Blog Perniagaan Internet: SmartUsaha.com

21 Tip Pemasaran Facebook Untuk Usahawan

1. Walau apa tujuan menyertai Facebook, utamakan asasnya iaitu ‘networking’. Atau dalam kata lain, berkenalan, bersosial, berkomunikasi dan ada interaksi.

2. Mesti mampu membuatkan orang jelas dengan diri kita seperti apakah produk atau perkhidmatan yang kita tawarkan. Hal ini amat wajib dan penting. Jika tidak, kita akan ‘tenggelam’.

3. Di laman web sosial, orang lebih suka melihat apakah yang kita lakukan dari semasa ke semasa. Jadi gunakan fungsi seperti Photos dan Video sebaik-baiknya.

4. Sertai Group yang berkaitan dan Add ahli-ahli di Group itu sebagai Friend kita. Beritahu mereka bahawa kita juga adalah ahli kepada Group tersebut. Ini adalah salah satu cara untuk menambah kawan tanpa membuatkan mereka ragu siapakah kita.

5. Berikan maklumat yang bernilai. Diri kita akan menjadi bernilai di mata ahli FB jika maklumat atau informasi yang kita berikan bernilai untuk mereka. Di FB, lebihkan ‘sharing’ berbanding promosi semata-mata.

6. Salah satu cara lain untuk menambah Friend adalah dengan menyemak emel-emel pelanggan kita di FB. Jika ada, Add mereka dan beritahu mengenai anda.

7. Selepas Add seseorang, komunikasi pertama adalah amat penting. JANGAN sesekali terus melakukan promosi kepada mereka. Boleh mulakan dengan ucapan terima kasih dan salam perkenalan.

8. Kebanyakan orang terlalu takut untuk membeli melalui internet kerana alasan sukar mempercayai. Begitu juga untuk percaya kepada mana-mana individu atau pihak yang melakukan promosi di internet. Begitu juga di FB.

Oleh itu, kurangkan rasa takut ahli-ahli FB dengan konsisten muncul di FB seperti berkomunikasi dengan mereka, memuat naik foto dan video. Wujudkan kepercayaan pada diri mereka bahawa kita adalah usahawan atau perniagaan yang boleh dipercayai. Cara lain, letak testimonial daripada pelanggan sedia ada.

9. Semakin kita ‘rapat’ dengan ahli-ahli FB, maka kita akan semakin mendapat perhatian.

10. Jika mempunyai kamera atau webcam, boleh terus rekod video dengan menggunakan fungsi Video Recorder di FB.

11. Gunakan fungsi “Tagging” sebaik-baiknya, tetapi tag mereka yang berkaitan sahaja. Elakkan tag secara melulu kerana ia boleh membuatkan mereka marah dan menganggu ruang FB mereka.

12. Hari Lahir: Salah satu cara untuk berkomunikasi dengan ahli-ahli FB adalah dengan mengucapkan ucapan-ucapan yang baik-baik kepada mereka bersempena ulangtahun kelahiran mereka. Status hari lahir ada di bahagian HOME FB.

13. Wujudkan Group atau Fan Page sendiri yang mana ia mempunyai beberapa kelebihan berbanding akaun peribadi (personal profile account).

14. Event: Dalam diam, sudah banyak pihak perniagaan atau individu yang berjaya mendapat peserta untuk program anjuran mereka HANYA melalui Facebook. Caranya adalah dengan menggunakan fungsi Event.

15. Jika sesuai, boleh integrasikan akaun Facebook dengan Twitter dan juga blog (RSS).

16. Chat: Tanpa perlu menggunakan aplikasi lain di luar FB, kita boleh menggunakan fungsi Chat untuk berbincang sesuatu perkara bersama pelanggan. Namun pastikan cara ini tidak membuatkan masa kita habis begitu sahaja tanpa kawalan.

17. Pelbagaikan bentuk penulisan di FB. Elakkan terlalu streotaip atau kaku dengan satu-satu cara sahaja. Masukkan unsur-unsur humor, fakta, statistik, pendapat, berita, link ke artikel yang menarik, persoalan, menggunakan imej di dalam penulisan di nota (Notes), senarai dan pelbagai lagi bentuk.

