi hari Ahad lalu adalah pengasas SmartUsaha.com (foto).

Kehadiran orang besar seperti beliau sangat tidak diduga dan telah menyebabkan peserta kursus yang lain berasa sangat gembira.

Tn. Zulfadli adalah pakar internet-marketing dalam bahasa Melayu yang paling ngetop saat ini. Selepas bengkel tamat, penulis-penulis PTS yang hadir (Zamri Mohamed, Izwan Robotys, Firdaus Ariff, Haekal, Azree) telah membawa beliau melepak di Janda Baik dan pulang keesokan harinya.

Pemuda ini sangat lemah-lembut orangnya, suaranya rendah. Apabila sesekali bercakap, beliau suka senyum sambil menundukkan pandangannya seolah-olah sedang memikirkan setiap perkataan yang mahu diucapkan.

Dalam perbualan, beliau tidak memulakan topik, melainkan menyumbang kepada topik yang sedang diperbincangkan.

Foto: Dengan ikhsan Tn. Firdaus Ariff.

Dipetik daripada: http://www.universitipts.com

Mengenal Potensi Diri dan Merancang Hala Tuju

“Kenali potensi diri dan serlahkan ia kepada dunia!”

Kita sering tertanya-tanya, mengapa kita masih belum dapat berubah ke tahap yang membanggakan walaupun sudah lama melakukan sesuatu usaha. Sebaliknya orang lain yang melakukan perkara yang sama kita lakukan malah baru saja bermula, boleh dengan begitu mudah mencapai hasil yang besar.

Jika dilihat pada tindakan, ia telah betul dan Ok. Namun mengapa keadaan masih di takuk yang lama?

Mungkin salah satu sebabnya adalah tersalah melakukan usaha yang kurang serasi dengan diri. Bidangnya telah betul, tapi jalan yang dilalui adalah kurang tepat. Atau usaha telah betul, tapi bidang yang diceburi pula adalah kurang serasi. Umpana kekuatan pada kaki, tapi yang digunakan adalah suara. (Sepatutnya jadi pemain bola sepak, tapi mahu jadi penyanyi).

Maka sebab itu amat penting kita mengenali potensi diri kita, bakat kita dan juga kekuatan kita. Silapnya pendidikan di negara Malaysia lebih menitik beratkan usaha pembaikan kekurangan dan kelemahan yang ada pada diri. Sepatutnya difokuskan kepada usaha mengasah potensi dan kekuatan yang ada pada diri.

Kekurangan amat mustahil dapat diperbaiki sepenuhnya tetapi kekuatan jika diasah, ia lebih bermanfaat malah ia dapat menutup kekurangan diri yang ada. Bagi para ibu bapa, usahalah memenuhi potensi anak-anak selain semata-mata mahu mereka memperbaiki kekurangan diri. Saya rasa, salah satu sebab mengapa anak-anak muda mengalami konflik diri dan sukar berubah kerana potensi mereka diabaikan, sebaliknya ibu bapa hanya mahu kekurangan mereka diperbaiki.

Cerita Saya…

Walaupun saya sudah melakukan perniagaan internet hampir empat tahun, namun saya merasakan ada sesuatu yang ‘tidak kena’ pada diri saya. Keadaan ini membuatkan saya mengkaji, membaca dan bertemu dengan mereka yang dapat menggali apakah usaha yang lebih sesuai untuk saya lakukan.

Saya laburkan banyak wang semata-mata untuk mencungkil potensi yang ada pada diri saya dan untuk menentukan apakah jalan yang lebih patut saya lalui. Malah saya mengeluarkan banyak wang untuk membeli buku untuk kajian lanjutan. Tidak cukup dengan itu, saya meluangkan banyak masa untuk mendapatkan keputusan dan kepastian yang lebih mendalam.

Setelah melakukan semua itu, barulah saya dapat kenalpasti kekuatan yang saya ada dan apakah jalan-jalan usaha yang lebih sesuai untuk saya lakukan. Seterusnya saya melakukan strategi agar proses perlaksanaan tindakan dan hala tuju dapat dilakukan dengan lancar dan berjaya.

