Bidang Kepakaran: Pentingnya Fokus

Tidak kisah kita melakukan perniagaan Offline atau Online, betapa pentingnya kita fokus pada satu bidang kepakaran agar kita ada sesuatu untuk dijadikan sebagai tempat berpaut.

Jika pada hari ini kita mengatakan kita fokus pada bidang A, lusa secara tiba-tiba kita kata bidang B pula. Jika sekarang kita buat model bisnes X, bulan depan kita buat pula model bisnes Z. Kesan buruk menukar bidang kepakaran ini walau pada pandangan kasar tidak begitu nampak kesan negatifnya, tetapi ianya tetap ada. Orang kata, ia ‘makan dalam’.

Bukan bermaksud kita tidak boleh melakukan beberapa bidang kepakaran dalam satu masa, tetapi kita perlu ada satu kepakaran yang spesifik dan menjadi keutamaan kita. Yang lain-lain itu mungkin secara sampingan sahaja untuk menambah pelbagai sumber pendapatan.

Mengapa perlu fokus kepada satu bidang kepakaran sahaja?

1. Kita mudah untuk menguruskan hidup dan perniagaan kita. Biasanya satu bidang kepakaran pun sudah banyak cabang yang boleh kita terokai.

2. Mudah untuk belajar dan mengkaji secara konsisten. Anda semua tahu apa yang saya maksudkan. Satu benda meringankan otak. Banyak benda membuatkan kita mudah serabut.

3. Bisnes kita tetap survive kerana kita mempunyai sebab untuk orang (pelanggan) menghubungi kita atau referral yang terhasil daripada promosi percuma orang lain atau promosi jangka masa panjang kita.

4. Pelanggan sedia ada tetap dapat dihubungi tanpa batasan. Tetapi jika berubah bidang kepakaran, kemungkinan besar senarai pelanggan sedia ada sudah tidak berguna lagi sebab tidak berkaitan dan tidak targeted dengan bidang kepakaran yang baru.

5. Tidak perlu bermula dari ‘zero’. Bayangkan anda sudah menghabiskan bertahun-tahun lamanya untuk membina sebuah jenama perniagaan anda. Tapi sekarang anda mahu berhenti dan melakukan perkara lain pula. Alangkah ruginya kerana anda perlu bermula dari kosong semula untuk membina jenama, produk dan sebagainya. Rugi masa rugi tenaga. Apalah salahnya menggunakan jenama sekarang untuk mempelbagaikan produk dan servis. Di sinilah pentingnya berfikiran kreatif dan tidak mudah berputus-asa.

6. Mudah untuk mengurus hidup dan mengatur strategi perniagaan dari semasa ke semasa. Melakukan usaha peningkatan diri lebih mudah kerana tetap pada perkara yang satu.

Sebab-Sebab Menukar Bidang Kepakaran

Kebiasaannya mereka yang menukar bidang kepakaran perniagaan adalah kerana:

1. Terpengaruh. Pantang melihat orang lain dapat berpuluh-puluh ribu dengan model bisnes XYZ, terus mahu buat seperti mereka. Janganlah yang dikendong keciciran, yang dikejar tak dapat.

2. Mahu berubah. Percayalah, kita tidak boleh lari daripada ujian, masalah dan rintangan hidup. Buatlah apa bidang pun, masalah akan tetap ada. Masalah perlu dihadapi dan bukannya dengan melarikan diri.

3. Berputus Asa. Apabila bidang yang dilakukan tidak menjadi atau hasil tidak seberapa, maka mereka terus berputus asa dengan menyalahkan bidang tersebut. Buatlah apa saja bidang, yang penting adalah tindakan. Dalam perniagaan, salah satu unsur penting adalah marketing. Kalau tidak buat marketing yang betul dan konsisten, maka itulah sebab tidak mendapat hasil yang bagus.

4. Pasaran Tepu. Dengan andaian tanpa fakta, maka mereka meninggalkan bidang kepakaran mereka. Mereka tidak sedar bahawa mana-mana bidang pun boleh tepu juga seperti yang mereka andaikan. Kita perlu bezakan antara produk, pasaran dan bidang. Bidang atau sesuatu industri tidak akan berubah. Yang berubah hanya keperluan semasa dan mungkin persaingan produk yang sama.

