Berucap di Khalayak Ramai

Berucap di Khayalak Ramai.

Menulis adalah satu perkara yang mudah. Sesiapa pun dapat menulis dan sesiapa sahaja dapat belajar kemahiran menulis.

Tetapi berbeza dengan berucap, ia memerlukan latihan yang betul dan konsisten, selain daripada perlu membiasakan diri dalam satu tempoh masa yang lama. Berucap di hadapan orang ramai juga adalah satu perkara yang ditakuti oleh kebanyakan orang termasuklah ramai usahawan. Jadi sebab itu jika anda kuasai kemahiran berucap, anda boleh melangkah jauh berbanding usahawan lain.

zul-iksb-talk

Saya bukanlah pakar dalam pengucapan awam (public speaking) mahupun dalam penyampaian (presentation), tetapi saya mahu menguasai kedua-dua kemahiran itu kerana salah satu cabang perniagaan saya memerlukan saya bercakap di hadapan.

Jadi saya terfikir mahu hasilkan sebuah blog khas mengenai pengucapan awam, namun saya rasa lebih baik gunakan saja blog ini dengan mewujudkan satu kategori Belajar Berucap. Saya akan kongsikan apa yang akan saya pelajari, baca dan amalkan. Sebenarnya ia lebih kepada nota untuk diri saya sendiri, tetapi dengan menulis di blog ini, semoga ia memberi manfaat juga kepada pembaca.

berucap di pentas

Berdasarkan kepada pengalaman saya, sesiapa pun boleh berucap di hadapan orang ramai. Tetapi jika kita tidak perbaiki kemahiran berucap dengan konsisten, dan melakukan pengucapan dengan kerap, kita sukar untuk menguasai satu tahap yang paling membanggakan. Dan ini berlaku kepada diri saya sendiri.

Ucapan yang terbaik adalah ucapan yang akan diingati sampai bila-bila oleh pendengar (audiens).

Berucap di hadapan banyak cara / jenis. Bukan hanya berucap semata-mata:

  • Sesi dialog / forum
  • Berucap secara bebas
  • Ucapan perasmian
  • Kata-kata aluan
  • Persembahan (presentation)
  • Sesi idea pitching
  • dan banyak lagi…

Setiap jenis di atas memerlukan skil dan kemahiran berbeza.

Kelebihan Berucap di Hadapan

Kelebihan berucap di hadapan orang ramai terutama di pentas adalah ia dapat membina keyakinan dalam diri kita. Kedua, ia adalah salah satu cara promosi secara tidak langsung untuk diri dan perniagaan kita. Ketiga, tidak semua orang mahu melakukannya. Jadi jika anda mahu berbeza dengan orang lain, berucap di pentas adalah salah satu caranya.

berucap di khalayak ramai

Saya banyak menerima jemputan sebagai penceramah terutama bagi topik perniagaan Internet. Ada yang saya terima dan ada yang saya tolak. Kali pertama saya menerima jemputan ceramah adalah pada tahun 2005 oleh mentor saya sendiri. Saya terus terima tanpa banyak soal. Saya tidak tahu apakah kekuatan saya pada masa itu, cuma yang pasti, saya mahu berubah.

Kekurangan Diri Bukan Halangan

Saya adalah seorang yang amat pemalu semasa di sekolah dan juga universiti. Kawan perempuan boleh dikira dengan jari. Saya seorang ulat buku dan suka menyendiri. Jika terlibat dengan program, saya biasanya banyak melakukan kerja-kerja di belakang tabir. Itulah saya. Tetapi saya ingin mencuba sesuatu yang baru. Lantas saya terima tawaran itu.

penceramah perniagaan internet

2011 di UPM. Sesi forum.

Setelah kali pertama saya berucap di hadapan orang ramai, saya mula rasa seronok untuk berkongsi. Kemudiannya mentor saya itu tadi menjemput saya lagi pada tahun 2006. Dan pada tahun 2006 itu pula, ada kenalan mengajak saya untuk mengadakan siri kursus secara bersama-sama. Kami adakan beberapa kali di sekitar KL dan Selangor.