Jika bagi orang lain duduk dan bekerja di rumah itu amat menyeronokkan, tapi bagi saya ia ‘tidak begitu menyelesakan’ saya. Saya suka “bergerak” dan bertemu dengan orang, maka saya perlu merancang apakah usaha yang sesuai dengan ciri tersebut.

Saya juga suka menolong orang, tapi saya perlu berpada-pada agar saya juga ada dana / wang yang masuk. Maka dari situ saya perlu merancang bagaimana saya dapat membantu orang dan dalam masa yang sama saya mendapat wang (pendapatan).

Itu diri saya sebagai contoh untuk artikel ini. Bagaimana pula dengan anda? Masih tertanya-tanya mengapa usaha anda tidak mendatangkan hasil yang setimpal? Hanya ada dua sebab yang mungkin menjadi punca usaha kurang berhasil:

1. Anda sudah melakukan perkara yang betul, tapi tidak melakukan dengan cara yang tepat dan berkesan.

2. Anda sudah melakukan dengan betul, tapi anda tidak melakukan perkara yang serasi dengan potensi dalaman.

Jangan Tersalah Jalan

Begitu banyak kaedah untuk berjaya, tapi sebelum mendalami dan melakukan cara-cara itu, cubalah untuk menggali dan mengenalpasti potensi diri kita dahulu. Setelah kenal diri sendiri, barulah merancang strategi dan hala tuju untuk mencapai kejayaan.

1162026_business_decision Tidak guna melakukan cara yang berteknologi tinggi (banyak produk mahal sekarang) atau yang terhebat kerana itu semua tidak membawa kita ke jalan yang betul. Seolah-olah memandu kereta termahal tetapi ia akhirnya terhumban ke dalam gaung iaitu tidak membawa diri kita ke jalan yang sepatutnya (jalan yang serasi dengan diri).

Sebaliknya jika kita kenali potensi diri dan menggunakan alat-alat itu untuk ‘memandu’kan potensi kita itu ke arah jalan (usaha) yang serasi dengan kekuatan dalaman, sudah pasti kita akan sampai ke puncak kejayaan.

Cuba tanya diri anda, adakah anda suka dan menyintai sepenuhnya kerja yang dilakukan sekarang? Jika setiap kali melangkah ke tempat kerja hati anda tidak begitu seronok, malah melakukan kerja sambil lewa, itu mungkin satu petanda kerja itu kurang serasi dengan anda.

Cuba lihat mereka yang aman damai dan gembira hidupnya walaupun duit tidaklah sebanyak mana pun, mengapa begitu? Salah satu sebabnya adalah mereka lakukan apa yang mereka suka dan bukan menjadikan duit sebagai sasaran utama.

Seperti mana kata-kata Tiger Woods, pemain golf:

I get to play golf for a living. What more can you ask for – getting paid for doing what you love.

Don’t force your kids into sports. I never was. To this day, my dad has never asked me to go play golf. I ask him. It’s the child’s desire to play that matters, not the parent’s desire to have the child play. Fun. Keep it fun.

I want to be what I’ve always wanted to be: dominant.

I’m addicted. I’m addicted to golf.

Sumber: http://www.brainyquote.com/quotes/authors/t/tiger_woods.html

Sesuai VS Serasi

Kata Dr. Rusly dalam salah satu bukunya, sesuai itu tidak semestinya serasi. Ia mempunyai maksud yang berbeza. Apa saja kerja memang sesuai dengan kita. Tapi serasi adalah lebih daripada itu di mana sesuatu kerja atau usaha bukan hanya sesuai, malah sebati dan ada ‘hubungan’ terus dengan hati dan spiritual.

Contoh mudah, katakan saya ada ijazah dalam bidang komputer dan perisian. Maka saya sesuai jadi programmer atau system analyst atau project manager atau pegawai sistem maklumat. Tapi adakah kerja-kerja itu serasi dengan saya? Mungkin tidak.