18. Saya dapati, jika kita menjadikan (memperlakukan) rakan-rakan (Friends) di FB sebagai pelanggan di dalam komunikasi iaitu ‘kita di atas dan mereka di bawah’, ia kurang berkesan di dalam menarik minat mereka. Kita perlu melihat mereka seperti seorang rakan (sama aras), dan bukan seorang pelanggan. Maka laras bahasa juga perlulah sesuai tanpa menggunakan ayat-ayat yang terlalu menjual. Orang tidak suka mereka terjual. Kurangkan ego mereka.

19. Gunakan bahasa atau cara penulisan yang boleh difahami oleh semua golongan. Bahasa SMS (shortcut) biasanya difahami oleh orang-orang muda sahaja, tetapi tidak untuk orang-orang lama. Begitu juga bahasa pasar, tidak semua bangsa boleh memahaminya. Tanda seseorang itu serius dalam bisnes adalah, mereka akan menjaga cara penulisan dan bahasa mereka sebaik mungkin.

20. Elakkan melepas geram atau menulis sesuatu yang negatif, atau melakukan sesuatu yang kurang elok. Seorang usahawan (terutama yang berjaya) biasanya akan dilihat sebagai hebat dan positif. Jika kita (usahawan) menulis sesuatu yang menunjukkan kita lemah, mudah mengeluh, tidak bersabar dan cepat melenting, maka nilai kita pada pandangan orang akan mula terhakis.

21. Jika tiada idea untuk menulis sesuatu di FB, gunakan sahaja fungsi Link dengan memasukkan link (pautan) ke mana-mana artikel di blog, lagi-lagi jika kita mempunyai sebuah blog yang telah ditulis dengan banyak artikel.

Ikut Kata Hati Sendiri

Jika kita mahu menulis ebook dan menjualnya, lakukan sahaja.

Jika kita mahu menjual ebook mengenai cara buat duit, jual sahaja.

Jika kita ingin menulis buku, tulis sahaja.

Jika kita mahu melakukan sesuatu yang kontroversi, lakukan sahaja.

Jika kita mahu melakukan sesuatu yang jarang orang lakukan, buat sahaja.

Jika kita mahu menulis sesuatu di blog, tulis sahaja.

Jika mahu anjurkan bengkel, seminar atau ceramah, lakukan sahaja.

Jika mahu naikkan harga produk, naikkan sahaja. (Mereka yang mengkritik itu bukannya mahu beli pun walau kita letak harga yang rendah.)

Jika kita ada prinsip atau pegangan tersendiri, tetaplah dengan pegangan itu.

Jika kita ingin berpenampilan dengan cara tersendiri, lakukan sahaja.

Mengapa? Sebab hanya kita yang menanggung makan minum kita, susah senang kita, bukan orang lain.

Dan begitulah seterusnya…. Dengan syarat ia masih di dalam ruang lingkup batas Agama dan undang-undang.

Ada Pegangan Yang Kuat

Di dalam perniagaan termasuk perniagaan internet, jika kita terlalu mengikut kata-kata orang, walaupun daripada para pakar atau yang berpengalaman, kita sendiri akan terseksa. Walaupun nasihat mereka betul, kadang-kadang yang dirasakan tidak betul itulah lebih betul. Kita tidak tahu. Kita akan tahu selepas melakukannya. Zaman sentiasa berubah, dan kadang-kadang sesuatu perkara turut berubah. Idea atau ‘kepercayaan’ lama, mungkin sudah tidak sesuai lagi. Ia boleh berubah…

Bagi diri saya sendiri, saya suka bereksperimen walaupun kemungkinan besar itu merugikan. Saya ingin merasa. Sekadar mengetahui sesuatu berbanding merasainya adalah amat berbeza. Apabila kita sudah merasai sesuatu terutama yang pedih dan pahit, kelak sudah pasti kita lebih sentiasa berwaspada dan kita pun lebih yakin untuk berkongsi dengan orang lain.

Keduanya, kadang-kadang daripada kesilapan yang dilakukan, kita akan mendapat idea yang bercambah-cambah. Ini kerap kali berlaku kepada saya. Hidup ini kalau kita mahu semuanya betul dan tiada salah, kita akan hanya melihat dunia ini dalam satu sisi pandangan sahaja. Pemikiran kita tidak akan berkembang. Kita umpama lalang yang ditiup angin. Orang kata A, kita ikut. Orang kata B, kita pun ikut. Tiada pegangan tersendiri.