Pada tahun 1999 (SPM) di satu program, saya dengan penuh memberanikan diri telah merelakan diri untuk menjadi wakil peserta untuk berucap di hadapan lebih kurang 500 orang. Padahal saya adalah seorang yang amat-amat pemalu, kurus dan tiada keyakinan diri yang tinggi. Saya rasakan, itulah perkara yang paling berani pernah saya lakukan selama saya bersekolah. Mahu tackle awek pun malu walaupun ada yang berminat. ;P

Saya tidak menerima semua jemputan ceramah kerana saya tidak meletakkan ia sebagai punca pendapatan utama. Jika saya terima, saya tidak meletak bayaran yang tinggi kerana niat untuk berkongsi sahaja. Ada penganjur yang menyangka saya meletak bayaran ribuan ringgit untuk bercakap dalam masa 1-2 jam, tetapi mereka terkejut saya meletak bayaran kurang daripada itu.

team

Mengambil peluang bercakap dalam aktiviti berkumpulan.

coach-rozi-smartzul

Tiba-tiba dipanggil untuk berkongsi di hadapan dalam satu program. Saya sahut tanpa fikir panjang.

Penceramah Sepenuh Masa

Jika anda mahu menjadi penceramah sepenuh masa juga boleh. Bidang ini terbuka luas dan masih “fresh” di Malaysia. Yang penting anda mahir dalam bidang yang anda ingin sampaikan, penampilan diri yang sesuai dan kemas, penjenamaan yang konsisten dan pemasaran. Jika anda mahu pergi jauh, sasarkan pelanggan korporat kerana mereka banyak duit untuk membayar anda.

Sedikit tip di sini sebelum saya mula menulis tip-tip pengucapan awam nanti:

  • Anda perlu mengambil setiap peluang yang ada. Katakan dalam satu majlis ada orang yang meminta anda memberikan sedikit kata-kata dalam seminit dua, ambil peluang itu.
  • Mulakan bercakap di hadapan beberapa orang (kumpulan kecil), termasuklah ahli keluarga dan rakan-rakan sendiri.
  • Bercakap seorang diri. Ini lebih baik daripada tidak lakukan langsung.
  • Mulakan yang kecil-kecil untuk membiasakan diri.
  • Beli buku dan baca artikel berkaitan pengucapan awam.
  • Sertai kursus berucap terutama oleh mereka yang pakar dan berpengalaman.
  • Sertai seminar, konvensyen dan sebagainya. Lihat dan perhati cara individu yang “beraksi” di pentas.
  • Fokus pada satu topik / bidang yang menjadi kekuatan anda.
  • Cari mentor yang berpengalaman dalam memberikan pengucapan awam.
  • Sertai “group” ataupun kelab pengucapan awam ataupun wujudkan sendiri.
  • Jangan berfikiran negatif seperti “apa kata orang”. Teruskan tambah ilmu dan berlatih.
  • Terima apa jua kritikan dan pandangan. Memang ia pahit, tetapi itulah yang akan menjadikan anda lebih hebat di pentas.
  • Jangan malu, jangan malu, jangan malu untuk belajar dan dikritik.

Bercakap mengenai keberanian berucap di hadapan, lagi-lagi oleh seorang yang amat pemalu dan kurang keyakinan diri (seperti saya dulu), apa yang dapat saya katakan apakah punca keberanian itu wujud adalah:

  • Keinginan membuak-buak untuk melakukannya (berucap di hadapan).
  • Lakukan tanpa memaksa. Ia perlu hadir dari hati.
  • Keinginan untuk berubah. Pemalu yang tidak kena tempatnya adalah sesuatu yang merugikan.
  • Impian. Saya juga mahu seperti orang lain yang berjaya. Jika orang lain boleh, mengapa tidak saya?

Terlalu Mendambakan Kesempurnaan?

Pada pertama kali saya dijemput berucap, saya tidak ada apa-apa banyak pengetahuan mengenai bercakap di hadapan. Saya main belasah sahaja bagus ataupun tidak. Pada masa itu saya banyak syok sendiri. Saya suka berkongsi cerita dan apa yang saya tahu. Tetapi kemudian baru saya sedar, berucap terutama memberikan ceramah dalam bentuk presentation bukan sekadar bercakap. Malah penceramah juga perlu pandai menguasai keadaaan dan juga mempersembahkan ucapan dengan cara yang menarik.

politeknik

Pentas tempat saya beraksi pada 2010 di Politeknik Seberang Perai. Banyak kekurangan saya perlu perbaiki. Dengan mencuba, kita akan semakin nampak kekurangan kita dalam menyampaikan ceramah / pengucapan.

Kebanyakan daripada kita mahukan kesempurnaan. Mahu sempurna dulu baru mahu melakukannya. Tetapi percayalah, tiada apa-apa yang sempurna. Cuma, kita wajib lakukan persediaan lagi-lagi jika anda dibayar untuk berucap. Tidak boleh lakukannya secara ala kadar.