Kesimpulan

Setiap manusia itu dijadikan dengan begitu unik dan tersendiri dengan setiap orang mempunyai potensi dan kekuatan dalaman yang tersendiri. Galilah dan kenalilah ‘diri’ anda yang sebenar. Utamakan potensi dan jangan terlalu mahu memperbaiki kekurangan sehingga terabai kekuatan yang ada.

Jika potensi dalaman diasah, dilatih, dididik dan digunakan secara optimum, anda dapat bayangkan apa yang akan terjadi kepada diri anda. Ya, diri anda akan menjadi hebat dan kejayaan akan diraih.

Alangkah bagusnya jika setiap orang melakukan sesuatu yang sesuai dengan dirinya. Satu bangsa yang setiap posisi diisi oleh mereka yang serasi dan mempunyai ‘kekuatan’ untuk ruang tersebut. Hasilnya, negara dan umat kita akan mempunyai kekuatan yang lebih maksimum dan hebat.

Umpama sebuah pasukan bola sepak, setiap posisi diisi oleh pemain yang memang sesuai untuk memenuhi posisi tersebut, maka mereka amat sukar untuk dikalahkan. Sebaliknya, apakah yang akan terjadi jika si penyerang dijadikan penjaga gol dan penjaga gol pula diletakkan di posisi penyerang? Sudah pasti pasukan itu amat mudah untuk dikalahkan.

Potensi diri + Usaha yang betul = KEJAYAAN

Kenali potensi anda, letakkan di jalan yang betul dan berusahalah dengan cara yang berkesan, insyaAllah kejayaan pasti akan dapat dicapai.

Selamat berjaya!

Skali Lagi

Saya ingin berkongsi dengan anda mengenai satu buku ini yang bertajuk “Skali Lagi” tulisan Tengku Farith Rithauddeen. Buku ini mengisahkan jatuh bangun dan sepak terajang di dalam dunia keusahawanan beliau bersama rakan kongsinya.

(Sumber imej: www.pts.com.my)

Sudah lama niat di hati untuk membeli buku ini, tapi saya sering lupa dan menangguh. Lantas Ahad lepas saya terus ke kedai buku untuk membelinya. Sebelum saya terlupa, buku versi Bahasa Melayu ini adalah terbitan PTS Profesional.

Saya tidak mahu menyatakan berapa bab yang ada dalam buku ini malah saya sendiri pun tidak baca sangat nombor babnya. Akibat begitu menarik sekali perkongsian cerita oleh Tengku Farith, saya teruja, asyik dan lupa perkara yang lain sehinggakan tajuk besarnya pun saya tak ingat.

Bagi saya, bayaran RM18.00 untuk buku ini hanyalah bayaran untuk cetakan buku sahaja. Tetapi nilai sebenar perkongsian oleh Tengku Farith tiada nilainya. Nilai pengalaman beliau bersama rakan kongsi di dalam mencipta kejayaan adalah amat besar sekali dan amat bernilai kepada sekalian para usahawan.

Apa yang menjadi dasar utama penulisan buku ini adalah jatuh bangun penulis bersama rakan kongsinya di dalam membina empayar perniagaan dot com di bawah jenama SKALI sehingga mencapai kejayaan di hari ini.

Walaupun bisnes yang mereka ceburi adalah berbentuk skala besar (projek juta-juta), namun secara asasnya, nilai keusahawanan mereka sesuai kepada sesiapa sahaja termasuk usahawan berskala kecil.

Semangat, motivasi, kegagalan, kekecewaan, konflik dan sebagainya yang menjadi asam garam dunia keusahawanan semuanya telah digarapkan dengan baik di dalam buku ini.

Mungkin ada yang tertanya, apakah produk SKALI? Dulu, di peringkat permulaan, projek besar mereka adalah enjin pencari dan pengiklanan online dengan kerjasama pihak AltaVista. Kini, hala tuju mereka telah berubah iaitu kepada syarikat penyedia e-bisnes seperti penyedia simpanan data.