Sebab itu walaupun ramai yang mengatakan itu tidak boleh ini tidak boleh, atau pelbagai nasihat diberikan kepada saya, namun saya tetap dengan jalan dan cara saya. Saya akan buat apa yang saya mahu buat. Selagi apa yang dilakukan tidak salah di sisi Agama dan undang-undang, maka selagi itu kita berhak melakukannya. Orang lain tidak berhak mengatakan boleh atau tidak.

Tip Dalam Ikut Kata Hati Sendiri

Kita sering mendengar, “ikut hati, mati, ikut nafsu, layu.” Seolah-olah, kita tidak boleh mengikut kata hati sendiri. Jika begitu, tiada gunalah hati yang Allah berikan ini. Untuk memastikan kita mengikut hati dan bukan mengikut nafsu semata-mata, kita ada panduannya:

1. Solat istikharah walaupun untuk sekecil-kecil perkara, atau paling kurang berdoa memohon petunjuk kepada ALLAH.

2. Banyak membaca buku, artikel dan sebagainya agar kita membuat keputusan berdasarkan ilmu dan fakta, bukan atas sangkaan semata-mata.

3. Bertanya dan berdiskusi dengan orang yang berkaitan dan berpengalaman dengan perkara tersebut.

4. Jaga dan urus hati agar kurang melakukan maksiat yang boleh menggelapkan hati. Hati yang bersih dan bercahaya, biasanya pandangan akan lebih benar berbanding hati yang sering bergelumang dengan dosa.

Jadi jelas, kita ada cara tersendiri berbanding prinsip “ikut kata hati sendiri” cara Barat. Kita ada panduan dan resepi tersendiri. Kita bukan ikut kata hati berani mati. :D

Berprinsip, Namun Tetap Hormat Menghormati

Sedikit perkongsian: Disebabkan prinsip ‘keras hati’, orang mengatakan saya ego, hanya saya yang betul dan sombong. Setahu saya, orang yang ego tidak akan mempunyai ramai kawan. Sebaliknya saya ada ramai kawan. Jika hanya saya yang betul, maka saya sudah pasti tidak akan berkawan dengan ramai orang. Dan jika saya sombong, juga sudah pasti orang tidak mahu berkawan dengan saya.

Jadi di manakah kebenaran tuduhan tersebut? Tiada lain, yang menuduh itulah yang ego dan tidak berupaya untuk menghormati prinsip hidup dan pandangan orang lain. Jika kita tidak bersetuju, kita jangan memburukkan orang lain. Hormati mereka, tetapi kita tetap dengan cara kita. Itulah cara saya. Saya ada pegangan sendiri, namun saya tetap menghormati cara orang dan saya tetap suka berkawan dan terus menambah kawan.

Dengar, Tetapi…

Bukanlah bermaksud nasihat orang lain kita tidak perlu ikut, tetapi di dalam membina jati diri dan daya ’survive’ yang tinggi, kita perlu mencuba. Orang lain hanya tahu berkata-kata, tetapi susah senang hanya kita yang menanggungnya. Maka letaklah tanggungjawab pada diri sendiri, bukan pada orang lain.

Jika saya mengikut kata orang, sudah pasti saya tiada lagi di dalam bidang ini bertahun-tahun lamanya. Ramai yang dengki dan mahu saya jatuh. Namun saya tidak pedulikan mereka dan saya terus buat apa yang saya mahu buat. Alasan saya mudah: “Makan minum saya, bukan mereka yang tanggung.”

Seperti tajuk entri ini, saya mengatakan kita IKUT hati kita (buat keputusan sendiri), dan entri ini tidak pernah mengatakan kita langsung tidak perlu mendengar nasihat atau saranan orang lain. Kita mendengarnya, tetapi keputusannya hanya kita yang perlu menentukannya, bukan orang lain.

Wassalam.

Isu: Kadar Bayaran Ceramah

Setelah melakukan sedikit kajian dan pembacaan mengenai penetapan kadar bayaran untuk jemputan ceramah, saya dapati ada dua pendapat atau ‘mazhab’ (kumpulan):

  1. Ceramah sebagai amalan akhirat (tidak caj mahal)
  2. Caj dari sudut pandangan bisnes

Kedua-dua kumpulan ini masing-masing mengemukakan hujah tersendiri, malah ada yang menidak-nidakkan atau mempersoalkan kaedah pihak yang lain. Dan saya perhatikan, yang banyak mengupas hal ini adalah kumpulan satu.

Contohnya, kumpulan 1 mengatakan orang yang meletakkan kadar bayaran yang tinggi adalah orang yang tidak ikhlas, membebankan pihak penganjur dan mementingkan duniawi. Maksudnya, amatlah tidak wajar kadar bayaran diletak dengan begitu tinggi. Mereka mahu semua orang ikut cara mereka, yang tidak mementingkan kadar caj dan lebih sesuai di sisi Agama, katanya.

Namun, kumpulan 2 pula tetap dengan pendirian mereka dengan menggariskan sebab-sebab mereka menetapkan kadar bayaran yang tinggi. Antaranya adalah soal kos, penceramah itu tiada bergaji tetap (usahawan) dan pelbagai lagi kos-kos lain yang perlu mereka tanggung. Inilah yang dimaksudkan caj dari sudut bisnes, iaitu caj ditetapkan dengan pelbagai rangkuman aspek berkaitan.

Isu ini lebih kurang sama dengan persoalan “adakah mengambil upah dengan mengajar Al-Quran boleh atau tidak”. Ada ulama yang membolehkan, ada ulama yang tidak mengalakkannya. Namun, pendapat pertama adalah lebih disokong ramai atas penilaian-penilaian yang munasabah, dan melihat pada pelbagai skop. Namun, semuanya bergantung juga kepada keadaan dan situasi.

Pendapat Saya?

Saya tidak berpihak kepada mana-mana dua kelompok di atas, malah mengguna pakai kedua-dua cara. Pada tahun 2005, saya beberapa kali memberikan ceramah mengenai perniagaan internet tanpa mengenakan sebarang caj. Ceramah itu adalah untuk para pelajar IPT. Niat saya adalah untuk berkongsi ilmu dan pengalaman.

Manakala pada tahun 2006, saya menjadi penceramah dan trainer untuk satu pihak penganjur bengkel perniagaan internet. Berapa yang saya dapat? Saya tidak menetapkan apa-apa, malah menerima berapa sahaja yang mereka berikan. Yang penting dapat memenuhi kos pengangkutan, makan minum dan ada sedikit duit lebihan. Saya tidak sesekali melihat kepada ‘profit’. Hanya ingin berkongsi ilmu sahaja.

Namun, dalam keadaan tertentu, saya juga akan mengenakan kadar bayaran yang tinggi. Semuanya melihat kepada keadaan dan situasi. Hidup kita ini adalah fleksibel dan tidak boleh keras hati dengan satu pegangan semata-mata.

Untuk kumpulan 1 yang mengatakan kadar bayaran tinggi itu menyusahkan dan menuduh pihak kumpulan 2 tidak ikhlas, ia adalah satu kata-kata yang penuh kerosakan. Siapakah kita untuk membaca hati dan niat orang lain? Mengenakan bayaran yang tinggi tidak bermaksud tidak ikhlas, dan mengenakan bayaran yang rendah tidak pula bermaksud si penceramah itu adalah yang terbaik.

Lihat sahajalah berapa ramai penceramah percuma yang cincai isinya hanya mengutuk itu ini, mengumpat dan memfitnah, sampai diri sendiri pun cakap tidak serupa bikin. Jadi kita tidak boleh mengatakan yang harga tinggi itu tidak patut, dan yang murah itu terbaik. Begitulah sebaliknya, ada juga yang mahal kosong isinya, dan yang murah pula penuh pengisian.

Di dalam berpandangan, kita perlu melihat kesemua pegangan tanpa berat sebelah atau memandang pada satu sisi sahaja. Keduanya, kita tidak boleh menghakimi orang lain dengan prinsip kita yang mungkin hanya sesuai untuk kita dan tidak untuk orang lain.

Ketiga, jika seseorang penceramaah menetapkan harga tinggi dan tidak mampu untuk kita membayarnya, kita masih mempunyai banyak pilihan untuk menjemput penceramah yang sesuai dengan bajet atau peruntukan program. Mudah bukan? Jangan sampai kita menuduh orang lain tidak ikhlas atau melontarkan 1001 kata-kata nista dan dusta kepada mereka.

Kita perlu menjadi manusia yang adil di dalam menilai dan berkata sesuatu. Kita tidak boleh menghakimi orang lain sesuka hati. Penceramah yang meletak harga tinggi ada pasarannya tersendiri dan penceramah yang meletakkan harga rendah juga ada sasaran mereka sendiri.

Di dalam proses menyebarkan ilmu, ada banyak jalan, kaedah dan cara. Kita sama sekali tidak boleh menetapkan hanya satu kaedah untuk proses penyampaian ilmu ini. Sebagai contohnya, orang-orang yang berada. Mereka biasanya lebih selesa menyertai program yang mahal dan eksklusif. Jadi mereka adalah kumpulan terbaik untuk penceramah yang meletak kadar bayaran yang tinggi tadi.

Orang-orang yang berada (kaya) itu mahu mengikuti program yang eksklusif sahaja bukanlah bermakna mereka menidakkan yang murah atau yang biasa-biasa, tetapi mereka melakukan sesuatu yang sesuai dengan tahap mereka. Tidak bolehlah kita menghukum mereka sesuka hati. Orang miskin pun ramai juga yang jahat, orang kaya pun ramai juga yang baik. Selagi bernama manusia, miskin atau kaya, semuanya terletak pada hati. Jangan sama sekali menilai pada harta.

Bayangkan, jika semuanya murah-murah, adakah usaha “dakwah” atau penyampaian ilmu akan sampai kepada orang-orang yang berada itu? Manusia ini banyak kelompok dan jenisnya. Maka kita perlu berusaha dengan kaedah yang sesuai untuk setiap kelompok.

Yang meletakkan harga tinggi tidak semestinya tidak ikhlas dan tidak diredhai Allah. Malah mungkin yang meletakkan bayaran murah itu amat riak orangnya dan kacau jiwanya. Segalanya ada kemungkinan. Maka dapat kita simpulkan, (1) Jangan membaca hati dan niat orang (hukumnya berdosa), (2) Jangan menilai sifat seseorang pada kadar bayaran, (3) Kita perlu bersangka baik, (4) Kita buat cara kita dan orang lain dengan cara mereka.

Akhir kata, isu-isu kecil sebegini hanya diheboh-hebohkan oleh mereka yang tidak adil di dalam berilmu dan pertimbangan, serta menilai sesuatu tanpa melihat pada pelbagai aspek dan skop berkaitan. Mereka hanya tahu menghukum semua orang lain salah dan hanya mereka betul. Paling teruk, mereka hanya pengkritik yang tiada apa-apa sumbangan untuk Agama, umat, bangsa dan negara.

Hidup ini terlalu banyak rencahnya dan apabila kita seronok dengan kaedah kita, janganlah pula menghakimi orang lain semuanya tidak betul dan salah. Cuba soalkan diri kita dahulu sebelum mengkritik orang lain, “Adakah cara aku benar-benar sudah betul?” Dari situ kita akan sedar bahawa, tiada yang terbaik. Semuanya betul melainkan jelas ia salah.

Wassalam.

Nota Kaki:

Setakat ini, saya belum menganjurkan sebarang siri seminar saya sendiri. Saya tidaklah hidup dengan mengadakan seminar atau ceramah selama bertahun-tahun lamanya. NAMUN, ingin saya nyatakan, tidak salah seseorang itu mengadakan seminar atau hidup dengan hasil berceramah atau menganjurkan program sahaja. Mengapa? Sudah ditakdirkan dirinya berperanan sebagai penceramah! Rezeki masing-masinglah kan? Kalau kita mempersoalkan, bermakna kita telah mempersoalkan Allah yang telah menyediakan rezeki itu untuk mereka.

Dan keduanya, setiap manusia ada cara dan peranan tersendiri. Jangan pula kalau kita buat A, kita juga mahu orang lain buat A dan mempersoalkan mengapa mereka buat B. Mengapa mahu dengki dan mempersoalkan? Tiada apa-apa manfaat jika kita cuba mempertikaikan usaha baik orang lain. Bak kata Wonder Pets (cerita kartun), yang penting adalah KERJASAMA. Sama-samalah kita membangunkan umat dan bangsa dengan cara masing-masing. Bersatu teguh, bercerai kita roboh.