Maka sebab itu kita perlu selalu membaca dan mengenalpasti perkara yang perlu dilakukan pada masa tersebut. Mungkin sesuatu kaedah sekarang sudah tidak berkesan pada 10 tahun nanti. Jadi pada masa tersebut kita perlulah ikut keperluan atau kehendak pada zaman tersebut. Tapi tidak perlulah berubah bidang. Yang perlu diubah hanya pengetahuan atau kaedah.

5. Tidak Puas Hati dan Dengki. Apabila mereka melihat orang lain berjaya hebat dalam sesuatu bidang tertentu, mereka pun mahu buat juga. Pada mereka, mereka pun boleh hebat juga. Perasaan dengki telah menguasai mereka. Ubat kepada penyakit ini adalah BERSYUKUR apa yang kita sedang lakukan dan hasil yang sedang kita dapat. Kemudian perbaiki mana yang kurang dan perhebatkan lagi usaha. Jadi diri sendiri dan jangan mahu jadi seperti orang lain.

Janganlah mudah terpengaruh dengan iklan-iklan pihak tertentu yang kita boleh jadi kaya raya dengan sesuatu model bisnes atau bidang. Ia hanya iklan, belum tentu realistik untuk diri kita. Jadi hati-hati dengan perangkap sebegini. Ia berada di mana-mana sahaja walaupun di dalam bidang Internet Marketing yang betul.

Kuatkan tapak anda dan terus melangkah ke hadapan. FOKUS.

Contoh…

Sebagai contoh di sini adalah diri saya sendiri. Sejak dulu hingga kini saya tetap dengan bisnes ‘information product’. Saya tetap menggunakan nickname SMARTZUL dan tetap menggunakan nama domain SMARTUSAHA.COM. Saya hasilkan produk informasi seperti ebook, video, audio dan skrip/sistem. Kemudian saya ada juga melakukan perkhidmatan tetapi tidak lari daripada bidang / topik produk yang saya hasilkan.

Tetapi apa yang akan terjadi jika saya menukar nama saya, nama domain dan menukar segalanya? Ya, saya akan jadi orang baru. Tetapi adakah itu bermaksud saya akan bebas daripada masalah dan ujian? Tidak sama sekali. Jadi apa yang saya perlu buat? Ya, ubah dan buat STRATEGI. Tetap mengunakan nama sama dan jenama sama. BUKAN ubah diri atau ubah nama. Kita tidak boleh ubah diri kita tetapi kita boleh mengubah strategi, perancangan, habit dan juga pemikiran kita.

Saya sendiri bukanlah orang yang luar biasa hebat. Saya hanya orang biasa seperti orang lain. Masalah, ujian, rintangan dan cabaran, saya juga menghadapinya. Jatuh, bangun, kecewa, bosan, letih dan 1001 lagi rasa saya juga merasainya. Pernah juga mahu berputus asa, namun apa yang akan saya dapat? Jadi saya tetap perlu tabah, let go apa yang memberat hati dan fikiran, terus berusaha dan hadapi apa yang datang sebaik mungkin.

Kesimpulan Dan Saranan

Janganlah terlalu mudah membuat keputusan untuk beralih kepada bidang kepakaran yang lain melainkan anda mempunyai sebab yang munasabah untuk melakukannya. Apa pun, ia adalah hak anda. Anda tentukan sendiri apa yang terbaik untuk dilakukan. Kalau berubah lebih baik daripada tidak berubah, maka memang digalakkan berubah.

Cuma peringatan saya, adakah wajar kita merobohkan empayar yang telah kita bina begitu saja tanpa sebab yang munasabah? Sudah semestinya tidak. Jangan semata-mata sebab kecewa, bosan, karenah pelanggan dan sebagainya, kita rela menghancurkan sesuatu yang telah kita bina dalam masa yang lama dan menggunakan tenaga siang dan malam.

Sedikit tip daripada saya jika datang perasaan bosan atau seumpama dengannya, anda berehatlah seketika. Bosan itu bagi saya ia adalah normal. Apabila diri bosan, bermakna ia satu isyarat agar kita perlu berehat seketika kerana mungkin kita sudah menggunakan tenaga dan minda kita secara berlebihan. Badan dan minda kita pun perlu berehat juga. Pergilah bercuti atau lakukan sesuatu yang boleh mengisi ruang kebosanan tersebut.