Untuk pengetahuan anda, pihak SKALI adalah antara pihak awal yang menyediakan khidmat data center. Pada masa itu kata mereka, pihak Telekom dan Jaring belum lagi memiliki data center sendiri.

Hasrat anak-anak muda di SKALI ini di peringkat permulaan begitu tinggi dan kejayaan sudah diimpikan di dalam fikiran masing-masing. Lagi-lagi merekalah perintis kepada projek sebegitu (enjin carian).

Namun, kejayaan hanyalah mimpi di siang hari. Satu demi satu masalah telah dihadapi oleh mereka. Manis yang diharap, pahit yang terpaksa ditelan hari demi hari bertahun lamanya.

Bayangkan, daripada puluhan pekerja, akhirnya sehingga tahap maksimum, yang tinggal hanyalah rakan kongsi sahaja. Itu pun tanpa bergaji atau paling banyak RM200 sebulan! Malah, Tengku Farith hanya menunggang skuter sahaja pada saat genting mereka.

Walaupun begitu, mereka terus menghadapi dengan cekal. Mereka survive habis-habisan walaupun sampai satu tahap mereka bertegang sesama sendiri. Namun, mereka tetap bersama dan berdiri teguh dengan cita-cita mereka.

Kini, SKALI bukan lagi seperti dulu. Mereka sudah ada tapak dan payung. Penat lelah dan perit jerih mereka selama hampir 10 tahun sudah terbalas.

Itu hanyalah ringkasan sahaja. Anda boleh baca rentetan cerita mereka dengan membaca buku ini.

Satu Pasukan Yang HEBAT! (Sumber Imej: skalilagi.net)

Antara pelajaran penting yang saya pelajari daripada buku ini adalah:

1. Jangan lakukan sesuatu yang bukan kemampuan kita. Salah satu punca pihak SKALI menghadapi masalah adalah kerana mengambil projek di luar daripada skop/kemampuan mereka.

2. Fokus. Pentingnya fokus kepada kekuatan atau skop perniagaan. Saya (malah mungkin anda), berkali-kali lari fokus. Kejap Ebay, kejap lelong, kejap produk digital, kejap adsense. Akhirnya semua tak dapat.

Anda tidak perlu risau mengenai MSI (multiple streams of income) sebab ia boleh dilakukan kelak. Yang PENTING adalah bina dahulu empayar dalam satu bidang.

3. Kerjasama. Salah satu yang dipelajari oleh pihak SKALI adalah jangan tamak di dalam mendapatkan tender projek. Sebaliknya, boleh bekerjasama dengan pihak yang memenangi tender itu dengan menyediakan sesuatu yang kita mampu sediakan.

Contohnya, tawarkan bahagian yang pihak pemenang tender itu dengan sesuatu yang mereka tidak pakari. Pelajaran di sini, jangan mahu mendominasi pasaran secara tamak (sorang-sorang). Jika boleh bahagi keuntungan dengan pihak lain, lakukannya.

4. Rundingan. Pihak SKALI begitu banyak menghadapi masalah terutama kewangan. Tapi mereka pandai berunding dan mencadangkan jalan penyelesaian kepada pihak yang menuntut sesuatu daripada mereka. Salah satunya pihak pemiutang.

Jadi, jika anda dilanda masalah, jangan terus menyerah kalah. Cuba berunding dan senaraikan beberapa cadangan kepada pihak berkaitan.

5. Bijak berfikir. Pentingnya berfikir dengan tenang dan bijak di dalam menyelesaikan masalah dan jangan mudah berputus-asa. Pihak SKALI mungkin tidak akan berjaya seperti sekarang jika mereka tidak duduk semeja dan merancang strategi dan tindakan.