Mutiara Motivasi Untuk Blogger & Usahawan Internet

1. Tiada hanya satu definisi kejayaan. Ada orang kata, blog yang paling banyak mendapat komen, itulah blog terbaik. Dan ada yang kata, kandungan yang baik dan dibaca ramai, walau tidak mendapat banyak komen, itu juga terbaik. Jadi, mana satu yang terbaik? Saranan saya, ciptalah definisi sendiri dan berpegang kuat padanya.

2. Kejayaan itu tidak semestinya dipamerkan atau dibuktikan dengan hidup yang mewah. Ada yang pilih jalan sederhana dan ada yang pilih jalan mewah. Pilih yang mana satu. Kita, perlu menghormati pilihan orang lain seperti mana orang lain menghormati pilihan kita.

3. Kita perlu ada prinsip yang kuat. Maka, tidak perlu risaukan ‘undang-undang’ ciptaan manusia yang tidak bertanggungjawab seperti menghendaki kita melakukan itu dan ini yang tidak perlu kita ikut dan buat.

4. Kita tidak boleh memuaskan hati semua orang, tetapi jika juga perlu tahu, kita tidak selalu dapat memuaskan hati kita sendiri. Kata kunci di sini adalah toleransi, bertolak ansur dan menghormati cara dan prinsip orang lain. Namun hakikatnya, menjaga hati diri sendiri dahulu adalah lebih penting. Mengapa? Kerana siapa lagi yang boleh memahami dan menjaga hati kita melainkan diri kita sendiri.

5. Rezeki itu turun naik. Ada masa banyak, ada masa menurun. Ini adalah ketentuanNya yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Kita perlu redha, namun perlu tetap berusaha kuat, tidak boleh selesa dengan hasil dan keadaan semasa.

6. Komen-komen dan kritikan negatif daripada manusia yang tidak mendedahkan diri mereka sebenar dan juga disampaikan dalam bahasa yang tidak beradab, adalah komen yang tiada nilai sama ada di sisi ALLAH atau di sisi mana-mana makhluk. Ia terlalu hina untuk manusia yang berakal waras. Jadi tidak perlu sakit hati atau kecewa dengan perkara yang tiada nilai.

7. Kita sebagai blogger atau usahawan internet perlu mempunyai prinsip, cara, model perniagaan, strategi dan perancangan sendiri. Maka kita perlu berpegang teguh padanya dan dalam masa yang sama menghormati cara dan pilihan orang lain.

8. Bersahabatlah dengan mereka yang sama usaha dengan kita agar kita sentiasa bersemangat dan bermotivasi. Tidak cukup bersahabat melalui Online seperti Facebook, tetapi keluarlah berjumpa untuk saling memberi semangat di antara satu sama lain.

9. Manusia yang dengki dengan kejayaan kita sentiasa ada. Kita tidak dapat lakukan apa-apa terhadap mereka. Cuma, kita masih ada senjata yang kuat, iaitu DOA. Kita perlu terus berusaha kerana hidup kita adalah tanggungjawab kita.

10. Kritikan adalah baik. Namun jika kritikan itu terlalu menyeksa jiwa dan hati, abaikan sahaja kritikan itu. Kita boleh memilih sama ada untuk menerimanya atau tidak, memikirkannya atau tidak. Tiada salah atau betul di sini, malah tiada hukum atau undang-undang yang mewajibkan kita menerima mana-mana kritikan. Melainkan kita jelas salah di sisi Agama. Abaikan manusia yang mahu mencipta peraturan hidup untuk kita.

11. Jangan takut melakukan sesuatu. Kita tidak akan tahu hasilnya selagi kita tidak melakukannya. Jika berjaya, teruskan lagi usaha. Jika gagal, kita juga belajar sesuatu yang baik iaitu perkara yang perlu dielakkan.

12. Jangan membazir masa dan tenaga kepada perkara-perkara yang tidak produktif. Termasuklah meluangkan masa untuk berdebat dengan pengkritik-pengkritik yang hanya mahu melihat kita jatuh. Fokuskan tenaga kita kepada usaha yang sedang dilakukan. Ucapkan terima kasih kepada mereka dan kemudian abaikan mereka (tidak perlu berdebat/berdiskusi apa-apa).