“All the great speakers were bad speakers at first.” – Ralph Waldo Emerson

Sedikit perkongsian, saya pernah melalui satu tahap yang menjadikan saya “fobia” untuk menerima apa-apa jemputan. Bayangkan, apabila anda sedang menyampaikan sesuatu di hadapan, para peserta memperlekehkan anda, ada yang pulang awal, ada yang mempersendakan anda dan ada yang menguji kebijaksanaan anda. Saya telah melalui itu semua dan memang ia sesuatu yang amat perit untuk diterima sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi. Malah sehingga rasa takut untuk berucap begitu menebal. Tetapi itulah hakikatnya. Tidak semua manusia itu sama walaupun rambut sama hitam. Apa jua yang dilalui perlu ditelan walaupun amat pahit.

Anda jangan pula rasa takut apabila saya menceritakan tragedi yang telah saya lalui itu. Ia adalah pengalaman saya dan tidak semestinya anda akan melaluinya juga. Satu tip daripada saya adalah, anda perlu melakukan persediaan yang rapi dan teliti dari segenap sudut agar “markah persembahan” anda walaupun tidak mencapai 100%, tetapi sekurang-kurangnya 80% dan ke atas. Tetapi ingat, jangan terlalu mendambakan kesempurnaan!

Tidak ada jalan lain melainkan anda sendiri mencuba dan terus mencuba. Berlatih dan terus berlatih tanpa henti. Kehebatan dalam berbicara dan berucap di hadapan tidak akan terbentuk dalam sehari dua. Ia memerlukan masa.

Sempena MAHA’2014 pada bulan November 2014, saya telah dijemput oleh pihak FAMA untuk menyampaikan topik berkaitan pemasaran Internet. Saya berat hati mahu menerimanya, tetapi atas dasar mencabar diri sendiri, saya terima dan menyahut cabaran itu. Pada ketika saya menulis post ini, saya sedang mula melakukan persiapan untuk itu walaupun tinggal sebulan saja lagi. Persediaan perlu rapi. Saya mahu berikan yang terbaik kepada audiens.

maha-2014-fama

Blog SmartUsaha.com

Blog SmartUsaha.com ini bukan mengenai perniagaan dan pemasaran online semata-mata, tetapi lebih daripada itu. Ia juga adalah sebuah blog keusahawanan. Seorang usahawan perlu pandai bercakap dan berbicara. Tidak boleh hanya pandai menulis sahaja. Jika anda pandai berucap di hadapan khalayak ramai, anda akan membawa perniagaan anda jauh ke hadapan.

Saya masih “lemah” dalam memberikan ucapan dan penyampaian di khalayak ramai, namun itu bukan alasan untuk saya terus “memeram” diri saya di rumah dan mengelak daripada melakukannya. Saya akan terus belajar, berlatih dan memperbaiki. Dan satu perkara yang perlu anda ketahui, saya sehingga sekarang masih seorang pemalu, namun itu bukan alasan untuk saya tidak mencapai sesuatu di luar kebiasaan. Pemalu adalah “rakan baik” saya. Ia bukan satu perkara yang buruk. Jadi tiada sebab untuk saya menghapuskannya. Sifat pemalu amat berguna pada satu-satu situasi.

Akhir kata untuk post ini, “Jika anda mahu terbang lebih tinggi, anda perlu lebih berani.”

smartzul

ps. Lawati profile online saya di sini: www.smartzul.com

Challenge-Accepted2

                                             Sumber imej: Barney Stinson

 

Penulis: Mohd Zulfadli


(SmartZul) adalah seorang penulis dan usahawan Internet sepenuh masa. Beliau memulakan perniagaan melalui Internet sejak tahun 2005, dengan memfokus kepada bidang penulisan dan penerbitan secara online. Beliau turut aktif berkongsi ilmu dan pengalaman melalui blog dan juga komuniti Facebook. Klik menu Hubungi di atas untuk menghubungi beliau.

SERTAI NEWSLETTER SMARTUSAHA.COM
Sertai newsletter SmartUsaha.com untuk mendapatkan info dan tip-tip perniagaan dan pemasaran Internet terus ke emel anda.
Kami benci spam. Emel anda selamat bersama kami.

Komen Guna Facebook:

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  1. memang best kalau boleh berucap di khalayak ramai ni..
    saya sekadar berucap dengan rakan sepejabata bolehlah.. kalau orang luar belum mampu olagi