Bosan bukan elemen yang negatif. Tetapi ia adalah satu ruang untuk kita muhasabah kembali diri kita atau menyusun hidup kita yang mungkin sudah terlajak sedikit. Inilah kurniaan Allah melalui sifat bosan. Cuma kita perlu lakukan sesuatu yang positif seperti bercuti, beruzlah dengan ALLAH dan pelbagai aktiviti yang lain. Jangan pula pergi merempit atau berdisko berdandut untuk hilangkan bosan. Itu cari bala namanya. 😀

Jadi selepas kita memahami apa itu bosan dan mengapa kita bosan, kita tidak akan mengeluh lagi. Ia adalah normal dan bermusim. Kalau datang bosan, muhasabah lah diri dan lakukan aktiviti yang positif. Orang kata, “bateri kita kenalah cas kalau dah lemah”. Ya, diri kita masa bosan adalah dalam keadaan yang lemah. Jadi perlulah isi balik tenaga dan semangat dengan cara-cara tertentu.

Di sini kita semakin jelas bahawa perasaan bosan itu adalah sesuatu yang baik jika kita faham sebaik mungkin. Bosan akan menyebabkan kita akan mencari apakah kurang dan salah kita. Akhirnya kita akan kembali semula kepada Agama atau norma hidup yang positif.

Kita hanya hidup sekejap sahaja di muka bumi ini. Rata-rata manusia mati pada sekitar umur 50 – 60 tahun. Jika kita berubah-rubah prinsip, usaha dan sebagainya, alangkah ruginya hidup kita. Membazir ruang, masa, tenaga dan wang ringgit. Tentukan apa yang kita mahu pada masa hidup ini dan rancang sebaik mungkin apa yang perlu kita lakukan.

Hidup adalah terlalu singkat untuk sering berubah. Melainkan berubah ke arah yang lebih baik.

Wassalam.

Penulis: Mohd Zulfadli


(SmartZul) adalah seorang penulis dan usahawan Internet sepenuh masa. Beliau memulakan perniagaan melalui Internet sejak tahun 2005, dengan memfokus kepada bidang penulisan dan penerbitan secara online. Beliau turut aktif berkongsi ilmu dan pengalaman melalui blog dan juga komuniti Facebook. Klik menu Hubungi di atas untuk menghubungi beliau.

SERTAI NEWSLETTER SMARTUSAHA.COM
Sertai newsletter SmartUsaha.com untuk mendapatkan info dan tip-tip perniagaan dan pemasaran Internet terus ke emel anda.
Kami benci spam. Emel anda selamat bersama kami.

Komen Guna Facebook:

comments

30 thoughts on “Bidang Kepakaran: Pentingnya Fokus

  1. Salam Zul..

    Wah satu artikel yg memang sebijik kena kat diri abg.. hehe
    Dulu Abg Em R skrg DjSenja. Tapi bidang kepakaran tetap sama – broadcasting – dulu radioFM sekarang Radio Sekolah

    Membaca pendapat anda ni, buat diri jadi insaf bahawa selama ini
    amat mudah terpengaruh dgn janji yang indah2. Sudahnya tak ke mana..

    Malu pulak rasanya…

    1. Abg DjSenja. Ubah nama tu tak salah sebab target market abang tu dah berbeza sekarang. Dulu orang kenal DJ EmR tu di Best 104. Tapi kalau di tempat lain tak semestinya kenal. Maka ia tidak mengapa. Janji sekarang abang dah ada market tersendiri.

      Apa pun, tak salah ubah nama apa semua. Janji kita tahu apa yang dibuat. Artikel saya di atas hanya pendapat umum saya sahaja. Setiap orang pasti tahu apa yang perlu dipakainya sendiri.

      Salam sukses abg EmR. Sentiasa merindui suara emas abang tu. 😀

  2. artikel yang sangat bernilai. yup memang benar cakap saudara zul, hidup ini terlalu singkat untuk kita berubah-rubah(yang baik alhamdulillah) 😉 . dalam islam ia di panggil ‘Istiqamah’. Jadi rakan-rakan semua.. fahami maksud ‘istiqamah’ insyaAllah kita akan berjaya dalam apa jua bidang yang kita lakukan. 🙂

    1. Tepat sekali.. Istiqamah.

      Kalau kita percaya kepada janji Allah, pasti kita akan terus fokus. Tapi kena pastikanlah bidang tu memang sesuai untuk kita, usaha kajian pasaran pun dah dibuat, perancangan dan lain-lain. Lepas pun baru boleh fokus..