13. Bercuti. Hidup perlu seimbang. Blogger dan usahawan internet biasanya melakukan kerja di hadapan komputer. Ia nampak mudah, tetapi memenatkan juga sebenarnya, terutama mata. Jadi, luangkan juga masa untuk bercuti. Paling kurang, bersiar-siar ke tempat yang menenangkan jiwa dan mata.

14. Tidak perlu pakar semua perkara. Dalam Internet Marketing atau Blogging, ada banyak teknik dan kaedah. Jadi kalau ada orang kata kita tidak pakar dalam satu-satu perkara, hakikatnya kita pandai dalam bab yang lain. Mereka juga sama. Mereka tidak tahu semua. Jadi tidak perlu gundah gulana atau kalut memikirkan kita perlu tahu semua perkara. Tip di sini: Belajar dengan mereka yang tahu dan berkongsi apa yang kita tahu.

Kesimpulan

Hidup bersandarkan definisi orang lain hanya menyeksa diri melainkan ia sesuai untuk kita. Ciptalah definisi kejayaan dan hidup kita sendiri. Yang penting, ia berlandaskan Agama dan budi pekerti seorang manusia.

Hidup, tiada hanya satu jalan. Pilihlah jalan kita, dan laluilah ia dengan penuh ketenangan. Tiada apa-apa yang perlu dikejar, ditandingi atau yang perlu dilawan. Biarlah mereka yang lain berlawanan satu sama lain. Kita tidak perlu, kerana kita tahu, apa yang kita mahu. Dan kita tahu, ke mana hala tuju dan destinasi kita.

Sekian.

Dirimu Tidak Akan Ke Mana-Mana Jika…

Kebanyakan orang amat takutkan kegagalan… Rata-ratanya begitu, malah dilatih agar membenci kegagalan. Apabila gagal, kita ditertawa, dipersalahkan, didenda dan sebagainya. Itulah lumrahnya.

Diri kita tidak akan ke mana-mana jika kita takut untuk menghadapi kegagalan dan takut untuk menang (berjaya). Akibat daripada dua jenis takut ini, iaitu TAKUT GAGAL dan TAKUT UNTUK BERJAYA, akibatnya seseorang manusia itu akan:

1. Selesa dengan seadanya. Bangun pagi buat kerja seadanya, selesai kerja, makan, minum, berborak kosong, menonton TV dan tidur. Itulah rutinnya, tidak mahu buat lebih daripada itu. Sampai mati.

2. Hidup tidak pernah berubah atau berkembang. Rutin hariannya hanya ala kadar. Katanya, “cukuplah, janji selesa.”

3. Masih tetap di tempat yang sama dan hasilnya sama. Orang lain sudah jauh ke hadapan, tetapi mereka masih pada tahap yang biasa-biasa. Suam-suam kuku.

4. Hanya tunggu dan lihat. Namun walau sudah lihat pun, hanya sekadar melihat. Tidak lakukan apa-apa. Masih duduk di situ.

5. Malas bergerak dan berusaha. Kepada mereka yang bersikap sebegitu, jangan dengkikan kejayaan orang lain kerana mereka telah berusaha kuat. Kejayaan hanya untuk mereka yang berusaha kuat sahaja. Bukan untuk si pemalas.

6. Takut untuk melakukan sesuatu keputusan yang bagus untuknya. Dirinya berfikir akan dua hal iaitu “bagaimana jika aku gagal, dan bagaimana pula setelah aku berjaya nanti?” Dirinya amat takut jika gagal dan amat takut juga jika terlalu berjaya.

7. Melakukan kerja hanya ala kadar. Nanti buat lebih-lebih, ada orang kritik pula.

8. Tidak mahu turut serta berjuang dalam hal-hal yang besar walaupun dirinya mampu. Ini kerana mereka tidak berani menanggung sebarang risiko.

Klik di sini untuk membaca artikel ini sepenuhnya…

| Panduan Buat Blog Wordpress | Panduan FTP | Sistem Survey |
SmartUsaha.Com adalah rangkaian perniagaan internet milik Inspirasi Maya Enterprise (JM0472383-X)