6. Nilai KEGAGALAN. Mereka banyak mengalami kegagalan demi kegagalan. Kini, sudah pasti mereka semakin matang dan profesional. Yang lebih penting, mereka tidak takut gagal malah semakin berani melakukan sesuatu yang orang lain takut melakukannya.

7. Perkongsian. Sewaktu SKALI menghadapi zaman kejatuhan, ada beberapa pihak membantu mereka. Sebab itu mereka mampu lagi bernafas. Jadi pesan Tengku Farith, jika kita sedang berjaya, apa salahnya membantu mereka (usahawan) yang sedang mengalami kesusahan.

8. Perlu menilai orang dari dalam dan luar. SKALI pernah kerugian masa selama satu tahun di dalam mendidik satu syarikat milik tiga orang anak muda. Mereka dipilih kerana bagusnya idea produk mereka.

Namun, tidak disangka rupanya nilai dalaman anak-anak muda itu terlalu rapuh. Pelajaran yang pihak SKALI perolehi adalah, jangan menilai pada bagusnya hitam putih pada kertas atau produk, tapi nilai juga dalaman manusia yang terlibat.

9. Persamaan pendapat bukan titik tolak kejayaan satu pasukan. Rakan kongsi di dalam SKALI mempunyai corak pemikiran yang berbeza. Akibat daripada perbezaan itulah SKALI kekal sehingga ke hari ini.

Mungkin selama ini kita menganggap perlunya sama pemikiran bagi semua satu pasukan perniagaan. Ia satu anggapan yang salah. Dengan berbezanya pendapat dan cara berfikir, di situlah wujudnya ranting demi ranting idea dan strategi.

Dalam kes SKALI, Tengku Rithauddeen memang tidak sama pemikirannya dengan rakan kongsi yang lain. Katanya, beliau jenis cool dan seorang rakan kongsi yang lain amat tegas sekali.

Jadi, jika anda melakukan sesuatu secara berpasukan, elakkan sifat “yes man”. Ia boleh meleburkan usaha yang dilakukan. Biarlah rakan kongsi terasa hati sedikit demi kebaikan bersama. Sudah pasti, sifat saling memahami dan terbuka teramatlah penting.

10. Jangan takut berimpian besar. Pasukan SKALI memang bercita-cita besar. Impian itu bukan sekadar impian, tapi dilakukan dengan penuh kesungguhan. Sebab itu mereka kekal sehingga sekarang.

11. Tukar Model Perniagaan. Setelah melihat projek enjin pencari tidak memberikan keuntungan yang besar, lantas Team SKALI menukar strategi dengan melihat apakah skop lain yang mereka boleh ceburi dan sudah semestinya yang mempunyai harapan yang cerah.

Bagi anda para usahawan, jika anda rasakan apa yang anda lakukan sekarang tidak sesuai atau merasakan ia tidak dapat membawa anda kepada impian yang dicitakan, cubalah beralih kepada usaha atau idea yang lain.

Banyak lagi pelajaran penting di dalam buku ini. Beli dan bacalah. Tip saya, baca buku ini di satu tempat yang sunyi dan tiada gangguan. Hayati perjalanan SKALI dari mula sehingga ke hari ini. Hayati dengan sepenuh hati…

Saya amat yakin, selepas anda habis membaca buku ini dengan PENUH PENGHAYATAN, saya teramat yakin, motivasi dan semangat anda akan naik dengan mendadak. Anda yang sedang berputus-asa akan pasti tidak sabar-sabar untuk bermula sekali lagi. InsyaAllah.

Walaupun banyak pelajaran di dalam buku ini, namun saya simpulkan kepada intipati utama iaitu:

“Jika GAGAL, jika hilang fokus, mulakannya SEKALI LAGI.”

Anda bagaimana? Sudah berputus-asa? Jangan begitu. Mulakanlah sekali lagi!

PS. Berita baik: Anda sebenarnya boleh download percuma buku ini (versi digital) di sini:

http://skalilagi.net/index.php?ch=download

Layari Blog Motivasi Usahawan