    1. Ujian.. Betul tu. Kalau kita sabar dan terus tabah, insyaAllah kita akan semakin terlatih untuk tidak ambil kisah apa jua cabaran yang mendatang.

      Bisnes bakery yer… Tiba2 terhidu pulak kek dan biskut raya. Teruskan. Bisnes ni boleh maju kalau kena caranya. InsyaAllah.

  3. Assalamualaikum bro zul,

    Eum, utk yg masih baru dalam dunia blogging nie, mmg sukar nk stick on one niche…

    Dlu niche blog saya mengenai motivasi + perniagaan internet… <- ini pun sebab rasa boleh fokus utk dua2…

    Tapi sekarng, saya lebih slesa dgn niche motivasi..jdi cubala ngan niche ini smpi skrg..Alhamdu Lillah, mood menulis artikel best sentiasa berjalan..

    Tq for this sharing~

  4. apa yang menjadi kelemahan utama IM baru sekarang(termasuk saya) adalah kesabaran terhadap masa untuk belajar.
    jadi sekarang saya tengah cuba memberi saya masa untuk belajar dan membina produk sendiri.
    macam kata mazlie, artikel ni macam rasa terkena batang hidung sendiri. hehhehe…

  5. Memang kena konsisten dan fokus…buat satu-satu dulu. bila dah stabil yang “satu” tu esok2, buat lapan terus takpe lepas tu 😀

    Nak gunakan apa strategi sekalipun, biar strategi yang nak dipakai tu, khusus untuk yang “satu” tu dulu, kena sabar, kena tekun, banyak usaha dan doa…tapi hakikatnya, ramai yang tak tahan dugaan 🙂 …akhirnya, mengalah dan mula nak salahkan keadaan…

    walhal lupa kemampuan diri yang sentiasa perlu tambah ilmu dan praktiskan apa yang dipelajari tanpa rasa jemu

    Kalo dah mengalah, memang akan diketawakan orang aje la..

    p/s: Zul, Yang jadi ramai yang lari arah, ilang fokus sebab ‘ayat market yang power dan gambaran indah dari sesetengah pengeluar produk’ 😀

    1. Kita tengok sendiri seperti pensyarah, doktor2, ahli sains dan seumpamanya, mereka tetap dengan bidang mereka. Fokus seolah-olah tiada tanda noktah.

      Kita usahawan pun kalau boleh perlu begitu juga. Perlu ada satu bidang khusus. Lain-lain sumber income tu lain cerita. Tapi perlu ada yang khusus untuk kita.

      Tapi… Terserahlah pada empunya badan yang lebih tahu apa yang perlu dipakai.

      ps. Yup, pengaruh2 macam tu memang sukar dielak.

  6. Memang bukan senang nak focus..

    Ada je benda yg terbaik, terbaru & TERCEPAT…

    tak akan habis2…

    memang betul yg Tidak kisah kita melakukan perniagaan Offline atau Online, fokus ni Paling penting…

    Tapi ianya lebih mudah utk cakap drp buat

  7. artikel yg sgt menarik. Ia seperti jam pengera yg mengejutkan saya agar sentiasa fokus dlm keje.

    Ingatkan saya sorang aje yg sering berasa bosan 🙂 Rupanya ia adalah lumrah dan dugaan utk kita tempuhi. Kalu kita cepat mengalah bermakna segala usaha kita akan menjadi sia-sia aje.

    Terima kasih atas info yang dikongsikan.

  8. Saya fokuskan untuk “meniru” gaya penulisan untuk penyampaian maklumat daripada big IM Malaysia ni. Ada cita-cita juga nak buat blog yang amat berguna dan yang cam orang kata fully informative, setakat ni masih tengah belajar lagi untuk mengolah suatu isi agar pembaca berminat terus untuk menghabiskan bacaan di blog saya.

    Sasaran saya kalau boleh nak pengunjung blog saya “stay” lama sikit kat page yang derang buka, ini juga boleh meningkatkan rating blog kita kan.

    Kalau salah minta diajarkan.
    Minta pandangan semua.

  9. Pingback: Multi Tasking dan Fokus Bagai Teh Tarik Dengan Roti Canai « jaringniaga.net
  10. Pingback: Multi Tasking dan Fokus Bagai Teh Tarik Dengan Roti Canai | Jaring Niaga Consultancy

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *